Jumaat, 13 April 2012

Hukum Wanita Berlakon

Syariat Islam sejak kedatangan Nabi Muhammad shallallahu’alaihiwasallam sehingga kini masih kukuh dan utuh menyelami kehidupan manusia. Bermula dari adab-adab membuang air sehinggalah kepada pemerintahan negara, semuanya dibicarakan Islam. Islam tidak akan membiarkan manusia menghadapi sesuatu tanpa panduan.

Antaranya, hukum wanita berlakon. Hakikatnya, berlakon sendiri diperselisihkan alim-ulama akan keharusannya. Tidak kurang yang mengharamkan. Ini fakta. Seharusnya setiap Muslim yang takut akan Allah awal-awal lagi tidak menceburi lapangan yang hina ini. Begitu juga manusia-manusia yang punyai harga diri dan maruah selain rasa malu. Tidak perlu fatwa daripada ulama-ulama untuk menghindari syubhah seumpamanya. Hati kecil pun sudah mampu menilai.

Diriwayatkan bahawa Abu Tsa’labah al-Khusyani radhiyallahu’anhu bertanya Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam: wahai Rasulullah, beritahu kepadaku apa yang halal dan apa yang haram ke atas diriku; jawab baginda:
الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَالْإِثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ
Terjemahan: perkara yang baik itu apa-apa yang jiwa itu damai dan hati itu tenang kepadanya. Sementara perkara dosa itu apa-apa yang jiwa itu tidak damai dan tidak tenang kepadanya; meskipun orang-orang yang berfatwa telah berfatwa kepadamu. [Ahmad (17742); al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (18031); disahihkan oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arna’uth]

Seandainya zat berlakon itu diharuskan adakah harus bagi wanita menyertainya? Tanpa ragu-ragu lagi kami jawab persoalan ini sebagai membantu umat Islam memahami agama mereka setelah para ulama dan mufti membisu dalam masalah ini bahawa: wanita Islam diharuskan berlakon dengan syarat lakonan tersebut tidak ditonton oleh lelaki-lelaki ajnabi. Disyaratkan juga mengikut sesetengah mazhab untuk tidak dilihat oleh wanita-wanita bukan Islam; kendatipun dalam keadaan menutup aurat. Begitu juga wanita-wanita fasiq menurut sesetengah pendapat.

Berkata Syaikh Sulaiman al-Jamal (men. 1204 H) dalam hasyiyahnya ke atas kitab Manhaj al-Thullab oleh Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari (926 H) semasa menjelaskan maksud pengarang dalam kata-katanya “dan diharamkan pandangan wanita kafir kepada wanita Islam”:
أَيْ حَرُمَ عَلَى الْمُسْلِمَةِ تَمْكِينُ الْكَافِرَةِ مِنْ نَظَرِهَا وَالتَّكَشُّفُ لَهَا
Terjemahan: yakni diharamkan bagi wanita Islam membiarkan wanita kafir melihat kepadanya dan mendedahkan aurat kepadanya. [jil. 16, hal. 267]

Demikianlah pandangan mazhab Syafi’i yang ashah dalam masalah. Adapun kami lebih cenderung kepada pendapat yang sebaliknya. Wallahu’alam.

Jadi, untuk memenuhi syarat ini, tidak dapat tidak lakonan wanita itu mestilah dilakukan di tempat yang tertutup dengan makna tidak dapat dimasuki oleh tiga golongan tadi khususnya lelaki ajnabi kerana tidak ada khilaf antara fuqaha’ bahawa diharamkan ke atas lelaki ajnabi untuk melihat wanita Islam mahupun bukan Islam tanpa keuzuran dan dapat menimbulkan fitnah sementara berhibur bukanlah keuzuran yang diterima syarak. Sedangkan belajar pun tidak dikira keuzuran, apatah lagi berhibur.

Sebelum itu perlu difahami bahawa walaupun muka dan tapak tangan bukan aurat di sisi pendapat yang mu’tamad dan adzhhar dalam mazhab sehingga tidak wajib ditutup, tidak bermakna lelaki boleh melihat wanita yang menutup aurat sewenang-wenangnya. Para ulama sendiri telah menamakan seluruh tubuh wanita sebagai ‘aurah al-nadzhar iaitu aurat pandangan yang tidak boleh dilihat oleh lelaki ajnabi untuk membezakannya dengan aurat yang pertama tadi, aurat yang wajib ditutup.

Perlu diperhatikan bahawa fitnah yang dimaksudkan di sini bukannya syak wasangka atau tuduhan orang terhadap pelaku tetapi syahwat. Ertinya, seorang lelaki tidak boleh memandang kepada mana-mana wanita secara bersyahwat. Disebabkan sukar untuk mengetahui adakah seseorang lelaki itu memandang dengan syahwat atau tidak, menimbulkan fitnah ataupun tidak boleh dijadikan ‘illah untuk mengharamkan penonjolan wanita di hadapan lelaki kerana dikira ghair mundhabithah. Oleh sebab itu, wanita dilarang daripada berlakon sama sekali tidak kira lelaki yang menonton lakonan itu melihatnya dengan syahwat atau tidak; melainkan lelaki yang telah dipastikan tidak bersyahwat atau sangat lemah syahwatnya seperti yang terpotong kemaluan dan yang terlalu tua.

Kaedah yang diguna pakai dalam mengeluarkan hukum haram ini adalah:
الإعانة على المعصية معصية
Terjemahan: menolong perkara maksiat adalah maksiat.

Maknanya, lakonan wanita Islam di hadapan lelaki dikira membantu lelaki melakukan maksiat dengan memandang kepada mereka dengan syahwat. Atas dasar menghalang persubahatan dalam perkara haram, wanita diharamkan berlakon di hadapan mereka.

Begitu juga wanita dilarang menyanyi di hadapan lelaki ajnabi walaupun suara wanita bukan aurat menurut pendapat mu’tamad mazhab. Hujahnya sama sahaja, suara perempuan mampu membangkitkan syahwat. Tidak kira seorang pendengar lelaki itu terangsang mahupun tidak, wanita tidak boleh menyanyi di hadapannya.

Seandainya lelaki dibenarkan melihat perempuan dan mendengar nyanyiannya dengan alasan tidak merangsang nafsu. Sudah pasti, lelaki-lelaki yang fasiq akan mengambil kesempatan untuk melakukan dosa dan mengaku bahawa mereka memandang aurat dan menikmati suara wanita tanpa apa-apa perasaan. Mereka juga boleh bersalam dan berpeluk dengan wanita ajnabi dengan alasan yang sama.

Selain itu, lakonan wanita tidak boleh dirakam kerana dikhuatiri rakaman itu ditonton oleh lelaki-lelaki ajnabi melainkan rakaman itu disimpan dengan cara yang diyakini tidak akan dapat dicapai oleh mereka. Tetapi, perkara itu seakan-akan mustahil. Jadi, adalah lebih selamat tidak merakam lakonan tersebut lebih-lebih lagi kalau pelakon mendedahkan aurat. Pada masa itu, hukumnya jatuh kepada haram serta-merta kerana aurat yang didedahkan bukan sahaja aurat pada pandangan malah aurat yang wajib ditutup. Ketika ini, tidak ada kelonggaran lagi demi menutup kemungkaran yang lebih besar.

Begitulah pandangan yang benar dalam masalah ini. Tidak dinafikan ada pendapat yang membenarkan wanita berlakon di hadapan lelaki dalam kalangan ulama masa kini tetapi pandangan tersebut syazz dan dikira termasuk dalam kesilapan-kesilapan dalam berfatwa. Tidak seharusnya fatwa-fatwa yang ganjil dan aneh dijadikan alasan untuk melakukan maksiat kepada Allah ta’ala. Allah maha mengetahui isi hati kita. Jangan tipu!

Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan