Sabtu, 16 Mac 2013

Persoalan Kenajisan Air Kencing Bayi Lelaki yang Minum Susu Tepung

Saya ditanya oleh seorang sahabat dari Jengka, Pahang berkenaan air kencing bayi lelaki yang hanya meminum susu tepung, adakah dikira najis ringan atau pertengahan. Saya tidak mampu menjawabnya kerana sepanjang kefahaman saya mengenai permasalahan ini, air kencing bayi lelaki yang berusia kurang daripada dua tahun dan tidak makan atau minum apa-apa selain susu adalah najis ringan. 

Saya tidak tahu apakah susu yang dimaksudkan itu. Adakah susu tersebut adalah susu ibu kandung, wanita, manusia, atau semua jenis susu termasuklah susu binatang? Adakah juga susu tersebut adalah susu cair yang diminum atau semua bentuk susu termasuklah susu tepung yang dimakan? Sekiranya yang dimaksudkan hanyalah susu ibu kandung, ertinya bayi yang minum susu wanita lain, air kencingnya dikira najis pertengahan. Begitulah selanjutnya.

Setelah membuka beberapa kitab fikah mazhab al-Syafi'i, jawapan tidak diketemui. Para pengarang tidak menyentuh perkara ini. Mereka hanya menyebut 'susu' tanpa menjelaskan susu siapa dan bentuk susu tersebut. Akhirnya, setelah membelek kitab al-Iqna' oleh al-Khathib al-Syirbini bersama hasyiyah oleh para ulama, tahulah bahawa semua jenis susu termasuk dalam takrifan susu dalam masalah tersesebut.

Nasnya berbunyi:

... بأن اقتصر على أكل اللبن بسائر أنواعه ومنه الجبن الخالي عن الأنفحة والقشطة والزبد على المعتمد في ذلك أكان لبن أمه أم غيرها ولو من مغلظ

Terjemahan: ... iaitu dengan hanya makan susu daripada semua jenisnya. Antaranya, keju tanpa rennet, krim, mentega mengikut pendapat muktamad dalam perkara tersebut tidak kira sama ada diperbuat daripada susu ibunya atau orang lain walaupun daripada haiwan yang najis berat. [Hal. 90]

Walau bagaimanapun, ini adalah pendapat mazhab. Saya belum mampu memberikan pendapat sendiri kerana belum melakukan kajian dalil dan tarjih. Wallahua'lam.

4 ulasan:

  1. Salam ustaz,

    Ada soalan,

    Adakah kerana dalam hadis berkenaan kisah Ummu Qis hanya menyebut bayi lelakinya sahaja menyebabkan bayi perempuan terkeluar dari hukum yang sama?

    Adakah disana apa2 nas yg menunjukkan kenajisan yang berbeza diantara keduanya.

    Mohon pencerahan dari ustaz.

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam.

    Ya, memang disebut secara jelas dalam sebahagian hadis bahawa hukum ini khusus untuk bayi lelaki sahaja. Ini bukan bererti merendahkan kaum wanita tetapi wujud perbezaan kandungan air kencing lelaki dan perempuan secara saintifiknya. Mungkin inilah mengapa wujud perbezaan hukum antara kedua-duanya. Demikian menurut Dr. Danial Zainal Abidin. Sebahagian ulama pula mengatakan, hukum ini khusus kepada bayi lelaki kerana kebiasaannya masyarakat Arab lebih gemar menimang dan meriba bayi lelaki berbanding bayi perempuan. Wallahua'lam.

    BalasPadam
  3. Salam, sedikit perkongsian tidak seberapa, menurut buku 'bughyah altullab' karangan Syeikh Daud Fatani berkenaan dengan susu tersebut nasnya 'barang yang menajiskan dengan kencing kanak-kanak lelaki yang kecil yang belum mencapai makanan yang lain daripada LABAN belum lagi lalu umurnya dua tahun(hijri).....(bleh juga merujuk kepada sabil almuhtadin, karangan Syeikh Arsyad alBanjari.menurut guru kami Syeikh Mizi dimaksudkan dengn laban adalah semua jenis susu termasuk susu binatang. beliau juga ada menyatakan kekesalan kepada penterjemah buku yang membuat spekulasi tersendiri berkenaan dgn susu, kebanyakan terjemahan menyebut susu ibu, maka susu yg selain ibu tidak termasuk..

    berkenaan dengan kenapa dikhususkan kepada bayi lelaki, menurut guru kami, ianya hadis yang bersifat 'taabudi'. tiada sebb yg khusus kenpa bayi lelaki.. wallahu a'lam...

    BalasPadam
  4. Waalaikumussalam. Terima kasih atas perkongsian.

    BalasPadam