Isnin, 14 Mei 2012

Sejenak Bersama Shahih Al-Bukhari


Shahih al-Bukhari ataupun nama sebenarnya al-Jami’ al-Shahih al-Musnad min Hadits Rasul Allah shallallahu’alaihiwasallam wa Sunanihi wa Ayyamih terhitung dalam senarai rujukan utama umat Islam khususnya dalam bidang hadis. Malah, sebenarnya, Shahih al-Bukhari dikira sebagai salah satu daripada dua kitab hadis yang paling sahih di atas muka bumi. Yang keduanya adalah Shahih Muslim. Kata Imam al-Sayuthi dalam Alfiyahnya:
وليس في الكتب أصح منهما * بعد القرآن ولهذا قدما
Terjemahan: dan tidak ada kitab yang lebih sahih daripada kedua-duanya selepas al-Quran dan kerana itulah kedua-dua kitab itu diutamakan.

Timbul perselisihan dalam kalangan ulama-ulama hadis, antara Shahih al-Bukhari dengan Shahih Muslim, yang manakah yang lebih sahih? Jumhur ahli hadis memilih Shahih al-Bukhari dan selebihnya seperti Ibnu Hazm memilih untuk mendahulukan Shahih Muslim. Ulama-ulama yang kritis pula mengatakan: Shahih al-Bukhari memang lebih sahih daripada Shahih Muslim, tetapi Shahih Muslim lebih kemas daripada Shahih al-Bukhari dari segi susunannya dari beberapa sudut yang lain.

Harus difahami bahawa perbicaraan dalam masalah ini adalah pada ghalib keadaan sahaja, kerana kadang-kadang ada hadis Muslim yang lebih sahih daripada hadis al-Bukhari sebagaimana jelas Dr. Mahmud al-Thahhan dalam Taisir Mushthalah al-Hadits, halaman 19. Selain itu, jika diperhatikan, Shahih al-Bukhari sebenarnya lebih kemas susunannya daripada Shahih Muslim walaupun jika dilihat sepintas lalu, bab-bab dalam Shahih al-Bukhari tidak tersusun secara sistematik kerana ramai pensyarah Shahih al-Bukhari mendapati Imam al-Bukhari sengaja menyusunnya sedemikian rupa untuk menyelit mutiara-mutiara berharga di celah-celahnya. Kadang-kadang Imam al-Bukhari mendahulukan bab sekian daripada bab sekian dan meletakkan bab sekian di tempat sekian tetapi bagi ulama-ulama yang menjiwai seni Shahih al-Bukhari dapat merasakan keunikan susunannya.

Tidak kurang ulama yang menganggap semua hadis dalam Shahih al-Bukhari adalah sahih malah ramai juga yang menganggap kebanyakan hadis-hadis ahad di dalamnya setaraf dengan hadis-hadis mutawatir sehingga dapat dijadikan hujah dalam masalah-masalah akidah sebagaimana pandangan yang masyhur daripada Asya’irah yang menganggap hadis-hadis ahad tidak boleh dijadikan hujah dalam usul agama. Syaikh Hafidhz Tsana’ Allah al-Zahidi telah tampil dengan kitab Ahadits al-Shahihain; baina al-Dzhann wa al-Yaqin untuk membuktikan kebenaran dakwaan ini. Dalam kitab ini, beliau menyenaraikan 16 orang ulama yang mempunyai pendapat yang sama dan dua orang ulama yang berpendapat sebaliknya iaitu Imam al-Nawawi dan Ibnu Burhan.

Menurut guru kami, Maulana Muhammad Asri bin Yusoff, adalah silap bagi sesiapa yang mengatakan semua hadis dalam Shahih al-Bukhari adalah sahih. Sebetulnya, hampir atau kebanyakan hadis di dalam kitab itu sahih tetapi bukan semua. Inilah pandangan yang benar yang dipegang oleh ramai ulama terdahulu. Mereka walaupun menganggap Shahih al-Bukhari sebagai kitab yang paling sahih dan hadis-hadisnya sahih-sahih belaka mengecualikan juga sedikit hadis yang dikritik oleh al-Daraquthni dan lain-lain. Maknanya, hadis-hadis al-Bukhari dan Muslim yang dikritik itu tidak dinilai setara dengan hadis mutawatir kerana hadis-hadis itu tidak diijmakkan kesahihannya sedangkan alasan mereka mengatakan hadis-hadis al-Shahihan itu memberikan keyakinan adalah kerana ijmak umat di atas kesahihannya. Tetapi, ini tidak bermakna mereka menganggap hadis-hadis yang dikritik itu tidak sahih. Mereka cuma tidak menganggapnya memberikan keyakinan.

Di sini kami bawakan kata-kata Ibnu al-Shalah dalam kitabnya yang amat masyhur dalam sejarah ilmu hadis, Muqaddimah Ibnu al-Shalah yang berbunyi:
ومن فوائدها القول بأن ما انفرد به البخاري ومسلم مندرج في قبيل ما يقطع بصحته لتلقي الأمة كل واحد من كتابيهما بالقبول على الوجه الذي فصلناه من حالهما فيما سبق سوى أحرف يسيرة تكلم عليها بعض أهل النقد من الحفاظ كالدارقطني وغيره وهي معروفة عند أهل هذا الشأن والله أعلم.
Terjemahan: dan antara faedahnya (perbincangan ini), mengatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim secara bersendirian termasuk di dalam bahagian hadis yang diputuskan kesahihannya kerana penerimaan baik umat Islam akan kedua-duanya sebagaimana yang telah kami perincikan berkenaan kedua-dua kitab tersebut sebelumnya melainkan beberapa tempat yang dikritik oleh sesetengah ahli kritik hadis dalam kalangan ulama-ulama pakar seperti al-Daraquthni dan selainnya. Perkara ini masyhur dalam kalangan ahli ilmu ini. Wallahualam. [Hal. 29]

Walau bagaimanapun, ini hanyalah pendapat jumhur ulama. Mereka berpendapat hadis-hadis al-Bukhari semua atau kebanyakannya sahih. Hadis-hadis yang tidak dikritik oleh mana-mana pakar kritik hadis pula dianggap mampu memberikan keyakinan dan boleh dijadikan hujah dalam permasalahan akidah.

Adapun, kami bersetuju dengan pendapat ini melainkan apa yang disebutkan mengenai masalah memberikan keyakinan ataupun zan sahaja. Dalam masalah ini, kami menolak untuk memutuskan mana-mana hadis dapat memberikan keyakinan atau zan kerana keyakinan dan zan itu berbeza dengan berbezanya kekuatan hadis, kewujudan bukti-bukti sokongan, dan sebagainya. Sebab itulah ulama-ulama berselisih dalam menentukan had hadis mutawatir yang mampu memberikan keyakinan. Jadi, dibiarkan sahaja masalah memberikan keyakinan atau zan itu kepada hal ehwal hadis-hadis itu sendiri.

Namun begitu, tidaklah bermakna setiap individu boleh sewenang-wenangnya menerima atau menolak mana-mana hadis sesuka hatinya kerana neraca dalam masalah ini adalah akal yang waras. Mustahil akal yang waras menolak hadis yang diriwayatkan oleh 70 orang rawi pada setiap peringkat di tempat-tempat yang berlainan. Selain itu, akal yang waras tidak akan bermudah-mudahan menolak hadis-hadis ahad yang sahih semata-mata kerana keahadannya. Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan