Rabu, 19 Disember 2012

Sufi dalam IKIM

Baru sekejap tadi, malam 18 Disember 2012 saya mendengar kuliah agama dalam radio Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM). Siapa penyampai tidak saya ketahui tetapi jelas melalui perkataan-perkataan yang digunakan dan isi-isi yang disampaikan, beliau seorang sufi yang agak teruk. Berselindung di sebalik slogan menghormati ulama, beliau sebenarnya cuba menyusup jarum sufi dalam jiwa khalayak pendengar. 

‘Sufi’ satu istilah yang sukar dirungkaikan. Sesetengah ulama menganggap sufi semuanya tidak betul sementara sebahagian ulama membahagikan sufi kepada yang betul dan yang tidak betul. Tetapi, dalam makalah ini, ‘sufi’ adalah mengikut pengistilahan pertama. Jadi, tidak timbul kemusykilan adakah saya menyesatkan semua sufi kerana sufi makalah ini adalah merujuk kepada ‘golongan yang mengadakan kaedah falsafah yang digunakan untuk mengubahsuai nas syarak sehingga menghasilkan fahaman-fahaman baru yang bertentangan dengan usul syarak dan terpesong jauh daripada Islam’. [Mengikut takrifan khusus yang diberikan oleh Syeikh Dr. Khaldun Makki al-Hasani, seorang ulama berketurunan Nabi Muhammad SAW dalam risalah Ila Ayna Ayyuha al-Habib al-Jufri; cet. kedua 1428 H, al-Bayyinah li al-Thiba’ah wa al-Nasyr, Damsyik; hal. 22 dalam nota kaki]

Dalam kuliah tersebut, beliau menekankan peri pentingnya menjaga adab dengan para ulama, menghormati, merendahkan diri, dan menghargai mereka. Saya dapat membaca apa yang ingin disampaikan iaitu perlu beradab dan berakhlak dengan ulama-ulama yang mereka iktiraf khususnya ulama-ulama sufi. Nama Ibnu ‘Arabi yang dikafirkan dan disesatkan oleh ramai ulama Ahli Sunnah seperti al-Subki, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, dan al-‘Aini beberapa kali disebut dengan doa. Kata-katanya berupa seruan menghormati ulama dan ancaman-ancaman bagi sesiapa yang mengingkarinya dipetik. Nampak sangat, penyampai sebenarnya ingin mengkritik Kaum Muda yang pada anggapan mereka tidak beradab dengan ulama-ulama mereka secara halus tetapi tajam. 

Penyampai dan orang-orang yang bersama dengannya sebenarnya pun tidak menghormati ulama bahkan turut sama bersubahat dengan golongan yang mencerca, mengutuk, malah menyesatkan para ulama Ahli Sunnah. Bukankah sudah masyhur bahawa mereka telah menyesatkan Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Imam Ibnu al-Qayyim serta Imam Ibnu ‘Abd al-Wahhab dengan melontarkan sejuta satu sumpah seranah dan fitnah kepada mereka? Sudah lupakah umat Islam dengan buku Zaini Dahlan, mufti Mekah, al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah yang dimuatkan dengan pendustaan terhadap dakwah tauhid yang diiringi pula oleh Yusuf al-Nabhani dan Zahid al-Kautsari yang bermulut lancang seolah-olah tidak kenal dosa pahala? Baru-baru ini sahaja dikejutkan dengan buku terbitan Hijjaz Record yang menyerang Ibnu Taimiyah, Ibnu ‘Abd al-Wahhab, al-Albani, dan puluhan tokoh ulama lain. Saya tidak pernah mendengar ada antara mereka yang tampil membela. Kalaupun ada sudah lama dicop sebagai Wahhabi!

Inilah yang mereka inginkan sebenarnya.

Isnin, 10 Disember 2012

Siri Kritikan Ilmiah ke Atas Blog Tahu, Faham, Amal; Bersalam Selepas Solat


Blogger blog Tahu, Faham, Amal menukilkan daripada Syaikh 'Ali Jum'ah bahawa katanya:

Manakala berjabat tangan setelah selesai solat, tidak ada seorang pun dari para ulama' yang mengharamkan berjabat tangan. Mereka berpendapat, hukumnya (berjabat tangan) adalah Sunnah dan itu adalah bid'ah hasanah, atau bid'ah yang mubah (diharuskan).

Saya, Ibnu Anas al-Kutawi, menjawab:

Kenyataan yang dinukilkan daripada Mufti Mesir, Syaikh 'Ali Jum'ah itu tidak benar kerana terdapat ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang berpendapat bahawa bersalam selepas solat adalah bid'ah yang makruh. 

Antaranya, Sulthan al-'Ulama', Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam (w. 660 H), ulama berakidah Asya'irah dan bermazhab Syafi'i pernah ditanya:

Bersalam-salaman selepas solat Subuh dan Asar digalakkan atau tidak?

Jawab beliau: bersalam-salaman selepas solat Subuh dan Asar termasuk dalam perkara bid'ah kecuali bagi orang yang datang berkumpul bersama dengan orang yang menyalaminya sebelum solat kerana bersalam itu disyariatkan ketika baru datang.

Nabi SAW membaca zikir-zikir yang disyariatkan selepas solat dan beristighfar tiga kali, kemudian beredar dan diriwayatkan bahawa baginda membaca "wahai Tuhanku, pelihara diri ini daripada azab-Mu pada hari ketika hamba-hambamu dibangkitkan"; dan segala kebaikan itu pada mengikuti Rasulullah SAW. [Hal. 46-47]

Benar, dalam kitab lain, Qawa'id al-Ahkam beliau telah memasukkan amalan tersebut dalam bid'ah mubahah. Tetapi, kenyataan dalam fatwa di atas sekurang-kurangnya menunjukkan beliau pernah berpendapat bahawa amalan tersebut bid'ah makruhah. Buktinya, kata-kata beliau 'dan segala kebaikan itu pada mengikuti Rasulullah SAW'. Kata-kata ini menunjukkan beliau memandang sunnah mengikut perbuatan baginda SAW yang tidak bersalam-salaman selepas solat sementara sunnah lawannya makruh.

Selain itu, beliau menyebut amalan tersebut sebagai 'bid'ah' tanpa mengikatnya dengan 'mubahah' sebagaimana dalam kitab tadi. Dua qarinah ini menunjukkan beliau tidak menganggapnya sebagai bid'ah mubahah secara mutlak bahkan berat pada zan saya, beliau memakruhkannya, malah mungkin mengharamkannya.

Kedua, di sana ramai ulama-ulama mazhab Syafi'i sendiri yang mengatakan bersalam-salaman selepas solat itu bid'ah sebagaimana yang disebut oleh Imam 'Abd al-Hayy al-Laknawi, ulama Hanafi (w. 1304 H) dalam al-Si'ayah fi Kasyf Ma fi Syarh al-Wiqayah. Antara yang dimaksudkan adalah Imam Ibnu Hajar al-Haitami (w. 973 H), pengarang kitab Tuhfah al-Muhtaj, satu daripada dua kitab muktamad di sisi muta'khkhirin mazhab Syafi'i.


Pun begitu, saya tidak berpandangan bersalam selepas solat itu bid'ah; haram atau makruh selagi amalan tersebut tidak dilakukan dengan niat ta'abbud. Saya hanya ingin menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak blog dalam masalah ini. Wallahua'lam

Ahad, 9 Disember 2012

Kritikan Ilmiah ke Atas Blog Tahu, Faham, Amal; Talkin

Talkin (تلقين) dalam Kamus Dewan didefinisikan sebagai: 1. petunjuk atau peringatan tentang soal jawab dlm kubur yg dibacakan kpd jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan; 2. bimbingan mengucapkan kalimah syahadah yg dibisikkan pd telinga seseorang mukmin yg sedang menghadapi saat kematian atau dlm keadaan sakaratul maut; air ~ air yg di­siram ke atas kubur (orang yg baru sahaja di­kebu­mikan) sebaik sahaja talkin selesai dibacakan; bertalkin membaca talkin: biar dia sendiri mendengar orang ~ hingga tamat; mentalkinkan membaca talkin kpd jenazah yg baru sahaja dikebumikan, atau kpd sese­orang yg sedang menghadapi saat kematian atau dlm keadaan sakaratul maut.

Pengertian yang diberikan tidak berbeza dengan apa yang difahami oleh alim-ulama tentang pengertian talkin. Namun begitu, talkin yang ingin dibincangkan dalam artikel ini adalah talkin dengan definisi pertama iaitu: petunjuk atau peringatan tentang soal jawab dlm kubur yg dibacakan kpd jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan.

Blog Tahu, Faham, Amal selaku blog yang taasub kepada mazhab Asya'irah dan Syafi'iyyah sebagaimana diakui pihak blog sendiri dalam kenyataannya yang berbunyi: kepada para sahabat dan ilmuwan agama yang pakar dalam aqidah, usuluddin, al Quran, hadith, usul feqh, feqh dan disiplin ilmu yang lain (mengikut Mazhab Syafie aliran Asya'iroh/al Maturidiyyah) diharap dapat berkunjung ke laman-laman web di bawah untuk memberikan kefahaman dan penjelasan kepada umat Islam di Malaysia. Sekian petikan.

Jelas, blog tersebut bukanlah blog yang ingin memberi pencerahan kepada umat Islam tentang Islam dan khilafiyyah yang sebenar tetapi satu pembelaan dan sokongan kepada mazhab sendiri tanpa mengira kesahihan hujah dan dalil. Perkara ini dapat dilihat dalam kebanyakan - atau kesemua - artikel-artikelnya.

Dalam masalah talkin, pihak blog telah menerbitkan artikel bertajuk Kedudukan Hadits Talqin Setelah Dikubur yang bersumberkan blog http://almanar.wordpress.com. Dalam artikel tersebut, pihak blog seperti kelazimannya mempertahankan pegangan umum masyarakat Melayu iaitu sunat membaca talkin kepada mayat setelah ditanam. 

Penulis artikel bersetuju bahawa hadis yang menjadi dalil utama kebolehan talkin adalah dha'if setelah mengemukakan kata-kata Imam Ibn al-Shalah, al-Nawawi, dan Ibn al-Qayyim. Sebenarnya, jika diikutkan penilaian para ulama hadis, hadis ini antara hasan, dha'if, dan dha'if jiddan. Akan tetapi, penulis artikel memilih pendapat pertengahan tanpa melihatkan kepada dalil ketiga-tiga pihak. Ini bererti penulis artikel bertaklid kepada sebahagian ulama dengan taklid buta. 

Katanya: walhasil, hadits ini sejatinya dhaif, tapi terangkat derajatnya dengan dijadikannya sebagai pijakan ahlul ilmi dan umat sebagai rujukan. Ini tidak bertentangan dengan kaidah yang ditetapkan ulama. Sekian petikan.

Kemudian, penulis blog cuba meyakinkan para pembaca bahawa hadis tersebut meskipun dha'if boleh diamalkan kerana diamalkan oleh umat Islam umumnya. Beliau membawakan kata-kata Imam al-Sakhawi, Ibn al-Humam, al-Sayuthi, dan al-Tirmidzi.

Maka, saya berasa terpanggil untuk membincangkan sekali gus mengkritik artikel tersebut secara ilmiah. Saya tahu dan faham bahawa terdapat ulama yang membolehkan amalan talkin tetapi percubaan untuk menyembunyikan pandangan lain bukanlah amalan ahli ilmu. 

Imam Ibnu Taimiyyah sendiri telah menyebutkan kesemua pendapat ahli ilmu dalam masalah ini iaitu: sunat, harus, dan haram; walaupun beliau sendiri memilih pendapat pertengahan iaitu harus dalam Majmu' al-Fatawa. Berbeza dengan metodologi blog ini yang kelihatan berusaha menyembunyikan pendapat-pendapat ulama lain yang dilihat menyokong pandangan lawan mereka iaitu Salafiyyah, Kaum Muda, dan sebagainya.

Namun, sebagaimana penulis artikel bersungguh-sungguh membuktikan kebenaran pendapat yang ditaklidnya, saya sepatutnya lebih-lebih lagi bersungguh-sungguh membuktikan kebenaran pendapat yang saya pegang berdasarkan kajian dan pemerhatian; bukan taklid buta. 

Saya berpegang bahawa talkin adalah bid'ah. Jika bid'ah dibahagikan kepada dua: hasanah, sayyi'ah maka saya mengatakan: talkin adalah bid'ah sayyi'ah. Saya menyelisihi pendapat Imam Ibnu Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim yang memilih keharusan talkin. 

Untuk membuktikan kebenaran pegangan saya, saya harus menolak setiap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh penulis artikel. 

Pertama, hadis tersebut bukan dha'if tetapi dha'if jiddan. Hadis dha'if jiddan hukumnya hampir sama dengan hadis maudhu' kerana masing-masing tidak boleh digunakan sama sekali walaupun dalam fadha'il al-a'mal.

Penjelasannya seperti berikut:

Hadis talkin diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Anas bin Salm, daripada Muhammad bin Ibrahim bin al-'Ala', daripada Isma'il bin 'Ayyasy, daripada 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurasyi, daripada Yahya bin Abi Katsir, daripada Sa'id bin 'Abd Allah al-Audi, daripada Abu Umamah RA. 

Kecacatan sanad seperti berikut:

Satu, guru al-Thabarani, Anas bin Salm majhul al-hal.

Dua, Muhammad bin Ibrahim didha'ifkan oleh Ibnu 'Adi dan kata Muhammad bin 'Auf al-Himshi: mencuri hadis. Sekian. Tidak diketahui ada ulama yang menta'dilnya.

Tiga, Isma'il bin 'Ayyasy. Kata Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam al-Taqrib: shaduq dalam riwayatnya daripada ahli negerinya dan celaru dalam riwayatnya daripada selainnya. Sekian. Isma'il bin 'Ayyasy dalam riwayat ini tidak dipastikan sama ada beliau mengambilnya daripada ahli negerinya atau tidak kerana gurunya, 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurasyi majhul. Sekiranya beliau adalah seorang penduduk Hijaz berdasarkan dalalah nisbahnya kepada Quraisy, bererti beliau seorang yang dha'if dalam riwayat ini.

Empat, Yahya bin Abi Katsir mudallis dan beliau meriwayatkan hadis ini secara 'an'anah.

Lima, Sa'id bin 'Abd Allah al-Audi majhul al-hal.

Dengan terdapatnya lima 'illah ini, hadis ini dihukum sebagai dha'if jiddan terutamanya dengan kewujudkan Muhammad bin Ibrahim yang dituduh mencuri hadis.

Benar, hadis ini diriwayatakan dengan sanad lain oleh al-Khila'i iaitu daripada Isma'il bin Raja' bin Sa'id, daripada Muhamma bin Ahmad al-Junduri, daripada Muhammad bin Ibban bin Syaddad, daripada Hasyim bin Muhammad al-Anshari, daripada 'Utbah bin al-Sakan, daripada Yahya bin Ziyyad, daripada Jabir, daripada Sa'id al-Audi, daripada Abu Umamah RA. Tetapi, masalahnya, sanad ini lebih dha'if daripada sanad tadi kerana terdapat seorang rawi yang dihukum sebagai muttaham bi al-wadh'i, iaitu 'Utbah bin al-Sakan.

Kesimpulannya, hadis ini dha'if jiddan dan tidak dapat dikuatkan atau disokong dengan hadis lain kerana tidak ada hadis yang menyokong maudhi' al-syahid dalam masalah ini. Yang ada hanyalah berupa hadis anjuran mendoakan si mati dan sebagainya sementara talkin bukanlah satu doa tetapi ucapan yang  diajarkan supaya diajuk oleh pendengar. Itulah pengertian sebenar talqin.

Menurut ushul al-hadits yang diterima oleh jumhur ulama-ulama Syafi'iyyah, hadis dha'if boleh digunakan dalam fadha'il al-a'mal dengan syarat antaranya hadis tersebut tidak dha'if jiddan.

Dengan kaedah ini, ternyatalah bahawa pandangan ulama yang melarangnya adalah lebih rajih

Kedua, apa yang didakwa bahawa hadis ini diamalkan oleh umum umat Islam adalah tidak benar kerana amalan tersebut hanya diriwayatkan diamalkan di Syam, Madinah, Cordova. Ini belum menepati syarat yang ditetapkan oleh para ulama -sebagaimana yang dinukilkan oleh penulis artikel - bahawa hadis dha'if boleh diamalkan apabila diterima umum. Jika dikatakan umum yang dimaksudkan adalah perbuatan setempat, maka jawabnya, yang lebih umum adalah tidak mengamalkannya. 

Kata Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam dalam Fatawanya: tidak sahih sesuatupun dalam bab talkin dan ia adalah bid'ah. [Hal. 96]

Rabu, 5 Disember 2012

Mengapa Saya Mengkritik Mereka?


‎"Mengapa Ahli Sunnah dan Syi'ah asyik bergaduh je ni? Kenapa tak berbaik-baik je. Dua-dua kan Islam."

"Puak-puak sufi ni asyik serang Wahabi je. Wahabi pun sama, asyik serang pondok. Kenapa tak bersatu je. Sama-sama Ahli Sunnah."

"Asya'irah kata Salafi sesat. Salafi kata Asya'irah sesat. Padahal, kedua-duanya ikut al-Quran dan sunnah jugak. Kenapa tak bertasamuh je?"

Inilah persoalan yang menghantui pemikiran masyarakat awam. Mereka tidak dapat memahami faktor-faktor yang menyebabkan khilaf dan pertelingkahan antara aliran, mazhab, dan tokoh. Lantas, mereka cuba menyalahkan sesiapa sahaja yang terbabit. Mereka rasa, bersatu adalah jalan yang paling tepat.

Apabila para ustaz dan pendakwah saling mengecam, mengkritik, malah mungkin mengutuk antara satu sama lain, mereka tidak dapat menerimanya. Mereka anggap, semua perlu akur dan hormat dengan apa-apa pandangan yang dikeluarkan oleh mana-mana ustaz dan pendakwah sekalipun pandangan yang batil oleh ustaz yang sesat. Lantas, mereka pula yang tampil menyalahkan keadaan yang berlaku. 

Kalaulah mereka hidup dalam dunia ilmu yang tulen, mereka akan dapati hampir tidak ada seorang ulama pun yang tidak mengkritik dan dikritik. Puluhan kitab khusus untuk menyanggah seorang tokoh ditulis. Kitab-kitab rijal sarat dengan perkataan 'dia penipu', 'seorang dajjal', 'tidak berguna', 'ahli bid'ah', 'berakidah Qadariyyah', 'pengutip kayu api pada waktu malam', 'perosak agama', dan sebagainya. 

Saya rasa, tentu mereka akan pengsan setelah membaca dua puluh halaman sebuah kitab rijal!

Saya tidak mahu bercakap panjang kerana panjangnya percakapan meletihkan penutur dan pendengar. Cukuplah kiranya saya datangkan satu ucapan emas milik seorang ulama, Yahya bin Sa'id al-Qaththan, ulama besar hadis zaman salaf:

Aku bertanya kepada Sufyan al-Tsauri, Syu'bah, Malik bin Anas, dan Sufyan bin 'Uyainah tentang seseorang yang mempunyai celaan atau kelemahan, perlukah aku diam atau aku menerangkannya? 

Mereka menjawab: terangkan.

[Kitab al-'Ilal di akhir Sunan al-Tirmidzi; Maktabah al-Ma'arif, Saudi; cet. 2008 H; hal. 886]

Ahad, 2 Disember 2012

Catatan pada Masalah Pendakwah Wanita Mendedahkan Diri di Hadapan Umum


Dalam buku 600 Jawapan Kemusykilan Agama ada dikemukakan persoalan penceramah wanita mendedahkan dirinya di hadapan umum.

Soalannya berbunyi: 

Apakah hukumnya bila seorang penceramah wanita memberikan ceramahnya di kalangan orang lelaki atas pentas tanpa menggunakan hijab?

Jawapan yang diberikan oleh Ustaz Ismail Kamus, bunyinya: 

Seorang mubaligh atau penceramah wanita yang naik di atas podium lalu berpidato untuk didengari oleh umum (lelaki dan wanita) adalah HARAM. Apalagi kalau si penceramah itu mengenakan hiasan mukanya dengan lipstik, bedak, dan semua alat kecantikan yang boleh menggiurkan para hadirin yang menatap wajahnya.

Keharaman ini bukan khusus untuk mubaligh yang masih muda sahaja, tetapi juga yang sudah tua-tua. Keharaman ini dipersekutukan antara si penceramah itu dan si hadirin yang memandang dan mendengarnya.

[Soalan dan jawapan dipetik daripada akhbar Bacaria pada edisi 16-19 Julai 1985; diterbitkan semula dalam 600 Jawapan Kemusykilan Agama, Jilid 1, Karya Bistari, cet. 8, 2003; hal. 247]

Saya - Ibnu Anas Al-Kutawi - mengatakan: inilah pendapat yang saya pegang yang dijahili oleh sekalian ramai pendakwah wanita zaman penuh fitnah ini!

Namun sayangnya, zaman sudah berubah, hukum-hakam semakin dilonggarkan tanpa melihat kepada maslahat dan waqi' yang sedang berlangsung. 

Barangkali selepas ini, pendakwah wanita yang tidak bertudung pula akan naik pentas dan memberi tazkirah atau membacakan khutbah Jumaat!!