Khamis, 24 Oktober 2013

Tahnik

Amalan memasukkan makanan yang sudah dikunyah dengan mengguna jari ke dalam mulut bayi dinamakan tahnik atau taḥnīk mengikut sebutan asal. Disebut juga ‘belah mulut’. Makanan yang dimaksudkan adalah kurma atau gantinya berupa makanan-makanan yang manis. Hukumnya adalah sunat dan al-Nawawī mengatakan pendapat yang disepakati ulama. Tahnik ini utamanya dilakukan oleh orang yang soleh untuk diambil berkat daripadanya. Al-Nawawī juga menggalakkan bacaan doa untuk bayi semasa bertahnik.

Asas amalan ini adalah perbuatan Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama sendiri. Baginda melakukan tahnik kepada ’Abd Allāh bin Abū Ṭalḥah, Ibrāhīm bin Abū Mūsā, dan ’Abd Allāh bin al-Zubayr  seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī dan Muslim menggunakan tamar. Daripada tamar ini, timbulnya qiyās dengan makanan-makanan yang manis. Mereka semua dibawakan kepada baginda dan inilah yang menjadi asas pemilihan orang yang afdal untuk mentahnik. Perbuatan Rasulullah mendoakan bayi ketika mentahniknya pula menjadi sandaran menyunatkan bacaan doa semasa melakukannya.

Tidak ada penentuan waktu tertentu untuk tahnik. Tetapi, berdasarkan hadis-hadis berkaitan, para sahabat membawa anak-anak untuk ditahnik oleh baginda pada awal kelahiran. Inilah yang terbaik.

Sebenarnya, terdapat keraguan untuk menerima dakwaan sunatnya amalan ini kepada selain Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama kerana beberapa sebab. Pertama, al-Nawawī mutasāhil dalam menukilkan ijmak. Kedua, tidak diriwayatkan mana-mana sahabat mahupun tabiin melakukannya. Ini seolah-olah mereka memahami amalan ini sebagai khusus untuk baginda. Ketiga, zahir para sahabat memilih baginda untuk mentahnik anak-anak mereka adalah dengan tujuan tabarruk dengan air liur baginda sementara air liur baginda tidak mungkin disamakan dengan air liur orang lain.

Lantaran itulah, Syeikh Muḥammad ’Alī Farkūs dan Syeikh Sa’d al-Shatharī menolak menyunatkan amalan ini kepada selain daripada baginda. Pandangan ini lebih tepat. Jika ingin diamalkan juga, tidak perlu memilih orang-orang tertentu untuk mentahnik dengan iktikad kemuliaan dan keberkatan tubuhnya. Ini untuk mengelakkan ghuluww dan ta’aṣṣub. Malah, amalan ini boleh sahaja dilakukan oleh orang tuanya sendiri. Ini adalah pendapat Syeikh ’Abd al-Muḥsin al-’Abbād. Syeikh Ibnu Bāz juga berpandangan begitu. Katanya: kalau dibuka pintu tahnik (dengan ulama), pasti orang ramai akan berlebih-lebihan padanya.Jika dikatakan, para sahabat tidak melakukannya sendiri sebaliknya memintanya daripada Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama, dijawab: apabila baginda wafat, adakah mereka meminta orang lain melakukannya? Malah, mereka sendiri tidak diketahui meneruskannya atau tidak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan