Selasa, 3 Julai 2012

Hukum Amalan Membaca Yasin Sebanyak Tiga Kali pada Malam Nisfu Syaaban

Asal ibadat dalam agama kita adalah tauqifi iaitu berdasarkan nas al-Quran dan sunnah Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam semata-mata. Tidak boleh mengada-adakan sesuatu amalan baharu yang tidak ditunjukkan nas syarak. Oleh sebab itu, tidak syak lagi bahawa amalan membaca Yasin sebanyak tiga kali pada malam tersebut kerana menganggapnya sebagai satu amalan yang disyariatkan - atas dasar pengkhususan - adalah bid'ah yang direka-reka dalam agama dan perlu ditinggalkan.

Kata Imam Ibnu Katsir, murid besar Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah:

...وباب القربات يقتصر فيه على النصوص ولا يتصرف فيه بأنواع الأقسية والآراء...
Terjemahan: perkara-perkara ibadat tertakluk kepada nas, tidak boleh ditimbang melalui qiyas dan akal. [hal. 465 jil. 7]

Beriktikad bahawa amalan tersebut adalah sunnah atau mustahabb bererti menuduh Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam telah menyembunyikan sesuatu daripada kita sedangkan risalah Islam yang dibawa oleh baginda telah sempurna. Selain itu, orang-orang yang mengamalkan amalan tersebut sudah tentu merasakan bahawa diri mereka melakukan sesuatu yang lebih baik daripada Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam dan para sahabat baginda.

Diriwayatkan oleh rawi-rawi yang tsiqah bahawa seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik daripada mana sepatutnya ia berihram. Jawabnya “dari tempat Rasulullah berihram.” Ia pun bertanya lagi “kalau aku menambahkan jaraknya?” Jawab Malik “jangan, aku takut engkau akan ditimpa fitnah.” Lelaki itu menjawab “mana ada fitnah dalam perkara ini. Ini hanyalah menambahkan jarak.” Jawab Malik “sesungguhnya Allah berfirman:

... فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ۝
... Oleh itu, hendaklah orang-orang yang mengingkari perintah baginda beringat-ingat takut-takut mereka ditimpa fitnah atau azab yang pedih. [Surah al-Nur; ayat ke-63]…

… Dan fitnah apakah yang lebih besar daripada kamu merasakan bahawa kamu mendapat lebih banyak kelebihan yang tidak diperoleh oleh Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam atau bahawa pilihan engkau adalah lebih baik daripada pilihan Allah dan pilihan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam? [Diriwayatkan oleh al-Khathib al-Baghdadi, Dzamm al-Kalam wa Ahlih, jil. 3, hal. 115]

Kata Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu'ashirahnya:

أما ليلة النصف من شعبان، فمعظم ما يفعل فيها من أشياء ليس واردًا، ولا صحيحًا ولا من السنة في شيء ...
أذكر أني كنت أقوم في صغري مع الناس تقليدًا لهم، فنصلي ركعتين بنية طول العمر، وركعتين بنية الغني عن الناس، وقراءة يس ثم صلاة ركعتين .. وغير ذلك.
وكل هذه تعبدات ما أمر الشرع بها . والأصل في العبادات، الحظر .. ليس للإنسان أن يخترع في عباداته ما يشاء، لأن الذي من حقه أن يعبد الناس وأن يرسم لهم العبادة هو الله عز وجل .(أم شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله) فعلينا أن نقف عند ما ورد، ولا نفعل أكثر من
الدعاء المأثور، إن كان ذلك حسنًا ... والله أعلم.
Terjemahan: adapun malan pertengahan bulan Syaaban, kebanyakan yang dilakukan pada waktu tersebut adalah perkara-perkara yang tidak warid; tidak sahih dan tidak ada kena-mengena dengan sunnah. Aku teringat bahawa ketika kecil dahulu aku pernah solat bersama orang ramai ketika secara ikut-ikutan. Kami pun solat sebanyak dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat dengan niat tidak lagi berhajat kepada manusia, dan membaca Yasin kemudian solat dua rakaat, dan sebagainya. Semua ibadat-ibadat ini tidak disuruh syarak. Asal ibadat adalah larangan. Manusia tidak boleh mereka-reka sesuatu yang ia sukai dalam ibadatnya kerana yang mempunyai hak untuk disembah oleh manusia dan menyusun ibadat adalah Allah 'azzawajalla. "Adakah mereka mengada-adakan dalam agama sesuatu yang tidak diizinkan Allah?" Maka, seharusnya kita berhenti pada apa yang warid sahaja dan tidak menambahkan sesuatu selain daripada doa yang ma'tsur; kalau itu adalah hasan. [jil. 1; hal. 310]

Inilah pegangan kami dalam masalah ini. Sekiranya ada seribu ulama dengan sejuta kitab datang mempersembahkan dalil-dalil mereka untuk mendakwa kesunnahan amalan bid'ah ini pun tidak akan kami terima melainkan mereka mendatangkan dalil daripada al-Quran dan sunnah yang sahih.

Suka kami ingatkan di sini bahawa tidak ada halangan bagi sesiapa pun untuk membaca apa-apa bacaan al-Quran mahupun zikir pada bila-bila masa pun termasuklah membaca Yasin sebanyak tiga kali pada malam pertengahan Syaaban kerana agama memang menggalakkan manusia melakukan kebaikan sebanyak yang mungkin tetapi yang kami tentang adalah pengkhususan amalan tersebut pada waktu-waktu tertentu.

Orang-orang yang kurang akalnya menyangka - atau menuduh - kami menghalang orang lain melakukan amalan kebajikan. Tidak, tidak sama sekali! Kami hanya melarang manusia daripada melakukan bid'ah, satu perkara yang diharamkan agama. Mereka juga menuduh kami mengatakan orang-orang yang melakukan amalan-amalan bid'ah itu berdosa dan lebih parah lagi, masuk neraka. Kami adukan perkara ini kepada Allah. Dialah yang akan membalas setiap kebohongan yang mereka lakukan. Kami hamba-hamba-Mu yang dizalimi. Amin. Sebenarnya, kami berpendapat bahawa hanya orang-orang yang beriktikad bahawa amalan tersebut bid'ah yang layak dihukum berdosa. Itu sahaja. Sebab, pelaku sedang melakukan maksiat dengan mengubah syariat Islam sesuai mengikut hawa nafsunya. Orang yang melakukannya - atau sekadar beriktikad - kesyariatan amalan tersebut pula, kami doakan supaya mereka diampunkan Allah kerana dia sebenarnya tidak tahu. Sama seperti orang yang melakukan sesuatu perkara haram dalam keadaan jahil.

Mereka juga membangkitkan isu belajar tanpa guru; mengkaji dan menyelidik tanpa bimbingan murabbi yang mempunyai sanad yang bersambung terus-menerus sehingga ke Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Sebenarnya, saya - al-Kutawi - bukanlah tidak ada guru dan apa yang dikaji dan diselidik bukanlah sesuatu yang tidak pernah disebutkan oleh para alim-ulama terdahulu. Alhamdulillah, saya sedari tadika lagi saya dihantar ke sekolah agama sehinggalah peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berakhir di Maahad Pengajian Islam (MPI). Demi Allah, saya tidak pernah belajar di sekolah kerajaan. Dari situlah saya belajar alif ba ta, belajar mengaji al-Quran, belajar cara-cara berwuduk dan solat, sehinggalah akhirnya belajar khilaf fiqh antara mazhab, khilaf antara firqah umat Islam, dan sebagainya di bumi Syam ini.

Saya juga dipertemukan dengan beberapa orang guru yang hebat dalam perjalanan menuntut ilmu di madrasah. Antaranya, Ustaz Nik Abdul Rahim bin Nik Abdul Ghani, lulusan BA Syariah Universiti Islam Madinah. Daripada beliaulah saya memulakan langkah jitu untuk mendalami ilmu-ilmu agama sehinggakan walaupun berpindah sekolah, saya terus menghubungi beliau untuk bertanyakan hukum-hakam agama.

Selain itu, saya sempat berguru dengan Maulana Muhammad Asri Yusoff, lulusan Universiti Deoband yang mempunyai sanad bersambung dengan Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam. Saya belajar Shahih al-Bukhari daripadanya di Tabung Haji di Kota Bharu. Terkadang di Hotel Raudhah. Daripada pengajian bersama beliaulah banyak mutiara-mutiara agung saya temukan. Sekali hadir pengajian beliau seolah-olah menghadiri 10 pengajian orang lain. Apabila ada kemusykilan, saya akan bertanyakan beliau.

Syukur kepada Allah juga, saya diperjirankan dengan Masjid Kampung Kota, dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Rumah saya dan masjid hanya dipisahkan dengan pagar batu. Hampir setiap malam - dahulu - saya menghadiri majlis-majlis ilmu di situ. Antaranya, majlis ilmu Syaikh Wazir, bekas mudir Pondok Moden, Kandis, Bachok, Kelantan setiap malam Khamis. Dari mulut beliaulah saya mendengar ulasan-ulasan tentang politik. Kemudian, beliau beralih mensyarahkan kitab Akidah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah oleh Haji Said Haji Ibrahim, bekas Mufti Sabah.

Setiap malam Isnin pula, saya mengikuti majlis Ustaz Suratme, seorang qadi di sebuah jajahan di Kelantan yang mensyarahkan kitab Fath al-Mu'in karya Syaikh al-Malaibari. Saya sempat belajar bab puasa dan zakat dengannya. Beliau pernah berhenti mengajar Fath al-Mu'in untuk menerangkan masalah masbuq muwafiq mengikut pandangan Imam Ibnu Hajar dan Imam al-Ramli kerana katanya, ramai yang beliau lihat tidak faham mengenainya.

Pada malam Selasa pula saya hadirkan diri saya bersama-sama jemaah masjid mendengar kuliah Ustaz Saibon Ismail, seorang ustaz yang terkenal di Kota Bharu yang pernah belajar di Universiti Umm al-Qura, Mekah. Beliau mengajar tafsir menggunakan Tafsir Pimpinan al-Rahman.

Pada malam Rabu pula, ada dua orang ustaz yang bergilir menyampaikan kuliah. Pertama, Ustaz Budak Kelantan, Shamsul Zaman, dari Pondok Lubuk Tapah. Kedua, Ustaz Azhar Abdullah, lulusan pondok tempatan dan Universiti al-Azhar. Beliau mengajar kitab Hidayah al-Salikin tulisan Syaikh 'Abd al-Shamad al-Falimbani manakala Ustaz Budak mensyarahkan kitab Mestika Hadis.

Tidak lupa juga saya sebutkan di sini, Ustaz Osman, imam Masjid Langgar yang mengajar kitab Siyar al-Salikin. Tidak ada lawak dalam pengajiannya tetapi ramai jemaah yang setia mendengar.

Pada malam Sabtu pula, saya mengikuti kelas tajwid bersama Ustaz Lokman al-Hafiz. Dari kelas inilah saya belajar memperbetulkan bacaan al-Quran. Saya juga sempat belajar tajwid dan qiraat dengan beliau, dengan Ustaz Amiri Abdul Ghani, dan Ustaz Wan Ibrahim di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri tetapi tidak lama, hanya satu modul.

Tidak perlu saya rasa menyertakan semua nama ulama-ulama yang saya ambil ilmu daripada mereka di sini semata-mata untuk 'mengenyangkan' orang-orang yang busuk hati. Merekalah guru-guru saya yang mengambil ilmu daripada guru-guru mereka yang menerima ilmu daripada guru-guru mereka sehinggalah sampai kepada Nabi Muhammad shallallahu'alahiwasallam.

Sebenarnya, bukan itu yang mereka mahu. Mereka bukan meminta kami mengambil ilmu daripada guru-guru yang mempunyai sanad; tetapi mereka memaksa kami mengambil ilmu daripada guru-guru mereka, supaya kami menjadi seperti mereka.

"Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasara itu tidak akan reda kepadamu (wahai Muhammad) sehinggalah engkau mengikut agama mereka." [Mafhum ayat 120, Surah al-Baqarah]

1 ulasan: