Khamis, 10 Mei 2012

Pendirian Terhadap BERSIH 3.0

[Artikel ini ditulis sebelum fatwa Majlis Fatwa diwartakan atau sampai ke pengetahuan penulis]

Jam menunjukkan jam 12.51 pagi tetapi mata masih belum mahu pejam. Saya teringatkan soalan yang diajukan beberapa kali tentang pendirian Darul Hadis (DH) tentang BERSIH 3.0 semasa saya masih bergelar Timbalan Pengerusi DH beberapa hari yang lalu. Ketika itu, saya hanya menjawab, kami memerlukan 20 tahun untuk menjawab soalan itu. Bercakap tentang politik tidak mudah. Fiqh al-siyasah, al-wala’ wa al-bara’, dan puluhan ilmu yang bersangkutan mesti dihadamkan. Jika tidak, kami akan bercakap tentang agama tanpa ilmu dan menjadi fitnah bagi umat.

Namun begitu, saya rasa untuk menanti tahun yang ke-20 itu tiba baru dapat menyatakan pendirian bukanlah satu kemestian. Maka, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, saya, sebagai mewakili diri sendiri menyatakan bahawa:

Pertama, siasah berpaksikan kepada ijtihad. Ijtihad itu pula beragam-ragam gayanya. Sesetengah ulama berijtihad lalu mengambil keputusan untuk bersama dengan jemaah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pakatan Rakyat (PR). Sebaliknya, segolongan ulama memilih untuk bersama Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Barisan Nasional (BN). Masing-masing punya hujah. Sama seperti tindakan para sahabat tatkala berlakunya pergeseran antara Saidina Ali dengan Saidina Mu’awiyah. Ada yang memilih untuk menyokong Ali dan tidak kurang memilih untuk menyebelahi Mu’awiyah.

Kedua, lantaran itu, kita seharusnya berbaik sangka dengan sesama kita. Tidak sepatutnya tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dilemparkan ke atas ulama-ulama yang menyebelahi PAS mahupun UMNO. Ulama-ulama yang menyertai UMNO khususnya bukannya tidak tahu perihal UMNO tetapi itulah namanya ijtihad. Yakinlah bahawa niat mereka tulus untuk berdakwah hanya sahaja dakwah mereka ‘sedikit berlainan’ dengan dakwah ulama-ulama PAS.

Ketiga, tidak dinafikan bahawa demokrasi bukanlah sistem Islam tetapi ini bukanlah alasan untuk mengharamkan umat Islam menyertai demokrasi. Menyertai demokrasi tidak bererti meredainya. Ulama-ulama PAS telah menjelaskan bahawa mereka hanya menyertai demokrasi hanya kerana darurat. Adakah kita hendak membiarkan sahaja negara kita dikuasai oleh orang-orang yang fasiq dan munafik atau oleh orang-orang kafir dengan hujah Islam mengharamkan demokrasi?

Keempat, untuk menjulang Islam di dalam Parlimen Malaysia, jalannya adalah dengan meraih undi rakyat sementara undi tidak boleh dicapai melainkan dengan memahamkan rakyat tentang Islam dan pilihan raya yang bersih. PAS hampir berjaya memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam tetapi kejayaan untuk memartabatkan Islam di medan siasah masih gagal sekiranya pilihan raya dikotori oleh tangan-tangan belakang. Jadi, tidak mesti tidak PAS mesti menuntut pilihan raya yang bersih dan telus. Ini suatu kewajipan bagi PAS untuk menyempurnakan misinya mendaulatkan syariat Allah di bumi Malaysia. Itulah sebabnya PAS menyertai BERSIH 3.0. Tidak lain tidak bukan kerana meneruskan jihad siasahnya.

Kelima, akan tetapi politik tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja. Sesuatu tindakan tidak boleh dibuat dengan mengambil kira dari kaca mata fikrah PAS semata-mata. Politik perlu dilihat dengan lebih luas dan mengambil kira kesan jangka panjang. PAS tidak boleh terburu-buru mengecapi kemenangan tanpa persediaan yang cukup. Adakah PAS yakin Malaysia akan kembali stabil jika PAS memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang? PAS juga perlu bersedia untuk menghadapi darurat yang berkemungkinan akan diumumkan oleh kerajaan BN sebaik sahaja menaiki takhta kerajaan Malaysia. PAS juga perlu merangka strategi berdepan dengan ancaman serangan daripada Singapura, Thailand, dan Indonesia yang sudah lama menyimpan amarah akan Malaysia. PAS juga perlu berdepan dengan risiko menguruskan negara yang muflis. Perlu diingat, Malaysia tidak cukup kuat untuk menghadapi serangan dari negara luar dan tidak cukup kaya untuk membaik pulih ekonomi dalam masa yang singkat.

Semua inilah yang menyebabkan saya teragak-agak untuk memberikan sokongan kepada PAS meskipun saya yakin PAS akan menang dalam PRU nanti. Saya tidak meragui PAS akan melaksanakan Islam tetapi di sini berhimpun dua risiko. Pertama, membiarkan BN terus berkuasa dan memamah Malaysia. Kedua, mengheret Malaysia ke zaman penjajahan baharu. Saya kebingungan untuk membuat pilihan. Sebab itulah saya lebih suka diam. Diam tidak semestinya tanda setuju.

Keenam, kita tidak perlu ghairah untuk mencapai kemenangan. Saya memandang sinis kepada golongan yang cepat menyokong sahaja apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Apabila PAS menyatakan sokongan terhadap tuntutan BERSIH dan mengerahkan semua penyokong menyertainya, mereka terus menyertainya tanpa banyak tanya seolah-olah Presiden PAS adalah Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam. Mereka menganggap menyertai himpunan di Padang Merdeka sama seperti menyertai Perang Badar. Mati di dalam perhimpunan dilihat seperti mati syahid.

Mahasiswa-mahasiswa di luar negara pula sama. Terikut-ikut dengan rentak politik Malaysia. Mereka duga himpunan ratusan atau ribuan sesama mereka dapat membantu menumbangkan UMNO dan BN di Malaysia. Mereka fikir jalan untuk meraih kejayaan hanyalah jalan yang dicadangkan oleh Ambiga dan Anwar Ibrahim. Mereka dibutakan dengan ketaasuban yang melulu terhadap Harakah dan semangat yang membuak-buak daripada melihat jalan-jalan kemenangan yang lain. Sebab itulah berani saya katakan, ilmu mereka lebih cetek daripada semangat mereka.

Ketujuh, pun begitu, penyokong-penyokong kerajaan daripada golongan Salafi pula agak agresif menyerang PAS seakan-akan PAS jauh lebih teruk daripada UMNO. Golongan ini tidak habis-habis memburuk-burukkan dan mencari-cari kesalahan PAS. PAS menyokong Syiah, bersama Ambiga, berideologi Khawarij, dan lain-lain dijadikan ‘zikir harian’ di laman-laman sesawang dan sosial. Golongan ini sebenarnya sangat taasub dan fanatik dengan fatwa-fatwa guru-guru mereka sama seperti fanatiknya ahli bidaah kepada tokoh-tokoh mereka. Anehnya, bagaimana mereka boleh menyertai UMNO sedangkan ulama-ulama besar Salafi sendiri melarang mereka daripada menyertai politik. Adakah mereka ingat kerajaan Malaysia sama seperti kerajaan Saudi? Qiyas ma’ al-fariq!

Kelapan, saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan zalim kerajaan Malaysia dengan menggunakan kuasa polis ke atas peserta-peserta BERSIH. Kezaliman ke atas demonstran-demonstran adalah sejenis kebodohan dan kebebalan. Rakyat makin muak dan benci. Jangan simbah minyak tanah untuk memadam api!

Kesembilan, berhati-hatilah sebelum bertindak. Jangan gopoh. Dahulu, umat Islam Turki menyokong Kamal Ataturk kerana menyangkanya wira ummah selepas berjaya memenangi beberapa siri perang ke atas musuh yang rupa-rupanya musuh yang lebih besar daripada musuh yang ditentang sebelumnya. Jangan ulangi tragedi itu di Tanah Melayu bertuah ini.

Demikianlah pandangan saya dalam masalah yang diajukan. Saya simpan noktah kesepuluh pada hari kemudian. Sebelum akhirnya saya berpesan bahawa kadang-kadang membisu itu lebih baik daripada berbicara dan orang yang bijak itu lebih banyak diam dan orang bodoh itu lebih banyak bercakap. Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan