Ahad, 21 Oktober 2012

Khilaf dalam Masalah Hukum Menggunakan Biji Tasbih

Antara perkara yang menjadi khilaf yang memeningkan kepala orang-orang kampung adalah hukum menggunakan biji tasbih; 'subhah' atau ‘misbahah’ dalam bahasa Arab. Biji tasbih ini digunakan untuk mengira bilangan zikir yang telah disebut. Apakah hukumnya? 

Ada ulama yang mengharuskan penggunaannya. Ada juga ulama yang memandangnya makruh dan ada yang menganggapnya sebagai bid’ah. Masalah hukum misbahah ini bukan sekadar khilaf biasa malah menjadi perkara khilafiyyah yang mencetuskan polemik dan kontroversi antara Kaum Tua dengan Kaum Muda; atau Salafi dengan Sufi. Pendapat yang masyhur dalam kalangan Kaum Tua atau Sufi adalah mengharuskan misbahah. Bagi mereka, misbahah sama seperti alat-alat lain yang digunakan untuk memudahkan urusan ibadah. Selain itu, mereka menyamakan (qiyas) misbahah dengan alat-alat yang digunakan oleh sesetengah sahabat Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam pada zaman baginda untuk mengira bilangan zikir seperti anak batu dan biji tamar. 

Syaikh Sa’id Ramadhan al-Buthi, seorang ulama besar Syria yang mengarang Fiqh al-Sirah pernah ditanya tentang misbahah. Jawab beliau: soalanmu sama seperti soalan ‘apakah hukum menggunakan penggera untuk bangun solat malam atau subuh?’ Jawapan untuk kedua-dua soalan ini adalah satu. Apabila Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim “adakah ada dalam kalangan kalian yang tidak mampu mengerjakan seribu kebajikan dalam sehari?” Para sahabat menjawab: bagaimanakah ia boleh melakukannya? Sabda baginda “ia bertasbih kepada Allah dalam masa sehari sebanyak seratus kali.” Bagaimanakah caranya untuk mengira bilangan tasbih sebanyak seratus kali sebagaimana yang diminta oleh Rasulullah? Sudah sedia maklum bahawa perantaraan kepada sesuatu hukumnya diambil daripada hukum sesuatu itu sendiri mengikut persepakatan ulama. Sekian kata al-Buthi. 

Ulama-ulama Kaum Muda atau Salafiyyah pula mempunyai dua pandangan. Sesetengah daripada mereka mengganggap misbahah makruh atau haram. Mereka berpendapat bahawa penggunaan misbahah adalah bid’ah. Selain itu, bagi mereka, misbahah juga mempunyai unsur-unsur penyerupaan dengan amalan agama lain yang turut menggunaan alat berbentuk seperti misbahah yang menjatuhkan hukum makruh atau haram. Pada masa yang sama, menggunakan misbahah bererti meninggalkan kaedah mengira zikir dengan semata-mata menggunakan jari yang merupakan perkara yang diamalkan oleh Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam sendiri. 

Sebahagian ulama Salafiyyah pula berpendapat seperti pendapat Kaum Tua atau Sufi. Mereka mengharuskan misbahah dengan syarat tidak menjadikan penggunaannya sebagai ibadat atau perkara agama. Mereka juga menganggap meninggalkan misbahah dengan menggunakan jari untuk berzikir adalah lebih afdhal. Syaikh Shalih Fauzan, ulama besar Saudi berkata: sekiranya seseorang itu menjadikan misbahah itu sebagai satu perkara agama, mempercayai terdapat keberkatan padanya, dan bahawa misbahah adalah perkara yang disyariatkan, maka maka ini adalah bid’ah. Adapun jika ia menggunakannya untuk mengira tasbih supaya tidak tersalah sebagaimana ia mengira dengan menggunakan jari atau dengan anak batu maka tidak mengapa. Sekian kata Shalih Fauzan. Setiap pendapat yang telah disebutkan adalah pendapat ulama dan setiap pendapat ulama tentulah mempunyai dalil dan hujah masing-masing. Namun, kebenaran itu satu begitu juga dengan pendapat-pendapat tentang hukum misbahah. Wallahua’lam

Rujukan: http://www.fikr.com/bouti/fatawa.php?PHPSESSID=71f&id=13#top. 
http: //www.alalbany.net/misc002.php. 
http://www.sahab.net/forums/showthread.php?t=378203.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan