Sabtu, 15 September 2012

Hakikat Ateisme


Sebelum menggempur musuh dalam sesuatu pertempuran, tidak mesti tidak kita mesti mengenali sifat-sifat musuh. Kali ini musuh yang disasarkan adalah golongan ateisme. Golongan ini tidak beriman dengan kewujudan Tuhan. Ertinya, segala yang berkait dengan Tuhan atau apa-apa yang bersifat ketuhanan tidak diimani oleh mereka.

Daripada asas fahaman ateisme tersebut lagi, kita sudah dapat menemui sifat asas mereka iaitu mereka tidak mempunyai sifat takut yang didapati daripada akidah bertuhan atau lebih mudahnya disebut god-fearing. Dengan ketiadaan Tuhan di sisi mereka, mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja. Segala macam perkara yang ditegah dalam seluruh agama di atas muka bumi bebas untuk dilakukan. Demikian anggapan mereka.

Hanya sahaja mereka manusia. Jadi, mereka mempunyai perasaan malu. Cuma, malu yang ada diri mereka bukan malu yang tabii dan fitrah kerana malu yang sebenar didorong oleh agama. Dari situlah, golongan-golongan yang membebaskan diri mereka dari agama tidak malu untuk bertelanjang atau sekurang-kurangnya untuk mendedahkan tubuh mereka.

Selain itu, mereka juga dikawal oleh undang-undang. Tetapi, sejauh mana undang-undang mampu mengawal mereka hanyalah bergantung kepada sejauh mana keyakinan mereka kepada kemampuan pihak-pihak berkuasa untuk bertindak ke atas mereka. Oleh itu, apabila kawalan lemah atau kuasa pihak berkuasa berkurang, mereka boleh sahaja melakukan perkara yang dilarang itu.

Akan tetapi, selain malu dan undang-undang, perbuatan golongan mulhid ini dikawal juga oleh pandangan akal yang dipengaruhi dengan adat, budaya, pengetahuan, dan sebagainya yang bersifat relatif. Contohnya, sekiranya ada dalam kalangan mereka mematuhi lampu isyarat ketika tidak ada satu pun kenderaan lain di atas jalan raya selain kenderaan yang dipandunya, perbuatan ini datang daripada pandangan akal mereka bahawa manusia perlu mematuhi sesuatu undang-undang apa jua keadaan sekalipun. Pandangan ini berubah-ubah mengikut masa, tempat, budaya, dan sebagainya.

Menerusi penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa golongan berfahaman ateisme ini dikawal oleh tiga perkara:
1. Perasaan malu yang sudah tidak tabii dan fitri
2. Undang-undang
3. Pandangan akal.

Golongan mulhid ini cuba lari daripada kongkongan agama tetapi sebenarnya mereka terpaksa hidup di dalam kongkongan juga. Hidup mereka masih tidak bebas. Mereka tidak juga dapat melakukan apa yang ia mahukan selagi sifat malu yang fitrah wujud dalam diri mereka. Jika mereka sudah tidak malu, mereka tetap tidak dapat melakukannya kerana mereka dikawal oleh undang-undang. Ertinya, mereka tetap terkongkong. Bezanya, kongkongan undang-undang adalah kongkongan yang direka oleh manusia hasil pandangan mereka berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka sedangkan kongkongan agama kongkongan yang diyakini datang daripada Tuhan. Jelaslah di sini, bagaimana rupa ateisme yang memperhambakan diri mereka kepada sesama manusia. Mereka sebenarnya mempunyai tuhan tetapi tuhan mereka tidak menciptakan dan tidak memusnahkan. Tuhan mereka adalah manusia. Alangkah bodohnya orang yang menolak Tuhan sebagai tuhan lalu mempertuhankan makhluk seumpamanya. Seperti lembu menyembah lembu. Itulah ateisme.

Agama ateisme ini selain menjadikan manusia sebagai Tuhan, mereka juga mempertuhankan nafsu. Manusia bernafsu. Agama mengawal nafsu. Itu bagi orang-orang yang beragama. Bagi seorang mulhid, agama tidak wujud. Jadi, tidak ada yang dapat mengawal nafsunya melainkan fitrah dan undang-undang. Seperti yang telah disebutkan, fitrah manusia beragama. Tanpa agama, fitrah cacat dan tempang. Inilah keburukan ketara agama ateisme ini. Pegang titik ini.

Tuhan ketiga ateisme adalah akal. Mereka mengira bahawa akal maha mengetahui. Di sini, nampak kebodohan yang teramat dalam agama mereka. Apa yang tidak dapat dicapai oleh mereka, mereka anggap tidak wujud. Apa yang tidak mampu difikirkan oleh akal mereka, mereka anggap salah. Di atas kaedah inilah mereka menafikan Tuhan. Sebabnya, mereka tidak mampu memikirkan kewujudan Tuhan. Seperti orang buta, ia tidak nampak matahari. Lalu ia katakan matahari tidak ada. Padahal orang-orang yang celik semuanya mengatakan matahari wujud. Nampaklah di sini ateisme buta dan agama celik.

Hakikatnya, penggunaan akal yang betul dan fitrah walaupun rosak tetap dapat membawa manusia kepada keimanan dengan kewujudan Tuhan. Tetapi, kedua-dua perkara tadi tidak dapat digunakan untuk beriman dengan pelbagai perkara lain dan tidak juga dapat menunjukkan kepada syariat. Akal dan fitrah hanya dapat menunjukkan kepada kewujudan Tuhan, tidak lebih dari itu. Nabi dan rasul sahajalah sumber pengetahuan kita tentang sifat Tuhan, kitab, akhir akhirat, solat, puasa, haji, dan sebagainya.

Tetapi, aneh sekali apabila golongan ateisme ini tidak mampu menemui Tuhan dengan menggunakan akal dan fitrah mereka. Hal ini tidak lain tidak bukan disebabkan penggunaan akal yang salah dan hawa nafsu. Kedua-dua perkara ini faktor menyumbang kepada kesesatan mereka dalam mencari Tuhan.

Mereka tidak dapat mengambil faedah daripada faktor pertama iaitu akal kerana akal hanya dapat berfikir dan mengeluarkan kesimpulan selepas mengkaji bahan-bahan yang didapati menerusi pancaindera. Bahan yang paling berpengaruh ke atas kajian akal adalah fakta. Sekiranya fakta benar, kemungkinan besar benarlah kesimpulan kajian. Sekiranya fakta silap, kemungkinan besar silaplah kesimpulannya. Lantaran itu, dapatlah disimpulkan, ateisme menyimpulkan kesimpulan yang silap akibat daripada fakta yang silap. Mereka menolak agama disebabkan kepercayaan tahayul mereka bahawa manusia berasal daripada beruk. Teori evolusi, itulah nama pendeknya. Padahal fakta tersebut tidak layak dipanggil sebagai fakta kecuali sebagai majaz kerana teori tersebut palsu. Tetapi, golongan mulhid ini mendapat fakta yang silap itu lalu menggunakannya semasa berfikir tentang kewujudan Tuhan. Mereka dapati kewujudan Tuhan bercanggah dengan fakta yang telah mereka wartakan sebagai fakta yang benar lalu mereka simpulkan bahawa Tuhan tidak wujud. Seperti orang yang diberi fakta bahawa dua tambah dua sama dengan lima. Apabila ditanya, berapakah jumlah dua campur dua, kemudian ditolak dengan satu. Pasti jawabnya empat kerana fakta yang diterima untuk menyelesaikan bahagian pertama adalah silap.

Itulah hakikat ateisme. Agama yang tidak mahu digelar agama. Triniti gabungan antara manusia, akal, dan hawa nafsu. Insya-Allah, andai ada masa dan kuasa, kami akan melanjutkan perbincangan kita tentang agama keparat ini. Semoga orang-orang yang sihat akalnya dan sejahtera fitrahnya dapat menerima kebenaran.

Mereka tidak percayakan neraka, lalu mereka masuk neraka.
Kami percayakan syurga, insya-Allah kami masuk syurga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan