Jumaat, 18 Mei 2012

Syarah Shahih al-Bukhari: Basmalah

Imam al-Bukhari memulakan kitab sahihnya dengan bismilahirrahmanirrahim (ejaan Kamus Dewan). Ucapan yang diterjemahkan sebagai ‘dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani’ oleh Sheikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman dipanggil sebagai ‘basmalah’ dalam bahasa Arab. Sama seperti al-hamdu li Allah sebagai hamdalah, la haula wa la quwwah illa bi Allah sebagai hauqalah, dan adama Allah ‘izzak sebagai da’mazah sebagaimana yang dikenali sebagai naht di sisi ulama sharaf.

Anehnya, Imam al-Bukhari yang meninggal dunia pada 256 Hijrah memulakan kitabnya hanya dengan basmalah tanpa hamdalah atau tasyahhud walhal ada hadis menyebutkan:

كُلُّ كَلاَمٍ لاَ يُبْدَأُ فِيهِ بِالْحَمْدُ لِلَّهِ فَهُوَ أَجْذَمُ.
Terjemahan: setiap ucapan yang tidak dimulakan dengan alhamdulillah adalah kudung.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan lain-lain daripada Abu Hurairah radhiyallahu’anhu dengan lafaz Abu Dawud (no. 4842). Sebelum itu, perlu diketahui bahawa para ulama apabila menyebutkan ‘dengan lafaz si fulan’ ertinya hadis tersebut diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza dan lafaz yang disebut adalah daripada si fulan yang dinyatakan itu. Sebagai makluman, hadis tersebut sebenarnya datang juga dengan menyebut basmalah, syahadah, dan zikr menggantikan hamdalah sebagaimana dalam lafaz yang disebutkan di atas.

Para ulama cuba menjawab persoalan ini dengan mengemukakan beberapa jawapan. Antaranya, hadis itu tidak sahih atau sahih tetapi tidak menepati syarat Imam al-Bukhari. Jadi, Imam al-Bukhari tidak mengamalkan hadis tersebut. Berkenaan hadis yang disebutkan tadi, para ulama berselisih pendapat dalam menentukan darjatnya. Kata Abu al-‘Ula al-Mubarakfuri, datuk Shafiyy al-Din al-Mubarakfuri pengarang al-Rahiq al-Makkhtum dalam syarah Sunan al-Tirmidzi: para ulama berselisih tentang hadis tersebut. Sebahagiannya mendha’ifkannya seperti Ibnu Hajar. Sebahagian menghasankannya. Sebahagian lagi pula menyahihkannya. Kata al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qari “hadis sahih, disahihkan oleh Ibnu Hibban dan Abu ‘Awanah. Sa’id bin ‘Abd al-‘Aziz telah memutaba’ah Qurrah sebagaimana yang dikeluarkan oleh al-Nasa’i. [Dar al-Faiha’ 1432 H; jil. 1, hal. 14]

Kami rasa Ibnu Hajar menghasankan hadis tersebut, bukan mendha’ifkannya sebagai yang disebut oleh al-Mubarakfuri. Sebab, kata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari:

والجواب عن الثاني أن الحديثين ليسا على شرطه بل في كل منهما مقال؛ سلمنا صلاحيتها للحجة لكن ليس...
Terjemahan: dan jawapan ke atas kritikan kedua adalah bahawa kedua-dua hadis itu bukan di atas syaratnya malah kedua-duanya ada dikritik. Kita menerima keupayaannya untuk dijadikan hujah tetapi bukanlah... [Dar al-Hadits 1423 H; jil. 1, hal. 9]

Lihat, jelas beliau menganggap hadis ini hasan kerana boleh dijadikan hujah menurutnya sedangkan hadis dha’if tidak layak untuk berdalil dengannya.

Sebagai tambahan, antara yang turut sama menerima hadis ini sebagai sahih atau hasan adalah Imam al-Nawawi dan al-Subki. Syaikh al-Albani pula telah memanjangkan kalamnya ke atas hadis dalam Irwa’ al-Ghalil dan kesimpulan yang dibuat oleh beliau, hadis dha’if. Demikian juga kesimpulan yang didapati oleh para penyemak Shahih Ibnu Hibban yang diketuai oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’uth. Kata mereka: ... dan hadis sebagaimana yang diisyaratkan oleh beliau (al-Nawawi) dikeluarkan oleh Abu ‘Awanah dalam Shahihnya dan disahihkan oleh Ibnu Hibban juga. Terdapat kritikan di dalam sanadnya. Jika diandaikan hadis tersebut sahih, maka riwayat yang masyhur adalah dengan lafaz alhamdulillah dan lafaz-lafaz selainnya yang disebutkan oleh al-Nawawi diriwayatkan dalam sesetengah jalan periwayatan dengan sanad-sanad yang rapuh. [Mu’assasah al-Risalah; nota kaki jil. 1, hal. 173]

Menurut kata-kata mereka, lafaz yang masyhur adalah lafaz hamdalah. Jadi, tinggal persoalan mengapa Imam al-Bukhari tidak menyebut hamdalah sebaliknya berpada dengan basmalah dalam makam ini? Jawapannya, begitu jugalah keadaannya dengan kebanyakan surah dalam al-Quran yang hanya berpada dengan basmalah tanpa hamdalah. Begitu juga dengan amalan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam dalam surat-surat baginda. Kami rasa, inilah jawapan yang kuat bagi pihak Imam al-Bukhari. Di sana ada jawapan-jawapan lain sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam al-Fath tetapi kiranya padanlah dengan jawapan yang kukuh ini. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan