Ahad, 9 Disember 2012

Kritikan Ilmiah ke Atas Blog Tahu, Faham, Amal; Talkin

Talkin (تلقين) dalam Kamus Dewan didefinisikan sebagai: 1. petunjuk atau peringatan tentang soal jawab dlm kubur yg dibacakan kpd jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan; 2. bimbingan mengucapkan kalimah syahadah yg dibisikkan pd telinga seseorang mukmin yg sedang menghadapi saat kematian atau dlm keadaan sakaratul maut; air ~ air yg di­siram ke atas kubur (orang yg baru sahaja di­kebu­mikan) sebaik sahaja talkin selesai dibacakan; bertalkin membaca talkin: biar dia sendiri mendengar orang ~ hingga tamat; mentalkinkan membaca talkin kpd jenazah yg baru sahaja dikebumikan, atau kpd sese­orang yg sedang menghadapi saat kematian atau dlm keadaan sakaratul maut.

Pengertian yang diberikan tidak berbeza dengan apa yang difahami oleh alim-ulama tentang pengertian talkin. Namun begitu, talkin yang ingin dibincangkan dalam artikel ini adalah talkin dengan definisi pertama iaitu: petunjuk atau peringatan tentang soal jawab dlm kubur yg dibacakan kpd jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan.

Blog Tahu, Faham, Amal selaku blog yang taasub kepada mazhab Asya'irah dan Syafi'iyyah sebagaimana diakui pihak blog sendiri dalam kenyataannya yang berbunyi: kepada para sahabat dan ilmuwan agama yang pakar dalam aqidah, usuluddin, al Quran, hadith, usul feqh, feqh dan disiplin ilmu yang lain (mengikut Mazhab Syafie aliran Asya'iroh/al Maturidiyyah) diharap dapat berkunjung ke laman-laman web di bawah untuk memberikan kefahaman dan penjelasan kepada umat Islam di Malaysia. Sekian petikan.

Jelas, blog tersebut bukanlah blog yang ingin memberi pencerahan kepada umat Islam tentang Islam dan khilafiyyah yang sebenar tetapi satu pembelaan dan sokongan kepada mazhab sendiri tanpa mengira kesahihan hujah dan dalil. Perkara ini dapat dilihat dalam kebanyakan - atau kesemua - artikel-artikelnya.

Dalam masalah talkin, pihak blog telah menerbitkan artikel bertajuk Kedudukan Hadits Talqin Setelah Dikubur yang bersumberkan blog http://almanar.wordpress.com. Dalam artikel tersebut, pihak blog seperti kelazimannya mempertahankan pegangan umum masyarakat Melayu iaitu sunat membaca talkin kepada mayat setelah ditanam. 

Penulis artikel bersetuju bahawa hadis yang menjadi dalil utama kebolehan talkin adalah dha'if setelah mengemukakan kata-kata Imam Ibn al-Shalah, al-Nawawi, dan Ibn al-Qayyim. Sebenarnya, jika diikutkan penilaian para ulama hadis, hadis ini antara hasan, dha'if, dan dha'if jiddan. Akan tetapi, penulis artikel memilih pendapat pertengahan tanpa melihatkan kepada dalil ketiga-tiga pihak. Ini bererti penulis artikel bertaklid kepada sebahagian ulama dengan taklid buta. 

Katanya: walhasil, hadits ini sejatinya dhaif, tapi terangkat derajatnya dengan dijadikannya sebagai pijakan ahlul ilmi dan umat sebagai rujukan. Ini tidak bertentangan dengan kaidah yang ditetapkan ulama. Sekian petikan.

Kemudian, penulis blog cuba meyakinkan para pembaca bahawa hadis tersebut meskipun dha'if boleh diamalkan kerana diamalkan oleh umat Islam umumnya. Beliau membawakan kata-kata Imam al-Sakhawi, Ibn al-Humam, al-Sayuthi, dan al-Tirmidzi.

Maka, saya berasa terpanggil untuk membincangkan sekali gus mengkritik artikel tersebut secara ilmiah. Saya tahu dan faham bahawa terdapat ulama yang membolehkan amalan talkin tetapi percubaan untuk menyembunyikan pandangan lain bukanlah amalan ahli ilmu. 

Imam Ibnu Taimiyyah sendiri telah menyebutkan kesemua pendapat ahli ilmu dalam masalah ini iaitu: sunat, harus, dan haram; walaupun beliau sendiri memilih pendapat pertengahan iaitu harus dalam Majmu' al-Fatawa. Berbeza dengan metodologi blog ini yang kelihatan berusaha menyembunyikan pendapat-pendapat ulama lain yang dilihat menyokong pandangan lawan mereka iaitu Salafiyyah, Kaum Muda, dan sebagainya.

Namun, sebagaimana penulis artikel bersungguh-sungguh membuktikan kebenaran pendapat yang ditaklidnya, saya sepatutnya lebih-lebih lagi bersungguh-sungguh membuktikan kebenaran pendapat yang saya pegang berdasarkan kajian dan pemerhatian; bukan taklid buta. 

Saya berpegang bahawa talkin adalah bid'ah. Jika bid'ah dibahagikan kepada dua: hasanah, sayyi'ah maka saya mengatakan: talkin adalah bid'ah sayyi'ah. Saya menyelisihi pendapat Imam Ibnu Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim yang memilih keharusan talkin. 

Untuk membuktikan kebenaran pegangan saya, saya harus menolak setiap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh penulis artikel. 

Pertama, hadis tersebut bukan dha'if tetapi dha'if jiddan. Hadis dha'if jiddan hukumnya hampir sama dengan hadis maudhu' kerana masing-masing tidak boleh digunakan sama sekali walaupun dalam fadha'il al-a'mal.

Penjelasannya seperti berikut:

Hadis talkin diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Anas bin Salm, daripada Muhammad bin Ibrahim bin al-'Ala', daripada Isma'il bin 'Ayyasy, daripada 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurasyi, daripada Yahya bin Abi Katsir, daripada Sa'id bin 'Abd Allah al-Audi, daripada Abu Umamah RA. 

Kecacatan sanad seperti berikut:

Satu, guru al-Thabarani, Anas bin Salm majhul al-hal.

Dua, Muhammad bin Ibrahim didha'ifkan oleh Ibnu 'Adi dan kata Muhammad bin 'Auf al-Himshi: mencuri hadis. Sekian. Tidak diketahui ada ulama yang menta'dilnya.

Tiga, Isma'il bin 'Ayyasy. Kata Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam al-Taqrib: shaduq dalam riwayatnya daripada ahli negerinya dan celaru dalam riwayatnya daripada selainnya. Sekian. Isma'il bin 'Ayyasy dalam riwayat ini tidak dipastikan sama ada beliau mengambilnya daripada ahli negerinya atau tidak kerana gurunya, 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurasyi majhul. Sekiranya beliau adalah seorang penduduk Hijaz berdasarkan dalalah nisbahnya kepada Quraisy, bererti beliau seorang yang dha'if dalam riwayat ini.

Empat, Yahya bin Abi Katsir mudallis dan beliau meriwayatkan hadis ini secara 'an'anah.

Lima, Sa'id bin 'Abd Allah al-Audi majhul al-hal.

Dengan terdapatnya lima 'illah ini, hadis ini dihukum sebagai dha'if jiddan terutamanya dengan kewujudkan Muhammad bin Ibrahim yang dituduh mencuri hadis.

Benar, hadis ini diriwayatakan dengan sanad lain oleh al-Khila'i iaitu daripada Isma'il bin Raja' bin Sa'id, daripada Muhamma bin Ahmad al-Junduri, daripada Muhammad bin Ibban bin Syaddad, daripada Hasyim bin Muhammad al-Anshari, daripada 'Utbah bin al-Sakan, daripada Yahya bin Ziyyad, daripada Jabir, daripada Sa'id al-Audi, daripada Abu Umamah RA. Tetapi, masalahnya, sanad ini lebih dha'if daripada sanad tadi kerana terdapat seorang rawi yang dihukum sebagai muttaham bi al-wadh'i, iaitu 'Utbah bin al-Sakan.

Kesimpulannya, hadis ini dha'if jiddan dan tidak dapat dikuatkan atau disokong dengan hadis lain kerana tidak ada hadis yang menyokong maudhi' al-syahid dalam masalah ini. Yang ada hanyalah berupa hadis anjuran mendoakan si mati dan sebagainya sementara talkin bukanlah satu doa tetapi ucapan yang  diajarkan supaya diajuk oleh pendengar. Itulah pengertian sebenar talqin.

Menurut ushul al-hadits yang diterima oleh jumhur ulama-ulama Syafi'iyyah, hadis dha'if boleh digunakan dalam fadha'il al-a'mal dengan syarat antaranya hadis tersebut tidak dha'if jiddan.

Dengan kaedah ini, ternyatalah bahawa pandangan ulama yang melarangnya adalah lebih rajih

Kedua, apa yang didakwa bahawa hadis ini diamalkan oleh umum umat Islam adalah tidak benar kerana amalan tersebut hanya diriwayatkan diamalkan di Syam, Madinah, Cordova. Ini belum menepati syarat yang ditetapkan oleh para ulama -sebagaimana yang dinukilkan oleh penulis artikel - bahawa hadis dha'if boleh diamalkan apabila diterima umum. Jika dikatakan umum yang dimaksudkan adalah perbuatan setempat, maka jawabnya, yang lebih umum adalah tidak mengamalkannya. 

Kata Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam dalam Fatawanya: tidak sahih sesuatupun dalam bab talkin dan ia adalah bid'ah. [Hal. 96]

10 ulasan:

  1. slm ustad..boleh tahu, rujukan pling bgus dlm jarh wa ta'dil apa ya?
    dan dlm ni, ustaz rujuk ktab apa?

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam, terlalu banyak rujukan dalam jarh wa ta'dil sama ada asas dan lanjutannya. Sekarang, banyak kitab jarh wa ta'dil baru yang sangat menakjubkan seperti Tahrir Taqrib Tahdzib oleh Syaikh Syu'aib al-Arna'uth dan Basysyar 'Awwad Ma'ruf yang meneliti semula hukum Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani terhadap rawi. Namun begitu, sila rujuk kitab-kitab yang mengkritik kitab mereka berdua ini supaya hukuman ke atas rawi diadili sesaksamanya.

    Dalam bab ini saya merujuk banyak kitab dan antara yang terpenting al-Qaul al-Mubin oleh Syaikh 'Ali bin Hasan al-Halabi dan Bida' al-Qubur, tesis MA oleh Shalih bin Muqbil al-Tamimi. Wallahua'alam.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Blog Tahu, Faham, Amal selaku blog yang taasub kepada mazhab Asya'irah dan Syafi'iyyah sebagaimana diakui pihak blog sendiri dalam kenyataannya yang berbunyi: kepada para sahabat dan ilmuwan agama yang pakar dalam aqidah, usuluddin, al Quran, hadith, usul feqh, feqh dan disiplin ilmu yang lain (mengikut Mazhab Syafie aliran Asya'iroh/al Maturidiyyah) diharap dapat berkunjung ke laman-laman web di bawah untuk memberikan kefahaman dan penjelasan kepada umat Islam di Malaysia. Sekian petikan.

    ---

    Assalamu'alaikum.

    Sekiranya kamu benar-benar menyemak blog berkenaan. Ia tidak lah taksub hanya mazhab Asy Syafie sahaja. Tetapi di dalamnya ada diterangkan pendapat mazhab yang lain.

    Selidikilah terlebih dahulu sebelum menghukum.

    Kadang-kadang kita mengatakan orang lain taksub. Tetapi ada pula yang taksub pada pendapat sendiri.

    BalasPadam
  5. Waalaikumussalam.

    Sekiranya kamu benar-benar menyemak blog berkenaan. Ia tidak lah taksub hanya mazhab Asy Syafie sahaja. Tetapi di dalamnya ada diterangkan pendapat mazhab yang lain.

    Ya, memang ada diterangkan mazhab lain tetapi mengikut perspektif mereka yang sempit. Mereka tidak berlaku jujur. Mereka memilih sebahagian pendapat mazhab lain dan meninggalkan selebihnya semata-mata kerana memihak kepada golongan yang mereka gelar sebagai Wahhabi.

    Benda ini jelas. Dalam isu bersalam misalnya, pihak blog seolah-olah menyembunyikan pendapat ulama Ahli Sunnah yang memandangnya bid'ah madzmumah.

    Wallahua'lam.

    Ya, saya sememangnya menyelidik sebelum menghukum.

    'Kadang-kadang kita mengatakan orang lain taksub. Tetapi ada pula yang taksub pada pendapat sendiri.'

    Sama seperti saudara.

    Terima kasih, wassalam.


    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau taksub dgn pandangan Ibnu Taimiyah,Nasiruddin Albani Syuaib Arnauth,Alhalabi dan lain-lain sengkatan dgn nye pule mcm mane ye ustaz?adakah itu dikatakan melihat sesuatu itu dgn adil dan saksama?sebagai contoh,kita hanya melampirkan hadis yg ditahqiq oleh Nasirudin Albani dan Syuaib Arnauth aje,yg lain2 kite sorokkan mcm hadis yg ditahqiq oleh Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki ke,Syeikh Abdul Aziz Al-Ghumari ke,Syeikh Said Mamduh ke,itu boleh dikire adil juge ke ustaz?

      Padam
    2. Saudara, tidaklah dinamakan taasub bagi orang yang hanya merujuk kepada Ibnu Taymiyyah, al-Albani, Shu'ayb al-Arna'ut, 'Ali al-Halabi dan sebagainya tanpa bertaklid buta dan membela habis-habisan kepada pendapat mereka dan serta bersedia untuk mengkritik dan menghujah mereka sekiranya didapati mereka tersilap.

      Yang dinamakan taasub adalah sebaliknya, dan dinamakan taasub juga adalah perbuatan merujuk kitab-kitab Syed 'Alawi al-Maliki, al-Ghumari, Sa'id Mamduh dan menerima pendapat-pendapat mereka tanpa usul periksa.

      Selain itu, tidak dinamakan taasub bagi orang yang menganggap Ibnu Taymiyyah itu sama seperti ulama-ulama lain, begitu juga dengan al-Albani dan Shu'ayb al-Arna'ut itu sama dengan muhaddithin lain. Kadang-kadang pendapat mereka diterima dan kadang-kadang ditolak berasaskan kebenaran.

      Tidak dinamakan taasub juga orang yang menghuraikan pendapat ulama secara adil dengan meletakkan ulama-ulama muktabar pada tempatnya walaupun dengan meminggirkan ulama yang tidak muktabar lagi tidak dikenali yang hanya dikenali dan diangkat oleh golongan tertentu sahaja. Jarang benar pendapat mereka dikutip oleh ulama-ulama selain pengikut aliran yang sama dengan mereka.

      Wallahualam.

      Padam
  6. Pendapat Albani mana yang kamu tolak,Ibnu Taimiyah mane yang kamu tolak dan lain-lain lag,boleh tunjukkan pada saye?..saya rasa definisi adil kamu hanya pada ulama'2 kegemaran kamu dan kamu mempunyai zonn yg baik hanya pada ulamak tersebut.Tetapi pada yang lain,zonn ragu2 kamu amatlah tinggi sampai mendalam kamu kaji.Ini dikatakan adil?Definisi taksub kamu juga hanyalah memenangkan kamu dan membiarkan kami jadi pesalah.Adakah ini analisis yang adil?Maka dengan ini sudah tahulah siapa pentaksub dan siapa yang adil.

    BalasPadam
  7. Jujur ana sebutkan, ana membaca kitab-kitab Ibnu Taymiyyah dan al-Albani banyak kelemahan yang ada pada diri mereka sama seperti ulama-ulama lain.

    Tentang al-Albani, kamu boleh baca sendiri kritikan-kritikan ana terhadap beliau dalam kajian-kajian ana tentang hadis. Banyak hadis yang beliau sahihkan ana lemahkan kerana menemui kecacatan yang beliau tidak sedari. Saya sebutkan satunya, hadis 'wanita itu aurat'. Hadis ini disahihkan oleh hampir kesemua ulama hadis dan Salafi sendiri. Al-Qaradawi yang saya seterui itu saya benarkan usaha melemahkannya walaupun beliau tetap silap dalam ta'lil.

    Tentang Ibnu Taymiyyah, juga sama. Antara pendapat yang saya tolak, pendapatnya tentang wanita lebih baik solat dalam di atas kenderaan daripada solat secara terbuka di hadapan orang ramai. Saya juga menolak pendapat beliau bahkan ulama-ulama Salafi seluruhnya yang mengatakan wanita wajib menutup seluruh muka kerana saya mengatakan yang wajib hanya sebahagian. Beliau juga mengatakan qiyam malam nisfu tidak bidaah, demikian juga talkin kerana dilakukan oleh sebahagian salaf. Maka, saya selisihi mereka dalam semua ini.

    Tetapi, sahabatku, bukan semua ini saya tuliskan kerana saya tidak akan berkata-kata melainkan selepas dikaji dan diselidik. Banyak lagi pendapat Ibnu Taymiyyah khususnya yang saya tertarik tetapi saya tidak pegang atau jazamkan kerana belum menyelidikinya sendiri.

    Ya, benar kamu begitu taasub. Setiap apa yang datang daripada Salafi adalah salah. Ya, walaupun apa yang mereka sebutkan itu adalah satu daripada dua atau tiga pendapat muktabar di sisi Ahli Sunnah.

    Saya sebutkan satunya, tentang kedudukan ayah dan bonda Rasulullah SAW. Golongan dikau kerap menyesatkan Salafi kerana mengatakan mereka berdua tidak beriman dan masuk neraka sedangkan itu adalah pendapat al-Nawawi, imam Ahl al-Sunnah dan Shafi'iyyah sendiri.

    Wallahualam.

    Saya rasa ini cukup sebagai jawapan.

    BalasPadam
  8. Seseorang itu berkata mngikut apa dia tahu n kita pula kebanyakkannya berkata atas pengetahuan orang yg kita tahu, adapun kita sendiri kebanyakkannya tidak tahu, jika kita tahu tentu kita tdk kata melainkan itu salah dan ini betul kepada semua yg betul atau semua yg salah, melainkan katalah bhw kalau keliru ttg hadis maka quran penjelasnya dan kalau keliru ttg quran maka hadis penjelasnya. Kan dalam quran pun ada menyatakan bhw Allah tdk memberi pertunjuk kpd org pasiq n memberi pertunjuk kpd siapa yg Dia kehendakki, jika Allah tak tunjuk nescaya dia tdk akan nampak samada hak maupun batil, ringkasnya koreksilah diri dlm mencari kebenaran, tentukan sekalian sifat mazmumah itu tdk ada sedikitpun justeru nur yg menyuluh akan masuk kedalam hati. Wallahu Aklam

    BalasPadam