Rabu, 5 September 2012

Islam Bukan Agama Demokrasi


Prinsip, itulah yang perlu dipertahankan apabila apa yang kita pegang dan yakini cuba digoyahkan. Biar apa pun yang terjadi, prinsip tetap prinsip. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah prinsip yang telah digenggam erat dalam dada.

Ya, selagi prinsip itu prinsip yang benar.

Sudah tentu, prinsip yang benar itu mestilah prinsip berdasarkan al-Quran dan sunnah!

Baru-baru ini ada seorang kawan saya 'mengumpat' sepupunya merangkap sahabat saya yang baru balik Malaysia, lebih dua tiga bulan sebelum saya. Maklumlah, sahabat saya Salafi. Menurutnya, berlaku kekecohan dalam keluarga bapa saudaranya itu apabila seppupunya itu mendakwa ziarah kubur itu tidak digalakkan. Saya kebingungan seketika. Tidak ada pula saya dengar mana-mana ulama Salafiyyah yang mengeluarkan pendapat sebegitu. Lalu, saya mengandaikan, kalau-kalau ziarah yang dimaksudkan itu, ziarah pada hari raya. Bukankah ziarah kubur yang dikhususkan pada hari raya adalah bid'ah? Kawan saya seakan-akan cuba menafikan.

Bukan itu yang saya mahu ceritakan. Apa yang saya ingin kongsikan, kata-katanya yang keluar ketika itu "kita kena ikut majoriti."

Berdesing telinga saya mendengarnya. Tanpa perlu dicatat, kata-kata itu terus terakam dalam ingatan. Bagaimana saya boleh bertenang, apakah Islam agama demokrasi?!

Kita tengok, akidah siapa yang paling ramai penganut, Ahli Sunnah atau Syi'ah; mazhab mana paling ramai pengikut, Hanafi atau Syafi'i? Yang mana lebih ramai, itu yang kita ikut!

Tidak, Islam bukan agama demokrasi. Kebenaran tidak boleh diukur dengan sedikit ramainya orang-orang yang menegakkannya. Sebab itu, ramainya ulama yang bersepakat di atas satu-satu pendapat tidaklah membuktikan kebenaran pendapat tersebut. Hanya ijmak, kesepakatan semua ulama yang menjadi hujah di sisi Islam kerana di situlah letaknya kebenaran. Selagi belum mencapai ijmak, selagi itulah wujud kemungkinan kebenaran berada di belah lawan. Tidak dinafikan, kebiasaannya kebenaran berada bersama yang ramai di atas asas keputusan ramai lebih tepat daripada keputusan seorang. Tetapi, ini hanya andaian berdasarkan kebiasaan. Tidakkah dalam 'kebiasaan' itu sendiri ada makna 'keluarbiasaan'?

Adakah halal menjadi haram, haram menjadi halal hanya kerana mengikut pandangan orang ramai?

Adakah sunnah menjadi bid'ah, bid'ah menjadi sunnah semata-mata menurut suara majoriti?

Kalau ya, siapakah yang dapat menentukan siapa yang majoriti dan siapa yang minoriti? SPR?!

Siapa pula yang layak mengundi? Pak-pak lebai yang bermazhab Syafi'i, warga marhaen yang tidak kenal hukum-hakam, dan artis-artis penggemar maksiat?!

Tidak, sesekali tidak. Islam bukan agama demokrasi.

Benar, sesekali kita perlu mengubah corak dakwah mengikut situasi. Fatwa perlu mengikut keadaan setempat. Tetapi, corak dakwah dan fatwa tidak sesekali menjejaskan keutuhan prinsip yang dipegang.

Kita - para du'at di Malaysia - mengatakan kaki wanita aurat berdasarkan mazhab Syafi'i dan mewajibkan diri dan mereka di bawah tanggungan untuk mengimplementasikannya. Tetapi, apabila berdepan dengan perempuan jahil atau fasiq yang tidak bertudung, adakah kita akan terus mengatakan kepadanya: pakai stokin, kaki aurat!

Tidak, bukan?

Tetapi, kaki tetap aurat di sisi kita. Semua ini dilakukan atas dasar dakwah. Beransur-ansur.

Beransur-ansur ada dua, beransur-ansur dalam hukum dan beransur-ansur dalam dakwah (dan pelaksanaan). Beransur-ansur dalam hukum sudah tidak ada pada zaman kita. Berbeza dengan zaman Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Dahulu, arak halal. Kemudian, haram dan terus-menerus sehingga hari ini, hukum arak haram. Tidak mungkin menjadi halal semula.

Mungkinkah ada orang datang mengatakan; arak halal untuk orang yang baru masuk Islam. Sebab, arak tidak diharamkan sehingga masuk zaman Madinah, berbelas tahun selepas para sahabat RA yang sudah beragama Islam sempat minum arak dalam keadaan halal!

Tidak.

Kalau ada orang kata macam itu, alamatnya, dia bodoh.

Tetapi, kalau ada seorang hamba Allah hendak masuk Islam tetapi dengan syarat, dia mahu minum arak, apa kata anda?

Kalau saya, saya akan jawab: masuklah Islam.

"Arak?"

Kalau masuk Islam, confirm akan masuk syurga kalau minum arak sekalipun. Kufur hukumnya kekal di neraka. Minum arak hukumnya azab seketika di sana.

"Jadi, bolehkah saya minum arak selepas masuk Islam?"

Kalau tidak tahan, hendak buat macam mana. Tetapi, haram tetap haram.

Itu jawapan saya. Inilah yang dinamakan beransur-ansur dalam dakwah dan pelaksanaan.

Hukum tetap hukum. Dakwah dan pelaksanaan suku.

Selain itu, kita perlu faham satu titik perbezaan antara memperakui hukum dan mengamalkan hukum.

Memperakui hukum lebih besar daripada mengamalkan hukum. Ini kaedahnya. Atau: menolak kewajipan atau keharaman lebih dahsyat daripada meninggalkan kewajipan dan mengerjakan keharaman tersebut.

Mengakui dan mengamalkan kefarduan puasa itu sama-sama wajib. Tetapi, mengingkari kefarduan puasa hukumnya kufur sedangkan meninggalkan puasa walaupun tetap haram tetapi tidaklah sampai mengkufurkan.

Mengakui kewajipan melaksanakan hukum hudud adalah wajib. Begitu juga dengan melaksanakannya. Tetapi, menolak untuk beriktikad tentang fardunya hudud hukumnya kufur. Menolak untuk melaksanakan hudud hukumnya haram (sahaja).

Haram pun besar dosanya itu.

Sebab itu, silaplah orang yang mengatakan: dalam perkara-perkara khilaf, lebih baik kita i'tiqadkan yang lebih ringan supaya kita tidak berdosa apabila melakukannya.

Silap besar!

Sebab, i'tiqad tidak boleh main pilih ikut suka.

Kalau jelas kepada kita benda itu harus, ertinya benda itu harus pada i'tiqad kita. Kalau buat, tidak berdosa.

Kalau jelas kepada kita benda itu haram, ertinya benda itu haram pada i'tiqad kita. Kalau buat juga, berdosa.

Orang tanya pula, itu kalau jelas harus dan jelas haram. Kalau tak jelas?

Jadi, syubhah. Makruh. Tinggal dapat pahala, buat tak dapat apa-apa.

Tidak ada ruang untuk buat pilihan. Islam bukan agama pilihan raya!

Namun begitu, kita mampu berusaha untuk membuatkan diri kita meyakini sesuatu antaranya dengan ilmu. Haram bagi seseorang untuk sengaja menutup telinga enggan mendengar dalil dan hujah supaya ia tidak tahu tentang keharaman sesuatu, supaya ia tetap bisa melakukannya dengan alasan: saya tidak tahu.

Sebab, orang itu mampu mengetahuinya. Bahkan, ia telah pun mengetahuinya sebelum itu lagi. Masakan ia takut untuk mendengarnya kalau ia tidak tahu apa-apa, bukan?!

Kalau sudah jelas kepadanya kebenaran, lantas ia menolaknya, itu perangai oranag kafir. Sudah tahu Islam benar tetapi tetap menolaknya. Percaya dalam hati, tapi tolak dengan lidah dan anggota badan.

Buat penutup, saya tegaskan: Islam bukan agama demokrasi. Islam bukan agama pilihan raya.

Cukuplah demokrasi dan pilihan raya dalam politik sahaja. Cukup, cukup, sudah!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan