Jumaat, 13 Jun 2014

Respons untuk Feminis

Golongan feminis selalu menyatakan tafsiran Islam yang ada pada hari ini lebih 'bias' kepada kaum lelaki. Hujahnya, ulama-ulama kebanyakannya lelaki. Jadi, hukum-hakam agama agak pilih kasih terhadap kaum wanita. Lantas, Islam perlu ditafsirkan semula.

Kalau begitu hujahnya, mengapa tidak dikritik sahaja alam ini, mengapa wanita sahaja yang 'dipaksa' mengandung, melahirkan, dan menyusukan anak; mengapa wanita sakit setiap bulan; kemudian, monopause pula pada sambutan jubli emas hidupnya; mengapa perempuan tidak bermisai dan berjambang; dan mengapa wanita sifatnya lemah berbanding lelaki?

Agaknya, hukum-hakam alam ini cenderung kepada lelaki jugalah. Oleh itu, alam sepatutnya ditafsirkan semula dan diubah supaya perempuan tidak lagi mengandung, melahirkan, menyusukan anak, dan seterusnya.

Strategi Memerangi Ateisme

Manusia beriman bahawa Tuhan itu wujud dan agama itu benar adanya. Keyakinan ini telah diwarisi oleh generasi manusia pada hari ini daripada generasi ibu bapa mereka yang menerimanya daripada generasi-generasi sebelumnya. Keyakinan ini bukanlah keyakinan yang diada-adakan ataupun baru dicipta persis teori evolusi jajaan Darwin. Keimanan ini tidak lahir dengan sebuah kelahiran tetapi lahir dengan sebuah kewujudan.

Malangnya segolongan manusia mula bertukar menjadi sejenis makhluk bernyawa yang tidak pernah mengalami kewujudan di dalam alam semesta sebelum ini. Mereka bukan haiwan seperti lembu dan kerbau. Bukan juga makhluk ajaib seperti Superman dan Hulk. Mereka wujud di alam nyata. Tidak seperti naga dan ikan duyung. Mereka adalah ateis.

Makhluk ateis ini menolak kewujudan Tuhan dan kebenaran agama. Bagi mereka, alam semesta terjadi dengan sendirinya. Tidak ada pencipta. Letupan besar pada satu zaman dahulu terhasil tanpa kawalan Yang Maha Kuasa. Lalu beransur-ansur membentuk jasad-jasad dalam ruang vakum. Terhasillah bintang, planet, dan bulan. Bumi di lengan Bima Sakti mula dihuni oleh makhluk hidup. Makhluk-makhluk tersebut lama-kelamaan berevolusi. Tidak semena-menanya muncullah manusia. Mereka juga menolak sebarang kewujudan makhluk-makhluk ghaib. Tidak dapat dikesan oleh pancaindera bererti tidak wujud. Malaikat, jin, dan syaitan tidak ada. Jika ada, tentu Tuhan juga ada. Oleh itu, makhluk-makhluk ghaib tidak perlu wujud. Kononnya.

Manusia yang masih sihat akalnya wajib memerangi golongan-golongan seperti ini. Bukan ateis sahaja, malah isme-isme lain bahkan agama-agama lain yang salah dan sesat juga perlu diperangi. Tetapi, bahaya ateis lebih besar. Disebabkan kewujudannya, manusia menjadi semakin sesat. Jika sebelum ini kufur dengan Tuhan yang maha esa, kali ini kufur akan tuhan seluruhnya. Bertitik tolak dari situlah, serangan perlu ditumpukan ke atas mereka.

Serangan yang dilakukan bukanlah untuk dinobatkan sebagai tokoh yang diagung-agungkan oleh manusia. Bukan untuk mempengaruhi manusia lain. Tidak sama sekali untuk mendapat harta dan pangkat. Juga bukan untuk mengisi masa lapang. Tetapi, kerana tugas ini satu kewajipan. Kewajipan untuk sebuah pengabdian. Pengabdian kepada Tuhan. Allah yang maha esa.

Strategi pertama dalam memerangi ateis adalah memusnahkan keyakinan mereka terhadap sains dan fakta-fakta yang datang daripada nabi-nabi mereka. Inilah pengaruh terbesar ateisme. Mereka mempercayai tahayul dan khurafat jajaan sains meskipun bercanggah dengan fakta dan bukti saintifik. Sains yang sebenar mendorong keimanan bukan kekufuran. Selain itu, kebanyakan saintis pada hari ini berfahaman ateisme. Disebabkan sains telah dicemari pengaruh fahaman dan keyakinan para saintis dalam setiap hipotesis yang dihasilkan, sains yang wujud pada hari bersifat pagan dan ateisme. Malangnya, hipotesis tersebut ditelan bulat-bulat oleh penganut ateisme kerana mereka kebebalan mereka. Dengan menjatuhkan wibawa sains pada pandangan mata mereka, ranaplah fahaman ateisme.

Strategi kedua adalah menyerang falsafah yang menjadi sandaran ateisme. Falsafah dan logik akal mereka berasal daripada Barat. Falsafah benar selagi menghasilkan kesimpulan yang bertepatan dengan wahyu. Kedua-duanya menjadi salah apabila menyimpulkan kesimpulan yang bertentangan dengan wahyu selain mengingkari fitrah dan tabiat alam. Falsafah-falsafah yang salah ini banyak tidak cuma satu. Falsafah menjadi banyak kerana setiap ahli falsafah mengutarakan teori falsafah mereka berdasarkan fikiran mereka. Fikiran manusia berbeza-beza antara satu sama lain. Faktornya, perbezaan kekuatan penaakulan, pengaruh psikologi, ilmu pengetahuan, dan sebagainya. Hasilnya, wujud berbagai-bagai falsafah dalam dunia pada hari ini. Antara falsafah tersebut bernama ateisme. Menyerang falsafah bererti menyerang jantung ateisme.

Strategi ketiga dan terakhir adalah menguasai ilmu agama dan memahami agama dengan baik. Ramai kalangan agamawan jahil tentang agama mereka. Apabila mereka bertempur dengan ateis, mereka membawa pemahaman agama mereka yang silap. Agama yang silap bukan lawannya ateisme. Sebab itu, Hindu, Buddha, Yahudi, dan Kristian tidak akan sekali-kali berupaya bertahan apabila diserang oleh ateisme. Sebab, mereka bukan agama yang benar. Umpama mewakilkan pasukan bola sepak kampung sebagai wakil Malaysia melawan Manchester United. Pasti akan alah.

Demikianlah tiga strategi untuk menggempur ateis. Banyak lagi strategi lain yang dirahsiakan. Tentera yang hebat memerlukan strategi yang tersusun, kelengkapan persenjataan yang rapi, disiplin yang kemas, dan sebagainya. Semuanya insya-Allah akan diusahakan dengan sebaik mungkin. Dengan kebangkitan ini, harapan umat Islam untuk melihat tentera Sultan Shalah al-Din al-Ayyubi pasti akan tercapai tidak lama lagi. Doa-doakan.