Rabu, 29 Mei 2013

Muslim Kontemporari

Sesat di Kuala Lumpur,
Dosa dan pahala bercampur,
Tapi kita perlu hidup,
Kita perlu terus hidup.

Demikianlah bagaimana seorang insan yang ditakdirkan Tuhan untuk mendiami bumi yang dipenuhi dengan perkara-perkara haram dan syubhah. Dengan rela mahupun terpaksa, ia terpaksa mengharunginya. Mungkin tidak pernah terlintas dalam dirinya untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai agama, tetapi apakan daya.

Allah sahajalah yang tahu bahawa zaman ini zaman yang penuh dengan fitnah. Ruang untuk mencari rezeki yang benar-benar halal teramat sedikit. Apa yang dikatakan halal oleh kebanyakan manusia rupa-rupanya masih bergaul harmoni dengan perkara-perkara haram dan syubhah. Sukar sungguh untuk meloloskan diri daripada neraka dunia ini. Alim berketayap pun belum tentu halal rezekinya.

Orang yang dimanipulasikan akalnya oleh media massa dan hiburan, kata-kata hikmah para pendakwah serta pakar motivasi, atau tulisan atau ceramah oleh ahli-ahli agama tidak merasakan keadaan ini biarpun bahangnya panas membakar kulit. Terpengaruh dengan diayah modenisasi atau liberalisasi Islam membuatkan manusia Muslim buta. Cukup dengan nama ‘Islam’ sudah cukup baginya untuk masuk syurga, kononnya!

Mereka boleh sahaja memilih untuk kerja di kedai makanan segera McDonald’s dengan alasan makanan yang dijual adalah halal maka gaji pun halal. Mereka buat-buat tidak tahu bahawa Allah mengharamkan bersubahat dengan musuh untuk menghancurkan Islam. Tidak terhad kepada syarikat tersebut, malah menjangkaui semua syarikat-syarikat yang perlu diboikot.

Mereka boleh sahaja bekerja di pasar-pasar raya. Apa yang dibuat hanyalah menyusun barang dan melayan pelanggan. Mereka tidak fikir tentang gambar-gambar haram yang mencemarkan ruang tempat kerja mereka selain lagu-lagu syaitan yang menggema di telinga semua. Apatah lagi perempuan, pakaian seragam mereka jelas tidak direstui syariat. Bagi mereka, tidak ada salahnya menjual baju-baju ketat atau pakaian-pakaian singkat kepada perempuan. Mungkin duga mereka, kami hanya menjual, tidak memakainya. 

Lebih hebat, bekerja di bank-bank Islam. Pakar-pakar perbankan tahu bahawa produk-produk perbankan Islam belum tentu terjamin kehalalannya. Penasihat-penasihatnya sendiri mengakui bahawa banyak produk yang ditawarkan berasaskan konsep ‘ḥaylah’ semata-mata. 

Tidak kurang yang memilih menjadi guru dengan sangkaan itulah sebaik-baik pekerjaan. Khususnya bagi wanita di sekolah bercampur, mereka perlu faham apakah Islam membenarkan wanita menjadi guru bagi lelaki-lelaki baligh. Lelaki pun, adakah mereka mampu menjaga syariat dalam menguruskan sekolah dan pelajar? Pakaian murid-murid perempuan, tidakkah tipis sehingga menampakkan aurat? Bolehkah berdua-duaan dengan guru atau murid perempuan kerana sesuatu tugasan? Bolehkah ia mengelak daripada menguruskan program-program sekolah yang bercanggah dengan syariat seperti program sukan bagi murid-murid perempuan di hadapan umum?

Bukanlah maksud di hati untuk melarang kaum Muslimin daripada terlibat dengan sebarang profesion tetapi berusahalah memilih kerja yang halal. Jika tidak dapat, pilihlah kerja yang paling kurang syubhatnya di samping memikirkan cara untuk melepaskan diri daripadanya atau membaikinya sesuai dengan garis panduan syariat. Inilah rupa Muslim kontemporari yang sebenar. Bukan seperti mereka yang kerana sudah sebati dalam masyarakat, mereka mengatakannya halal. Tidak, haram tetap haram. Kita mungkin melakukannya kerana terpaksa. Kalau tidak kerana terpaksa, sudah tentu kita tidak akan melakukannya. Apabila kita mengatakannya halal, selama-lamanya adalah halal. Itulah pemikiran yang terpesong. 

Rabu, 15 Mei 2013

Tangisan di Sisi Lemari

Di sisi lemari
Aku berdiri
Tegap mengiri
Mendongak tinggi
Memata-matai
Kitab sendiri.

Ratusan kitab
Puluhan ribu bab
Karya ulul albab
Namun sia-sia
Aku tidak berdaya
Membaca atau menyelaknya
Kerana masa sudah tiada
Dicuri kerja
Dirompak niaga
Yang entah ke mana.

Aku pun dihasut
Mengehek air yang tersusut
Derai-derai ia jatuh
Umpama dedaunan musim luruh.

Tiada siapa tahu
Apa yang terjadi, apa yang berlaku
Semua bagaikan pekak, bagaikan bisu
Melihat aku dilambung ombak, dikambus salju.

Ah, biarkan mereka
Aku ingin terus leka
Menyeka air mata
Biar banjir bumi kita
Sampai derita ini terbuka
Disaksi segenap benua.

Kg. Kota, Kota Bharu,
15 Mei 2013.