Isnin, 8 Oktober 2012

Tarikh Israk Mikraj; Satu Persoalan

Islam agama yang benar. Jadi, setiap fakta dalam Islam mestilah benar; dan tepat. Islam tidak sama seperti agama-agama lain yang tidak menitikberatkan aspek-aspek ketepatan dalam periwayatan sejarah. Dengan itulah, agama mereka mudah dilanda perubahan dan penyelewengan sehingga pada hari ini, umat manusia sudah tidak mampu mengenal pasti mana yang asli mana yang tidak. 

Mengambil iktibar daripada kaum-kaum terdahulu, ulama-ulama Muslimin tidak dapat berehat daripada menjalankan tugas-tugas menyelidik setiap fakta dalam agama. Tidak terhenti pada akidah dan hukum-hukum fikah sahaja, fakta-fakta sejarah turut dikaji. Apa, siapa, mengapa, bila, di mana, dan persoalan-persoalan berkaitan setiap peristiwa diteliti satu persatu. Mereka tidak senang membiarkan anai-anai zaman memamah prinsip asas Islam: kebenaran dan ketepatan. 

Di atas prinsip itulah, ulama memenatkan diri mereka dengan mengkaji tarikh berlakunya Israk Mikraj. Sama seperti kebanyakan peristiwa lain, tarikh berlakunya Israk Mikraj diperselisihkan. Dalam al-Rahiq al-Makhtum karya tersohor Syaikh al-Mubarakfuri ada disenaraikan pendapat-pendapat ulama berkenaan tarikh kejadian Israk Mikraj; iaitu: 

Pertama: tahun pertama kenabian. Ini pendapat Imam al-Thabari. 

Kedua: tahun kelima pengutusan. Ini pendapat Imam al-Qurthubi dan al-Nawawi. 

Ketiga: malam ke-27 bulan Rejab tahun ke-10 selepas kenabian. 

Keempat: bulan Ramadan tahun ke-12 selepas kenabian. 

Kelima: bulan Muharam tahun ke-13 selepas kenabian. 

Keenam: bulan Rabiulawal tahun-13 selepas kenabian. [Lihat: al-Rahiq al-Makhtum oleh Shafiyy al-Din al-Mubarakfuri; al-Maktabah al-Syamilah 3.41; hal. 108; dan nota kaki al-Qaul al-Mubin fi Sirah Sayyid al-Mursalin oleh Syaikh Muhammad al-Thayyib al-Najjar; Dar al-Nadwah al-Jadidah; hal. 153. Nota kaki oleh Syaikh ‘Abd al-Salam ‘Alusy] 

Selepas mengemukakan tarikh-tarikh di atas, al-Mubarakfuri menolak tiga pendapat pertama kerana bertentangan dengan fakta bahawa isteri kesayangan Rasulullah, Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu’anha meninggal sebelum Israk Mikraj sedangkan beliau meninggal pada bulan Ramadan tahun ke-10 kerasulan. Jadi, tinggal tiga pendapat berbaki. Tetapi, menurutnya, ia tidak menemui ada ulama yang merajihkan salah satu daripadanya. Cuma, menurutnya, konteks surah al-Isra’ menunjukkan peristiwa tersebut benar-benar lewat. 

Namun begitu, umat Islam rata-ratanya meyakini bahawa Israk Mikraj benar-benar berlaku pada 27 Rejab tahun ke-10 kerasulan. Saya tidak tahu mengapa tarikh tersebut menjadi pegangan dan begitu masyhur dalam kalangan mereka walhal banyak lagi pendapat lain. Mustahil merajihkan sesuatu tanpa sebarang alasan munasabah. Apatah lagi apabila Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, pengarang Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam sendiri mengatakan:

 وروى بإسناد لا يصح عن القاسم بن محمد أن الإسراء بالنبي صلى الله عليه وسلم كان في سابع وعشرين من رجب؛ وأنكر ذلك إبراهيم الحربي وغيره. 

Dan diriwayatkan dengan sanad yang tidak sahih daripada al-Qasim bin Muhammad bahawa perjalanan malam bersama Nabi shallallahu’alaihiwasallam berlaku pada 27 Rejab. Ibrahim al-Harbi dan lain-lain mengingkarinya; [Latha’if al-Ma’arif fi Ma Mawasim al-‘Am min al-Wadzha’if oleh Ibnu Rajab al-Hanbali; al-Maktabah al-Syamilah 3.41; hal. 130] 

Yang menunjukkan kelemahan pendapat itu dari sudut dirayah dan riwayat. Bahkan, Imam Ibnu Dihyah pergi lebih jauh dengan mendustakan dakwaan Israk Mikraj pada 27 Rejab dengan katanya:

 وذكر بعض القصاص أن الإسراء كان في رجب‌؛ وذلك عند أهل التعديل والتجريح عين الكذب.

Dan sebahagian penglipur lara menyebutkan bahawa Israk berlaku pada bulan Rejab. Demikian itu di sisi ulama-ulama al-jarh wa al-ta’dil zat kedustaan. [Ada’ Ma Wajaba min Bayan Wadh’ al-Wadhdha’in fi Rajab oleh Ibnu Dihyah al-Kalbi; al-Maktab al-Islami; cet. pertama 1419 H; hal. 54]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan