Isnin, 3 Jun 2013

Hukum dan Syarat-syarat Wanita Bersalin dengan Lelaki




Pergaulan antara jantina adalah antara perkara yang menjadi perhatian yang serius oleh Islam. Sesuai dengan fitrah manusia yang bertamadun, batas-batas dan tatacara pergaulan dituntun dengan rapi supaya sifat kemanusiaan manusia yang memiliki sistem kekeluargaan dan kasih sayang dikekalkan. 

Tidak sama seperti yang digagaskan oleh beberapa ajaran buatan manusia yang sesat lagi menyesatkan. Mereka cuba merobohkan segala pemisah antara lelaki dengan perempuan sehingga runtuh sifat malu yang menjadi fitrah manusia yang akhirnya manusia menjadi lebih dahsyat daripada binatang kerana tidak ada lagi perkahwinan. Nafsu dapat dilepaskan kepada sesiapa sahaja tanpa ikatan termasuklah kepada ahli keluarga sendiri. - secara rela atau paksa. 

Anak-anak tidak tahu siapa ayahnya. Tidak sempat menjenguk dunia, di dalam kandungan lagi sudah dibunuh. Perasaan cemburu lenyap. Tenang sahaja melihat pasangan hidup mati sendiri dinodai rakan sendiri. Malah, sudah menjadi amalan biasa sekawanan jantan membuntingkan seorang betina secara berjemaah. Tidak cukup dengan itu, dipertontonkan pula kepada umum. Kalimah ‘malu’ tinggal sebagai perkataan di dalam kamus-kamus tanpa difahami maksudnya lagi. Inilah citra hidup yang diidam-idamkan syaitan; jin dan manusia.

Islam tidak sesekali meredai semua itu. Dengan penuh santun disertai ketegasan pada sesetengah waktunya, diajarkan kitab muamalat antara jantina - lebih tepat lagi: antara manusia. Diterangkan bahawa faraj itu hanya halal apabila wujud akad perkahwinan dan perhambaan. Tidak semua pula boleh dijadikan isteri atau sahaya. Ibu, ibu saudara, anak, saudara, dan ibu saudara tidak boleh diperisterikan selama-lamanya kerana mereka adalah keluarga sendiri yang berhak disayangi tanpa sebarang ikatan baharu. Adapun perempuan selain mereka terlalu ramai. Tidak boleh menganggap mereka seperti barang-barang yang dijual di pasar, tidak boleh dijual beli sesuka hati. Pilih empat sahaja, dengan lafaz ijab kabul sebagai peneman hidup - bukan hamba - jadikan ia teman hidup.

Demikianlah Islam mengatur hidup. Cukup indah.

Sebenarnya, peraturan perhubungan antara jantina tidak terhad kepada soal perkahwinan semata-mata. Mustahil lelaki yang normal dapat bertahan daripada tidak menyetubuhi wanita setelah saban waktu melihat dada, perut, dan paha mereka. Perempuan pun, apabila sudah terbiasa mengadakan pameran tubuh, rasanya tidak menolak untuk menghadiahkannya secara percuma atau berbayar kepada peserta. Untuk itu, Islam mengadakan fasal khas untuk menghalang bahaya ini iaitu fasal aurat. 

Had-had aurat antara jantina sebagaimana kefahaman umum meratai seluruh tubuh perempuan kecuali muka dan tangan bagi perempuan dan antara pusat dan lutut bagi lelaki. Jadi, haram mendedahkan mana-mana bahagian tersebut kepada jantina lawan yang bukan maḥram. Bahkan, maḥram sendiri tetap tidak boleh memandang atau diperlihatkan bahagian antara pusat dan lutut. Ya, kecuali pasangan suami isteri.

Dewasa ini, biasa berlaku kes wanita bersalin dengan doktor lelaki - yang bukan suaminya. Apakah hukumnya? Bukankah wanita yang bersalin akan mendedahkan bukan sedikit malah sebahagian besar auratnya, bolehkah begitu?!

Jawapannya, tidak. Ini hukum asal. Apabila darurat maka hukumnya menjadi harus. Seperti biasa, al-ḍarūrāt tubīḥ al-maḥẓūrāt (perkara-perkara darurat mengharuskan perkara-perkara haram). 

Tetapi, keharusan ini mestilah dengan dua syarat berikut:
Pertama, persalinan tersebut memerlukan bantuannya.
Kedua, tidak ada perempuan yang dapat menggantikan tempat lelaki tersebut.

Syarat pertama memberi maksud, wanita tidak boleh bersalin dengan lelaki sekiranya persalinan tersebut tidak memerlukan campur tangannya sama ada kerana pertolongan daripada wanita-wanita lain sudah memadai atau wanita bersalin boleh bersalin sendiri.  Ini bermakna, sekiranya seorang wanita masuk ke dalam bilik bersalin dan setelah diperiksa oleh jururawat, didapati peratusan untuk berjaya melahirkan kandungan tanpa memerlukan bantuan doktor lelaki itu tinggi, maka ia tidak dibenarkan masuk. Kesimpulannya, selagi tidak diperlukan, lelaki tidak dibenarkan terlibat.

Syarat kedua pula bererti, kewujudan mana-mana perempuan yang dapat membantu proses persalinan tanpa bantuan lelaki sudah menggugurkan hukum harus tadi. Hal ini disebabkan apabila asal sudah wujud maka pengganti seakan-akan tidak wujud. Dalam kes ini, asal iaitu perempuan yang berkenaan sudah ada maka pengganti iaitu lelaki yang berkenaan dikira tidak ada. Sama seperti bertayamum dengan tanah sedangkan air ada dan mampu digunakan, hukumnya tidak harus dan tidak sah.

Di sini mula muncul pertanyaan tentang keadaan wanita yang mampu menangguhkan kelahiran semata-mata menunggu kedatangan perempuan yang selayaknya dengan kepastian tanpa menggunakan sesuatu yang memudaratkan, adakah harus baginya bersalin dengan bantuan lelaki tanpa menangguhkannya? Keadaan ini sama dengan solat yang dilakukan dengan tayamum pada awal waktu dalam keyakinan mampu untuk solat dengan taharah yang sempurna pada akhir waktu, hukumnya di sisi mazhab Shāfi’ī adalah mustaḥabb.  Demikian juga dengan masalah ini.

Sila muat turun risalah khas mengenai hukum dan syarat-syarat bersalin dengan lelaki melalui pautan ini:
https://archive.org/download/HukumDanSyaratSyaratBersalinDenganLelaki230913/Hukum%20dan%20Syarat-syarat%20Bersalin%20dengan%20Lelaki%20230913.pdf

1 ulasan:

  1. https://archive.org/download/HukumDanSyaratSyaratBersalinDenganLelaki230913/Hukum%20dan%20Syarat-syarat%20Bersalin%20dengan%20Lelaki%20230913.pdf

    BalasPadam