Ahad, 13 Mei 2012

Menolak Kemudaratan Didahulukan daripada Mendatangkan Kebaikan

Manusia saban masa dan waktu menghadapi persoalan yang membelenggu hidupnya. Memerlukan kadang-kadang perlu memilih antara dua. Mungkin tiga. Juga empat. Dan seterusnya. Kadang-kadang tidak ada pilihan.

Islam mengajarkan, apabila kita diberi pilihan dan ketika itu semua pilihan adalah buruk dan mempunyai mudarat, kita pilih yang paling ringan mudaratnya. Kaedah ini dinamakan:
الأخذ بأخف الضررين
Terjemahan: memilih mudarat yang paling ringan daripada dua mudarat.

Baik, itu kalau kesemua pilihan adalah buruk dan bermudarat. Bagaimana pula kalau bertembung antara yang baik dengan yang buruk? Sudah tentu, tanpa syak dan ragu-ragu lagi pasti yang baik menjadi pilihan.

Itu kalau diberi peluang untuk membuat pemilihan antara beberapa perkara sedangkan pilihan itu tidak dapat tidak mesti dibuat. Kalau pilihan itu tidak wajib dibuat, contohnya, kita tiba-tiba terfikir untuk melaksanakan satu idea. Idea itu wajib ditimbang manfaat dan mudaratnya. Kalau idea itu mempunyai manfaat sahaja sudah tentu tidak ada masalah untuk dilaksanakan. Begitu juga kalau idea itu mempunyai semata-mata mudarat. Andai kata, idea itu mempunyai manfaat dan mudarat, apa yang perlu kita lakukan?

Dalam masalah ini, idea itu perlu ditinggalkan sahaja kerana kaedah menyatakan:
درء المفاسد مقدم على جلب المنافع
Terjemahan: menolak keburukan diutamakan daripada mendatangkan kebaikan.

Ibnu al-Qayyim pernah berhikayat, gurunya Imam Ibnu Taimiyah pernah melarang murid-muridnya daripada mengamalkan amar makruf nahi mungkar dengan menegah tentera-tentera Tatar daripada minum arak. Alasannya, kalau mereka tidak minum arak, mereka akan merampas harta dan membunuh kaum Muslimin. Dalam hal ini, menolak kezaliman tentera Tatar didahulukan daripada menghalang mereka daripada minum arak. Namun begitu, masalah ini lebih sesuai menjadi contoh kepada kaedah ‘memilih mudarat yang paling ringan...’.

Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam sebagaimana riwayat al-Bukhari pernah berkata kepada Siti ‘A’isyah radhiyallahu’anha:
يا عائشة لولا قومك حديث عهدهم بكفر لنقضت الكعبة فجعلت لها بابين باب يدخل الناس وباب يخرجون
Terjemahan: wahai ‘A’isyah, kalaulah bukan kerana kaummu masih baru lepas daripada kekufuran, pasti akan daku hancurkan Kaabah dan aku jadikan baginya dua bab. Satu bab untuk manusia masuk dan satu bab untuk mereka keluar. [Shahih al-Bukhari (126)]

Demikian bagaimana kaedah ini dipraktikkan oleh baginda. Baginda tahu bahawa yang lebih afdal adalah membina Kaabah sebagaimana binaan asal Nabi Ibrahim ‘alaihissalam akan tetapi, kerana takutkan mafsadah iaitu kesan ke atas orang-orang yang baru masuk Islam daripada kalangan kaum Quraisy, baginda membatalkan hasrat itu.

Akan tetapi, dalam kaedah ini terpakai sekiranya maslahat itu bukanlah suatu perkara wajib sebagaimana pembinaan Kaabah sebagaimana asalnya dalam hadis di atas. Hukumnya hanya sunat atau mustahab. Jika wajib sudah tentu baginda tidak akan meninggalkannya. Kalau baginda tetap meninggalkannya meskipun hukumnya wajib, bermakna menjaga orang-orang Quraisy daripada fitnah itu juga adalah wajib kerana kaedah mengatakan:
الواجب لا يترك إلا لواجب
Terjemahan: kewajipan tidak ditinggalkan melainkan kerana kewajipan lain.

Wallahua’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan