Isnin, 6 Februari 2012

Catatan Sempena Maulidur Rasul SAW

Maulidur Rasul SAW (Maulid al-Rasul SAW) ataupun kelahiran Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam adalah pada 9 Rabiulawal Tahun Gajah mengikut pendapat ulama-ulama muhaqqiqin seperti al-Hafidzh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Badr al-Din al-‘Aini. Namun begitu, majoriti umat Islam memilih 9 Rabiulawal sebagai tarikh kelahiran baginda.

Bukan perbahasan bilakah baginda lahir ingin diperkatakan di sini. Perkara ini telah dibahaskan oleh guru saya, Maulana Muhammad Asri Yusoff dengan hujah yang mantap dalam risalah beliau ‘Penilaian Semula Tarikh Kelahiran dan Kewafatan Nabi Muhammad SAW’ yang diterbitkan dan diedarkan oleh Darul Kautsar. Tetapi, tentang Maulidur Rasul itu sendiri.

Seperti isu tahlil dan kenduri arwah, Maulidur Rasul juga termasuk dalam masalah-masalah yang hebat diperbincangkan oleh alim-ulama zaman-berzaman. Ada antara mereka yang menyunatkan menyambut maulid dan ada yang sekadar mengharuskannya. Tidak kurang juga yang mengharamkannya dengan melabelnya sebagai bid’ah. Tetapi, di Malaysia, umat Islam ghalibnya mengamalkan pandangan Kaum Tua, sufi, dan sebagainya yang menganggapnya sunat.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang perbezaan pendapat dalam kalangan mereka dan dalil-dalil mereka meskipun saya berpegang teguh dengan pendapat yang membid’ahkannya. Hujahnya sangat kemas: asal ibadat adalah haram melainkan wujud dalil yang mensyariatkannya; sedangkan menyambut maulid tidak ada sama sekali dalil sandarannya. Adapun dalil-dalil yang dibuat-buat oleh sahabat-sahabat kita daripada aliran pondok telah disanggah antaranya oleh Darul Kautsar. Jadi, mereka melakukan sesuatu tanpa hujah dan dalil. Cukup.

Apa-apa pun yang mereka sebut mengenai kesunnahan menyambut maulid maka ketahuilah saudaraku bahawa jika benar sunat, pasti akan dilakukan oleh ulama-ulama Ahli Sunnah sejak seribu tahun yang lepas. Sebaliknya, idea maulid ini dicetuskan oleh Syiah di Mesir pada zaman Fatimiyyah pada kurun keenam Hijrah. Sekali lagi kita mengikut jejak langkah Syiah dalam bid’ah mereka.

Imam Ahli Sunnah yang agung, Ibnu Katsir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim merumuskan satu kaedah yang patut dihafal dan dipegang erat oleh umat Islam. Kata beliau ketika mentafsirkan ayat 38 surah al-Najm dan berbicara tentang amalan menyedekahkan pahala membaca al-Quran kepada orang-orang yang telah meninggal:
...وباب القربات يقتصر فيه على النصوص ولا يتصرف فيه بأنواع الأقسية والآراء...
Terjemahan: perkara-perkara ibadat tertakluk kepada nas, tidak boleh ditimbang melalui qiyas dan akal. [hal. 465 jil. 7]

Daripada kaedah ini, dapatlah difahami bahawa setiap ibadat tidak dapat dilakukan melainkan dengan dalil syarak. Tidak boleh dilakukan berdasarkan pertimbangan akal semata-mata. Sekiranya ditimbang dengan akal, barangkali akan adalah golongan yang menyambut kelahiran Abu Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman radhiyallahu’anhum sebagaimana Syiah menyambut hari lahir ‘Ali bin Abu Thalib radhiyallahu’anhu. Bukankah memperingati sahabat juga satu kebaikan?

Namun, Islam adalah agama berprinsip. Dengan pasak inilah Islam tetap berdiri sebagai agama yang benar sehingga ke akhir zaman nanti. Setiap bid’ah ditentang sehingga tidak ada ruang bagi sesiapapun untuk mengubah agama. Bayangkan bid’ah-bid’ah ini dibiarkan sahaja. Lihat apa yang akan terjadi pada Islam keesokannya. Sudah pasti kuburan akan dijadikan tempat membaca al-Quran menggantikan masjid dan rumah, tarian dan nyanyian di sana-sini atas nama zikir, muncul zikir-zikir baharu menggantikan zikir-zikir Rasulullah shallahu’alaihiwasallam, dan sebagainya. Tetapi Allah telah berjanji untuk memelihara Islam daripada diselewengkan oleh syaitan-syaitan manusia dengan mengutus ulama-ulama sebagai pendekar agamanya. Sayangnya, ulama-ulama ini ditentang sebagaimana Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dalam ekspedisi dakwah beliau. Beliau dituduh menyesatkan agama nenek moyang mereka. Hari ini episode luka itu kembali. Mempertahankan sunnah dianggap sesat dan bid’ah dianggap sunat. Inilah sunnah berjuang. Orang-orang yang membela bid’ah tidak pernah merasai manisnya membela Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dan ajaran agamanya. Demikian juga orang-orang yang berada antara dua manzilah, mereka tidak mampu menikmati indahnya berjuang mempertahankan sunnah.

Bid’ah menyambut maulid tidak bermakna bid’ah memperingati maulid. Rata-rata umat Islam keliru. Mereka tidak dapat membezakan antara ihtifal dengan dzikra. Ihtifal bererti sambutan sementara dzikra bermakna peringatan. Barangkali ulama-ulama yang membid’ahkan maulid menyamakan antara ihtifal dengan dzikra namun bagi saya kedua-dua perkara ini berbeza dan pada zan saya mereka pun beranggapan demikian. Mereka tidak mengharamkan memperingati hari kelahiran Rasulullah shallahu’alaihiwasallam. Mereka hanya mengharamkan upacara yang disusun khusus sempena hari kelahiran baginda. Ini baru bid’ah.

Adapun mengadakan majlis ilmu berbicara tentang Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam, nasab, keluarga, sirah hidup baginda, dan sebagainya tidak syak lagi bahawa perkara ini tidak dilarang oleh agama. Lainlah sekiranya majlis ilmu ini sengaja diadakan pada 9 atau 12 Rabiulawal atas dasar ta’abbud maka ini menjadi bid’ah kerana ta’abbud tidak mesti tidak mesti dilakukan dengan dalil. Sebagaimana tidak harus bagi seseorang itu mengkhususkan hari Isnin untuk membaca al-Quran atas dasar ta’abbud dengan hari Isnin maka begitu jugalah tidak diharuskan mengkhususkan 9 atau 12 Rabiulawal sebagai hari untuk memperingati kelahiran Rasulullah shallahu’alaihiwasallam atas dasar ta’abbud dengan tarikh tersebut.

Inilah antara mafahim yajibu an tushahhah; persepsi-persepsi yang mesti diperbetulkan.

Cinta kepada Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam bukanlah dengan mengadakan satu sambutan sempena kelahiran baginda bukan juga dengan bertawassul dengan nama baginda mahupun bertabarruk dengan makam baginda tetapi dengan mengamalkan sunnah baginda. Disebabkan sesuatu amalan itu tidak dapat dilakukan melainkan dengan ilmu, maka wajiblah bagi kita semua untuk mempelajari sunnah baginda.

Akan tetapi dakwaan mencintai Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam selalunya dakwaan kosong semata-mata. Buktinya, berapa ramai antara kita mendakwa cinta akan baginda tetapi zikir dan wirid Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam diketepikan. Mereka lebih mengutamakan zikir dan wirid guru-guru mereka. Ambil sahaja selawat sebagai contoh terbaik. Mereka lebih gemar membaca selawat gubahan guru daripada selawat yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam kepada kita. Apakah ini namanya cinta?

Selain itu, ramai sahabat-sahabat kita yang menyambut maulid lebih arif tentang kata-kata Imam al-Syafi’i, al-Ghazali, dan sebagainya daripada hadis-hadis Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam. Malah, mereka tidak berusaha mengenali surat cinta baginda kepada umat melalui Shahih al-Bukhari, Muslim, dan kitab-kitab hadis yang lain. Mereka tidak dapat membezakan antara mana kata-kata kekasih kita, Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam dengan kata-kata sahabat, tabi’in, dan ulama sehingga terbiasa berdusta atas nama baginda dengan sengaja mahupun tanpa sengaja. Sekali lagi, apakah ini namanya cinta?!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan