Selasa, 31 Januari 2012

Jawapan kepada Adil dengan Ulama Berkenaan Hadis Menyapu Muka

Assalamualaikum...

Sahabatku Adil dengan Ulama,
Alhamdulillah, syukurku kepada Allah taala kerana masih ramai pemuda Muslim yang berada dalam barisan mereka yang cintakan ilmu. Cuma, di sini, kita berselisih tentang sesuatu perkara, namun tidak bermakna kita saling bermusuh. Saya amat gerun, kalau-kalau dosa saya kepada Allah menyebabkan hidayat-Nya tidak sampai kepada saya serta menyebabkan segala kata-kata saya tidak ada nilaiannya di sisi Allah. Saya juga takut kalau taasub saya kepada diri saya dan demi menjaga maruah diri saya menyebabkan saya tidak berlaku adil.

Berkenaan kata-kata saudara bahawa Imam al-Syaukani menyatakan bahawa sunat menyapu muka selepas solat dengan membaca sepotong zikir, saya tidak menemuinya berkata demikian secara jelas. Cuma, beliau ada menyebutkan hadis tentang ini tanpa mengkritik hadis ini sama sekali. Namun, bagi saya, ini tidak bermakna beliau menganggap hadis ini sahih.

Ramai juga yang menyangka bahawa sukut (senyap) pengarang daripada mengkritik hadis adalah tanda bahawa pengarang menerimanya sama ada sebagai sahih atau pun hasan; atau sekadar dha'if.

Saya tidak bersetuju dengan cara ini. Imam al-Syaukani hanya mendatangkan hadis tersebut sambil menyandarkan kepada Imam al-Thabarani. Wallahua’lam.

Saya tidak mampu mengkritik hadis, maka saya perlu merujuk kepada para muhaddits. Syaikh al-Albani mengulas:

(Hadis ini) dha’if jiddan.

Diriwayatkan oleh al-Thabarani di dalam al-Ausath dan al-Khatib daripada Katsir bin Salim Abi Salamah (katanya): aku dengar (kemudiannya) aku lupa. Aku (al-Albani) kata: sanad ini sangat dha’if disebabkan Katsir. Kata al-Bukhari dan Abu Hatim: munkar al-hadits. Kata al-Nasa'i dan al-Azdi: matruk. Ulama-ulama lain pula mendhai’fkannya. Hadis ini disebut oleh al-Sayuthi dalam al-Jami’ daripada al-Khathib dan pensyarahnya tidak memberi apa-apa ulasan. Aku menemui jalan lain (untuk hadis ini); diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni dan Abu Nu’aim dalam al-Hilyah daripada Salam daripada Zaid al-Ammi (العمي) daripada Mu’awiyah bin Qurrah (قرة) daripada Anas. (Jalan atau hadis) ini palsu. Salam ialah al-Thawil, pendusta.

Sekian kata-kata al-Syaikh al-Albani.

Maka, apa yang sahabat saya ini katakan bersandarkan kepada kata-kata Imam al-Haitami (atau al-Haitsami?) bahawa dalam salah seorang rawi sanad ini bernama Zaid bin al-Hawarij dikhilafkan sama ada tsiqah atau dha'if yang menyebabkan sanad ini berkemungkinan untuk dihukumkan sahih adalah tidak tepat, kerana menurut al-Albani, ada rawi di dalam sanad tersebut bernama Salam iaitu al-Thawil yang menurutnya adalah pendusta. Jadi, sanad hadis tersebut menjadi maudhuk.

Ini kalau benar Salam al-Thawil adalah kazzab.

Maka, kata-kata saudara sahabatku, bahawa hadis ini hanyalah dhai'f semata-mata dha'if adalah silap kerana di sana ada rawi kazzab menjadikan sanad itu maudhu'. Sanad maudhu' tidak dapat menaikkan apa-apa darjat hadis lain.

Ini kalau benar Salam kazzab. Saya akan terangkannya di bawah nanti.

Apabila saya meneyemak kembali kata-kata Imam al-Haitsami dalam kitab Majma’ al-Zawa’id, saya rasa apa yang sahabat saya nukilkan itu masih belum sempurna.

Kata al-Haitsami:

Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Bazzar seumpamanya dengan beberapa sanad dan di dalamnya ada Zaid al-‘Ammi yang bukan seorang yang telah menganggapnya tsiqah. Jumhur telah mendha’ifkannya. Rawi-rawi lain salah satu sanad al-Thabarani adalah tsiqah dan pada sesetengahnya ada khilaf.

Sekian kata-kata al-Haitsami.

Maka, Imam al-Haitsami menyebutkan: dan sesetengah rawi itu ada khilaf. Perkataan ini perlu diperhatikan kerana ini bermaksud, rawi-rawi lain hadis itu mungkin juga tsiqah yang menyebabkan hadis ini sahih dan dha'if tetapi tidak terlampau dha'if atau pun rawi-rawi lain itu juga dhaif maka hadis tersebut menjadi hasan atau pun dhaif jiddan.

Berkenaan dakwaan al-Albani bahawa Salam al-Thawil adalah pendusta. Di sini saya nyatakan jarh ulama tentangnya:

- Yahya bin Ma’in mengatakan: dha’if al-hadits,
- Ahmad bin Hanbal mengatakan: munkar al-hadits
- Yahya bin Ma’in juga berkata: dha’if, hadisnya tidak ditulis
- Yahya bin Ma’in juga berkata: laisa bisyai’.
- Al-Bukhari mengatakan: Salam bin Salam al-Sa’di al-Thawil (riwayatnya) daripada Zaid al-‘Ammi, mereka (ulama-ulama hadis) meninggalkannya.
- Al-Nasaie berkata: matruk al-hadits.
- Ahmad bin Hanbal juga mengatakan: ia meriwayatkan hadis-hadis munkar
- Yahya bin Ma’in juga mengatakan: mempunyai hadis-hadis munkar
- ‘Ali bin al-Madini mengatakan: dha'if.
- Ibnu ‘Ammar mengatakan: bukan hujjah.
- Al-Jauzajani mengatakan: bukan tsiqah.
- Abu Hatim mengatakan: dha’if al-hadits, mereka (ulama hadis) meninggalkannya.
- Abu Zur’ah mengatakan: dha’if.
- Al-Nasa'i mengatakan: matruk.
- Ibnu Khirasy mengatakan: kazzab
- Ibnu Khirasy juga mengatakan: matruk.
- Abu al-Qasim al-Baghawi mengatakan: dha’if al-hadits jiddan.
- Ibnu al-Jarud mengatakan: tsiqah.
- Al-‘Ijli mengatakan: dha’if
- Al-Saji mengatakan: mempunyai hadis-hadis munkar.
- Al-Hakam mengatakan: ia meriwayatkan hadis-hadis maudhu'.
- Abu Nu’aim mengatakan: matruk dengan ittifaq.

Semua kata-kata di atas diambil dari kitab al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal dan Tahzib al-Tahzib.
Manakala ulama-ulama berselisih tentang Zaid al-‘Ammi; tsiqah dan dha'if.

Selepas membaca jarh-jarh ulama di atas, saya rasa yang sebetulnya, Salam al-Thawil adalah matruk al-hadits bukanlah kazzab sebagaimana yang didakwa oleh al-Albani. Namun, mungkin Syaikh Muhaddits al-Albani menggunakan kaedah mendahulukan jarh daripada ta'dil atau memilih jarh yang paling berat daripada jarh-jarh lain. Ini hanya andaian, mungkin beliau ada alasan tersendiri.

Namun, saya lebih suka mengatakan Salim al-Thawil matruk al-hadits sahaja.

Catatan: kata al-Bukhari matruk al-hadits yang digunakan oleh beliau bermaksud rawi tersebut tidak boleh digunakan untuk berhujah dengannya sebagaimana kata-katanya: setiap yang aku kata munkar al-hadits, maka tidak harus berhujah dengannya. Dalam riwayat lain, katanya: tidak halal meriwayatkan daripadanya. Berkenaan Salam, beliau berkata: تركوه iaitu mereka meninggalkannya. Dalam sanad yang satu lagi ada rawi bernama Katsir yang dijarh al-Bukhari sebagai matruk al-hadits.

Jadi, kita boleh membuat beberapa andaian:

- Kalau Zaid al-‘Ammi tsiqah sementara Salam al-Thawil dha'if, maka sanad hadis menjadi dha'if.
- Kalau Zaid al-‘Ammi dha'if sementara Salam al-Thawil dha'if, maka sanad hadis menjadi dhai'f jiddan.
- Kalau Zaid al-'Ammi tsiqah sementara Salam al-Thawil kazzab, maka sanad hadis menjadi maudhuk.
- Kalau Zaid al-‘Ammi tsiqah sementara Salam al-Thawil tsiqah, maka sanad hadis menjadi sahih.

Namun, kebarangkalian ketiga dan keempat sukar diterima kerana hampir keseluruhan ulama mendha'ifkannya, bukan terus mendustakan atau mentsiqahkannya.

Kesimpulannya, hadis berkenaan sunatnya menyapu muka selepas solat (sebenarnya, dalam hadis disebutkan menyapu atas kepala dan dahi, bukan muka) mempunyai dua sanad yang kedua-duanya dha'if.

Mungkin ada yang akan mengatakan: hadis lemah kalau disokong dengan sanad lain maka menjadi hasan li ghairih atau bi majmu' thuruqih.

Bagi saya, hadis tersebut masih lagi dha'if kerana hanya mempunyai dua sanad yang pulanya dha'if. Ada kemungkinan hadis ini menjadi hasan lighairih. Namun, sanadnya terlalu sedikit dan hanya diriwayatkan dari seorang sahabat, iaitu Anas RA. Adalah aneh perbuatan selepas solat yang dilakukan oleh Rasulullah lebih dari lima kali sehari tidak diriwayatkan oleh sahabat lain selain Anas RA; itupun kalau sahih! Sepatutnya, kalau benar Rasulullah SAW selalu melakukannya, pasti akan ramai yang meriwayatkannya. Kalau tidak diriwayatkan melalui hadis qauli pun pasti akan ada sahabat yang meriwayatkan secara fi'li. Jika ada, sila beritahu saya!

Jika ada yang berkata, Rasulullah SAW memang ada melakukannya namun bukan secara berterusan dan yang melihat baginda SAW melakukan perkara ini hanyalah Anas RA. Jawabnya, adakah ada riwayat bahawa sahabat yang mulia ini ada melakukannya walaupun sekali?

Sungguh aneh pula, mengapa masyarakat Melayu dan sebagainya menyapu muka, bukan menyapu kepada sebagaimana yang tersebut dalam salah satu riwayat. Riwayat satu lagi pula menyebut, menyapu dahi. Maka, bercanggah pula dengan amalan kita, menyapu muka.

Kepala, muka, dan dahi adalah bahagian-bahagian kepala manusia yang berlainan. Dalam ayat wudhu' dalam surah al-Ma'idah, ada disebutkan dengan mafhumnya: dan basuhlah muka-muka kalian dan tangan-tangan kalian hingga ke siku, serta sapulah kepala kalian.

Ini jelas menunjukkan kepala dan muka itu berlainan.

Kalau ada yang berkata: amalan menyapu muka memang salah, tapi penuntut-penuntut pondok tidak menyapu muka, sebaliknya menyapu kepala dan dahi sebagaimana hadis.

Jawabnya, anda benar dan saya salah. Saya salah sebab menyangka amalan muktabar di sisi ulama Kaum Tua adalah menyapu muka, bukan kepala.

Kesimpulannya, jika ada antara saudara-saudara saya ini yang masih ingin menggunakan hadis ini, silakan. Saya sudah nyatakan hujah-hujah saya.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa hadis-hadis lemah tidak boleh dijadikan hujah dalam menyunatkan sesuatu amalan. Hadis dha'if hanya boleh digunakan dalam menyatakan kelebihan amalan, tempat, dan peribadi. Saya pelik, mengapa orang yang menerima bahawa hadis lemah tidak boleh menjadi hujah dalam hukum-hakam masih menggunakannya dengan alasan fadha’il al-a’mal. Ini bukan fadha’il tetapi hukum. Hukum terbahagi kepada lima: harus, wajib, sunat, haram, dan makruh. Menyatakan bahawa menyapu muka selepas solat itu sunat, bukankah sunat itu hukum?

Saya kesuntukan masa untuk mencari kata-kata al-Hafidzh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Imam al-Sayuthi tentang syarat-syarat menggunakan hadis dha'if. Namun, saya masih ingat bahawa ada tiga syarat yang terdapat dalam kitab Muhadharat fi 'Ulum al-Hadits oleh Harits Sulaiman al-Dhari yang mengambilnya daripada Tadrib al-Rawi oleh al-Sayuthi iaitu:

- Tidak terlalu dha'if.
- Berada di bawah sesuatu perkara yang sudah dipastikan hukumnya melalui nas-nas dan kaedah yang diterima. Dengan kata lain, kandungan hadis dhai'f tersebut hendaklah sesuatu yang memang ada asal dan sandarannya dalam agama.
- Tidak dii’tiqadkan bahawa hadis ini memang berasal daripada Nabi SAW.

Syarat kedua dalam bahasa Arabnya berbunyi: أن يندرج تحت أصل معمول به yang secara literalnya bermaksud: hendaklah termasuk di bawah asal yang diamalkan. Contohnya solat lima waktu. Solat lima waktu memang diwajibkan secara mutawatir. Maka, hadis-hadis yang menyatakan fadhilat dan ancaman meninggalkan solat lima waktu boleh diterima meskipun dhai'f dengan syarat tidak terlalu dha'if dan tidak diyakini bahawa hadis tersebut daripada lisan Nabi Muhammad SAW sendiri.

Saya mengatakan: mana-mana pihak yang mengatakan hadis dhai’f boleh digunakan dalam fadha’il lantas menggunakan hadis ini dalam dakwaan mereka tentang kesunnahan menyapu muka adalah silap. Kadang-kadang mereka bukan tersilap, tetapi sengaja menyilapkan diri. Hanya demi menjaga mazhab dan kata-kata gurunya!

Hal ini disebabkan saya dengar dan saya baca sendiri kata-kata mereka yang taasub dengan mazhab dan kata-kata guru mereka menggunakan slogan: hadis dha'if boleh digunakan dalam fadha’il al-a’mal padahal mereka menggunakannya dalam selain fadha’il al-a’mal.

Sebelum penutup, saya ingin tegaskan, saya tidak bermazhab Kaum Muda, Salafi, atau Wahhabi walaupun banyak pandangan mereka yang saya pertahankan. Jika ada pandangan mereka yang menyalahi al-Quran dan sunnah, saya mudah-mudah akan menolaknya. Begitu juga dengan mazhab Kaum Tua, Asy’ari, dan Syafie.

Kita bersatu di bawah satu panji, al-Quran dan al-Sunnah menurut tafsiran ulama-ulama muktabar di sisi Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah dengan mendahulukan ulama salaf. Kita tidak mentafsir al-Quran dan hadis mengikut pendapat kita semata-mata.

Akal kitakan pendek!

Terima kasih saudaraku. Saya suka bantahan secara ilmiah sebegini. Saya insya-Allah tidak akan taasub kepada pendapat diri saya dan rela menarik semula kata-kata saya yang silap dan salah. Contohnya, saya menarik semula pendapat saya mengenai keharusan secara mutlak menjamakkan solat ketika hujan yang diamalkan oleh orang-orang Arab di sini padahal saya sudah menyerang habis-habis Saudara Shahrul Ifwat yang sedikit syadid dalam hal ini.
Semoga dengan perbahasan ini, lebih banyak kajian ilmiah terhasil.

Memanglah tidak dinafikan, apabila kita berbahas pada perkara-perkara khilafiyyah sebegini, sebenarnya kita meninggalkan keutamaan kita berbahas tentang al-Quran, sunnah, dosa, pahala, syurga, neraka, sifat mahmudah, sifat mazmumah, dan sebagainya yang dapat meningkatkan iman kita.

Selain itu, berbahas juga menyebabkan kita saling bertelingkah dan berasa takabbur dan riya' apabila nyata ia berada di pihak yang benar. Pada masa yang sama, kita sebenarnya menyibukkan diri dalam perkara yang tidak perlu seterusnya meninggalkan perkara yang lebih perlu.

Sebagai contoh, saya yang mengatakan menyapu muka selepas solat tidak sunat kerana tidak tsabit menerusi hadis yang sahih dan sarih dan saya meninggalkan amalan tersebut; tapi, adakah saya juga meninggalkan banyak amalan-amalan yang disepakati keharamannya?

Masya-Allah, semoga Allah mengampuni saya.

Saya orang jahat.

Saya membicarakan hadits sedangkan saya insan khabits.

Doakan saya supaya diampuni Allah.

Saya ingin masuk syurga bersama-sama kaum Muslimin yang lain.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Catatan: ini artikel lama yang diterbitkan dalam blog saya yang lama sebagai menjawab komentar seorang pengunjung terhadap artikel 'Siapa Ahli Sunnah? Dr. Asri atau Yusri?'. Saya memaparkan makalah tersebut di sini sebagai perkongsian ilmiah.

Timba dan Perigi

Dari Kutub Utara hingga Gurun Sahara
Dari musim luruh hingga musim bunga
Dari hening malam hingga dingin pagi
Dari waktu dinihari hingga saat sore hari;
Timba itu masih belum mengaku kalah
Masih belum jemu meski sudah lelah
Tak silu-silu bertanyakan setiap perigi
Ada yang menjawab tak bersedia lagi
Yang menolak pun wujud, pedih sekali
Manakan sepadan sahaya dengan puteri
Sesaat berlalu bulan pun jatuh ke atas riba
Alangkah girangnya, perigi mari menyapa
Biar khalayak segala enggan memandang
Dia sudi mendamping sambil menyandang
Jawatan permaisuri kepada si timba dagang
Jawatan sarung kepada sebilah pedang.

Terima kasih timba hulurkan
Terima kasih kanda ucapkan.

Jumaat, 27 Januari 2012

Cinta Mu’tah; Episode Empat


I

Salju terjun lagi
Dari awang-awangan nan tinggi
Jatuh di atas bumi cinta
Hinggap di atas bumi Mu’tah.

Ketika mawar cinta begitu dahaga
Akan siraman nyaman tapi bertenaga
Oleh seorang puteri dari Sarang Semut
Hanya sahaja ia manusia; bukan seekor semut!

Kapas-kapas salju itu
Tidak selalu turun begitu
Duga kalbu apakah ini petanda
Bahawa ribut rindu itu akan melanda?

II

Mawar cintaku pun ligat memekar
Di sebalik cita menjadi pendekar terdakar
Hati mengacan sebuah balaisah bahagia
Di dalam kota iffah bersemadi dalam cahaya.

III

Kali ini salju membawa cinta
Dan kali ini juga salji membawa dusta
Nah sangkaku lebat hingga ke petang
Rupanya cerah di tengah siang.

IV

Esok aku tidak akan mudah percaya
Takkan mudah lagi untuk diperdaya
Dengan kilau gemerlap sang adiratna
Di tanah Mu’tah bertuah ini, di mana-mana.

Ibnu Anas al-Kutawi,
Mu’tah, al-Karak, Jordan,
4 Rabiulawal 1432 Hijrah.

Khamis, 19 Januari 2012

Wajah Perempuan di Sisi Mazhab Syafi’i

Antara polemik yang masih kedengaran dalam lapangan perbincangan ilmiah adalah subjek aurat dan purdah. Masalah ini walaupun nampak agak tua sebenarnya terlalu baharu jika dibandingkan dengan usia umat Islam. Hal ini disebabkan perbezaan cara hidup dan pengamalan agama oleh masyarakat Islam pada hari ini dengan masyarakat Islam zaman dahulu.

Pada kurun-kurun yang lampau, wanita-wanita Islam semuanya menutup aurat. Malah, mereka juga menutup muka mereka daripada pandangan lelaki ajnabi. Amalan ini kemudiannya menghilang disebabkan kedatangan penjajah Barat ke bumi umat Islam dan bangkitnya pergerakan pembebasan wanita. Ramai ulama yang terpengaruh. Berjubah dan berserban tetapi berhati Amerika dan British.

Demikianlah sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Luthf Allah Khaujah, profesor madya di Jabatan Akidah, Universiti Umm al-Qura, Mekah dalam bukunya, al-Dalalah al-Muhkamah li Ayat al-Hijab ‘ala Wujub Ghitha’ Wajh al-Mar’ah [Maktabah al-Asadi; cet. kedua tahun 2009] merujuk kepada teks ulama-ulama silam dan gambar-gambar masyarakat zaman dahulu. Hanya yang disangsikan, adakah nenek moyang kita bangsa Melayu sebelum kedatangan penjajah juga berpurdah atau menutup muka? Ini persoalan yang tidak terjawab. Walau bagaimanapun, disebabkan umat Islam di Tanah Melayu, Malaysia mengisytiharkan bahawa mereka bermazhab Syafi’i, adalah baik diterangkan kedudukan muka wanita di sisi ulama-ulama Syafi’iyyah.

Alhamdulillah, setelah menjerumuskan diri ke dalam persoalan ini, saya mendapati pendapat muktamad di sisi mazhab Syafi’i: muka wanita bukan aurat. ‘Aurat’ di sini adalah aurat jenis pertama iaitu aurat yang wajib ditutup. Akan tetapi, muka juga adalah aurat. ‘Aurat’ jenis kedua iaitu yang haram dilihat oleh ajnabi.

Sesetengah ilmuwan tersilap mentafsirkan ibarat ‘aurat pada pandangan ajnabi’ dan sebagainya sebagaimana ibarat-ibarat kitab-kitab fikah Syafi’iyyah dengan mengatakan bahawa: muka bukan aurat yang wajib ditutup dalam solat tetapi aurat yang wajib ditutup daripada pandangan lelaki-lelaki ajnabi. Walau bagaimanapun, kesilapan ini berasas kerana tidak sedikit ulama muta’akhkhirin mazhab yang berpendapat demikian. Antaranya Syaikh al-Bujairimi (men. 1221 H) dengan katanya:
وللحرة أربعة عورات فعند الأجانب جميع البدن وعند المحارم والخلوة ما بين السرة والركبة وعن النساء الكافرات ما لا يبدو عند المهنة وفي الصلاة ما ذكره الشارح
Terjemahan: wanita merdeka mempunyai empat aurat. Aurat mereka di sisi lelaki-lelaki ajnabi adalah seluruh badan. Di sisi mahram dan berseorangan antara pusat dan lutut. Daripada perempuan-perempuan kafir apa-apa yang tidak terbuka semasa bekerja. Dalam solat apa yang disebutkan oleh pensyarah (iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan) [Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj; al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 2 hal. 477; lihat juga Tuhfah al-Habib ‘ala Syar hal-Khathib oleh al-Bujairimi]

Selain al-Bujairimi, terdapat beberapa ulama Syafi’iyyah lagi yang mewajibkan wanita menutup muka seperti Syaikh al-‘Abbadi (men. 992 H), Syaikh al-Ziyadi (men. 1024 H), Syaikh al-Jamal (men. 1204 H), dan Syaikh al-Syirwani (men. 1301 H). Demikian juga Syaikh Salim bin Samir al-Hadhrami (men. 1271 H) dalam kitabnya, Safinah al-Naja sebagaimana zahir ibaratnya:
وعورة الحرة والأمة عند الأجانب جميع البدن
Terjemahan: dan aurat wanita merdeka dan hamba di sisi lelaki-lelaki ajnabi adalah seluruh badan [Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja fi Ma Yajib ‘ala al-‘Abd li Maulah ‘ala Madzhab al-Imam al-Syafi’i oleh Syaikh Nawawi al-Jawi (men. 1316 H); Dar Ibn Hazm, Lubnan; cet. pertama 2011 M; hal. 205]

Pendapat sebahagian ulama-ulama muta’akhkhirin mazhab ini diterima pula oleh pengarang-pengarang al-Fiqh al-Manhaji, sebuah kitab fikah Syafi’i moden. Mereka mengatakan:
وأما عند الرجال الأجانب فجميع بدنها عورة فلا يجوز لها أن تكشف شيئًا من بدنها إلا لعذر كما لا يجوز لهم أن ينظروا إليها إن كشفت شيئًا من ذلك
Terjemahan: adapun di sisi lelaki-lelaki ajnabi maka seluruh badannya adalah aurat. Jadi, tidak harus baginya mendedahkan sedikit pun daripada tubuhnya kecuali kerana sesuatu keuzuran sebagaimana tidak harus bagi mereka (lelaki-lelaki ajnabi) melihat kepadanya jika ia (wanita itu) mendedahkan sesuatu daripadanya (tubuhnya) [Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madzhab al-Imam al-Syafi’i oleh Dr. Mushthafa al-Khin, Dr. Mushthafa al-Bugha, dan al-Syaikh ‘Ali al-Syarbiji; Dar al-Qalam, Dimasyq; cet. keempat tahun 1992 H, juz 1, hal. 126]

Tetapi, pendapat ini bercanggah dengan pendapat muktamad di sisi mazhab yang ditetapkan dan dijelaskan oleh imam-imam besar mazhab seperti Imam al-Rafi’i (men. 623 H), al-Nawawi (men. 676 H), Ibnu Hajar al-Haitami (men. 974 H), Syams al-Din al-Ramli (men. 1004 H), dan sebagainya dari kalangan mutaqaddimin dan sebahagian ulama-ulama muta’akhkhirin. Oleh sebab itulah, terdapat ramai juga ulama muta’akhkhirin mazhab yang berpendapat muka wanita tidak wajib ditutup. Bahkan, Syaikh Nawawi al-Jawi yang mensyarahkan Safinah al-Naja pun menolak untuk menerima zahir ibarat pengarang dengan menerangkan:
حتى الوجه والكفين ولو عند أمن الفتنة فيحرم عليهم أن ينظروا إلى شيء من بدنها ولو قلامة ظفر منفصلة منها
Terjemahan: (seluruh badan) termasuk muka dan dua tapak tangan walaupun ketika aman daripada fitnah. Jadi, haram bagi mereka untuk melihat kepada sesuatu pun daripada badannya hatta serpihan kuku yang terpisah daripadanya [hal. 205]

Daripada ulasan beliau, jelas bahawa yang dimaksudkan dengan aurat di sisi ajnabi adalah aurat yang haram dilihat oleh ajnabi bukan wajib ditutup. Tetapi, ada juga pensyarah Safinah al-Naja yang memahami ibarat pengarang mengikut zahirnya. Barangkali pengarang memilih pendapat muta’khkhirin yang mewajibkan wanita menutup muka kerana ramai antara muta’khkhirin yang berpendapat demikian.

Di sana, terdapat ulama dan ilmuwan yang menyangka bahawa seluruh ulama mazhab mewajibkan wanita menutup muka dan mendakwa bahawa mereka hanya berselisih dalam menentukan keauratan muka. Antaranya Syaikh ‘Abd Allah Ramadhan Musa dalam sanggahannya ke atas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Katanya ketika mengulas kata-kata al-Ziyadi di atas:
وبعض الشافعية خالف في التسمية فقط فرأى أن الوجه لا يسمى عورة لكن يجب على المرأة تغطيتها ويحرم عليها كشفه أمام الرجال
Terjemahan: sebahagian ulama-ulama Syafi’iyyah berselisih dalam penamaan sahaja. Jadi, mereka berpendapat muka tidak dinamakan aurat tetapi wajib ditutup oleh wanita dan haram baginya mendedahkannya di hadapan lelaki. [Khulashah al-Radd ‘ala al-Qaradhawi wa al-Judai’; Nasyr al-Atsariyyah, Kaherah; cet. pertama tahun 2010 M; jil. 3 hal. 94]

Kenyataan beliau silap kerana pada hakikatnya khilaf antara mereka bukan khilaf lafdzhi tetapi khilaf jauhari. Ya, tidak dinafikan para ulama Syafi’iyyah berselisih dalam penamaan muka sebagai aurat atau tidak. Ini memang khilaf lafdzhi. Tetapi, mereka juga berselisih dalam mewajibkan wanita menutup muka atau hanya menyunatkannya. Ini bukan lagi lafdzhi tetapi jauhari.

Pendek kata, ulama-ulama mazhab bersependapat bahawa muka wanita tidak perlu ditutup ketika solat. Mereka juga tidak berselisih bahawa muka wanita tidak boleh dilihat oleh lelaki ajnabi. Cuma mereka berselisih, adakah wanita wajib menutup muka mereka daripada pandangan ajnabi ataupun tidak?

Mengikut usul dan kaedah mazhab Syafi’i, pendapat muktamad adalah pendapat yang dipilih oleh Imam al-Rafi’i dan al-Nawawi. Jika tidak ada sebarang nas daripada mereka dalam masalah, maka pendapat Imam Ibnu Hajar, al-Ramli, dan sebagainya didahulukan daripada pendapat ulama-ulama lain. Jadi, pendapat muktamad dan sahih di sisi mazhab adalah muka wanita tidak wajib ditutup tetapi haram dilihat kerana pendapat yang mewajibkan wanita menutup muka adalah pendapat-pendapat sebahagian ulama muta’akhkhirin yang menyalahi pendapat yang disepakati oleh seluruh atau jumhur mutaqaddimin. Manakala menutup muka adalah sunat melainkan ketika ihram. Barangkali kerana inilah, Syaikh Muhammad al-Zuhaili memuktamadkan pendapat ini dalam kitabnya al-Mu’tamad.

Walau bagaimanapun, pendapat ini hanyalah pendapat muktamad mazhab Imam al-Syafi’i. Pendapat muktamad di sisi sesuatu mazhab hanya wajib diamalkan oleh pengikut mazhab yang tidak mampu merajihkan pendapat-pendapat lain. Jadi, pendapat muktamad mazhab tidak semestinya rajih dan tepat. Saya sendiri cenderung untuk mewajibkan wanita menutup muka-muka mereka setelah mendapati dalil yang menjadi pegangan ulama-ulama yang mengharuskan wanita mendedahkan muka mereka adalah lemah. Hanya sahaja saya tidak yakin untuk memuktamadkannya kerana tidak berpeluang untuk meneruskan kajian dalam masalah ini. Insya-Allah saya akan meneruskan kajian dalam bab ini jika berkesempatan kerana sekarang saya ditugaskan untuk mengkaji tentang tsulatsiyyat dalam Musnad al-Darimi. Doa-doakan.

Penghargaan kepada Ummu Yusra.

Nota:

Saya sudah melakukan kajian khas dalam bab ini dalam buku Jawapan Terbuka dalam Polemik Hukum Wanita Menutup Muka dan lama kemudian mendapati pendapat muktamad dalam mazhab adalah wajib menutup muka bersalahan dengan apa yang saya sebutkan dalam artikel ini. Ini kerana wujud nas-nas yang jelas daripada kalangan ulama mutaqaddimin mengenai kewajipan amalan ini.

Rabu, 11 Januari 2012

Aku Masih Hidup

Ana masih hidup lagi. Tidak mati. Ana kata begitu kerana barangkali sahabat-sahabat hairan mengapa al-Kutawi sudah lama tidak menulis. Dulu, blog ini hangat dengan isu-isu kontroversi. Sekarang, sunyi.

Sahabat, ana sedang sibuk dengan perkara-perkara lain. Banyak. Selain itu, ana kira tidak ramai yang mencari kebenaran dan mengkaji. Jadi, membuang masa sahajalah kalau ana menulis dan memuatkannya dengan dalil-dalil hadis dan kata-kata ulama. Mereka tuli, bisu, dan buta. Tidak mahu melihat kebenaran.

Jadi, ana mengambil keputusan untuk tidak menulis. Tetapi, kalau keadaan mendesak, menjadi kewajipan kepada ana untuk berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Al-Auza'i, imam ahli Syam mengatakan: hendaklah kamu berpegang dengan peninggalan orang-orang terdahulu dan berhati-hatilah dengan pendapat lelaki itu walaupun ia menghiasinya dengan kata-kata. Sesungguhnya urusan ini akan jelas dan engkau berada di atas jalan yang lurus.

Wassalam.