Khamis, 19 Januari 2012

Wajah Perempuan di Sisi Mazhab Syafi’i

Antara polemik yang masih kedengaran dalam lapangan perbincangan ilmiah adalah subjek aurat dan purdah. Masalah ini walaupun nampak agak tua sebenarnya terlalu baharu jika dibandingkan dengan usia umat Islam. Hal ini disebabkan perbezaan cara hidup dan pengamalan agama oleh masyarakat Islam pada hari ini dengan masyarakat Islam zaman dahulu.

Pada kurun-kurun yang lampau, wanita-wanita Islam semuanya menutup aurat. Malah, mereka juga menutup muka mereka daripada pandangan lelaki ajnabi. Amalan ini kemudiannya menghilang disebabkan kedatangan penjajah Barat ke bumi umat Islam dan bangkitnya pergerakan pembebasan wanita. Ramai ulama yang terpengaruh. Berjubah dan berserban tetapi berhati Amerika dan British.

Demikianlah sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Luthf Allah Khaujah, profesor madya di Jabatan Akidah, Universiti Umm al-Qura, Mekah dalam bukunya, al-Dalalah al-Muhkamah li Ayat al-Hijab ‘ala Wujub Ghitha’ Wajh al-Mar’ah [Maktabah al-Asadi; cet. kedua tahun 2009] merujuk kepada teks ulama-ulama silam dan gambar-gambar masyarakat zaman dahulu. Hanya yang disangsikan, adakah nenek moyang kita bangsa Melayu sebelum kedatangan penjajah juga berpurdah atau menutup muka? Ini persoalan yang tidak terjawab. Walau bagaimanapun, disebabkan umat Islam di Tanah Melayu, Malaysia mengisytiharkan bahawa mereka bermazhab Syafi’i, adalah baik diterangkan kedudukan muka wanita di sisi ulama-ulama Syafi’iyyah.

Alhamdulillah, setelah menjerumuskan diri ke dalam persoalan ini, saya mendapati pendapat muktamad di sisi mazhab Syafi’i: muka wanita bukan aurat. ‘Aurat’ di sini adalah aurat jenis pertama iaitu aurat yang wajib ditutup. Akan tetapi, muka juga adalah aurat. ‘Aurat’ jenis kedua iaitu yang haram dilihat oleh ajnabi.

Sesetengah ilmuwan tersilap mentafsirkan ibarat ‘aurat pada pandangan ajnabi’ dan sebagainya sebagaimana ibarat-ibarat kitab-kitab fikah Syafi’iyyah dengan mengatakan bahawa: muka bukan aurat yang wajib ditutup dalam solat tetapi aurat yang wajib ditutup daripada pandangan lelaki-lelaki ajnabi. Walau bagaimanapun, kesilapan ini berasas kerana tidak sedikit ulama muta’akhkhirin mazhab yang berpendapat demikian. Antaranya Syaikh al-Bujairimi (men. 1221 H) dengan katanya:
وللحرة أربعة عورات فعند الأجانب جميع البدن وعند المحارم والخلوة ما بين السرة والركبة وعن النساء الكافرات ما لا يبدو عند المهنة وفي الصلاة ما ذكره الشارح
Terjemahan: wanita merdeka mempunyai empat aurat. Aurat mereka di sisi lelaki-lelaki ajnabi adalah seluruh badan. Di sisi mahram dan berseorangan antara pusat dan lutut. Daripada perempuan-perempuan kafir apa-apa yang tidak terbuka semasa bekerja. Dalam solat apa yang disebutkan oleh pensyarah (iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan) [Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj; al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 2 hal. 477; lihat juga Tuhfah al-Habib ‘ala Syar hal-Khathib oleh al-Bujairimi]

Selain al-Bujairimi, terdapat beberapa ulama Syafi’iyyah lagi yang mewajibkan wanita menutup muka seperti Syaikh al-‘Abbadi (men. 992 H), Syaikh al-Ziyadi (men. 1024 H), Syaikh al-Jamal (men. 1204 H), dan Syaikh al-Syirwani (men. 1301 H). Demikian juga Syaikh Salim bin Samir al-Hadhrami (men. 1271 H) dalam kitabnya, Safinah al-Naja sebagaimana zahir ibaratnya:
وعورة الحرة والأمة عند الأجانب جميع البدن
Terjemahan: dan aurat wanita merdeka dan hamba di sisi lelaki-lelaki ajnabi adalah seluruh badan [Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja fi Ma Yajib ‘ala al-‘Abd li Maulah ‘ala Madzhab al-Imam al-Syafi’i oleh Syaikh Nawawi al-Jawi (men. 1316 H); Dar Ibn Hazm, Lubnan; cet. pertama 2011 M; hal. 205]

Pendapat sebahagian ulama-ulama muta’akhkhirin mazhab ini diterima pula oleh pengarang-pengarang al-Fiqh al-Manhaji, sebuah kitab fikah Syafi’i moden. Mereka mengatakan:
وأما عند الرجال الأجانب فجميع بدنها عورة فلا يجوز لها أن تكشف شيئًا من بدنها إلا لعذر كما لا يجوز لهم أن ينظروا إليها إن كشفت شيئًا من ذلك
Terjemahan: adapun di sisi lelaki-lelaki ajnabi maka seluruh badannya adalah aurat. Jadi, tidak harus baginya mendedahkan sedikit pun daripada tubuhnya kecuali kerana sesuatu keuzuran sebagaimana tidak harus bagi mereka (lelaki-lelaki ajnabi) melihat kepadanya jika ia (wanita itu) mendedahkan sesuatu daripadanya (tubuhnya) [Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madzhab al-Imam al-Syafi’i oleh Dr. Mushthafa al-Khin, Dr. Mushthafa al-Bugha, dan al-Syaikh ‘Ali al-Syarbiji; Dar al-Qalam, Dimasyq; cet. keempat tahun 1992 H, juz 1, hal. 126]

Tetapi, pendapat ini bercanggah dengan pendapat muktamad di sisi mazhab yang ditetapkan dan dijelaskan oleh imam-imam besar mazhab seperti Imam al-Rafi’i (men. 623 H), al-Nawawi (men. 676 H), Ibnu Hajar al-Haitami (men. 974 H), Syams al-Din al-Ramli (men. 1004 H), dan sebagainya dari kalangan mutaqaddimin dan sebahagian ulama-ulama muta’akhkhirin. Oleh sebab itulah, terdapat ramai juga ulama muta’akhkhirin mazhab yang berpendapat muka wanita tidak wajib ditutup. Bahkan, Syaikh Nawawi al-Jawi yang mensyarahkan Safinah al-Naja pun menolak untuk menerima zahir ibarat pengarang dengan menerangkan:
حتى الوجه والكفين ولو عند أمن الفتنة فيحرم عليهم أن ينظروا إلى شيء من بدنها ولو قلامة ظفر منفصلة منها
Terjemahan: (seluruh badan) termasuk muka dan dua tapak tangan walaupun ketika aman daripada fitnah. Jadi, haram bagi mereka untuk melihat kepada sesuatu pun daripada badannya hatta serpihan kuku yang terpisah daripadanya [hal. 205]

Daripada ulasan beliau, jelas bahawa yang dimaksudkan dengan aurat di sisi ajnabi adalah aurat yang haram dilihat oleh ajnabi bukan wajib ditutup. Tetapi, ada juga pensyarah Safinah al-Naja yang memahami ibarat pengarang mengikut zahirnya. Barangkali pengarang memilih pendapat muta’khkhirin yang mewajibkan wanita menutup muka kerana ramai antara muta’khkhirin yang berpendapat demikian.

Di sana, terdapat ulama dan ilmuwan yang menyangka bahawa seluruh ulama mazhab mewajibkan wanita menutup muka dan mendakwa bahawa mereka hanya berselisih dalam menentukan keauratan muka. Antaranya Syaikh ‘Abd Allah Ramadhan Musa dalam sanggahannya ke atas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Katanya ketika mengulas kata-kata al-Ziyadi di atas:
وبعض الشافعية خالف في التسمية فقط فرأى أن الوجه لا يسمى عورة لكن يجب على المرأة تغطيتها ويحرم عليها كشفه أمام الرجال
Terjemahan: sebahagian ulama-ulama Syafi’iyyah berselisih dalam penamaan sahaja. Jadi, mereka berpendapat muka tidak dinamakan aurat tetapi wajib ditutup oleh wanita dan haram baginya mendedahkannya di hadapan lelaki. [Khulashah al-Radd ‘ala al-Qaradhawi wa al-Judai’; Nasyr al-Atsariyyah, Kaherah; cet. pertama tahun 2010 M; jil. 3 hal. 94]

Kenyataan beliau silap kerana pada hakikatnya khilaf antara mereka bukan khilaf lafdzhi tetapi khilaf jauhari. Ya, tidak dinafikan para ulama Syafi’iyyah berselisih dalam penamaan muka sebagai aurat atau tidak. Ini memang khilaf lafdzhi. Tetapi, mereka juga berselisih dalam mewajibkan wanita menutup muka atau hanya menyunatkannya. Ini bukan lagi lafdzhi tetapi jauhari.

Pendek kata, ulama-ulama mazhab bersependapat bahawa muka wanita tidak perlu ditutup ketika solat. Mereka juga tidak berselisih bahawa muka wanita tidak boleh dilihat oleh lelaki ajnabi. Cuma mereka berselisih, adakah wanita wajib menutup muka mereka daripada pandangan ajnabi ataupun tidak?

Mengikut usul dan kaedah mazhab Syafi’i, pendapat muktamad adalah pendapat yang dipilih oleh Imam al-Rafi’i dan al-Nawawi. Jika tidak ada sebarang nas daripada mereka dalam masalah, maka pendapat Imam Ibnu Hajar, al-Ramli, dan sebagainya didahulukan daripada pendapat ulama-ulama lain. Jadi, pendapat muktamad dan sahih di sisi mazhab adalah muka wanita tidak wajib ditutup tetapi haram dilihat kerana pendapat yang mewajibkan wanita menutup muka adalah pendapat-pendapat sebahagian ulama muta’akhkhirin yang menyalahi pendapat yang disepakati oleh seluruh atau jumhur mutaqaddimin. Manakala menutup muka adalah sunat melainkan ketika ihram. Barangkali kerana inilah, Syaikh Muhammad al-Zuhaili memuktamadkan pendapat ini dalam kitabnya al-Mu’tamad.

Walau bagaimanapun, pendapat ini hanyalah pendapat muktamad mazhab Imam al-Syafi’i. Pendapat muktamad di sisi sesuatu mazhab hanya wajib diamalkan oleh pengikut mazhab yang tidak mampu merajihkan pendapat-pendapat lain. Jadi, pendapat muktamad mazhab tidak semestinya rajih dan tepat. Saya sendiri cenderung untuk mewajibkan wanita menutup muka-muka mereka setelah mendapati dalil yang menjadi pegangan ulama-ulama yang mengharuskan wanita mendedahkan muka mereka adalah lemah. Hanya sahaja saya tidak yakin untuk memuktamadkannya kerana tidak berpeluang untuk meneruskan kajian dalam masalah ini. Insya-Allah saya akan meneruskan kajian dalam bab ini jika berkesempatan kerana sekarang saya ditugaskan untuk mengkaji tentang tsulatsiyyat dalam Musnad al-Darimi. Doa-doakan.

Penghargaan kepada Ummu Yusra.

Nota:

Saya sudah melakukan kajian khas dalam bab ini dalam buku Jawapan Terbuka dalam Polemik Hukum Wanita Menutup Muka dan lama kemudian mendapati pendapat muktamad dalam mazhab adalah wajib menutup muka bersalahan dengan apa yang saya sebutkan dalam artikel ini. Ini kerana wujud nas-nas yang jelas daripada kalangan ulama mutaqaddimin mengenai kewajipan amalan ini.

4 ulasan:

  1. Sebelum ini saya ada mengatakan pendapat muktamad dalam mazhab Shafi'i, tidak wajib menutup muka. Alasannya, Imam al-Nawawi dalam Sharh Muslim menukilkan pandangan tidak wajib ini daripada Qadi 'Iyad dan tidak mengomentarinya, seolah-olah beliau menyetujuinya.

    Baru-baru ini, saya membaca kitab Fatawa al-Nawawi, beliau ditanyakan apa hukumnya perempuan mendedahkan muka dan sebahagian tubuh (atau tangan mengikut sesetengah manuskrip) kepada perempuan bukan Islam - kerana mengikut satu pendapat, aurat perempuan Islam dengan bukan Islam seperti aurat dengan lelaki ajnabi. Beliau menjawab, tidak boleh. Ini menunjukkan beliau mewajibkan perempuan memakai purdah.

    Di sisi Shafi'iyyah, pendapat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi adalah pendapat paling muktamad di sisi mazhab - melainkan pendapat peribadi yang dikenali sebagai ikhtiyarat. Maka, mazhab Shafi'i, purdah wajib. Muka aurat atau tidak, itu masalah lain.

    BalasPadam
  2. Jadi, menutup aurat termasuk wajah ialah wajib?

    BalasPadam
  3. Khilaf termasuk tentang keauratan muka. Di sisi mazhab Shafi'i dan Hanbali, hukumnya wajib. Begitu juga di sisi sebahagian besar ulama muta'akhkhirin mazhab Hanafi dan Maliki. Menurut satu pendapat yang dikeluarkan oleh Ibnu Hajar al-Haytami daripada mazhab Shafi'i, hukumnya hanya wajib jikalau seorang wanita yakin bahawa wajahnya direnung oleh lelaki ajnabi atau ia mendedahkan mukanya dengan tujuan untuk dilihat oleh lelaki ajnabi.

    Tetapi, saya syorkan kepada para Muslimat menutup muka ketika berada di tempat terbuka seperti di jalan raya, kedai makan, dan pasar raya serta di rumah sekiranya dikhuatiri fitnah. Wallahua'lam.

    Sila baca: http://archive.org/details/JawapanTerbuka020913

    BalasPadam
  4. Assalaamu'alaikum wa rahmatullah.

    -----------
    Sesetengah ilmuwan tersilap mentafsirkan ibarat ‘aurat pada pandangan ajnabi’ dan sebagainya sebagaimana ibarat-ibarat kitab-kitab fikah Syafi’iyyah dengan mengatakan bahawa: muka bukan aurat yang wajib ditutup dalam solat tetapi aurat yang wajib ditutup daripada pandangan lelaki-lelaki ajnabi. Walau bagaimanapun, kesilapan ini berasas kerana tidak sedikit ulama muta’akhkhirin mazhab yang berpendapat demikian. Antaranya Syaikh al-Bujairimi (men. 1221 H) dengan katanya:
    -----------

    Yang tersilap adalah orang-orang awwam dari kalangan Salafi masa moderen sekarang, bukan para ahli ilmu. Orang-orang Salafi yang memulai menyebarluaskan di Internet kesalahan ini; yaitu dengan mengatakan bahwa di madzhab Syafii ada 2 pendapat tentang niqab: wajib dan mustahab.

    Mereka tidak paham perbedaan aurat nazhor (pandangan) dengan aurat yang ditutupi. Dan kalaupun telah paham setelah belajar singkat, mereka tidak mau memperbaiki kesalahan mereka, melainkan memaksa berpegang pada sedikit ucapan ulama yang mewajibkannya, kemudian dijadikannyalah sebagai "salah satu pendapat madzhab."

    Madzhab Syafi'i sendiri sudah jelas, terang benderang sejak dahulu hingga sekarang, bahwa wajah bukanlah aurat dan tidak wajib ditutup.

    Asy-Syirazi rahimahullah berkata:

    "Tentang wanita merdeka, maka seluruh badannya adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan. Berdasarkan ucapan Allah Ta'ala: 'Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa tampak daripadanya.' Ibnu Abbas berkata, 'wajahnya dan telapak tangannya.' Alasan lain adalah Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam melarang wanita ihram memakai sarung tangan dan niqab. Kalau wajah dan telapak tangan adalah aurat, maka tidak akan diharamkan untuk menutupnya. Dan alasan lainnya adalah keperluan untuk mendedahkan wajah dalam jual-beli dan menampakkan telapak tangan saat memberi dan menerima sesuatu. Itulah mengapa wajah dan telapak tangan bukan aurat." [al-Muhadzdzab]

    Pernyataan di atas diulang-ulang di dalam kitab-kitab fiqih masyhur karya para mujtahid besar yang mengerti ke-4 madzhab, seperti dalam al-Mughni oleh Ibnu Qudamah. Kita tidak perlu pendatang-pendatang baru (newcomers) yang hendak re-write apa kata Madzhab hanya karena ingin sesuai dengan pendapat pribadinya.

    BalasPadam