Ahad, 23 Jun 2013

Hukum Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban


Tidak ada nas menyatakan sunat menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan kaifiat-kaifiat yang tertentu sama ada dengan membaca al-Quran, berdoa, atau bersolat. Berdasarkan kaedah 'asal ibadat adalah larangan' maka mengkhususkan sesuatu amalan untuk dikerjakan pada malam Nisfu Syaaban kerana menyangkanya sabit dalam agama adalah bid'ah.

Sesetengah ulama Salafi termasuklah Ibn Taymiyyah dan Ibn Rajab memandang elok beribadat secara sendiri-sendiri pada malam tersebut berdasarkan amalan sebahagian tabi'in terutama daripada Syam. Tetapi, pandangan mereka terpesong jauh kerana bercanggah dengan kaedah asal yang telah disebutkan. Sesungguhnya, hanya nas daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang boleh menjadi sandaran kepada sesuatu ibadat khusus sedangkan tidak ada sama sekali perihal ibadat pada malan Nisfu Syaaban. Adapun yang ada hanyalah fadilat malam tersebut. Itupun disangsikan kebenarannya. Sesetengah ulama termasuk ulama terdahulu menafikan kewujudan meskipun satu hadis sahih dalam bab ini.

Kata Unit Ilmiah Yayasan Durar Saniyyah yang diakui oleh Syeikh 'Alawi al-Saqqaf, kebanyakan ulama menolak hadis pengampunan pada malam Nisfu Syaaban sementara sebahagian muta'akhkhirin menerimanya sebagai hasan atau sahih. Hadis-hadis lain berkaitan malam Nisfu Syaaban sememangnya tidak sahih. Dr. 'Abd al-'Aziz Shakir Hamdan dalam makalahnya, al-Ahadith al-Waridah fi Laylah al-Nisf min Sha'ban; Dirasah Naqdiyyah pula berpendapat bahawa memang sabit kelebihan malam Nisfu Syaaban tetapi beliau menafikan wujud satu pun hadis tentang amalan bersempena malam tersebut.

Hakikatnya, sekiranya hadis menyatakan fadilat malam Nisfu Syaaban sahih pun, ini tetap tidak menunjukkan pensyariatan ibadat khusus pada malam tersebut. Sesungguhnya, Rasulullah SAW dan para sahabat melalui malam Nisfu Syaaban berkali-kali tetapi mereka tidak pernah melakukan sesuatu yang lebih pada waktu tersebut. Adakah mereka tidak tahu atau buat-buat tidak tahu? 

Nah, adakah kita lebih pandai daripada mereka?!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan