Jumaat, 26 Oktober 2012

Penghinaan Terhadap Islam dalam Dunia Hiburan Tempatan

Dalam kegawatan menguruskan rumah tangga setelah terpaksa mengizinkan ayah dan bonda berangkat ke tanah suci ditambah dengan wacana-wacana ilmiah yang terpaksa diteruskan dan dimulakan untuk membolehkan diri mencapai tahap keilmuan di samping perasaan hiba dan pilu yang menyelubungi diri akibat kegagalan menemui teman hidup, saya diganggu dengan hingar-bingar sebuah filem atau drama TV yang bertemakan agama. Tayangan khas sempena Aidiladha. 

Saya tidak tahu apa yang ada dalam cerita itu. Tetapi, saya dapat tangkap ada sesuatu yang tidak kena yang mendesak saya bersuara. 

Pertama, perlian sinis terhadap agamawan-agamawan yang tegas dalam menghukumkan haram ke atas sesuatu perkara yang sememangnya haram. ‘Haram, haram, haram. Semua haram. Apa yang tak haram?’ Inilah lebih kurang bunyi skrip yang dilakonkan. Saya tidak tahu sejauh mana benarnya sindiran yang dilancarkan itu. Tetapi, saya sudah dapat meneka bahawa semua ini adalah satu percubaan untuk menyerang ulama-ulama yang tegas dengan prinsip Islam yang benar sekali gus menolak anasir-anasir pembaratan sebagaimana yang dibawa oleh sesetengah ulama modenis seperti Yusuf al-Qaradhawi dan ‘Ali Jum’ah.

Kedua, saya ternampak satu adegan yang dilakonkan di sekitar Masjid Nabawi, Madinah. Lakonan yang dilakukan oleh pelakon-pelakon lelaki dan wanita. Suasana yang agak lucu; bagi penonton yang dihanyutkan dengan konspirasi pembuat. Seorang pelakon wanita bertanyakan pelakon lelaki yang melakonkan watak ustaz perihal solat sunat tahiyat masjid dengan suara yang kemanjaan lalu ditegur oleh pelakon lain. Jelas sudah bagi orang yang dikurniakan akal, ini antara idea untuk meruntuhkan sensitiviti umat Islam terhadap kesucian masjid agung, Masjid Nabi SAW yang dicemari dengan maksiat atas nama menghiburkan umat Islam. 

Sungguh, para mufti khususnya dan para ulama umumnya perlu tampil membuka mulut membidas pencabulan seumpama ini. Saya yakin, ini bukanlah kali pertama Islam diinjak oleh umat sendiri malah sebelum ini, malah sekarang dan karya-karya hiburan yang dirangka akan memuatkan seribu jenis penodaan terhadap Islam. Penonton yang mabuk tidak dapat merasakannya. Apabila mereka sudah ketawa, hati mereka kebas. Tidak terasa agama ditelanjangkan. 

Sekali lagi saya ingin tegaskan, segala bentuk filem yang dilakonkan oleh pelakon wanita adalah haram meskipun semua pelakonnya menutup aurat bahkan kalau berpurdah litup sekalipun. Apatah lagi jika disertai bersama wanita-wanita tidak menutup aurat? Ayat-ayat Cinta umpamanya. Tetapi, kata mereka, Habibur Rahman, penulis karya asalnya pun tidak menyetujuinya. Nah, Ketika Cinta Bertasbih, bukankah dia pengarahnya?

Adakah dengan memutlakkan kata haram ke atas perkara yang sebegini haram patut dituduh sebagai keterlaluan? Cukuplah dikatakan, inilah mazhab seluruh ulama Islam hakikatnya sebelum kedatangan dajal-dajal modenis yang cuba menundukkan agama di bawah pengaruh modenisasi. 

Wanita Islam ada kehormatan tidak boleh dijadikan alat hiburan. Wajah mereka memang cantik memukau tetapi bukan untuk ditatap jutaan penonton yang antaranya mata keranjang. Kejelitaan mereka adalah untuk suami-suami mereka. Tetapi, mereka-mereka yang bodoh selalu tidak dapat mengecap nikmat ghairah terhadap agama dan isteri-isteri mereka. Mereka tidak peduli kalau-kalau isteri mereka diperlakukan seperti pelacur yang dinikmati kawanan yang ramai. Mereka tidak cemburu atau iri hati mendengar lelaki-lelaki lain memerihalkan keayuan wajah dan kelembutan suara isteri-isteri mereka. 

Catatan: cukup benci diri ini tatkala melihat manusia menyia-nyiakan wanita semata-mata untuk dijadikan alat meraih harta benda dunia. Wanita Muslimah sepatutnya dididik dan dibelai; dijadikan isteri bukan untuk dijadikan artis tempat syaitan berkerumun. Kita bukan main payah mencari untuk tujuan suci, mereka jadikan mereka sebagai permainan sahaja. Ya Allah, permudahkan jalan ini. Jalan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan