Jumaat, 13 April 2012

Hukum Kompang Mengikut Mazhab Syafi’i


Tidak syak lagi bahawa Islam adalah agama fitrah. Dengan kata lain, Islam meraikan keperluan tabii manusia. Antaranya adalah berhibur. Namun begitu, Islam tidak membuka jalan seluas-luasnya kepada manusia untuk berhibur tanpa batas dan had. Di sana ada garis panduan yang digariskan oleh Islam. Kita wajib menurutinya.

Antara hiburan yang biasa dinikmati oleh manusia adalah nyanyian dan muzik. Masing-masing maklum, bukan semua nyanyian adalah harus. Tetapi, ramai antara kita yang menyangka semua alatan muzik adalah halal. Tidak kiralah, kompang, gendang, rebana, gitar, biola, piano, saksofon mahupun seruling; semua harus. Benarkah begitu?

Kali ini, kami tidak mahu bercakap tentang hukum nyanyian dan muzik secara umum. Kami hanya ingin berbicara tentang kompang. Disebabkan ramai antara kita yang bermazhab Syafi’i, maka di sini kami nyatakan bahawa: hukum bermain kompang dan mendengar paluannya menurut pendapat yang ashah adalah HARUS. Menurut pendapat yang shahih pula, kompang adalah HARAM kecuali pada hari raya, majlis khatan, dan majlis perkahwinan. Sesetengah ulama menambah pengecualian-pengecualian lain seperti menyambut kepulangan orang yang hilang.

Di sini kami perincikan pendapat-pendapat tersebut berserta nas-nas ulama dalam masalah ini:
Pendapat pertama: mengharuskan kompang secara mutlak. Pendapat ini adalah pendapat Imam al-Juwaini dan al-Ghazali dalam kalangan mutaqaddimin dan Imam Ibnu Hajar dan Syihab al-Din al-Ramli dalam kalangan muta’akhkhirin. Pendapat ini dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Raudhah:
وقال الإمام والغزالي حلال
Terjemahan: kata imam (iaitu: al-Juwaini) dan al-Ghazali: halal. [jil 11, hal. 228]

Beliau juga menshahihkan pendapat ini dalam al-Minhaj dengan katanya:
ويجوز دف لعرس وختان‌ وكذا غيرهما في الأصح
Terjemahan: dan kompang diharuskan pada majlis perkahwinan dan khatan; demikian juga pada waktu-waktu selainnya mengikut pendapat yang lebih shahih... [hal. 497]

Pendapat kedua: mengharamkan kompang dan mengharuskannya pada hari raya, majlis perkahwinan, dan majlis khatan. Imam al-Nawawi mengemukakan pendapat ini dengan katanya:
أما الدف فضربه مباح في العرس والختان‌‌؛ وأما في غيرهما فأطلق صاحب المهذب والبغوي وغيرهما تحريمه
Terjemahan: adapun memukul-mukul gendang adalah mubah pada majlis perkahwinan dan khatan. Adapun pada waktu-waktu lain, pengarang al-Muhadzdzhab (iaitu: al-Syirazi), al-Baghawi, dan lain-lain menaskan keharamannya. [jil 11, hal. 228]

Pendapat ketiga: mengharamkan kompang dan mengharuskannya pada hari raya, majlis perkahwinan, majlis khatan, dan ketika menzahirkan kegembiraan seperti menyambut orang hilang dan kelahiran. Antara yang berpendapat demikian adalah al-Khathib al-Baghdadi yang mentafsilkan ‘waktu-waktu selainnya’ dalam kata-kata Imam al-Nawawi di dalam al-Minhaj tadi dengan:
أي العرس والختان مما هو سبب لإظهار السرور كولادة وعيد وقدوم غائب وشفاء مريض
Terjemahan: (pada waktu-waktu selainnya) iaitu selain majlis perkahwinan dan khatan yang merupakan alasan untuk menzahirkan kegembiraan seperti kelahiran, hari raya, kedatangan seseorang, dan sembuhnya orang yang sakit; [jil 19, hal. 348]

Menurut pendapat ini, hukum asal kompang adalah haram. Sebab itu, jika tanpa sebab-sebab yang diterima syarak, hukum kompang kekal sebagai haram.

Demikianlah hikayat kami akan mazhab Syafi’i dalam masalah kompang sementara kami berpendapat bahawa kompang hanya diharuskan pada hari raya dan majlis perkahwinan kerana telah sabit bahawa kompang termasuk dalam alat-alat muzik yang diharamkan syariat secara sahih lagi sarih. Selagi tidak ada dalil yang sahih lagi sarih yang mentakhshishkan keharaman kompang, maka kompang kekal sebagai haram. Dilihat bahawa dalil-dalil yang sahih dan sarih hanya mengecualikan hukum tersebut pada hari raya dan majlis perkahwinan; tidak pada keadaan-keadaan lain.

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan