Sabtu, 7 April 2012

Catatan Berkenaan Sunnah

Memang benar Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam adalah manusia biasa tetapi dalam masa yang sama baginda adalah seorang nabi dan rasul. Oleh sebab itu, baginda memiliki peribadi, sifat, dan kelakuan sebagai seorang manusia dan sebagai seorang nabi dan rasul; kedua-duanya dalam satu masa dan satu ketika.

Sebelum melangkah jauh dalam memahami sunnah, umat Islam perlu faham bahawa sunnah secara istilahnya membawa empat pengertian; seperti berikut: pertama: hadis; lawannya al-Quran. Kedua: perkara yang disyariatkan; lawannya bid’ah. Ketiga: manhaj agama yang benar; lawannya manhaj agama yang sesat. Keempat: mandub; lawannya makruh.

Namun begitu, masyarakat Melayu dan Islam rata-ratanya memahami sunnah dengan makna: perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam. Sebenarnya pengertian ini adalah satu cabang daripada pengertian pertama iaitu hadis. Hadis ertinya perkataan dan perbuatan perakuan baginda shallallahu’alaihiwasallam. Tapi, hanya perbuatan yang difahami umum sebagai sunnah; tidak perkataan mahupun perakuan.

Berpegang dengan kefahaman inilah kita terkeliru dalam memahami sunnah dalam erti kata yang sebenar. Hanya perbuatan baginda shallallahu’alaihiwasallam yang dianggap sebagai sunnah sementara perkataan, perakuan, dan keazaman baginda tanpa disedari dikeluarkan daripada cakupan sunnah. Puasa Isnin Khamis terkenal sebagai sunnah lalu ramai yang mengamalkannya manakala puasa selang sehari dan puasa tiga hari sebulan tidak ramai yang melakukannya kerana tidak menganggapnya atau menguranginya daripada martabat sunnah.

Bertitik tolak dari situlah, sunnah sepatutnya difahami dengan mengambil kira keempat-empat pengertian sunnah dan bersifat amaliah. Jadi, sunnah perlu difahami sebagai: perkataan dan perbuatan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam sebagai syariat kepada umat Islam. Dengan pengertian ini, luaslah pengertian sunnah meliputi perbuatan yang dilakukan oleh baginda ataupun tidak seperti puasa Isnin Khamis dengan puasa selang sehari; dan terkeluarlah sunnah ghair tasyri’iyyah seperti berkahwin lebih daripada empat dan berbahasa Arab.

Pada masa yang sama kita perlu memahami bahawa pengamalan sunnah bukanlah dengan meniru bulat-bulat setiap perkataan dan perbuatan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam meskipun tasyri’i. Sebaliknya kita perlu memahami dan menghayati maksud baginda di sebalik perkataan dan perbuatan baginda. Contohnya, baginda berkenderaan dengan menaiki unta dan kuda. Jika kita mengambil zahir perbuatan pasti kita akan menganggap unta dan kuda adalah kenderaan sunnah dan sunnah menunggang kedua-dua haiwan itu. Akan tetapi, jika kita mengambil kira maksud baginda menaiki unta dan kuda, tidak menjadi masalah bagi seseorang untuk menunggang motosikal dan kereta kerana kesemua alat pengangkutan tersebut memiliki sifat dan ciri-ciri yang sama sebagai wasilah menyampaikan kepada sesuatu tempat dengan lebih cepat dan mudah.

Kesimpulannya, dalam memahami sunnah kita perlu bijak membezakan antara sunnah tasyri’iyyah dengan ghair tasyri’iyyah selain perlu pandai memahami maksud perkataan dan perbuatan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam supaya tidak tersilap melebihkan ittiba’ shuri lalu mengetepikan ittiba’ haqiqi yang sebenarnya dituntut oleh baginda shallallahu’alaihiwasallam.
***
Disebabkan sunnah adalah sebahagian daripada agama maka sunnah tetap relevan dan sesuai dengan kehidupan manusia pada setiap tempat dan masa serelevan dan sesesuainya agama untuk setiap tempat dan masa. Namun begitu, tidaklah ini secara mutlak sebagaimana kaedah ‘berubahnya hukum dengan berubahnya tempat dan masa’. Jadi, pengamalan sunnah perlu juga ditimbang mengikut tempat dan masa; atau keadaan.

Mengamalkan sunnah membuta tuli tanpa meraikan keadaan sebenarnya satu keaiban bagi seorang Muslim kerana hakikatnya mengamalkan sunnah tanpa melihat kepada kesesuaian keadaan adalah bertentangan dengan prinsip sunnah itu sendiri. Contoh yang paling mudah, membaca surah-surah panjang ketika solat zuhur kerana ingin mengamalkan sunnah sedangkan waktu solat sangat-sangat singkat disebabkan kelas, peperiksaan, atau sebagainya.

Sungguhpun begitu, amalan-amalan sunnah tidak berada pada satu kedudukan. Sunnah sama seperti hukum-hakam yang lain. Ada sunnah yang wajib seperti solat lima waktu dan ada yang mandub seperti solat sunat rawatib. Ada juga sunnah yang berada antara wajib dengan sunat seperti solat berjemaah di masjid dan ada yang diperselisihkan keadaannya antara sunat dengan harus seperti minum air zamzam secara berdiri. Jadi, keanjalan sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam adalah bergantung kepada kedudukan sunnah itu sendiri selain keadaan setempat dan semasa.

Barangkali seseorang tersilap dalam mengamalkan sunnah sama ada dengan mengamalkan sunnah ghair tasyri’iyyah dengan niat ta’abbud dengan zatnya ataupun gagal meraikan keadaan sebagaimana yang dituntut oleh sunnah, tetapi ini tidak boleh dijadikan sasaran untuk ‘menembak’ mereka sebagai jumud, kolot, dan sebagainya. Tidak sepatutnya saudara-saudara kita yang ikhlas dalam mahabbah mereka kepada Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam dan sunnah baginda dilabel sebegitu rupa. Malah, kita sewajarnya menjaga tutur kata kita daripada melukakan hati saudara kita dengan gelaran-gelaran yang buruk seperti Wahhabi, literalisme, konservatif, dan mutasyaddidin sedangkan mereka tidak menginginkan daripada perjuangan mereka melainkan mencari reda Allah.
***
Manusia yang paling kuat pengamalan mereka terhadap sunnah adalah para sahabat radhiyallahu’anhum. Menipulah andai dikatakan bahawa ada selain mereka yang lebih taasub kepada sunnah baginda. Sama seperti al-Quran yang tidak mampu difahami melainkan dengan hadis maka demikianlah sunnah, tidak dapat difahami kecuali dengan atsar sahabat. Inilah tafsir terbaik bagi sunnah.

Namun begitu, tidak memadai membaca atsar-atsar sahabat yang terkandung di dalam perut kitab-kitab besar seperti Muwaththa’ Malik mahupun Sunan al-Darimi untuk memahami sunnah. Kita perlukan ulama sebagai petunjuk jalan. Merekalah pewaris para nabi yang menyambung salasilah agung perjuangan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam. Sementara itu, sebaik-baik ulama yang mampu membantu dalam memahami sunnah adalah ulama-ulama hadis. Merekalah golongan yang benar-benar memahami sunnah. Lantas, pelajarilah ilmu hadis dalam kitab-kitab hadis dengan ulama-ulama hadis di atas manhaj ahli hadis, pasti kalian akan menemui kebenaran kalam ini!

Imam Ahmad bin Hanbal serta pendekar-pendekar sunnah yang lain bermadah:
دين النبي محمد أخبار * نعم المطية للفتى آثار
لا ترغبن عن الحديث وآله * فالرأي ليل والحديث نهار
ولربما جهل الفتى أثر الهدى * والشمس بازغة لها أنوار
Ertinya: agama Nabi Muhammad adalah hadis; sebaik-baik tunggangan bagi pemuda adalah atsar; janganlah engkau benci akan hadis dan ahli-ahlinya; kerana akal itu malam sedangkan hadis itu siang; barangkali pemuda itu tidak tahu akan jejak petunjuk; sementara mentari cerah benderang, punyai cahaya. [Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abd al-Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih (no. 763); oleh al-Khathib al-Baghdadi dalam Syaraf Ashhab al-Hadits (no. 156) daripada ‘Abdah bin Ziyad; oleh al-Harawi dalam Dzamm al-Kalam (no. 347) daripada ‘Abd al-Rahman bin Mahdi, dan lain-lain]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan