Rabu, 17 Oktober 2012

Hukum Wanita Haid Berada di Pekarangan Masjid di Sisi Mazhab Syafi'i

Rasa-rasanya tidak ada yang tidak tahu bahawa antara perkara yang diharamkan ke atas perempuan haid adalah masuk dan berdiam di dalam masjid kecuali sekadar lalu sahaja. Ulama-ulama menyimpulkan hukum ini berasaskan kepada firman Allah subhanahuwata'ala yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا... 
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk hinggalah kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) kecuali kami hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci... [Surah al-Nisa'; ayat ke-43]

Juga berdasarkan hadis yang dilemahkan oleh kebanyakan ulama hadis iaitu:

وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنِ الْمَسْجِدِ فَإِنِّى لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ 
Palingkan (pintu) rumah-rumah ini daripada masjid kerana aku tidak menghalalkan masjid bagi orang yang berhaid atau berjunub. [Abu Dawud (232)]

Namun begitu, ramai yang tidak tahu apakah had masjid yang diharamkan daripada dimasuki wanita haid itu. Menurut nas Imam Ibnu Hajar al-Haitami, pengarang Tuhfah al-Muhtaj, syarahan ke atas Minhaj al-Thalibin Imam Nawawi yang dikira kitab yang paling muktamad di sisi muta'akhkhirin selain kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Syams al-Din al-Ramli; masjid meliputi semua yang berada dalam sempadan masjid atau dengan kata lain, semua yang berada dalam kawasan yang diwakafkan untuk masjid tidak boleh dimasuki wanita haid.

Dalam al-Manhaj al-Qawim, syarahan beliau ke atas Masa'il al-Ta'lim, beliau mengemukakan keadaan seseorang yang berjunub setelah masuk ke dalam masjid tetapi tidak dapat keluar kerana terperangkap atau dikhuatiri mengancam nyawa dan sebagainya. Beliau menyatakan keadaan ini dikira terkecuali daripada pengharaman tetapi, orang yang berjunub itu mestilah bertayamum. Walau bagaimanapun, menurutnya, ia tetap haram menggunakan tanah masjid kerana dikira termasuk dalam wakaf masjid. [Lihat: al-Manhaj al-Qawim, Dar al-Minhaj, hal. 115]

ومكث] المسلم [في المسجد] ورحبته وهوائه وجناح بجداره وإن كان كله في هواء الشارع وبقعة وقف بعضها مسجدًا شائعًا]
Dan (diharamkan juga disebabkan junub,) berdiamnya orang Islam di dalam masjid dan pekarangan,  ruang (udara), dan berandanya (boleh diterjemahkan juga sebagai: bahagian) yang bersambung dengan dindingnya walaupun semuanya berada dalam ruang (udara) jalan, dan kawasan yang diketahui diwakafkan sebahagiannya sebagai masjid. [Al-Manhaj al-Qawim; buku elektronik al-Maktabah al-Syamilah v3.48; hal. 49]

Perbuatan sesetengah wanita haid yang masuk ke dalam kawasan pagar masjid atau sekadar duduk di beranda masjid jika menurutkan keterangan Ibnu Hajar tadi dikira sudah melanggar larangan syarak. Namun begitu, pada hemat saya, tidak ada dalil yang kuat untuk melarang sesiapapun yang berhadas tidak kira kecil, pertengahan, atau besar untuk masuk ke dalam masjid walaupun untuk sesuatu tempoh yang agak lama. Apa yang dinyatakan tadi hanyalah hukum dalam mazhab yang tidak perlu diikuti sekiranya dilihat tidak menepati dalil. Inilah jalan kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan