Jumaat, 2 Disember 2011

Melihat Salafi Malaysia dari Jauh

Kemunculan Dr. Asri Zainal Abidin, Maulana Muhammad Asri Yusoff, Kapten Hafiz Firdaus, Ustaz Fathul Bari, Saudara Nawawi Subandi, dan sebagainya telah membentuk satu rupa baharu bagi perkembangan dakwah tajdid di Malaysia. Sumbangan-sumbangan mereka tidak dapat dinafikan sama sekali. Lihatlah bagaimana lisan dan tulisan mereka telah menggegarkan Malaysia dengan gerakan pembaharuan Islam.

Rakyat Malaysia di mana pun mereka tinggal dapat merasai kehangatannya. Ada yang bersama mereka dan ada yang menentang. Ustaz Zamihan dan Ustaz Azhar Idrus antara tokoh yang dilihat kuat menentang. Biasalah, apabila ada sesuatu yang baru, pasti akan ada yang menyokong dan yang menentang. Seperti Islam bawaan Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam, ditentang juga oleh kafir Quraisy. Kata mereka, Nabi shallahu’alaihiwasallam memecahbelahkan perpaduan orang-orang Arab. Ah, sama sahaja!

Jikalau mereka menentang dengan hujah pasti menjadi sesuatu yang sangat menarik. Namun, tidak. Tidak sama sekali. Mereka menyelewengkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi shallahu’alaihiwasallam demi kepentingan mazhab sendiri. Ayat al-Quran dan hadis ditafsirkan dengan tafsiran yang salah. Hadis yang dha’if disahihkan dan hadis yang sahih didha’ifkan. Inilah budaya mereka. Adat-istiadat yang diperturunkan dari generasi ke generasi sampai ke hari ini.

Kuman di seberang nampak, gajah di depan mata tidak nampak. Itulah kata-kata yang paling baik untuk ‘dihadiahkan’ kepada pendukung-pendukung dakwah tajdid di Malaysia. Mereka semua mengaku Salafi atau dikatakan sebagai Salafi. Senang-senang kita panggil sahaja mereka semua adalah Salafi. Tapi, ada yang tidak bersetuju. Kata mereka, Salafi hanya mereka sahaja. Orang lain yang tidak bersama mereka, bukan Salafi. Nampaklah sekarang, semua ingin merebut gelaran Salafi. Samalah seperti Hanabilah, Asya’irah, dan Maturidiyyah yang berebut nama Ahli Sunnah; malah Syiah pun hendak dipanggil Ahli Sunnah!

Sesetengah kalangan mereka, cepat sangat menyesatkan orang sampai ada yang menggelarkan Ustaz Harun Din, ustaz sihir. Masya-Allah! Cepat menghukum. Ini bid’ah, ini bid’ah. Aduhai kawan, sunnah sangatkah amalan kamu sampai senang-senang menghukum bid’ah amalan orang? Benar, tahlil arwah bid’ah, baca Yasin malam Jumaat bid’ah, baca al-Quran di atas kubur bid’ah. Tetapi, janganlah sampai qunut Subuh pun bid’ah juga! Memang, tidak salah berpendapat bahawa qunut Subuh bid’ah kerana Imam Ahmad pun berpendapat begitu. Yang salahnya, membid’ahkannya untuk menghina, mencela, dan menyesatkan. Itu bukan akhlak Imam Ahmad.

Mereka juga suka sangat menuduh orang taasub dengan mazhab Syafi’i. Pada masa yang sama mereka taasub dengan Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnu al-Qayyim. Atau, taasub dengan ulama-ulama besar mereka seperti Syaikh Ibnu Baz, Syaikh Ibnu al-‘Utsaimin, Syaikh al-Albani, Syaikh al-Madkhali, dan Syaikh Shalih Fauzan; atau Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Syaikh Wahbah al-Zuhaili, dan sebagainya. Mereka semua adalah ulama. Ada betul ada salah. Kata-kata mereka perlu disemak semula. Jangan sampai taasub. Kaji sebelum terima.

Ramai juga antara mereka yang kurang beradab dan akhlak. Tidak tahu hikmah dalam berdakwah. Mentang-mentang mereka betul dan orang lain salah, mereka anggap mereka boleh cakap dan buat apa sahaja. Mereka bukan Salafi sebenar walaupun mereka kata mereka Salafi tulen pengikut Syaikh al-Albani dan thabaqat beliau. Ulama-ulama Salafi tinggi akhlaknya, bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan mereka.

Salafi-salafi di Malaysia juga lebih semangat daripada ilmu. Mereka kuat menentang bid’ah dalam akidah baik dalam syariat. Tetapi, kadang-kadang mereka bercakap tanpa ilmu. Mereka hanya mengikut cakap-cakap ustaz-ustaz mereka sahaja. Mereka tidak kenal manhaj Salafi yang sebenar mengikut Imam Ahmad, Imam Ibnu Taimiyah, dan ulama-ulama besar yang lain. Mereka hanya mengikut buta apa yang disampaikan kepada mereka. Orang kata itu bid’ah, dia pun cakap, ini bid’ah. Orang kata itu sesat, mereka pun kata, itu sesat.

Mereka juga sangat bencikan PAS sampai masuk UMNO. Inilah yang dipanggil lawak antarabangsa. Syaikh ‘Ali bin Hasan al-Halabi, murid Syaikh al-Albani pernah ditanya tentang Salafi di Malaysia. Jawab beliau: Salafi Malaysia ini terbahagi kepada dua: pengikut Parti Islam dan pengikut Parti Kebangsaan. Yang pertama, hizbiyyah dan kedua jahil! Sekian. Tidakkah mereka tahu berparti adalah satu kesalahan di sisi ulama-ulama Salafi. Syaikh al-Albani sendiri mengatakan: termasuk dalam politik adalah meninggalkan politik. Nampaknya, Salafi Malaysia cuba mengasaskan mazhab baharu dengan bersama UMNO. Kalaupun benar hendak menasihati pemimpin dengan baik, janganlah sampai jadi UMNO. Jangan malukan Salafi!

Sekian.

Catatan: maaf saya ucapkan kepada sahabat-sahabat sekalian kalau bahasa yang saya gunakan sebagai nasihat kepada antum agak kasar. Jika saya bertegas dengan musuh-musuh Salafi, saya pun perlu bertegas dengan Salafi sendiri. Sebab, saya sangat sayangkan Salafi dan ingin lihat Salafi yang betul-betul bermanhaj Salaf seperti Imam Ibnu Taimiyah. Lihat bagaimana akhlak beliau dengan ahli-ahli bid’ah, pemimpin, dan sebagainya sehingga beliau dikagumi kawan dan lawan. Kata-kata beliau menusuk ke dalam hati Imam Ibnu al-Qayyim, al-Dzahabi, Ibnu Katsir, dan ramai muridnya yang lain sehingga hari ini umat Islam terhutang budi kepadanya. Inilah Salafi sebenar. Wassalam.

Catatan: 'tidakkah mereka tahu berparti adalah satu kesalahan di sisi ulama-ulama Salafi' menjadi lebih tepat kalau ditukar kepada 'tidakkah mereka tahu berparti adalah satu kesalahan di sisi SEBAHAGIAN BESAR ulama-ulama Salafi' atau dengan makna seumpamanya kerana sedia diketahui bahawa sebahagian ulama Salafi khususnya di Mesir sendiri menubuhkan parti politik. Hal demikian untuk menjaga kemaslahatan ummah yang lebih besar. Wallahu'lam.

11 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Abi muslim kurang beramanah lah.. !
      Malang kalau nafsu kemudi ilmu...

      Padam
  2. jazakallah khir..terbaik tulisan anta

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih dan ku iringi doa moga tuan diberi kekuatan dan sentiasa dalam petunjukNya...

      Padam
  3. صدقت ، هذا بما رأينا!

    BalasPadam
  4. Jangan jumudkan ilmu anda. Ianya tercabar dan tercalar tanpa pembelaan wahai Syafieiyah Malaysia!

    BalasPadam
  5. Catatan terakhir tentang sebahagian ulama salafi berpolitik di Mesir maknanya ada ulama salafi yang lain menganggap berparti adalah satu kesalahan. Kenyataan ini membingungkan. Sebab di Malaysia ada salafi yang UMNO dan ada yang PAS. Bagi saya, terpulang kepada individu sbg rakyat Malaysia. Kalau diri merasa politik itu banyak kotor dari bersih, silakan buat keputusan dan jangan mengaitkan dengan samada salafi benar atau tidak. Lihatlah sejarah,sahabah berperang angkara politik semasa setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. Amat malang sekali buat umat Islam.

    BalasPadam
  6. Terima kasih, sebenarnya jika difahami dengan baik, yang dimaksudkan dengan Salafi dalam PAS adalah Ikhwani hakikatnya, bukan Salafi yang dibawa oleh ulama-ulama Salafi di tanah Arab. Ikhwani bukan Salafi mengikut takrifan ulama-ulama Salafi. Oleh sebab itulah, di Mesir, ada dua kelompok yang dinamakan Salafi dan Ikhwan al-Muslimin. Jika Salafi adalah Ikhwan, tidak timbul dua nama ini, pasti akan dinamakan Salafi atau Ikhwan sahaja.

    Apa yang dinyatakan adalah pendapat Salafi terdahulu, sebelum revolusi Mesir berkenaan politik, bukan pendapat kami. Ketika berlaku revolusi, sebahagian ulama Salafi Mesir mula meneceburi politik. Artikel ini ditulis lama dahulu, ketika atau sebelum revolusi. Harap maklum.

    BalasPadam
  7. Cakap ikut sunah.nabi muhammad pun cakap semua bidaah dalam agama iru sesat..dalam kitab imam syafie pon cakap sesat..tak kan nak menentang kot...kekekekeke dah benda yang di larang tu tiada asal dari nabi muhammad..cakap nabi dah sempurnakan islam..tak kan nak tambah2 pekara yang baru lagi..ibarat islam tu nabi muhammad tak smpurnakan islam pula..

    BalasPadam
  8. Penulisan yang baik dan bermanfaat. Saya sangat setuju dan memang apa yang anda fikirkan sama seperti apa yang saya fikirkan selama ini.

    BalasPadam
  9. Sudah mnjadi sunatullah, agama Islam akan terus dilanda berbagai macam fitnah, semisal perpecahan antar sesamanya hanya kerana perbezaan manhaj, aqidah, logika, dll. Semestinya semua umat Islam itu harus sedar untuk bersatu padu menegakkan kalimah laa ilaaha illallah di atas muka bumi ini dalam satu wadah berdasarkan Al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW. Dan umat Islam harus sedar pula bahwa musuh kita sesungguhnya bukanlah sesama umat Islam itu sendiri, tapi kaum kafir, munafik, zionis, dll

    BalasPadam