Khamis, 19 April 2012

Laut Mati; Antara Harus dengan Haram


Zaman sudah berubah dan umat Islam mula lupakan agama mereka. Mereka sudah hilang sensitiviti terhadap agama. Cinta kepada agama mula memudar. Mereka tidak kisah untuk memuja-muja artis-artis bukan Islam dan memakai jersi-jersi pasukan bola sepak Barat. Mereka tidak berasa salah untuk membeli produk-produk musuh Islam. Demikian juga mereka sangat bangga apabila berjaya menjejaki bumi UK dan USA hanya semata-mata melancong dan berseronok.

Jadi, tidak peliklah mereka tidak berasa apa-apa berkelah di Laut Mati meskipun para sarjana Islam menyatakan Laut Mati adalah tempat perkampungan kaum Nabi Lut ‘alaihissalam. Hujah mereka mudah sahaja, tidak ada nas yang menyebut demikian. Bagi mereka, asal kepada segala sesuatu adalah mubah selagi tidak ada nas atau dalil yang menyatakan sebaliknya. Begitu juga dengan Laut Mati. Selagi tidak ada nas atau dalil yang mengubah hukum mubah menjadi makruh atau haram, Laut Mati kekal sebagai harus. Apa yang ada cumalah riwayat-riwayat Isra’iliyyat semata-mata. Riwayat-riwayat Isra’iliyyat tidak diterima dalam masalah ini.

Apa yang disebutkan mereka benar. Cuma, mereka terlampau memikirkan keseronokan dunia sementara sehingga tidak bersikap warak lagi. Meskipun hanya riwayat-riwayat Isra’iliyyat yang menyebut tentang keadaan Laut Mati sebagai tempat laknat, tidaklah kita tidak mempedulikannya langsung. Riwayat-riwayat Isra’iliyyat bukan hadis maudhu’ sehingga wujudnya seperti tiada. Riwayat-riwayat Isra’iliyyat adalah sumber-sumber sejarah kuno sama seperti karangan-karangan Diodorus Siculus, Qintus Curtius Rufus, Plutarch, dan lain-lain. Sumber-sumber sejarah kuno ini memang tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan akidah tetapi boleh dijadikan hujah untuk menyokong sesuatu hipotesis dan fakta.

Oleh sebab itulah Rasulullah shallahu’alaihiwasallam membenarkan sahaja umat Islam meriwayatkan daripada Bani Isra’il dengan sabdanya:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ.
Terjemahan: sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat dan riwayatkanlah daripada Bani Isra’il. Tidak ada halangan. Barang siapa berdusta dengan namaku persiapkan tempat duduknya dalam neraka. [Al-Bukhari (3461); al-Tirmidzi (2669)]

Seandainya riwayat-riwayat Bani Isra’il tidak mempunyai nilai di sisi Islam sama sekali sudah tentu baginda tidak akan mengatakan ‘dan riwayatkanlah daripada Bani Isra’il. Tidak ada halangan’ tetapi sebaliknya. Namun begitu, ramai cendekiawan Islam pada hari ini seolah-olah menganggap haram meriwayatkan riwayat-riwayat Isra’iliyyat. Lantaran itulah mereka menyalahkan ulama-ulama silam bermula dengan salaf yang banyak menukilkan riwayat-riwayat Isra’iliyyat sehingga memenuhi kitab-kitab tafsir dahulu kala. Padahal riwayat-riwayat tersebut hanyalah sebagai fakta sejarah untuk memperincikan lokasi dan masa peristiwa yang disebut dalam al-Quran dan sebagainya.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, riwayat-riwayat Isra’iliyyat hanya dianggap sebagai sumber sejarah. Tidak lebih daripada itu. Percaya dengan apa yang disampaikan dalam riwayat-riwayat Isra’iliyyat bukanlah satu i’tiqad kerana i’tiqad hanya sabit melalui wahyu. Percaya hanya sebagai satu kepercayaan. Jika dikatakan haram mempercayai apa-apa yang diterima selain daripada wahyu maka haramlah mempercayai banyak fakta sejarah, sains, dan sebagainya. Ini bukan ajaran Islam.

Tetapi harus diingat, riwayat-riwayat Isra’iliyyat bukan berada pada satu paras sahaja. Riwayat-riwayat Isra’iliyyat terdiri daripada tiga kumpulan; pertama: yang dibenarkan oleh nas; kedua: yang didustakan oleh nas; dan ketiga: yang didiamkan oleh nas. Apa yang kami kemukakan tadi merujuk kepada riwayat-riwayat kumpulan ketiga.

Tidak boleh mendustakan riwayat-riwayat yang didiamkan nas dan tidak juga boleh mengeyakannya kerana riwayat-riwayat tersebut tidak diketahui sejauh mana kebenarannya. Boleh jadi benar dan boleh jadi dusta. Jika dibenarkan, takut-takut dusta. Jika didustakan, takut-takut benar. Oleh sebab itu, selagi tidak ada dalil yang membenarkan atau mendustakannya, umat Islam perlu bertawaqquf; bukan menolaknya sama sekali. Inilah juga pendirian Muslim terhadap mana-mana riwayat sejarah. Tetapi, tidaklah bermakna riwayat-riwayat sejarah hanya sabit benar dan dustanya melalui nas. Kita dianugerahkan akal. Akal boleh digunakan dalam menilai sesuatu riwayat kerana mustahil perlu bertawaqquf daripada riwayat-riwayat sejarah yang menyalahi kenyataan dan fakta.

Sabda Rasulullah shallahu’alaihiwasallam:
لاَ تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلاَ تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا ﴿آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ﴾ الآيَةَ.
Terjemahan: janganlah kalian membenarkan ahli kitab dan janganlah kalian mendustakan mereka tetapi katakanlah “kami beriman dengan Allah dan apa yang Dia turunkan...” [Al-Bukhari (4485)]

Berbalik semula ke dalam persoalan Laut Mati. Disebabkan perihal Laut Mati hanya diceritakan dalam riwayat-riwayat Isra’iliyyat maka umat Islam perlu bertawaqquf dalam masalah itu. Tidak boleh menqath’ikan bahawa Laut Mati sebagai kawasan laknat dan tidak boleh menqath’ikan sebaliknya. Jadi, hukum berkelah dan bersuka ria di Laut Mati tidak jatuh menjadi haram atau kekal sebagai mubah kerana wujud kemungkinan bahawa Laut Mati memang lokasi kaum Nabi Lut. Lebih-lebih lagi, kajian Harun Yahya mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut dalam bukunya The Perished Nations sehingga menguatkan lagi syubhah hukum mengunjungi Laut Mati.

Seandainya dikatakan, memakruhkan Laut Mati bermakna mengamalkan riwayat-riwayat Isra’iliyyat sedangkan pendirian Muslim terhadap riwayat-riwayat tersebut adalah tawaqquf. Bagaimana mungkin bertawaqquf tetapi dalam masa yang sama menyabitkan hukum makruh ke atas perkara yang asalnya mubah seperti Laut Mati?

Jawab kami, sekiranya kami mengamalkan riwayat-riwayat tersebut pasti kami akan menghukumnya haram bukan makruh. Kami mengatakannya makruh kerana wujud syubhah. Apabila wujud syubhah pada sesuatu yang asalnya mubah, maka hukumnya menjadi makruh. Sama seperti makanan yang dikatakan berisi lemak khinzir. Selagi tidak didatangkan dalil yang jelas bahawa makanan tersebut mempunyai khinzir maka hukum makanan tersebut tidak akan jatuh menjadi haram. Tetapi tidaklah bermakna makanan tersebut sama harus seperti makanan-makanan yang diyakini halal yang lain. Hukumnya makruh kerana mendatangi perkara yang syubhah makruh dan meninggalkannya adalah sunat.
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ.
Terjemahan: maka, barang siapa berjaga-jaga daripada perkara syubhah, maka ia telah menjaga agama dan kehormatan dirinya. [Al-Bukhari dan Muslim]

Ingat, Rasulullah shallahu’alaihiwasallam pernah mengarahkan supaya air-air yang diambil daripada telaga kaum Tsamud dibuang. Lihat riwayat Ibnu ‘Umar radhiyallahu'anhu ini:
أَنَّ النَّاسَ نَزَلُوا مَعَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَرْضَ ثَمُودَ الْحِجْرَ فَاسْتَقَوْا مِنْ بِئْرِهَا وَاعْتَجَنُوا بِهِ فَأَمَرَهُمْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ يُهَرِيقُوا مَا اسْتَقَوْا مِنْ بِئْرِهَا وَأَنْ يَعْلِفُوا الإِبِلَ الْعَجِينَ وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَسْتَقُوا مِنَ الْبِئْرِ الَّتِي كَانَ تَرِدُهَا النَّاقَةُ.
Terjemahan: bahawasanya orang ramai turun bersama Rasulullah shallahu’alaihiwasallam ke Hijr, bumi kaum Tsamud. Lalu, mereka pun mengambil air daripada telaga dan membuat adunan roti daripadanya. Rasulullah shallahu’alaihiwasallam pun mengarahkan supaya dicurahkan apa yang mereka ambil daripada telaga itu dan memberikan adunan-adunan itu kepada unta dan mengarahkan mereka supaya mengambil air daripada telaga-telaga yang diingini unta. [Al-Bukhari (3379); Muslim (7657]

Daripada hadis inilah ulama menyatakan ketidakharusan mengunjungi tempat-tempat laknat melainkan terpaksa kerana berada di tengah laluan dan sebagainya. Mereka sama ada mengharamkan atau sekadar memakruhkan; yang penting, tidak menganggapnya sekadar harus.

Sebagaimana biasa, manusia lebih suka mengikut hawa nafsu. Mereka tetap akan mengatakan: masih tidak ada dalil mengatakan Laut Mati sebagai kawasan kaum Nabi Lut. Jadi, hukumnya tetap harus. Bagilah sejuta dalil sekalipun, selagi mereka suka ke sana, mereka akan tetap ke sana.

Kami hanya menyampaikan. Jangan sampai terkena sama azab Allah terhadap kaum Nabi Lut; andai benar mereka adalah kaum itu.

Ya Allah, selamatkan kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan