Sabtu, 7 April 2012

Cinta Pandang Pertama


Minggu lepas, saya ke Amman memborong kitab. Hajatnya menghabiskan JD 100 sahaja untuk kitab berserta tambang. Sesampainya di Maktabah Dandis lama, saya masuk ke bahagian yang jarang saya lawati. Di sanalah mata saya terpaku melihat beberapa buah kitab yang tidak pernah saya dengar namanya. Antaranya, Kanz al-Raghibin oleh Imam al-Mahalli syarah ke atas Minhaj al-Thalibin oleh Imam al-Nawawi dan Fatawa al-Ramli. Lantas, tampa membuang masa lagi, saya terus mengambil kitab tersebut dan dimasukkan ke dalam senarai kitab-kitab yang akan saya beli kali ini. Semuanya JD 25. Tepat.

Hasrat hati mengutip bunga-bunga mazhab Syafi’i di taman. Di sini tidak banyak. Saya pun melangkah ke Maktabah Dandis baru yang berada tidak lebih dari satu kilometer dari situ. Masing-masing berada di sebelah jalan. Dalam satu barisan. Betapa girangnya hati sesampainya di sana. Kitab-kitab tersusun cantik di atas rak-rak. Saya pun bergegas ke bahagian kitab-kitab fikah mazhab Syafi’i. Banyak. Keluaran Dar al-Minhaj, Dar Ibnu Hazm, dan Dar al-Faiha’ memang memikat kalbu. Namun sayang, duit tidak cukup. Saya tidak mampu meminang kesemua kitab-kitab pilihan hati. Saya hanya mampu menggondol Mughni al-Muhtaj syarah Minhaj al-Thalibin oleh al-Syirbini, al-Manhaj al-Qawim oleh Ibnu Hajar al-Haitami, Fath al-Rahman syarah Zubad al-Ramli, dan beberapa kitab lain. Semuanya hampir mencecah JD 100. Saya terpaksa ke bank untuk menambah bajet. Tidak kira, saya mesti beli. Nak beli, nak beli, nak beli juga!

Kitab-kitab besar mazhab seperti al-Majmu’ syarah al-Muhadzdzab dan Raudhah al-Thalibin oleh al-Nawawi tidak mampu dibawa pulang. Padahal, kedua-dua kitab itu sangat penting untuk mengetahui pendapat muktamad dalam mazhab. Saya juga tidak mampu menawan kitab al-Bayan syarah al-Muhadzdzab oleh al-‘Amrani, ulama kurun keenam bermazhab Syafi’i berakidah Hanabilah, terbitan Dar al-Minhaj yang mengandungi perbahasan-perbahasan fikah yang meliputi pelbagai mazhab. Fikah perbandingan namanya. Setebal 14 jilid dengan harganya sebanyak JD 62. Tidak lupa juga disebutkan di sini, karya al-Damiri yang meninggal pada 808 Hijrah berjudul al-Najm al-Wahhaj, juga syarah Minhaj al-Thalibin dengan ketebalan 10 jilid. Harganya JD 50. Tetapi, saya tidak mampu melainkan sekadar membuat tatapan sementara yang kekal dalam sanubari sehingga ke hari ini. Sayang, esok lusa abang datang lagi bawa sayang pulang. Jangan nakal-nakal, ya!

Benarlah kata orang, mencintai seseorang tidak semestinya perlu memilikinya. Saya tidak cukup tampan untuk digandingkan bersama al-Bayan dan al-Najm al-Wahhaj. Saya tidak sekaya teman-teman yang mendapat zakat beribu-ribu malah berbelas-belas ribu ringgit untuk meminang Hasyiyah al-Bujairami, al-‘Abbadi, al-Syirwani, ‘Amirah, dan al-Qalyubi. Alangkah indahnya hidup kalau tiba-tiba sahaja duit JD 1000 jatuh dari langit. Saya pasti akan serta-merta berkahwin dengan al-Bayan dan al-Najm al-Wahhaj. Selain Nihayah al-Mathlab, Nihayah al-Muhtaj, Tuhfah al-Muhtaj, Asna al-Mathalib, dan puluhan kitab-kitab fikah Syafi’i demi menekuni fikah ulama-ulama Syafi’iyyah secara mendalam sebelum beralih merenangi lautan fikah mazhab-mazhab lain. Apa-apa pun, apa yang sudah ada ini sudah cukup buat permulaan. Bersyukur kepada Allah yang mengurniakan daku rezeki sebanyak ini. Terima kasih ayahanda dan jua bonda atas segala sokongan kewangan untuk anakanda ini. Semua kitab yang ada di tiga rak di rumah ini, semuanya daripada ayahanda dan bonda. Terima kasih. Arigato!

Tidak sabar rasanya untuk balik Tanah Melayu. Di sana ada ramai ulama-ulama mazhab Syafi’i. Saya bertekad untuk menuntut ilmu daripada mereka di pondok-pondok dan di masjid-masjid. Saya betul-betul ingin menguasai fikah Syafi’i. Bukan untuk taasub kepada Imam al-Syafi’i, al-Rafi’i, al-Nawawi, Ibnu Hajar, mahupun al-Ramli tetapi untuk melangkah lebih jauh, menjadi ulama sefakih al-Qaradhawi, Ibnu Baz, dan al-Zuhaili. Amin.

1 ulasan: