Jumaat, 20 September 2013

Hadis-hadis Nur Muhammad di Sisi Syeikh al-Ghumārī

Syeikh Abū al-Faḍl al-Ghumārī (1413 H) seorang tokoh sufi yang terkenal dengan penentangannya terhadap Syeikh Nāṣir al-Dīn al-Albānī (1420 H). Beliau telah mengarang al-Radd al-Muqni’ ’alā al-Albānī al-Mubtadi’ untuk menyerang ulama hadis terkenal dari Syam itu selain tulisan-tulisan lain. 

Walau bagaimanapun, harus diberi perhatian bahawa al-Ghumārī sendiri menolak hadis-hadis yang menyabitkan kewujudan nur Muhammad. Beliau telah mengarang kitab berjudul Murshid al-Ḥa‘ir li-Bayān Waḍ’ Ḥadīth Jābir tentang hadis Jābir RA yang menceritakan penciptaan Nur Muhammad sebagai makhluk pertama. Menurutnya, hadis ini munkar mawḍū’ lā aṣl la-hu fi shay‘ min kutub al-sunnah (munkar lagi palsu, tidak berasal sama sekali daripada kitab-kitab hadis) [hal. 11]

Beliau menafikan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh ’Abd al-Razzāq al-Ṣan’ānī [ibid.] Beliau juga mengingkari hadis ‘aku menjadi nur di depan Tuhanku 14000 tahun sebelum Dia menciptakan Adam’ bahkan mendustakannya [Ibid.] Selain itu, beliau secara jelas menolak konsep nur Muhammad yang dicadangkan oleh golongan Sufi ketika membuat bantahan terhadap kisah para isteri Rasulullah SAW hendak membalut tubuh baginda dengan kain tetapi tidak dapat kerana baginda adalah nur dengan berkata: keadaan baginda sebagai nur adalah maknawi seperti menamakan al-Quran dengan nur dan sebagainya kerana baginda/al-Quran menerangi akal dan hati [ibid.] Ini jelas bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh pendukung fahaman nur Muhammad yang mengatakan bahawa baginda benar-benar berasal daripada cahaya yakni merupakan nur secara hakiki.

Beliau turut mendustakan hadis yang terkenal ‘lawlā-ka lawlā-ka mā khalaqtu al-aflāk (kalau bukan kerana engkau (Muhammad), kalau bukan kerana engkau sudah tentu aku tidak akan menciptakan falak ini (dunia) [ibid.]. Beliau juga menyanggah perbuatan sebahagian sufi yang memasukkan hadis-hadis mawḍū’ dalam kitab-kitab maulid kerana hadis-hadis yang ditolak ansurkan dalam bab fadilat hanyalah hadis-hadis ḍa’īf, bukan mawḍū’. Hadis-hadis palsu dilarang disebut secara ijmak kecuali untuk menyatakan kepalsuannya [hal. 14]. Seterusnya, beliau berkata “kelebihan Nabi SAW sabit dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih tanpa memerlukan apa yang disebutkan tentangnya berupa dusta dan ghuluww” [hal. 14]

Rujuk: Murshid al-Ḥa‘ir li-Bayān Waḍ’ Ḥadīth Jābir; http://www.aicp.org/SupportingDocs/MurshidAlHaairLibayan.pdf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan