Khamis, 21 Mac 2013

Catatan

Syeikh Sālim bin Samīr al-Ḥaḍramī, seorang ulama mutakhir dalam mazhab Shāfi’ī menyebutkan dalam kitabnya yang masyhur, Safīnah al-Najā:

وعورة الحرة والأمة عند الأجانب جميع البدن
Aurat perempuan merdeka dan sahaya ketika berada di sisi lelaki asing adalah seluruh tubuh.

Syeikh Aḥmad bin ’Umar al-Shāṭirī yang merupakan seorang ulama berketurunan Rasulullah SAW ketika mensyarahkan kata-kata di atas menjelaskan: aurat perempuan merdeka dan sahaya ketika berada di sisi lelaki asing... iaitu seluruh tubuh termasuklah muka dan tapak tangan. Oleh itu, wajiblah mereka menutupnya dan haram kepada lelaki asing itu memandang sedikit pun daripadanya. 

[Nayl al-Rajā‘ bi Sharḥ Safīnah al-Najā; Dār al-Minhāj, Arab Saudi; cet. 1428 H; hal. 152] 

Catatan



Pada zaman salaf, penduduk Madīnah terkenal sebagai golongan umat Islam yang suka berhibur dengan menikmati seni suara sehingga ramai yang beranggapan bahawa amalan tersebut direstui oleh alim-ulama di sana.

Pada satu hari, Imam Mālik bin Anas sebagai ulama besar di Madīnah ditanya oleh Isḥāq bin ’Īsā tentang perkara tersebut. Jawab beliau:

إنما يفعله عندنا الفساق
Yang melakukannya di sisi kami hanyalah orang-orang fasik.

[Diriwayatkan oleh al-Khallāl dalam al-Amr bi al-Ma’rūf, no. 169 dengan sanad yang ḥasan]

Penyemak kitab al-Amr bi al-Ma’rūf tersebut, Syeikh ’Amr ’Abd al-Mun’im Salīm menyatakan athar ini sahih. [Rujuk: al-Amr bi al-Ma’rūf, cet. 1426 H, Maktabah al-Ṣaḥābah, UAE, no. 165]

Sabtu, 16 Mac 2013

Persoalan Kenajisan Air Kencing Bayi Lelaki yang Minum Susu Tepung

Saya ditanya oleh seorang sahabat dari Jengka, Pahang berkenaan air kencing bayi lelaki yang hanya meminum susu tepung, adakah dikira najis ringan atau pertengahan. Saya tidak mampu menjawabnya kerana sepanjang kefahaman saya mengenai permasalahan ini, air kencing bayi lelaki yang berusia kurang daripada dua tahun dan tidak makan atau minum apa-apa selain susu adalah najis ringan. 

Saya tidak tahu apakah susu yang dimaksudkan itu. Adakah susu tersebut adalah susu ibu kandung, wanita, manusia, atau semua jenis susu termasuklah susu binatang? Adakah juga susu tersebut adalah susu cair yang diminum atau semua bentuk susu termasuklah susu tepung yang dimakan? Sekiranya yang dimaksudkan hanyalah susu ibu kandung, ertinya bayi yang minum susu wanita lain, air kencingnya dikira najis pertengahan. Begitulah selanjutnya.

Setelah membuka beberapa kitab fikah mazhab al-Syafi'i, jawapan tidak diketemui. Para pengarang tidak menyentuh perkara ini. Mereka hanya menyebut 'susu' tanpa menjelaskan susu siapa dan bentuk susu tersebut. Akhirnya, setelah membelek kitab al-Iqna' oleh al-Khathib al-Syirbini bersama hasyiyah oleh para ulama, tahulah bahawa semua jenis susu termasuk dalam takrifan susu dalam masalah tersesebut.

Nasnya berbunyi:

... بأن اقتصر على أكل اللبن بسائر أنواعه ومنه الجبن الخالي عن الأنفحة والقشطة والزبد على المعتمد في ذلك أكان لبن أمه أم غيرها ولو من مغلظ

Terjemahan: ... iaitu dengan hanya makan susu daripada semua jenisnya. Antaranya, keju tanpa rennet, krim, mentega mengikut pendapat muktamad dalam perkara tersebut tidak kira sama ada diperbuat daripada susu ibunya atau orang lain walaupun daripada haiwan yang najis berat. [Hal. 90]

Walau bagaimanapun, ini adalah pendapat mazhab. Saya belum mampu memberikan pendapat sendiri kerana belum melakukan kajian dalil dan tarjih. Wallahua'lam.