Isnin, 29 Oktober 2012

Takrif Taharah di Sisi Syafi'iyyah

Sesuatu tajuk yang dibincangkan agak mustahil difahami tanpa memahami istilah-istilah berkaitan. Orang lain sudah sampai ke bulan, kita masih tercari-cari apakah yang dimaksudkan dengan perkataan itu dan perkataan ini. Selain itu, tanpa memahami satu-satu istilah, dua pihak yang bertelagah berkemungkinan sebenarnya bersepakat; hanya berselisih pada penggunaan istilah bukan pada jauharnya. 

Para ulama kita telah menyusun ilmu-ilmu agama dengan tersusun sekali. Istilah-istilah yang penting habis diberikan takrifan yang sesuai. Jika ada takrifan yang agak canggung, pasti akan diperbahaskan. Banyak juga istilah yang diberikan takrifan yang berbeza-beza berdasarkan aliran dan mazhab. Contohnya, istilah ‘wajib’. Di sisi jumhur, wajib sama maknanya dengan fardu. Bagi ulama mazhab Hanafi pula, ada sedikit perbezaan antara wajib dengan fardu; wajib sabit dengan dalil yang bersifat dzhanni dan tidak dihukumkan kufur sesiapa yang mengingkarinya berbeza dengan fardu, bersifat qath’i dan dihukumkan kufur sesiapa yang membantahinya. 

Taharah (طهارة) atau suci - disebut juga ‘bersuci’ dari segi bahasanya bermaksud bersih (نظافة). Adapun dari segi istilah fikahnya, taharah mempunyai takrifan yang pelbagai. Antaranya yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi (men. 676 H) dalam karangan teragungnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab:

 إزالة حدث أو نجس أو ما في معناهما وعلى صورتهما
 Menghilangkan hadas atau najis; atau apa-apa yang semakna dengannya atau menyerupai bentuknya. 

Yang dimaksudkan dengan perbuatan yang semakna dengan menghilangkan hadas atau najis adalah perbuatan yang mempunyai tujuan yang sama dari segi mengharuskan solat atau menyucikan sesuatu, misalnya. Contoh bagi perbuatan semakna, tayamum dan mandi wajib bagi wanita mustahadhah

Maksud perbuatan yang menyerupai bentuk perbuatan mengangkat hadas atau menghilangkan najasah pula perbuatan tambahan bagi perbuatan tersebut yang bersifat sunat semata-mata dan tidak bertujuan membolehkan solat dan sebagainya. Contoh bagi perbuatan sebentuk ini ialah basuhan wuduk yang disunatkan dan basuhan tambahan sesudah najis dibersihkan. 

Dengan menambah ‘apa-apa yang semakna dengannya...’, takrif tersebut dianggap paling sempurna berbanding takrif-takrif mazhab lain selain dipilih oleh sebahagian ulama sebagai takrif pilihan dalam mazhab. Antaranya, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah mengemukakan takrif tersebut mewakili mazhab Syafi’i dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh dan menunggalkannya dalam al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar. Demikian juga adik beliau, Dr. Muhammad al-Zuhaili yang telah menunggalkan takrif tersebut dalam kitabnya, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. 

Sebahagian ulama termasuklah al-Khathib al-Syirbini (977 H) pula memilih takrif berikut sebagai takrif terbaik: 
ارتفاع المنع المترتب على الحدث والنجس 
Perihal terangkatnya halangan yang terbina pada hadas dan najis; 

Takrif ini sebenarnya mirip takrif mazhab lain yang menyempitkan pengertian taharah kepada perbuatan mengangkat hadas dan menghilangkan najis sahaja justeru menafikan perbuatan yang tidak dilakukan dengan tujuan tersebut sebagai sebahagian daripada pengertiannya. 

Syihab al-Din al-Ramli (957 H) mengutarakan takrif yang disadur daripada takrif tadi; bunyinya: 
زوال المنع المترتب على الحدث والخبث أو الفعل الموضوع لإفادة ذلك أو لإفادة بعض آثاره 
Keterangkatan halangan yang terbina di atas hadas dan najis; atau perbuatan yang dilakukan dengan tujuan tersebut; atau dengan tujuan mendapatkan sebahagian kesan-kesannya. 

Contoh perbuatan yang dilakukan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis atau mendapatkan kesan-kesannya adalah tayamum kerana tayamum membolehkan seseorang itu solat yang merupakan antara kesan mandi dan wuduk. 

Dalam takrif tersebut juga, digabungkan antara dua pengertian taharah; hakiki dan majazi; dengan ibarat ‘keterangkatan’ dan ‘perbuatan yang dilakukan’. Hampir sama dengan takrif di atas apa yang disebut oleh Ibnu Qasim al-Ghazzi (men. 918) di dalam syarahnya ke atas matan al-Ghayah wa al-Taqrib; yang berbunyi: 
فعل ما تستباح به الصلاة 
Perbuatan yang mengharuskan solat. 

Beliau sesudahnya mentafsilkan takrif tersebut dengan katanya: iaitu berupa wuduk, mandi, tayamum, dan menghilangkan najis. Walaupun tafsilan ini baik untuk mengelakkan semua yang menjadi syarat harus solat dianggap sebagai taharah, takrif ini masih kurang tepat kerana bukan semua perbuatan yang disebutkannya berperanan mengharuskan solat. Umpamanya, mandi wanita ahli kitab daripada haid untuk disetubuhi suaminya yang Muslim. Boleh jadi takrif tersebut tidak mensyaratkan demikian tetapi sekadar menyifatkan taharah sebagai perbuatan yang asalnya dilakukan untuk membolehkan solat berupa wuduk, mandi, tayamum, dan menghilangkan najis walaupun tidak semestinya semua itu dilakukan dengan tujuan terbabit.

Barangkali Imam Ibnu Hajar al-Haitami menghidu perkara ini sehingga memaksa takrif di atas diubahsuai menjadi:
 فعل ما يترتب عليه إباحة الصلاة ولو من بعض الوجوه أو ما فيه ثواب مجرد 
Perbuatan yang mengharuskan solat walaupun dari sebahagian bentuknya ataupun perbuatan yang berpahala semata-mata. 

‘Walaupun dari sebahagian bentuknya’ seperti tayamum dan ‘perbuatan yang berpahala semata-mata’ seperti basuhan yang disunatkan. Walaupun al-Bujairami menobatkan takrif ini sebagai teringkas dan paling menyeluruhi, takrif ini masih mempunyai kecacatan. Selain tidak menjawab persoalan mandi wanita ahli kitab tadi, takrif ini masih mengaitkan taharah dengan syarat harus solat bahkan jika disalahtafsirkan, semua syarat harus solat boleh dianggap sebagai bersuci. 

Pada masa yang sama, usaha beliau untuk mencakupkan perbuatan-perbuatan yang tidak berkaitan dengan solat dan bersifat sunat ke dalam pengertian bersuci dengan tambahan ‘ataupun perbuatan yang berpahala semata-mata’ tidak berjaya kerana bukan semua perbuatan yang disunatkan adalah taharah. Setelah diperhatikan, sebenarnya terdapat masalah yang besar dalam takrif-takrif yang menganggap taharah sebagai syarat mengharuskan solat lebih-lebih lagi jika difahami dengan mutlak kerana dalam sesetengah keadaan, solat tetap harus - malah wajib - walaupun tanpa taharah seperti orang yang tidak mendapati air dan alat bertayamum atau dikenali sebagai faqid al-thahurain (فَاقِد الطَهُورَين). Maka, di manakah ketepatan ibarat ‘perbuatan yang mengharuskan solat’? Adalah lebih sesuai sekiranya ‘mengharuskan’ digantikan dengan ‘mengesahkan’ kerana solat tidak sah melainkan dengan taharah. Oleh sebab itu, solat faqid al-thahurain tidak sah dan perlu diganti semula walaupun memadai sementara darurat dan hajat. 

Walhasil, takrif-takrif yang dikemukakan sebelumnya memang membantu untuk memahami makna taharah hanya sahaja tidak tepat. Tanpa mengabaikan takrifan tersebut, taharah memerlukan takrif baharu yang mengambil kira letak asalnya dari sudut bahasa dan istilah fikah. Contohnya, bersih amaliah jasmaniah yang disyariatkan. Takrif ini meliputi semua perkara yang dinamakan taharah termasuklah bersugi, merapikan misai, berkhatan, dan sebagainya yang tidak ada kena mengena dengan hadas atau najis; dan tidak ada kaitan dengan syarat harus atau sah solat mahupun mempunyai persamaan bentuk dengan wuduk, mandi, tayamum, dan menghilangkan najis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan