Ahad, 25 November 2012

Catatan pada Lafaz Salam

Assalamu'alaikum atau salamun'alaikum?

السلام عليكم أو سلام عليكم؟

Apabila anda ingin memberi salam, lafaz yang perlu digunakan adalah السلام عليكم, bukan سلام عليكم kerana lafaz pertama adalah lafaz salam yang sebenar.

Kami, Darul Hadis Mu'tah, Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu'tah (PERMATA) pernah mengadakan diskusi mengenai hukum memberi salam kepada bukan Islam. Sepanjang diskusi, timbul masalah: apakah lafaz salam?

Lafaz salam yang sebenar adalah: السلام عليكم; iaitu menggunakan perkataan السلام dengan ال ta'rif.

Hal ini demikian kerana: السلام yang digunakan dalam salam adalah nama Allah sementara سلام, tanpa ال ta'rif bukan nama Allah. 

Rasulullah SAW mengatakan: إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلاَمُ [Al-Bukhari (6230)] semasa menegur seorang sahabat RA membaca tahiyyat: السَّلاَمُ عَلَى اللهِ.

Imam al-Bukhari sendiri mengemukakan hadis di atas dalam bab: باب السَّلاَمُ اسْمٌ مِنْ أَسْمَاءِ اللهِ تَعَالَى.; Bab (Menjelaskan Bahawa) al-Salam adalah Nama daripada Nama-nama Allah ta'ala.

Selain سلام bukan nama Allah, maksud سلام عليكم sebenarnya bererti: salam sejahtera ke atas kamu. Ucapan ini mengikut perbincangan kami, sama kedudukannya dengan ucapakan selamat pagi, selamat malam, dan sebagainya. Sebab itulah, ucapan ini boleh diberikan kepada bukan Islam. Hanya السلام عليكم dengan ال ta'rif sahaja yang dikhususkan kepada sesama Islam. 

Barangkali sahabat yang menggunakan سلام عليكم keliru kerana lafaz tersebut biasa disebut dalam al-Quran. Benar, tetapi lafaz itu bukan salam, tetapi ucapan selamat yang biasa sebagaimana yang telah disebut.

Catatan pada Istilah Niqabi, Sohabiah


Akhir-akhir ini banyak istilah-istilah baharu yang muncul dalam kalangan agamawan dan agamawati.

Antaranya, niqabi, niqabis.

Juga, sohabiah.

Sebenarnya, istilah yang lebih tepat adalah, mutanaqqibah.

Untuk sohabiah (shahabiyyah: صحابية), sebenarnya perkataan ini tidak sesuai -pada pandangan peribadi- kerana merupakan ism mu'annats kepada perkataan صحابي. 

Hal ini kerana, صحابي adalah nama khas merujuk kepada sahabat Nabi SAW yang lelaki. Jadi, صحابية adalah nama khas merujuk sahabat Nabi SAW yang perempuan. Kedua-dua perkataan ini tidak digunakan untuk selain sahabat Nabi SAW.

Kesilapan ini berlaku kerana mereka menganggap صحابية adalah mu'annats kepada perkataan صحابة. Sedangkan, صحابية adalah mu'annats kepada صحابي sebagaimana yang dijelaskan. صحابة pula jamak kepada صحابي.

Jadi, apakah perkataan yang sesuai merujuk kepada sahabat perempuan?

صاحبة

Kerana, صاحبة adalah mu'anntas kepada perkataan صاحب.

Tapi, kenapa tidak salah pula menggunakan perkataan صحابة yang disebut 'sahabat' dalam bahasa Melayu?

Ada tiga sebab:

Pertama: kaedah mengatakan يغتفر في البقاء ما لا يغتفر في الابتداء; yang lebih kurang maksudnya: dimaafkan pada benda yang telah berlaku yang tidak dimaafkan pada benda yang belum berlaku. Perkataan tersebut sudah digunakan secara meluas.

Kedua: 'sahabat' mungkin dipakai dengan makna majazi. Rapatnya sahabat yang dimaksudkan sebagaimana rapatnya sahabat-sahabat Rasulullah SAW dengan baginda.

Ketiga: makna 'sahabat' sudah berubah sama sekali dan tidak lagi merujuk kepada sahabat Nabi SAW semata. 

Apa-apa pun, tidak salah sebenarnya dari segi hukum untuk menggunakan perkataan صحابية untuk merujuk kepada kawan perempuan. Cuma, perlu diketahui kedudukan perkataan tersebut dari bahasa Arab agar tidak keliru dan mengelirukan.

Catatan: bukan untuk menunjuk pandai, tetapi sebagai 'faedah' bagi pengejar ilmu. Supaya mereka tahu apa yang mereka sebut dan apa yang mereka tulis.

Sabtu, 17 November 2012

Imam al-Syafi'i Kedua?

Sejarah mencatatkan, pada kurun kedua Hijrah, berlaku pergeseran yang teruk antara aliran Ahl al-Hadits dan Ahl al-Ra'y sehingga membawa kepada pertelingkahan dan perbalahan. Kitab 'Abd Allah bin Ahmad bin Hanbal, al-Sunnah wa al-Radd 'ala al-Jahmiyyah, antaranya mencatatkan puluhan jarh ulama-ulama hadis kepada Imam Abu Hanifah khususnya dalam manhajnya berijtihad yang cenderung kepada penggunaan akal melebihi nas -mengikut kaca mata Ahl al-Hadits-.

Kemudian, muncul Imam al-Syafi'i (men. 204 H) yang dianggap sebagai ulama yang berjaya menguasai fiqh Ahl al-Hadits yang dipelopori oleh Imam Malik bin Anas di Hijaz dan fiqh Ahl al-Ra'y yang diketuai oleh Imam Abu Hanifah al-Nu'man bin Tsabit di Kufah. Dengan menggabungkan fiqh mazhab Maliki di Hijaz dengan fiqh mazhab Hanafi di Kufah, lahirlah mazhab Syafi'i sebelum munculnya mazhab Ahl al-Hadits seterusnya, mazhab Hanbali yang agak agresif berijtihad menggunakan hadis sehingga didakwa turut mengambil hadis dha'if dalam membina hukum-hakam.

***

Sejarah berulang lagi. Aliran Ahl al-Hadits dan Ahl al-Ra'y mula secara jelas dilihat dikembangkan dengan pesatnya oleh para ulama. Lihat aliran Syaikh al-Albani dengan misi mengembalikan fiqh kepada al-Quran dan hadis dengan aliran Syaikh al-Qaradhawi dengan pendekatan taisir dan tajdidnya. Tambahan pula muncul pengaruh besar dalam dunia ilmu, politik, dan sosial umat Islam masa kini iaitu: Ikhwan al-Muslimin dan Salafiyyah.

Saya kira, akan muncul Imam al-Syafi'i kedua yang menggabungkan antara kedua-dua aliran: Ahl al-Hadits dan Ahli al-Ra'y; Ikhwaniyyah dan Salafiyyah. Ikhwaniyyah yang berpusat di Mesir dan Salafiyyah yang bermarkaz di Saudi; walaupun semua tahu bahawa Ikhwaniyyah dan Salafiyyah masing-masing lahir dari perjuangan Syaikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.

Suka saya catatkan, Imam Syafi'i tetap dikira Ahl al-Hadits walaupun mengambil istifadah daripada aliran Ahl al-Ra'y. Jadi, tidak menjadi masalah bagi Ahl al-Hadits dan Salafi mengambil istifadah daripada aliran Ahl al-Ra'y moden dan Ikhwan al-Muslimin.

Bagi saya, itulah lebih baik.

Misi, mencari atau menjadi Imam al-Syafi'i II!

Bisikan

Di kamar nestapa ini
Aku rayu pada Ilahi
Kurniakan daku hati.

Aku tidak ingin hati yang halus
Halus ertinya mudah lulus dan tembus
Lekas jatuh pada tulus nan mulus.

Aku ingin hati yang keras
Tidak berkecai dipukul bisikan mengalir deras
Enak menepis bujukan; menampan dengan kemas
Kebal tak lut oleh manja suara; oleh ayu paras.

Keras sekeras besi
Jati sejati jati.

Jumaat, 16 November 2012

Tabah

Kepala mendongak ke langit hitam
Mata jasad menatap kelam malam
Lesu tanpa bintang dan rembulan
Tersorok di balik tebal awan;
Sedang aku berdiri di sini
Meratapi nasib sendiri
Sejenak air pun jatuh
Dari hati yang luluh
Dalam sunyi tiada bunyi
Tiada kicau tiada nyanyi
Hanya teriak bergema
Menggegar jiwa.

Dalam gugup
Dahi merunduk
Raga menggigih
Simpati ditagih
Dipohon ihsan
Belas kasihan
Pada Tuhan:
Agar setiap ujian
Dibekalkan iman
Tak goyah meski payah
Tak goncang meski panjang.

Ibnu Anas al-Kutawi,
Kg. Kota, 15/11/2012

Isnin, 12 November 2012

Pemikiran Kolot dalam Masyarakat Islam-Melayu Moden


Gambaran kehidupan manusia pada hari ini dalam fikiran bangsa Islam-Melayu moden: seorang bayi dilahirkan lalu apabila usianya mencecah tujuh tahun, dihantar ke sekolah rendah. Selepas tamat darjah enam, disekolahkan pula di sekolah menengah. Sekiranya mempunyai rekod pelajaran yang baik atau berkemampuan untuk menyambung pelajaran, kehidupannya diteruskan pula di Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT).  Jika sebaliknya, bermakna individu terbabit perlu segera bekerja untuk menyara diri dan keluarga. 

Umur perkahwinan bagi mereka mestilah sekitar 25, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat; sama ada masih belajar atau tidak. Bagi yang masih belajar, mereka dihalang oleh masa. Dalam pemikiran masyarakat, belajar dan perkahwinan mustahil untuk digandingkan bersama. Bagi yang tidak berjaya meneruskan pelajaran pula, hambatan utama  adalah wang. Meskipun begitu, dalam kedua-dua keadaan, wang masih menjadi faktor penting yang berfungsi melambatkan proses perkahwinan.

Setelah menjalani zaman peralihan remaja-dewasa itu, seseorang itu dianggap sudah berhak untuk membina dan menguruskan keluarga sendiri. Jika sebelumnya masih bertatih-tatih dengan bantuan keluarga, kali ini perlu berdikari. Dengan kerjaya dan pasangan, individu itu merangka dan melangkah melalui pengalaman membina rumah tangga yang lengkap dengan sebuah rumah dan kereta, anak-anak, dan sebagainya. Anak-anak dibesarkan sama seperti ia dibesarkan sehinggalah hari tua muncul, menanti ajal datang. Begitulah kehidupan dalam gambaran masyarakat Melayu-Islam.

Jelasnya, kehidupan sebegini begitu kolot walaupun nampak seolah-olah bersifat moden dan terkini. Manusia menjadi hamba kepada sistem. Bermula dengan sistem pendidikan yang mengambil masa sekurang-kurang 11 tahun yang tidak berjaya mencapai falsafah pendidikan yang dicanangkan, sehinggalah sistem perburuhan yang tidak berkesudahan sehingga hari pencen, manusia didera secara fizikal dan mental. Benar, mereka tersenyum apabila berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan berasa gah ketika menelusur jalan raya dengan kereta import yang mewah tetapi itu tidak kekal lama. Dalam banyak ketika lebih-lebih lagi ketika berseorangan, batinnya mengadu kesakitan. 

Kebanyakan mereka menjadikan hiburan sebagai ubat bagi merawati kesakitan yang dialami. Oleh sebab itulah, televisyen-televisyen dan radio dipenuhi dengan lagu-lagu yang kononnya menghiburkan jiwa. Program-program televisyen dan lagu-lagu dalam radio sengaja dicipta dan direka dengan begitu teliti dengan diselitkan berbagai-bagai ramuan seperti aksi, komedi, seram, dan cinta semata-mata untuk mengisi kekosongan yang dihadapi jiwa manusia. Dari situlah muncul Akademi Fantasia, Raja Lawak, Malaysian Idol, dan seumpamanya. Kewujudannya tidak lebih sebagai hiburan. Tapi, sebenarnya, adakah semua itu benar-benar hiburan yang mampu membuat manusia terhibur?

Jawapannya ya, tetapi tidak lama. Hiburan-hiburan seperti itu tidak lebih daripada ubat pelali atau penahan sakit. Penyakit masih ada dan tidak hilang. Ertinya, penderitaan batin masih sebati dalam diri dan tidak pernah keluar. Senyuman dan ketawa hanya sebagai tidak balas sementara. Apabila senyuman dan ketawa hilang, kemuraman dan tangisan akan menggantikan tempatnya. 

Hiburan seperti ini mengambil bahagian yang amat banyak daripada kehidupan manusia. Sebagai contoh, jika seseorang menonton televisyen selama dua jam sehari, ertinya satu perdua belas hayatnya dihabiskan dengan hiburan dalam bentuk menonton televisyen. Ini tidak ditambah dengan aktiviti mendengar radio, bermain permainan komputer, dan sebagainya. Pendek kata, sebahagian besar waktu dalam hidup manusia pada hari ini hanya dihabiskan dengan: rehat, kerja, dan hiburan. Hanya sedikit masa diperuntukkan untuk menguruskan diri dan keluarga.

Tidak hairanlah jika di sesetengah tempat di Malaysia, masa lebih banyak dihabiskan di luar rumah berbanding di rumah. Dari seawal enam setengah pagi sehinggalah mendekati maghrib atau melewatinya, masa dihabiskan di pejabat dan jalan raya. Berbaki lagi kurang daripada 12 jam untuk lebih enam jam untuk tidur, satu jam untuk makan, setengah jam untuk mandi, dan aktiviti-aktiviti lain termasuk menunaikan kewajipan agama bagi yang masih ‘beragama’.

Sudah menjadi mentaliti umum, kehidupan mesti begini. Sekolah berganti universiti, universiti berganti pejabat, pejabat berganti rumah, rumah berganti kubur. Sungguh, drama-drama yang senantiasa diulang tayang. Di mana-mana. Bila-bila masa.

Pada hemat saya, panorama ini perlu diubah dan digubah. Diubah menjadi lebih baik, digubah menjadi lebih cantik. Hidup ini satu pengabdian. Anak-anak tidak perlu dibesarkan semata-mata untuk menjadi ‘robot’ yang bekerja untuk dunia yang diisi dengan bateri hiburan. Anak-anak perlu dididik sebagai hamba. Bukan hamba dunia tetapi hamba kepada tuan. Tuannya adalah Tuhan. Diasuh dan dididik agar terasuh dan terdidik. Bukan disumbat dengan ilmu dan diajar dengan fakta sampai otak tersumbat dan perangai kurang ajar. 

Remaja perlu dibentuk agar bisa menjadi pendekar bukan sekadar pakar. Memang pakar boleh mencipta roket terbang ke bulan, tetapi pakar tidak mempunyai jiwa. Jiwa hanya dimiliki oleh pendekar. Meski kurang keilmuan dan kepakaran tetapi pendekar adalah manusia sejati sedang pakar boleh disogok dengan harta benda dunia. Pendekar sanggup bergadai nyawa demi agama, sedang pakar sanggup menggadaikan agama demi dunia.

Remaja perlu diberi bekal dan bekal mestilah tebal, harus kebal. Antaranya, isteri bagi lelaki dan suami bagi perempuan selepas jiwa diisi dengan al-Quran dan kitab-kitab agama. Itulah sekebal-kebal bekalan dalam ekspedisi merentasi dunia hari ini. Tanpanya, jiwa akan menjadi lesu. Tidak mampu mendepani cabaran zaman. Mudah tersembam apabila anak-anak ayam menonggek di depan mata. Ramai yang tidak menyedari hakikat ini. Sampai akhirnya, mereka terpaksa akur jua, anak-anak sudah pandai beranak sendiri. Ketika itu, sudah tidak ada nilai wang hantaran jutaan ringgit, pelamin di dalam Istana Negara, dan hadirin VIP sebesar Yang Di-Pertua Agong. Menyesal dengan air mata darah pun sudah tidak berguna. 

Antara kekolotan dalam pemikiran Islam-Melayu juga, lelaki dan perempuan diajar ‘bersekedudukan’. Mustahil untuk diasingkan antara jantina. Televisyen dan radio mengajar, hidup mesti berpasang-pasangan. Haram atau halal, itu bukan soalnya. Yang penting, hidup mesti berdua. Benar, Islam mengajar hidup berpasang-pasangan tetapi mestilah dengan pasangan sendiri. Bukan dengan pasangan pakai buang. Lalu, banyaklah bertebaran di sana sini, pelajar-pelajar ditangkap khalwat. Bagaimana tidaknya, kampus, kelas, dan kumpulan studi disekalikan. Malu diajar supaya diam. Akhirnya, bertepuk tampar lelaki perempuan menjadi satu kelaziman. 

Bukan itu sahaja, malu nyaris-nyaris maut dibelasah oleh pencinta-pencinta dunia. Perempuan seksi muncul begitu sahaja dalam televisyen, menyanyi dalam radio, menggoda dalam majalah, dan bergedik di tengah jalan. Manusia sudah lali dan benda sebegitu sudah dianggap mainan. Ops, makanan. Tidak ada siapa yang sanggup menghalang kedai-kedai makan daripada memasang layar besar paparan sinetron Indonesia, bahkan Melayu yang sudah kehabisan stok kain sehingga terpaksa berpakaian ala-ala Tarzan. Sungguh, tidak ada. Diajar ‘bersekedudukan’ patuh syarak tidak mahu, yang patuh syaitan juga dikejari.

Sungguh, Islam-Melayu masih kolot. Sekolot pemikiran British dahulu kala. 

Catatan: entah apa yang dibebelkan tetapi mesejnya jelas sekali: mengutuk sekeras-keraskan kekolotan-kekolotan dalam pemikiran dunia Melayu dari segi terikatnya dengan sistem dunia semasa dan kebebalan mereka dalam menghadapi cabaran naluri seks manusia.

Ahad, 4 November 2012

Nota Ringkas; Pengenalan Kitab-kitab Fikah Imam al-Ghazali


1. Imam al-Ghazali (men. 505 H) telah mengarang lima buah kitab yang lengkap khusus dalam furuk fikah  Syafi'i iaitu: al-Basith, al-Wasith, al-Wajiz, dan al-Khulashah. 

2. Al-Basith fi al-Madzhab adalah ringkasan kepada ensiklopedia fikah Syafi'i yang dikarang oleh gurunya, Imam Abu al-Ma'ali al-Juwaini (men. 478 H), Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Madzhab setebal 21 jilid. Nihayah al-Mathlab adalah syarah Mukhtashar al-Muzani yang merupakan kitab utama dalam mazhab Syafi'i selain al-Umm. Malah, Mukhtashar al-Muzani lebih diberi perhatian oleh ulama daripada al-Umm. Al-Umm sehingga hari ini tidak disyarah atau diberi catatan oleh ulama walaupun al-Umm dikarang oleh Imam al-Syafi'i sendiri.

3. Kitab al-Basith walaupun ringkasan kepada Nihayah al-Mathlab tidaklah bermakna semua kandungannya adalah daripada kitab tersebut malah Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (men. 676 H) yang meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan pembetulan. Kitab ini belum dicetak dan ada sumber mengatakan bahawa kitab dalam proses penerbitan oleh Dar al-Minhaj.

4. Al-Wasith ringkasan kepada al-Basith sementara al-Wajiz ringkasan kepada al-Wasith. Al-Wasith inilah yang diringkaskan oleh al-Rafi'i melalui al-Muharrar.

5. Al-Khulashah atau nama lengkapnya, Khulashah al-Mukhtashar wa Naqawah al-Mu'tashar adalah ringkasan kepada Mukhtashar al-Muzani bukan al-Wajiz sebagaimana yang dipercayai sesetengah kalangan.

6. Ihya' 'Ulum al-Din walaupun bukanlah kitab khas fikah tetapi ramai fukaha mazhab mengambil kira huraian fikah di dalamnya. Selain itu, Imam al-Ghazali juga mempunyai sebuah kitab fatwa yang menghimpukan fatwa-fatwa yang pelbagai selain kitab-kitab lain yang menjawab soalan-soalan secara khusus.

Khamis, 1 November 2012

Citra Cinta



Ustaz mengetuk pintu rumah. Berkali-kali. Sunyi tanpa jawab. Sekarang waktu zohor, agak-agaknya Aisyah sedang qailulah. Ustaz meraba-raba saku seluarnya menyampai telefon bimbitnya. Belum sempat butang-butangnya dipicit, pintu dikuak. Ustaz masuk dan disambut wajah ayu isterinya yang kelihatan agak cemas. 

"Maaf bang, Aisyah solat tadi," ucapnya dengan tangan dihulur menyalami suami.
"Oh, ya ke? Tak apa. Abang ingat Aisyah tidur tadi." Jawab ustaz.
"Abang dah solat?" Aisyah bertanya.
"Dah, di masjid kampus tadi."

Mereka berdua pun duduk di atas sofa yang mendiami ruang tamu. Alunan ayat-ayat al-Quran dari pembesar suara komputer riba yang terletak di atas meja kecil dihentikan. Bacaan Syaikh Masyari al-'Affasi yang menyerikan suasana rumah seketika. Didengari oleh Aisyah untuk memantapkan hafalannya. Selang sehari ia akan memperdengarkan hafazannya kepada ustaz.

Aisyah ke dapur dan kembali ke ruang tamu sambil menatang secawan teh dan sepinggan cengkodok untuk dijamu ustaz. Dengan nama Allah, ustaz menghirup teh yang sedia panas seteguk dua.

"Kak Imah mengajar hari ni?" 
"Tak, hari ni Imah terpaksa siapkan kertas kerja untuk seminar Ahad depan."
"Oh ya, lupa. Kak Imah ada bagi tahu."
"Bang, tadi adik telefon. Aisyah ada cakap pasal seminar tu. Dia berminat nak ikut. Boleh tak?"
"Adik?"
"Iman la."
"Oh, kalau Iman tak boleh la. Kalau Izzah tak apa. Kan pembentang semuanya perempuan. Mana boleh lelaki masuk."

Aisyah menunduk sambil merenung sesuatu pada jari-jemarinya. Ia cuti hari ini. Study week. Kemudian, ia bersuara."Abang, kenapa abang tak buat bahagian khusus untuk lelaki."

"Ya tak ya juga. Tapi rasanya dah tak sempat. Untuk masa-masa akan datang, insya-Allahlah, abang usulkan dalam mesyuarat nanti."

Aisyah yang masih muda, usianya dalam lingkungan 20-an itu menghidupkan kembali komputernya yang mula padam seminit yang lalu. Ia mencari-cari maklumat berkenaan al-Mukhtashar karya al-Buwaithi, murid Imam al-Syafi'i sedang ustaz berehat meletakkan kepalanya di atas bahu sofa. Kopiahnya ditanggalkan dan dibiarkan di atas meja. 

"Aisyah, malam ni boleh tolong abang tak?" Tanyanya serius.
"Boleh je bang kalau Aisyah mampu." Wajahnya berubah sedikit. Runsing juga kalau-kalau pinta suaminya itu tidak disanggupinya.

"Tolong semak artikel abang pasal perbandingan antara Islam dan Hindu."
"Tu je?"
"Ya, ingatkan apa la tadi. Nak semak tesis ke, nak teman pergi KL ke. Huhu" Comel ia ketawa. Nakal menghiburkan ustaz yang kepenatan. Seharian ia melayani kunjungan Felo Kanan UIAM yang berbicara tentang beberapa isu berkaitan penularan Syiah di sana.

"Satu lagi, lepas tu, ayang tolong upload ke dalam website abang." Walaupun peluh masih tidak hilang daripada bajunya, sang raja cuba bermanja dengan permaisurinya. Ia mencuri-curi pandang wajahnya yang tidak pernah diperlihatkan kepada sesiapa melainkan kepada mahramnya sehinggalah ia dipetik beberapa bulan yang lalu.

"Boleh sangatlah. Lagipun, Aisyah baru khatamkan madah Ekonomi Islam untuk exam Isnin depan. Buku yang sayang minta Aisyah baca tu pun dah habis baca. Best juga. Banyak fawa'id tentang Imam al-Ghazali Aisyah dapat."
"Oh, ya ke? Lupa pula abang. Aisyah ada imtihan rupanya. Pergi tak Seminar Psikologi Praremaja Perempuan tu?"
"Ya, insya-Allah." Jawabnya dengan pasti.
"Letih Imah buat kajian tu. Rugi la kalau Aisyah tak pergi."
"Betul tu, Aisyah pun suka gaya akak cakap dalam program-program besar gitu. Tak mengantuk. Tapi, Aisyah tak boleh janji, sebab takut kalau-kalau kawan-kawan Aisyah minta ajarkan madah Ekonomi Islam tu."
"Tak apa, kalau macam tu, biar abang rakamkan," tuturnya sambil tangan menyela-nyela janggutnya.

Ustaz Adha memang mengagumi hasil kerja yang dilakukan Syahimah, isterinya yang dinikahi ketika berumur 21 tahun dahulu; setelah lebih sepuluh kali percubaan mendapatkan jodoh pertamanya. Rapi dan teliti. Syahimah yang lebih tua dua tahun daripadanya itu ditemuinya di Maahad al-Firdaus dengan perantaraan mudirnya, Ustaz Amin. Tidak terkata Ustaz Adha tatkala melafazkan ijab kabul enam tahun yang lepas itu. Ia bagaikan tidak percaya bahawa ia berjaya mengahwini seorang gadis yang akhirnya membantunya mengharungi suka duka sepanjang perjalanannya mendapatkan dua master dan satu Phd itu dengan master kedua di bumi Yaman itu. Ia sujud syukur dengan linangan air mata disaksikan semua yang hadir pada majlis akad nikah itu. Haru dan sayu sekali.

Tidak sia-sia pencarian Dr. Adha bin Fitri itu. Meskipun hampir sahaja ia berputus asa kerana gagal setelah gigih mencuba, menemukan bidadari seperti Syahimah sudah lebih daripada cukup buatnya. Ia berazam untuk tidak menikah lagi. Ia benar-benar terhutang budi kerana kesanggupan Syahimah menerima sementara orang memulau hasrat hatinya.

Hanya sahaja Dr. Syahimah binti Mustafa itu begitu faham akan psikologi suaminya yang masih muda dan mendapati dirinya sudah mula sibuk dengan tugasan di Kolej al-Nur li al-Banat, ia mengambil langkah memadukan dirinya dengan murid kesayangannya, Aisyah. Sungguh baik hati. Jauh daripada fahaman yang dibawa oleh feminisme dan golongan yang menghalang pelaksanaan poligami dengan pelbagai alasan. Aisyah pun tidak bermasalah menerima pelawaan Ustazah Syahimah kerana sejak mula perkenalan mereka berdua, ustazah sudah mula bercakap tentang ta'addud zaujat. Agak-agaknya ustazah awal-awal lagi berkenan dengan Aisyah untuk dijadikan sebahagian daripada keluarganya. Lagipun, ustazah mula mengesyaki bahawa ia tidak mampu melahirkan cahaya mata buat ustaz.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah kalau-kalau cinta ustaz ditolak juga oleh Ustazah Syahimah itu. Barangkali ustaz tidak mampu berdiri lagi di atas jalan perjuangannya. Mungkin ia rebah dan tersungkur. Siapa yang dapat menggantikan tempat ustaz sebagai ulama yang lincah dalam memangkas serangan-serangan Syiah dan antihadis dengan tinta dan kata. Karya agungnya, Ahkam al-Masajid dalam bahasa Arab dan Melayu yang menjadi bacaan wajib bagi bakal-bakal imam dan bilal di seluruh negara mungkin tidak akan wujud buat selama-lamanya.

Episod-episod bahagia itu dinikmatinya seketika sebelum matanya tertutup keletihan. Aisyah beralih tempat untuk memberi ruang kepada imam hidupnya itu berehat dengan tenang. Ia tahu amat kesibukan ustaz berkhidmat untuk Islam. Dengan penuh rasa cinta dan sayu, ia menatap wajah suaminya seraya mendoakan agar anak pertama ustaz yang dikandungnya itu bakal menjadi seperti ayahnya. Amin.

Catatan: demikian citra cinta yang dicita-citakan. Sekadar menggambarkan impian yang dinanti-nanti selama ini. Bukankah indah begitu?

Sayang seribu kali sayang, ramai yang tidak menyedari, masih memilih untuk menyendiri.  

Status Semasa

Agak benci dan geram melihat gadis-gadis yang kononnya malu menyapa jejaka untuk dijadikan imam dan hanya menanti sahaja lelaki-lelaki yang menegur mereka seolah-olah mahu melambatkan proses mematangkan diri yang sememangnya menjadi satu kefarduan pada zaman fitnah ini. Adakah mereka ingat mereka adalah puteri dalam cerita-cerita rakyat dahulu kala yang menunggu diselamatkan oleh putera-putera yang gagah perkasa? Tidak ada usaha langsung membantu kami kaum Muslimin memecahkan tanah meletakkan batu asas bagi pembinaan masjid.

Mereka fikir mereka terlalu mahal dan kami terlalu murah sehingga terpaksa menyorong-nyorong muka menagih simpati mereka supaya diterima? Adakah mereka sahaja yang gusar kalau-kalau lamaran mereka ditolak atau dijadikan buah mulut sesama rakan? Kalian memang pentingkan diri. Tidak pernahkan kalian dengar hikayat-hikayat ustazah-ustazah yang hidup membujang sampai ke tua? Lantas, mengapa masih tercegat di situ menanti bulan jatuh ke riba? Cepat! 

Status: geram dan benci.