Selasa, 8 November 2011

Zakat Mukafa'ah


Perbahasan antara panel-panel Darul Ifta’ kali ini tertumpu kepada persoalan status wang yang melebihi nisab dan diperolehi sekali gus. Ustaz Amir Harun, Pengerusi Darul Ifta’ Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PERMATA) menyebutnya ‘zakat mukafa’ah’. ‘Mukafa’ah’ sebenarnya bererti sagu hati atau ganjaran. Sepanjang kajian saya, ahli-ahli fiqh mu’asharah belum menetapkan nama yang khusus untuk masalah ini. Namun begitu, tidak mengapalah kiranya istilah ‘zakat mukafa’ah’ digunakan sementara menunggu nama yang rasmi diperkenalkan.

Wang yang menjadi subjek perbincangan ini meliputi semua jenis penerimaan wang yang jumlahnya melebihi nisab zakat secara sekali gus dalam satu-satu masa sebelum cukup haul. Wang-wang tersebut sama ada diberikan sebahagian atau sepenuhnya asalkan melebihi nisab termasuk dalam jenis wang dimaksudkan. Antara contohnya ialah wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat, bantuan, dan hadiah.

Pada perkiraan mata kasar, wang tersebut tidak termasuk dalam jenis-jenis wang yang perlu dikeluarkan zakatnya kerana tidak mencukupi syarat-syarat wajib zakat iaitu genap satu haul. Inilah zahir masalah. Namun begitu, terdapat padangan dalam kalangan ahli-ahli fiqh mengatakan wang tersebut wajib dizakatkan. Mereka menqiyaskan wang tersebut dengan hasil pertanian dan sumber galian yang wajib dikeluarkan zakat hanya setelah mencukupi nisabnya walaupun belum genap satu haul. Jadi, dikatakan bahawa pendapat pertama yang tidak mewajibkan zakat ke atas wang tersebut menggunakan qiyas jali dan pendapat kedua yang sebaliknya menggunakan qiyas khafi.

Pada pendapat saya yang bermohon supaya diberikan taufik oleh Allah, wang yang menjadi subjek perbincangan ini mempunyai pelbagai jenis. Walaupun caruman KWSP, zakat, bantuan, dan hadiah masing-masing didapati dengan jumlah yang teramat banyak dan sekali gus, tidak bererti wang-wang tersebut perlu disamakan statusnya tanpa mengambil kira aspek-aspek lain. Menyamakan caruman KWSP misalnya yang disimpan daripada potongan gaji bulanan sendiri dengan zakat yang diperolehi daripada sumbangan orang ramai tidaklah tepat.

Oleh sebab itu, saya mendapati wang berkenaan perlu dibahagikan kepada jenis-jenis berikut mengikut sumber asal wang dan sebab penerimaan sebagai contoh untuk memahami hukumnya iaitu;
- Wang hasil caruman
- Pampasan insurans
- Zakat
- Hadiah
- Sedekah

Wang dari jenis pertama hakikatnya wang individu yang disimpan oleh kerajaan atau pihak-pihak tertentu seperti Tabung Haji dan syarikat insurans untuk diserahkan semula pada masa yang ditetapkan. Disebabkan wang tersebut berasal dari hak milik individu, maka wajib dikeluarkan zakat apabila wang tersebut diterima. Ini bermakna, sebelum penerimaan, wang tersebut tidak wajib dizakatkan. Alasannya, pemilikan individu ke atas wang tersebut belum sempurna dan pemilik sebenar tidak mempunyai kuasa ke atas urusan wang terbabit. Pengiraan zakat bermula daripada haul yang pertama setelah cukup nisab sehingga tahun penerimaan.

Wang berbentuk pampasan daripada syarikat-syarikat insurans pula memerlukan perincian kerana kepelbagaian skim insurans. Secara ringkasnya, setiap pampasan yang diterima melalui skim insurans yang akan menyerahkan 100% hasil caruman kepada pencarum sama ada pencarum layak mendapat pampasan atau tidak perlu dikeluarkan zakat sama seperti jenis pertama. Sekiranya seseorang mencarum sebanyak RM 20 000 dalam sebuah skim insurans dan kemudiannya ditimpa kemalangan yang melayakkannya menerima pampasan sebanyak RM 100 000, ia wajib mengeluarkan zakat daripada RM 20 000 hasil carumannya. Alasannya, RM 20 000 tersebut sebenarnya wang miliknya yang disimpan oleh syarikat.

Masalah tersebut berbeza dengan skim yang menghanguskan kesemua jumlah caruman kerana pampasan yang diterima oleh pancarum tidak melibatkan hasil caruman. Sebabnya, sekiranya seseorang mencarum sebanyak RM 20 000 untuk mendapat perlindungan daripada kemalangan selama 10 tahun tetapi ia tidak mengalami apa-apa kemalangan sepanjang tempoh tersebut, ia tidak akan mendapat semula jumlah yang dicarum sebanyak RM 20 000 tersebut. Walau bagaimanapun, masalah berkaitan insurans ini perlu diperhalusi dengan lebih teliti memandangankan insurans sebuah produk kewangan yang mempunyai prinsip-prinsip tersendiri yang mungkin tidak sama dengan penjelasan di atas.

Wang dalam jenis ketiga iaitu zakat pula tidak perlu dizakatkan sama sekali. Zakat berasal daripada harta yang diserahkan oleh masyarakat Islam dan diagih-agihkan kepada asnaf yang delapan. Setiap asnaf menerima zakat dengan tujuan-tujuan tertentu. Contohnya, fakir miskin menerima zakat untuk meringankan masalah kewangan mereka, mualaf untuk memantapkan keislaman mereka, dan orang-orang yang berjihad untuk membantu perjuangan mereka. Dengan kata lain, jika wajib zakat ke atas zakat yang diterima oleh asnaf delapan itu bererti bukan 100% jumlah zakat yang diterima dapat digunakan oleh mereka kerana 2.5% terpaksa dikeluarkan untuk dizakatkan. Padahal, keseluruhan jumlah zakat yang diserahkan kepada penerima adalah untuk kegunaan mereka. Ringkasnya, mewajibkan zakat ke atas penerima zakat menyalahi maqashid zakat itu sendiri.

Dalam masa yang sama, pendapat tersebut menyulitkan pihak pengurus zakat dan asnaf dengan memaksa mereka menyerahkan dan menerima zakat secara ansuran sedangkan zakat tersebut diperlukan dengan jumlah yang banyak dalam satu-satu masa. Contohnya, seorang pelajar peringkat sarjana memerlukan RM 10 000 untuk membayar yuran semester. Ia menerima zakat sebanyak RM 10 000. Diandaikan nisab zakat pada waktu tersebut berjumlah RM 10 000; sekiranya wajib zakat ke atas penerima zakat, bererti ia hanya menerima RM 9 750. Jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membayar yurannya. Jadi, untuk membolehkan ia membayar yuran dengan jumlah bersih daripada zakat, pengurus zakat terpaksa mengeluarkan zakat berulang kali dengan jumlah tertentu untuk memastikan tidak melebihi nisab.

Selain itu, pendapat tersebut juga seolah-olah tidak mencerminkan kebijaksaaan syariat Islam yang diturunkan oleh Allah. Perkara ini dapat dilihat secara jelas apabila seorang penerima zakat memohon RM 10 000 contohnya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Untuk memberikan RM 10 000 secara bersih kepadanya, pihak pengurus zakat terpaksa memberikannya sebanyak RM 10 256.41 kerana RM 256.41 daripada jumlah tersebut terpaksa dizakatkan semula. Perbuatan tersebut nampak seperti satu helah yang terpaksa dilakukan dan menggambarkan kelemahan syariat Allah sedangkan Allah maha bijaksana.

Wang yang berbentuk hadiah apabila diterima sekali gus dalam jumlah yang melebihi nisab juga tidak perlu dizakatkan sehingga cukup tempoh satu tahun. Sebabnya, wujud persamaan yang rapat antara hadiah dengan zakat. Bezanya hanya apabila hadiah diberikan dengan niat merapatkan hubungan dengan penerima dan hukumnya sunat sementara zakat diberikan dengan niat semata-mata kerana Allah dan hukumnya wajib. Masing-masing merupakan pemberian daripada sebelah pihak kepada pihak yang lain.

Sesetengah kalangan ilmuwan mungkin ada yang berpendapat qiyas hadiah dengan sumber galian dan harta karun adalah lebih tepat. Namun pendapat tersebut sama sekali tidak tepat kerana sumber galian asalnya milik kerajaan sesebuah wilayah sedangkan hadiah asalnya milik pihak-pihak tertentu. Apabila seseorang menemui sumber galian atau harta karun, ia perlu mengeluarkan zakat kerana harta yang dijumpainya hakikatnya milik kerajaan yang perlu dikongsikan bersama penduduk-penduduk yang memerlukan. Tidak boleh dimonopoli oleh seseorang untuk kepentingan peribadi semata-mata. Adapun hadiah bukan milik kerajaan tetapi milik pihak-pihak tertentu yang boleh diberikan kepada sesiapa yang diingini.

Wang yang diterima oleh individu atau kumpulan sebagai satu bentuk sedekah juga tidak perlu dizakatkan walaupun melebihi nisab. Wang tersebut wajar diqiyaskan dengan zakat dan hadiah. Malah, sedekah mempunyai persamaan yang lebih rapat dengan zakat berbanding hadiah kerana bantuan diberikan untuk meringankan beban orang-orang yang memerlukan dan hukumnya lebih sunat berbanding hadiah.

Sebenarnya banyak lagi jenis-jenis wang yang diterima dalam jumlah yang banyak sekali gus yang termasuk dalam perbahasan ini seperti mahar kahwin, wang pencen, dan harta pusaka. Kesimpulannya semua jenis wang yang diterima daripada pihak lain tidak perlu dizakatkan sehingga genap satu haul.

Barangkali sesetengah pihak menolak kesimpulan sebegini kerana bagi mereka wang-wang yang diperolehi sekali gus mempunyai bahagian milik masyarakat yang perlu dikongsi bersama. Tambah mereka, pendapat yang mewajibkan zakat ke atas wang-wang tersebut lebih berhikmah kerana sekiranya wang tersebut tidak dikenakan zakat, pasti wang tersebut akan habis sementara menunggu cukup haul. Jadi, hak-hak fakir miskin akan hilang. Mereka kali ini menqiyaskannya dengan zakat tanaman.

Sebenarnya hujah-hujah sedemikian lemah kerana zakat hanya sabit menerusi nas-nas syarak ke atas harta-harta tertentu. Tidak semua harta perlu dizakatkan dan tidak semua orang yang memerlukan bantuan diberikan zakat. Sementara alasan mereka bahawa sekiranya wang yang diterima itu tidak segera dizakatkan akan kehabisan dan menyamakannya dengan zakat tanaman juga tidak tepat sama sekali kerana tanaman sejenis harta yang cepat rosak sehingga perlu segera dikeluarkan zakat apabila dituai sementara wang tidak bersifat begitu. Walau bagaimanapun, pendapat mereka tertolak sejak awal lagi dengan alasan tidak wujud nas syarak dan qiyas yang sahih dan muktabar yang menyokongnya. Bagaimana pula apabila tidak ditemui mana-mana riwayat daripada ulama-ulama terdahulu yang membicarakannya padahal pada zaman sahabat dan salaf dahulu hadiah-hadiah dalam jumlah yang besar sentiasa dihulurkan?

Maka, kita perlu kembali kepada keumuman hadis yang dihasankan oleh Imam Ibnu al-Qayyim dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani;

لا زكاةَ في مالٍ حتى يحول عليه الحول

Terjemahan: tidak ada zakat ke atas sesuatu harta sehingga genap satu haul;

Sehinggalah ada nas yang mengkhususkannya seperti zakat tanaman dan sebagainya. Dalam masalah zakat mukafa’ah ini, tidak ada nas yang menyebutnya sama sekali.

Demikianlah pendapat saya dalam masalah tersebut. Pendapat ini hanyalah sebagai satu cadangan yang terbuka luas untuk dibincangkan bersama panel-panel Darul Ifta’.

Demikianlah pembentangan oleh insan yang baru belajar. Wallahua’lam.

Wassalam.

Catatan: kertas kerja yang dibentang sempena perbahasan tentang zakat mukafa'ah bersama panel-panel Darul Ifta', Biro Bimbingan dan Rohani, Persatuan Mahasiswa Malaysia Jordan. Hadis yang dikemukakan dalam artikel ini selepas dikaji semula didapati tidak sahih. Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan