Jumaat, 6 Julai 2012

Catatan pada Masalah Bid'ah

Seorang sahabat saya bertanya: kalau membaca Yasin pada malam Nisfu Syaaban dikira bid'ah kerana dianggap mengkhususkan ibadat pada waktu-waktu tertentu tanpa dalil, mengapa membaca al-Quran setiap selepas solat dan membaca Ma'tsurat susunan Syaikh Hasan al-Banna setiap pagi dan petang tidak dianggap bid'ah?

Saya sudah memberikan jawapan kepada beliau tetapi rasanya elok jika saya ulang dan saya perincikan jawapan saya di sini. Dalil umum mesti digunakan pada tempat umum dan dalil khusus mesti digunakan pada tempat khusus. Membaca Yasin pada malam Nisfu Syaaban ada adalah satu bentuk pengkhususan dan memerlukan dalil yang khusus untuk menganggapnya sebagai satu bentuk ibadat yang khusus manakala membaca al-Quran pada setiap selepas solat bukan satu bentuk pengkhususan tetapi - kalau boleh kita katakan - satu pengumuman. Tidak ada pun antara kalangan sahabat-sahabat kita yang membaca al-Quran setiap selepas solat beriktikad bahawa al-Quran sunat dibaca secara khusus pada setiap kali solat sebaliknya orang-orang yang mengamalkan bacaan Yasin pada malam Nisfu mendakwa Yasin sunat dibaca secara khusus pada malam tersebut. Jadi, membaca al-Quran selepas solat dikira mengamalkan keumuman nas al-Quran dan sunnah yang menggalakkan kita membaca al-Quran pada bila-bila masa.

Sebagai menjelaskan lagi masalah ini saya terangkan, membaca Yasin pada malam Nisfu pada asalnya bukanlah bid'ah bahkan sunat sebagaimana sunatnya membaca mana-mana bahagian dalam al-Quran pada waktu tersebut. Begitu juga tidak ada halangan mengulang-ulang bacaan Yasin sebanyak tiga kali atau lebih sebagaimana sunat memperbanyakkan bacaan al-Quran. Inilah yang dimaksudkan mengamalkan keumuman dalil galakan membaca al-Quran pada bila-bila masa. Membaca Yasin pada malam tersebut hanya dikira bid'ah apabila menganggapnya satu amalan yang khusus untuk dilakukan pada waktu tersebut kerana menganggap sunatnya sesuatu amalan secara khusus pada waktu-waktu tertentu memerlukan dalil tetapi tidak ada dalil di sini.

Maka, beza antara dua keadaan yang disebutkan tadi adalah beza antara membaca Yasin pada malam Nisfu tanpa niat berta'abbud dengan membaca Yasin pada malam tersebut dengan niat ta'abbud dengan bacaan tersebut pada waktu berkenaan. Keadaan pertama terjadi secara kebetulan. Keadaan kedua berlaku dengan sengaja.

Manakala membaca Ma'tsurat setiap pada setiap pagi dan petang memang satu bentuk pengkhususan tetapi tetap tidak dianggap bid'ah kerana pengkhususan ini berdalil kerana Ma'tsurat - kebanyakan zikir-zikirnya - memang sabit melalui sunnah untuk dibaca pada setiap pagi dan - atau - petang.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan