Ahad, 8 Julai 2012

Catatan pada Masalah Tawassul

Antara masalah khilafiyyah yang masyhur antara Khalafiyyah - atau Sufiyyah, mutashawwifah - dengan Salafiyyah - atau Hanabilah, ahli hadis, Wahhabiyyah - adalah masalah tawassul dengan para nabi, wali-wali, dan orang-orang soleh. Syaikh Hasan al-Banna dalam usaha menyatupadukan umat Islam telah menggariskan kaedah penting berkenaan masalah ini dalam Usul 20-nya. Katanya:

والدعاء إذا قرن بالتوسل إلى الله بأحد من خلقه خلاف فرعي في كيفية الدعاء وليس من مسائل العقيدة

Terjemahan: dan doa apabila diiringi dengan tawassul kepada Allah dengan salah satu daripada ciptaan-Nya adalah khilaf dalam masalah furuk berkenaan cara-cara berdoa, bukannya termasuk dalam masalah-masalah akidah. [Sumber: http://ar.wikipedia.org/wiki/%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%B5%D9%88%D9%84_%D8%A7%D9%84%D8%B9%D8%B4%D8%B1%D9%88%D9%86]

Sebenarnya, apa yang disebutkan oleh beliau benar kerana masalah tawassul ini pada dasarnya tidak mempunyai perkaitan dengan masalah akidah. Tawassul dengan orang-orang yang telah meninggal dunia hanya menggunakan nama-nama mereka sebagai perantaraan dalam berdoa. Sama seperti kita menggunakan nama orang-orang yang mempunyai kedudukan di sisi masyarakat untuk memohon menyambung pelajaran, bantuan, dan sebagainya. Selain itu, orang-orang yang bertawassul juga menganggap orang-orang yang mereka jadikan alat bertawassul itu mempunyai hak ke atas Allah secara khusus sedangkan makhluk-makhluk-Nya tidak mempunyai hak ke atas Allah melainkan apa yang Allah tetapkan ke atas diri-Nya. Ini zahir keterangan Imam Ibnu Abi al-'Izz al-Hanafi, murid Imam Ibnu Katsir dalam kitab beliau Syarh al-'Aqidah al-Thahawiyyah dalam masalah meminta syafaat terus daripada Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam.

Tetapi, jika diteliti dengan lebih mendalam, masalah tawassul mempunyai kesan terhadap akidah umat Islam secara tidak langsung. Kebiasaan orang-orang yang bertawassul sama ada dengan nabi dan orang-orang soleh pasti akan memuliakan mereka melebihi kedudukan sebenar mereka. Mereka bukan sahaja berdoa "ya Allah, dengan kedudukan Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam aku memohon sekian dan sekian" tetapi dalam masa yang sama beriktikad bahawa menyebut nama baginda mempunyai kesan kepada kemakbulan doa ataupun tidak. Seterusnya, perasaan untuk mendewa-dewakan mereka akan timbul dalam hati orang yang bertawassul itu. Inilah yang berlaku dalam kalangan mutashawwifah yang akhirnya bukan sahaja bertawassul dengan para nabi dan wali-wali, malah berdoa terus kepada mereka.

Maka, di sini saya jelaskan, tawassul secara asasnya masalah fikah yang diperselisihkan. Jadi, silaplah jika tawassul dengan para nabi dan wali dianggap sebagai syirik. Sebetulnya yang syirik adalah istighatsah - berdoa dan memohon - kepada - orang-orang yang telah meninggal dunia - selain daripada Allah.

Masalah tawassul sebenarnya agak panjang dan banyak hadis yang dikemukakan oleh para alim-ulama menunjukkan keharusan - bahkan kesunnahan - bertawassul. Tetapi, bagi saya, pendapat yang tepat adalah sebaliknya: tawassul dengan makhluk yang bernyawa tidak dibenarkan kerana tidak ada dalil yang mengharuskannya. Dalil-dalil yang disebutkan oleh ulama-ulama yang mengharuskan sama ada lemah dari sudut riwayat atau lemah dari sudut dirayah.

Tetapi yang membingungkan sesetengah pihak, mengapa ramai ulama yang menganggap tawassul jenis ini sesuatu yang disyariatkan. Secara peribadinya, saya tidak nampak benda ini satu perkara aneh kerana tidak semestinya pendapat jumhur adalah pendapat yang benar. - Islam bukan agama demokrasi - Lagipun, hadis-hadis berhubung masalah tawassul ini agak mengelirukan sehingga tawassul yang disebutkan dalam hadis-hadis tersebut yang sepatutnya difahami dari sudut bahasa difahami dari sudut istilah. Inilah punca utama mengapa ramai ulama membolehkan tawassul.

Saya nasihatkan kepada para pencinta kebenaran supaya menelaah kitab al-Tawassul oleh Syaikh Muhammad Nashir al-Din al-Albani untuk meneroka masalah tawassul yang diperselisihkan ini selain kitab Syaikh Muhammad bin 'Alawi al-Maliki bertajuk Mafahim Yajibu an Tushahhah bersama sanggahan oleh Syaikh Shalih Alu Syaikh dengan judul Hadzihi Mafahimuna.

2 ulasan:

  1. Ulasan anda bercelaru antara tawassul yang saling bercanggahan.Dimana pendirian anda umpamanya boleh bertawassul dengan orang mati, para nabi, wali (siapakah yang mengesahkan dia wali?) dsbnya.

    BalasPadam
  2. Terima kasih Bilal Ahad Abu atas komentar. Di sini saya simpulkan pendirian saya dalam masalah ini: tidak ada tawassul dengan makhluk hidup bernyawa dalam Islam. Wallahua'lam.

    BalasPadam