Ahad, 30 September 2012

Musim Cinta II


Musim cinta itu kembali bertamu
Kali ini di Kota Bharu kota baharu
Lebat menempias pekan ilmu KIAS
Melemaskan bumi emas Pasir Mas.

Kugarap harap agar waktu itu dekat
Turunkanlah hujan cinta mustajabkan munajat
Wahai Tuhan pemilik segala; diriku dan si dia
Izinkan daku menyentuhnya; di sini dan di sana.

Sabtu, 29 September 2012

The Innocence of Muslims; Antara Cinta dan Amarah

Beberapa ketika tidak lama sebelum ini, bumi gempar dengan penerbitan video anti-Islam bertajuk Innocence of Muslims contengan pengarah keparat, Nakoula Basseley. Saya tidak pernah menontonnya dan tidak pernah tergerak hati untuk berbuat demikian. Saya juga tidak menyertai mana-mana program bantahan terhadap filem tersebut kendatipun khalayak saudara-saudara saya ramai yang bergegas menzahirkan kemarahan mereka terhadap penghinaan kepada junjungan terbesar kita, Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Meskipun begitu, terima kasih saya ucapkan di atas usaha kalian membela rasul utusan terakhir yang kita cintai itu.

Dalam masa yang sama ingin saya sampaikan kekesalan saya terhadap umat Islam yang pernah menonton atau berniat menontonnya. Kehairanan saya dibuatnya, mengapa mereka mencintai Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam sedangkan mereka sengaja menempah maut dengan menonton penghinaan tersebut? Adakah tidak cukup kemutawatiran khabar yang sampai kepada kita tentang kezaliman Nakoula terhadap keperibadian baginda itu sehingga kita perlu kepada bukti sokongan untuk meyakininya?

Barang kali mereka akan menjawab, kami ingin melihat bagaimana dan sejauh mana penghinaan tersebut.

Wahai umat Rasulullah, bukankah menonton filem itu haram sebagaimana terdapatnya di dalamnya jutaan fitnah wanita dan dunia?!

Kemudian, mengapa kalian sanggup menjadi boneka dajjal Nakoula dengan menyediakan diri untuk diprogramkan: dipertontonkan, kemudian marah, dan mengamuk. Dajjal itu pun sudah arif benar, umat Islam pasti akan marah dengan karya tahinya itu. Tapi, dia masih ingin meneruskannya. Mengapa? Inilah yang dinamakan provokasi. Kalau umat Islam buat tidak tahu sahaja dengan semua tindak tanduk si malaun tersebut, sudah tentu dia akan bersedih kekecewaan. Tetapi kita umat yang mudah termakan dengan provokasi.

Selain itu, kita umat Islam yang hipokrit. Cintai Nabi shallallahu'alaihiwasallam apabila baginda dihina sahaja, tanpa berusaha membela dengan lisan dan tulisan. Dalam masa yang sama mereka menghina baginda dengan menerima riwayat-riwayat sirah yang terang-terangan memburukkan sahsiah baginda. Juga para isteri, mentua, ipar-duai, dan sahabat-sahabat baginda.

Ketahuilah, dengan menjadi umat bodoh, kita telah menghina Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam!

Catatan: tahniah kepada Ustaz Mohd Dzulkhairi Mohd Nor di atas kejayaan menyusun buku Khadijah Bukan 40 Tahun Ketika Berkahwin dengan Rasulullah SAW yang sedikit sebanyak telah berjaya membersihkan sejarah berkaitan baginda Rasul shallallahu'alaihiwasallam, kaum kerabat, dan sahabat-sahabat baginda; walaupun dibenci oleh orang-orang yang dengki dan iri hati.

Khamis, 20 September 2012

Di Sebalik Fenomena Dokumentari The Arrival

The Arrival bukan sebuah dokumentari yang baru. Sejak 2008 lagi The Arrival muncul dalam dunia internet yang membincangkan konspirasi dunia yang didalangi oleh penyembah-penyembah syaitan terlaknat untuk mewujudkan sebuah gagasan bernama The New World Order sebagai Dajjal sebagai pemimpinnya. 

The Arrival walaupun kurang mantap dari banyak segi kerana dihasilkan oleh dua individu yang sahaja berjaya mencetuskan satu kejutan kepada umat Islam. Mungkin The Arrival sengaja dihasilkan dalam bentuk siri dokumentari yang disiarkan melalui YouTube melihatkan umat Islam kurang suka membaca artikel atau buku yang berbentuk tulisan. Mereka lebih suka disuap terus daripada mesin-mesin canggih seperti TV dan komputer. 

Di sebalik konspirasi Freemasonry dan Illuminati yang didedahkan secara serius oleh The Arrival mungkin ramai yang tidak perasan bahawa siri dokumentari itu sendiri telah terpengaruhi konspirasi jahat itu. Dokumentari tersebut memaparkan gambar-gambar seksi wanita yang diharamkan oleh syariat. Tidak ada sebab yang dapat diterima kerana tidak wujud kemaslahatan untuk melakukannya. Barangkali pembuat The Arrival tidak tahu akan keharamannya dan ini merupakan sangkaan yang lebih kuat. 

Malahan, mereka hidup dalam kelompok manusia yang terbiasa dengan perkara-perkara itu yang menyebabkan mereka menganggapnya biasa. Dalam video-video klip nasyid yang bertujuan dakwah seperti video-video klip Zain Bhikha dan Native Deen pun ada mempamerkan aurat. Nampaknya orang-orang Islam di Barat menerima kesan kawalan minda oleh musuh sehingga tidak mampu membezakan antara yang halal dan haram meskipun jelas. 

Dalam sebuah video klip Native Deen contohnya telah menunjukkan seorang wanita yang baru memeluk Islam sedang menguruskan anaknya di rumah dalam keadaan tidak bertudung. Apabila wanita tersebut ingin keluar rumah barulah wanita tersebut mengenakan tudung. Adakah masih ada kesangsian bahawa rambut perempuan adalah aurat yang wajib ditutup daripada pandangan umum? Lantas, mengapa sengaja mempamerkan aurat tersebut kepada para penonton? Tidak ada keuzuran untuk mereka melainkan kerana mereka tidak tahu dan kerana pengaruh kehidupan Barat di sekeliling mereka. 

Pengaruh Yahudi juga masuk menyelinap ke dalam dokumentari The Arrival apabila pembuatnya melontarkan fikrah Syiah dengan menganggap 12 imam Syiah Rafidhah sebagai imam-imam yang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Nampaknya pembuat The Arrival termakan dakyah Syiah yang masyhurnya diasaskan oleh ‘Abd Allah bin Saba’ seorang Yahudi. Imam-imam 12 yang dipaparkan oleh The Arrival benar-benar menepati 12 orang imam Syiah Ja’fariyyah atau Itsna ‘Asyara Imamiyyah. Ini sesuatu yang sangat aneh sehinggakan Muhammad al-Mahdi, imam ke-12 Syiah pun dianggap sebagai Imam al-Mahdi yang ditunggu-tunggu selaras dengan agama Syiah yang batil itu. Sebenarnya, Muhammad al-Mahdi itu tidak pernah wujud dan merupakan dogengan Syiah semata-mata mengikut pakar-pakar sejarah Islam. 

Pembuat dokumentari tersebut membuat kenyataan apabila dituduh menyebarkan fahaman Syiah berbunyi ‘saya bukan seorang Syiah dan bukan juga Ahli Sunnah’. Jadi, tidak peliklah mereka menjulang empat orang khalifah yang diiktiraf Ahli Sunnah dan mengangkat juga 12 imam yang diiktiraf Syiah seolah-olah ingin menyatukan antara Ahli Sunnah dan Syiah. Cuma yang pastinya idea tersebut salah. Tidak ada plurisme mazhab dalam Islam. Hanya satu mazhab yang benar. Ahli Sunnah atau Syiah. 

Kesimpulannya, The Arrival sebuah dokumentari yang sangat baik dan mampu membasuh minda umat Islam. Beberapa perhatian perlu diambil apabila menontonnya kerana pembuatnya bukan pakar akidah dan syariat Islam. Umat Islam digesa untuk bangun semula sebagaimana gesaan The Arrival dan pengkaji-pengkaji konspirasi yang lain. Tinggalkan lagu, filem, dan hiburan-hiburan yang merupakan senjata ampuh Iblis.

Kuala Lumpur


Aku sekarang di Kuala Lumpur
Tanya hatiku mengapa namanya Kuala Lumpur
Padahal jalan-jalan rayanya bersih tidak ada lumpur
Aku hairan
Bingung.

Aku pun naik kereta api canggih di Ampang Jaya
Berhenti di Masjid Jamek untuk sembahyang seketika
Kemudian masuk pula ke Pasar Seni lihat apa yang ada
Berjalan pula ke Sogo dan Pertama Park di Bandaraya
Cukup, aku dapat jawapannya!

Tidak akan dipanggil Kuala Lumpur melainkan kerana lumpurnya
Bukan lumpur yang berwarna coklat tetapi lumpur yang hitam warnanya
Lumpur noda yang melekat pada hati-hati manusia
Lumpur yang terlumur pada aurat yang terbuka
Lumpur yang bertempek pada mata
Yang membuatnya buta
Buta dosa buta pahala.

Mu'tah, Karak,
19 Oktober 2011.

Selasa, 18 September 2012

Musim Cinta

Luruh dedaun menjamah tanah
Kejam mantari melontar panah
Segan awanan bersembunyi
Membiarkan bayu panas menyanyi.

Tibalah sudah musim luruh
Hilanglah sudah musim gemuruh
Datang bersama membawa cinta
Buat sekian kalinya tanpa dipinta.

Sekali lagi hati menggetar
Di balik dada yang menggeletar
Tidak tahu apa yang akan berlaku
Tidak tahu apakah diri ini akan laku
Buat kali sekian ini
Buat diri sekerdil ini.

Mu'tah, Karak,
28 Mei 2012

Ahad, 16 September 2012

Jalan Ulama: Insaf

"Seseorang menyalahkan orang lain (untuk memperbetulkan kenyataannya), ini adalah perkara yang wajib dalam Islam. Menyalahkan seseorang tidak bermakna mengkritik atau mencelanya jauh sekali untuk dianggap sebagai mengutuk atau menghinanya. Menyalahkan itu bermakna menerangkan kebenaran."

[Diriwayatkan oleh Syaikh Hasan 'Ali al-Halabi dalam kitab Manhaj al-Salaf al-Shalih fi Tarjih al-Mashalih wa Tathwih al-Mafasid wa al-Qaba'ih fi Ushul al-Naqd wa al-Nasha'ih, cet. kedua 1431 H, al-Dar al-Atsariyyah, hal. 44]

Bidadari Tiada di Dunia II

Kukatakan berkali-kali
Bidadari tiada di sini
Usah degil mencari
Puteri berwajah bahari
Disorok di balik selendang
Tanpa sanggul nan terjulang
Srikandi bermata permata
Merunduk tika putera tiba
Tiada potret di kitab wajah
Di sesawang atau majalah
Sungguh ia benar menduga
Bahawa dirinya barang berharga
Tidak sesekali akan menyerah
Harga diri dan maruah
Meski dihamun dan dimaki
Atau dibunuh lalu mati!

Mu'tah, Karak,
1 Jun 2012.

Sabtu, 15 September 2012

Mencari Pipi untuk Dikucup

Aku tidak tahan
Melihat pipi-pipi yang menyerlah
Melihat bibir-bibir yang memerah
Aku ingin mengucupnya;
Dan aku ingin menutupnya
Dengan tirai purdah
Yang semakin memupus
Yang semakin terlupus
Kerana fatwa-fatwa baharu
Fatwa moden dan kontemporari
Pembebasan wanita!

Tetapi aku tidak ada kuasa
Untuk menyuruh atau memaksa
Seorang puteri menutup pipi
Kecuali ia sendiri yang sudi
Menjadi permaisuri hidup ini.

Hakikat Ateisme


Sebelum menggempur musuh dalam sesuatu pertempuran, tidak mesti tidak kita mesti mengenali sifat-sifat musuh. Kali ini musuh yang disasarkan adalah golongan ateisme. Golongan ini tidak beriman dengan kewujudan Tuhan. Ertinya, segala yang berkait dengan Tuhan atau apa-apa yang bersifat ketuhanan tidak diimani oleh mereka.

Daripada asas fahaman ateisme tersebut lagi, kita sudah dapat menemui sifat asas mereka iaitu mereka tidak mempunyai sifat takut yang didapati daripada akidah bertuhan atau lebih mudahnya disebut god-fearing. Dengan ketiadaan Tuhan di sisi mereka, mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja. Segala macam perkara yang ditegah dalam seluruh agama di atas muka bumi bebas untuk dilakukan. Demikian anggapan mereka.

Hanya sahaja mereka manusia. Jadi, mereka mempunyai perasaan malu. Cuma, malu yang ada diri mereka bukan malu yang tabii dan fitrah kerana malu yang sebenar didorong oleh agama. Dari situlah, golongan-golongan yang membebaskan diri mereka dari agama tidak malu untuk bertelanjang atau sekurang-kurangnya untuk mendedahkan tubuh mereka.

Selain itu, mereka juga dikawal oleh undang-undang. Tetapi, sejauh mana undang-undang mampu mengawal mereka hanyalah bergantung kepada sejauh mana keyakinan mereka kepada kemampuan pihak-pihak berkuasa untuk bertindak ke atas mereka. Oleh itu, apabila kawalan lemah atau kuasa pihak berkuasa berkurang, mereka boleh sahaja melakukan perkara yang dilarang itu.

Akan tetapi, selain malu dan undang-undang, perbuatan golongan mulhid ini dikawal juga oleh pandangan akal yang dipengaruhi dengan adat, budaya, pengetahuan, dan sebagainya yang bersifat relatif. Contohnya, sekiranya ada dalam kalangan mereka mematuhi lampu isyarat ketika tidak ada satu pun kenderaan lain di atas jalan raya selain kenderaan yang dipandunya, perbuatan ini datang daripada pandangan akal mereka bahawa manusia perlu mematuhi sesuatu undang-undang apa jua keadaan sekalipun. Pandangan ini berubah-ubah mengikut masa, tempat, budaya, dan sebagainya.

Menerusi penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa golongan berfahaman ateisme ini dikawal oleh tiga perkara:
1. Perasaan malu yang sudah tidak tabii dan fitri
2. Undang-undang
3. Pandangan akal.

Golongan mulhid ini cuba lari daripada kongkongan agama tetapi sebenarnya mereka terpaksa hidup di dalam kongkongan juga. Hidup mereka masih tidak bebas. Mereka tidak juga dapat melakukan apa yang ia mahukan selagi sifat malu yang fitrah wujud dalam diri mereka. Jika mereka sudah tidak malu, mereka tetap tidak dapat melakukannya kerana mereka dikawal oleh undang-undang. Ertinya, mereka tetap terkongkong. Bezanya, kongkongan undang-undang adalah kongkongan yang direka oleh manusia hasil pandangan mereka berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka sedangkan kongkongan agama kongkongan yang diyakini datang daripada Tuhan. Jelaslah di sini, bagaimana rupa ateisme yang memperhambakan diri mereka kepada sesama manusia. Mereka sebenarnya mempunyai tuhan tetapi tuhan mereka tidak menciptakan dan tidak memusnahkan. Tuhan mereka adalah manusia. Alangkah bodohnya orang yang menolak Tuhan sebagai tuhan lalu mempertuhankan makhluk seumpamanya. Seperti lembu menyembah lembu. Itulah ateisme.

Agama ateisme ini selain menjadikan manusia sebagai Tuhan, mereka juga mempertuhankan nafsu. Manusia bernafsu. Agama mengawal nafsu. Itu bagi orang-orang yang beragama. Bagi seorang mulhid, agama tidak wujud. Jadi, tidak ada yang dapat mengawal nafsunya melainkan fitrah dan undang-undang. Seperti yang telah disebutkan, fitrah manusia beragama. Tanpa agama, fitrah cacat dan tempang. Inilah keburukan ketara agama ateisme ini. Pegang titik ini.

Tuhan ketiga ateisme adalah akal. Mereka mengira bahawa akal maha mengetahui. Di sini, nampak kebodohan yang teramat dalam agama mereka. Apa yang tidak dapat dicapai oleh mereka, mereka anggap tidak wujud. Apa yang tidak mampu difikirkan oleh akal mereka, mereka anggap salah. Di atas kaedah inilah mereka menafikan Tuhan. Sebabnya, mereka tidak mampu memikirkan kewujudan Tuhan. Seperti orang buta, ia tidak nampak matahari. Lalu ia katakan matahari tidak ada. Padahal orang-orang yang celik semuanya mengatakan matahari wujud. Nampaklah di sini ateisme buta dan agama celik.

Hakikatnya, penggunaan akal yang betul dan fitrah walaupun rosak tetap dapat membawa manusia kepada keimanan dengan kewujudan Tuhan. Tetapi, kedua-dua perkara tadi tidak dapat digunakan untuk beriman dengan pelbagai perkara lain dan tidak juga dapat menunjukkan kepada syariat. Akal dan fitrah hanya dapat menunjukkan kepada kewujudan Tuhan, tidak lebih dari itu. Nabi dan rasul sahajalah sumber pengetahuan kita tentang sifat Tuhan, kitab, akhir akhirat, solat, puasa, haji, dan sebagainya.

Tetapi, aneh sekali apabila golongan ateisme ini tidak mampu menemui Tuhan dengan menggunakan akal dan fitrah mereka. Hal ini tidak lain tidak bukan disebabkan penggunaan akal yang salah dan hawa nafsu. Kedua-dua perkara ini faktor menyumbang kepada kesesatan mereka dalam mencari Tuhan.

Mereka tidak dapat mengambil faedah daripada faktor pertama iaitu akal kerana akal hanya dapat berfikir dan mengeluarkan kesimpulan selepas mengkaji bahan-bahan yang didapati menerusi pancaindera. Bahan yang paling berpengaruh ke atas kajian akal adalah fakta. Sekiranya fakta benar, kemungkinan besar benarlah kesimpulan kajian. Sekiranya fakta silap, kemungkinan besar silaplah kesimpulannya. Lantaran itu, dapatlah disimpulkan, ateisme menyimpulkan kesimpulan yang silap akibat daripada fakta yang silap. Mereka menolak agama disebabkan kepercayaan tahayul mereka bahawa manusia berasal daripada beruk. Teori evolusi, itulah nama pendeknya. Padahal fakta tersebut tidak layak dipanggil sebagai fakta kecuali sebagai majaz kerana teori tersebut palsu. Tetapi, golongan mulhid ini mendapat fakta yang silap itu lalu menggunakannya semasa berfikir tentang kewujudan Tuhan. Mereka dapati kewujudan Tuhan bercanggah dengan fakta yang telah mereka wartakan sebagai fakta yang benar lalu mereka simpulkan bahawa Tuhan tidak wujud. Seperti orang yang diberi fakta bahawa dua tambah dua sama dengan lima. Apabila ditanya, berapakah jumlah dua campur dua, kemudian ditolak dengan satu. Pasti jawabnya empat kerana fakta yang diterima untuk menyelesaikan bahagian pertama adalah silap.

Itulah hakikat ateisme. Agama yang tidak mahu digelar agama. Triniti gabungan antara manusia, akal, dan hawa nafsu. Insya-Allah, andai ada masa dan kuasa, kami akan melanjutkan perbincangan kita tentang agama keparat ini. Semoga orang-orang yang sihat akalnya dan sejahtera fitrahnya dapat menerima kebenaran.

Mereka tidak percayakan neraka, lalu mereka masuk neraka.
Kami percayakan syurga, insya-Allah kami masuk syurga.

Rabu, 5 September 2012

Islam Bukan Agama Demokrasi


Prinsip, itulah yang perlu dipertahankan apabila apa yang kita pegang dan yakini cuba digoyahkan. Biar apa pun yang terjadi, prinsip tetap prinsip. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah prinsip yang telah digenggam erat dalam dada.

Ya, selagi prinsip itu prinsip yang benar.

Sudah tentu, prinsip yang benar itu mestilah prinsip berdasarkan al-Quran dan sunnah!

Baru-baru ini ada seorang kawan saya 'mengumpat' sepupunya merangkap sahabat saya yang baru balik Malaysia, lebih dua tiga bulan sebelum saya. Maklumlah, sahabat saya Salafi. Menurutnya, berlaku kekecohan dalam keluarga bapa saudaranya itu apabila seppupunya itu mendakwa ziarah kubur itu tidak digalakkan. Saya kebingungan seketika. Tidak ada pula saya dengar mana-mana ulama Salafiyyah yang mengeluarkan pendapat sebegitu. Lalu, saya mengandaikan, kalau-kalau ziarah yang dimaksudkan itu, ziarah pada hari raya. Bukankah ziarah kubur yang dikhususkan pada hari raya adalah bid'ah? Kawan saya seakan-akan cuba menafikan.

Bukan itu yang saya mahu ceritakan. Apa yang saya ingin kongsikan, kata-katanya yang keluar ketika itu "kita kena ikut majoriti."

Berdesing telinga saya mendengarnya. Tanpa perlu dicatat, kata-kata itu terus terakam dalam ingatan. Bagaimana saya boleh bertenang, apakah Islam agama demokrasi?!

Kita tengok, akidah siapa yang paling ramai penganut, Ahli Sunnah atau Syi'ah; mazhab mana paling ramai pengikut, Hanafi atau Syafi'i? Yang mana lebih ramai, itu yang kita ikut!

Tidak, Islam bukan agama demokrasi. Kebenaran tidak boleh diukur dengan sedikit ramainya orang-orang yang menegakkannya. Sebab itu, ramainya ulama yang bersepakat di atas satu-satu pendapat tidaklah membuktikan kebenaran pendapat tersebut. Hanya ijmak, kesepakatan semua ulama yang menjadi hujah di sisi Islam kerana di situlah letaknya kebenaran. Selagi belum mencapai ijmak, selagi itulah wujud kemungkinan kebenaran berada di belah lawan. Tidak dinafikan, kebiasaannya kebenaran berada bersama yang ramai di atas asas keputusan ramai lebih tepat daripada keputusan seorang. Tetapi, ini hanya andaian berdasarkan kebiasaan. Tidakkah dalam 'kebiasaan' itu sendiri ada makna 'keluarbiasaan'?

Adakah halal menjadi haram, haram menjadi halal hanya kerana mengikut pandangan orang ramai?

Adakah sunnah menjadi bid'ah, bid'ah menjadi sunnah semata-mata menurut suara majoriti?

Kalau ya, siapakah yang dapat menentukan siapa yang majoriti dan siapa yang minoriti? SPR?!

Siapa pula yang layak mengundi? Pak-pak lebai yang bermazhab Syafi'i, warga marhaen yang tidak kenal hukum-hakam, dan artis-artis penggemar maksiat?!

Tidak, sesekali tidak. Islam bukan agama demokrasi.

Benar, sesekali kita perlu mengubah corak dakwah mengikut situasi. Fatwa perlu mengikut keadaan setempat. Tetapi, corak dakwah dan fatwa tidak sesekali menjejaskan keutuhan prinsip yang dipegang.

Kita - para du'at di Malaysia - mengatakan kaki wanita aurat berdasarkan mazhab Syafi'i dan mewajibkan diri dan mereka di bawah tanggungan untuk mengimplementasikannya. Tetapi, apabila berdepan dengan perempuan jahil atau fasiq yang tidak bertudung, adakah kita akan terus mengatakan kepadanya: pakai stokin, kaki aurat!

Tidak, bukan?

Tetapi, kaki tetap aurat di sisi kita. Semua ini dilakukan atas dasar dakwah. Beransur-ansur.

Beransur-ansur ada dua, beransur-ansur dalam hukum dan beransur-ansur dalam dakwah (dan pelaksanaan). Beransur-ansur dalam hukum sudah tidak ada pada zaman kita. Berbeza dengan zaman Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Dahulu, arak halal. Kemudian, haram dan terus-menerus sehingga hari ini, hukum arak haram. Tidak mungkin menjadi halal semula.

Mungkinkah ada orang datang mengatakan; arak halal untuk orang yang baru masuk Islam. Sebab, arak tidak diharamkan sehingga masuk zaman Madinah, berbelas tahun selepas para sahabat RA yang sudah beragama Islam sempat minum arak dalam keadaan halal!

Tidak.

Kalau ada orang kata macam itu, alamatnya, dia bodoh.

Tetapi, kalau ada seorang hamba Allah hendak masuk Islam tetapi dengan syarat, dia mahu minum arak, apa kata anda?

Kalau saya, saya akan jawab: masuklah Islam.

"Arak?"

Kalau masuk Islam, confirm akan masuk syurga kalau minum arak sekalipun. Kufur hukumnya kekal di neraka. Minum arak hukumnya azab seketika di sana.

"Jadi, bolehkah saya minum arak selepas masuk Islam?"

Kalau tidak tahan, hendak buat macam mana. Tetapi, haram tetap haram.

Itu jawapan saya. Inilah yang dinamakan beransur-ansur dalam dakwah dan pelaksanaan.

Hukum tetap hukum. Dakwah dan pelaksanaan suku.

Selain itu, kita perlu faham satu titik perbezaan antara memperakui hukum dan mengamalkan hukum.

Memperakui hukum lebih besar daripada mengamalkan hukum. Ini kaedahnya. Atau: menolak kewajipan atau keharaman lebih dahsyat daripada meninggalkan kewajipan dan mengerjakan keharaman tersebut.

Mengakui dan mengamalkan kefarduan puasa itu sama-sama wajib. Tetapi, mengingkari kefarduan puasa hukumnya kufur sedangkan meninggalkan puasa walaupun tetap haram tetapi tidaklah sampai mengkufurkan.

Mengakui kewajipan melaksanakan hukum hudud adalah wajib. Begitu juga dengan melaksanakannya. Tetapi, menolak untuk beriktikad tentang fardunya hudud hukumnya kufur. Menolak untuk melaksanakan hudud hukumnya haram (sahaja).

Haram pun besar dosanya itu.

Sebab itu, silaplah orang yang mengatakan: dalam perkara-perkara khilaf, lebih baik kita i'tiqadkan yang lebih ringan supaya kita tidak berdosa apabila melakukannya.

Silap besar!

Sebab, i'tiqad tidak boleh main pilih ikut suka.

Kalau jelas kepada kita benda itu harus, ertinya benda itu harus pada i'tiqad kita. Kalau buat, tidak berdosa.

Kalau jelas kepada kita benda itu haram, ertinya benda itu haram pada i'tiqad kita. Kalau buat juga, berdosa.

Orang tanya pula, itu kalau jelas harus dan jelas haram. Kalau tak jelas?

Jadi, syubhah. Makruh. Tinggal dapat pahala, buat tak dapat apa-apa.

Tidak ada ruang untuk buat pilihan. Islam bukan agama pilihan raya!

Namun begitu, kita mampu berusaha untuk membuatkan diri kita meyakini sesuatu antaranya dengan ilmu. Haram bagi seseorang untuk sengaja menutup telinga enggan mendengar dalil dan hujah supaya ia tidak tahu tentang keharaman sesuatu, supaya ia tetap bisa melakukannya dengan alasan: saya tidak tahu.

Sebab, orang itu mampu mengetahuinya. Bahkan, ia telah pun mengetahuinya sebelum itu lagi. Masakan ia takut untuk mendengarnya kalau ia tidak tahu apa-apa, bukan?!

Kalau sudah jelas kepadanya kebenaran, lantas ia menolaknya, itu perangai oranag kafir. Sudah tahu Islam benar tetapi tetap menolaknya. Percaya dalam hati, tapi tolak dengan lidah dan anggota badan.

Buat penutup, saya tegaskan: Islam bukan agama demokrasi. Islam bukan agama pilihan raya.

Cukuplah demokrasi dan pilihan raya dalam politik sahaja. Cukup, cukup, sudah!!