Jumaat, 21 Oktober 2011

Keperluan Memahami Manhaj yang Sesuai dalam Mengeluarkan Fatwa di Malaysia



Umat Islam di Nusantara sebagaimana umat Islam di wilayah-wilayah lain di dunia mempunyai pegangan dan amalan agama yang tersendiri. Perbezaan-perbezaan ini terhasil disebabkan sejarah dan asal-usul sesebuah masyarakat selain adat dan budaya setempat yang diamalkan. Selain itu, sumber-sumber pengetahuan agama juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk manhaj beragama masyarakat tersebut.

Dengan memfokuskan tanah air, Malaysia, negara yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara tersebut dilihat mempunyai budaya beragama yang agak berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Dari segi sejarahnya, penduduk-penduduk Malaysia sebelum kedatangan Islam menganut agama Hindu dan Buddha. Pengaruh Hindu-Buddha masih wujud sehingga hari ini walaupun Islam telah bertapak di Malaysia sejak 600-700 tahun yang. Adat dan budaya masyarakat setempat juga berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan pengaruh-pengaruh luar. Pada dekad-dekad belakangan ini, Malaysia menerima tempias perkembangan pesat manhaj-manhaj yang berlaku di Arab Saudi, Mesir, Yaman, India dan Pakistan. Semua perkara tersebut menyumbang kepada pembentukan sebuah manhaj dalam beragama di Malaysia.

Secara ringkasnya, umat Islam di Malaysia kebanyakannya berakidah Asya’irah dan bermazhab Syafi’i. Dua mazhab tersebut menjadi pegangan dan amalan sedari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi yang dapat dilihat menerusi penggubalan undang-undang kerajaan Melaka dan kitab-kitab Jawi lama. Walau bagaimanapun, mazhab Asya’irah dan Syafi’i di Malaysia adalah dengan gaya setempat yang kadang-kadang tidak sama dengan mazhab yang asal atau yang diamalkan di Yaman dan Syria. Hal ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya pengaruh fatwa-fatwa ulama dari mazhab dan manhaj yang lain.

Manhaj yang paling kuat mempengaruhi amalan agama di Malaysia ialah manhaj mu’asharah dan Ikhwani yang pada mulanya dibawa oleh bekas-bekas pelajar di Universiti al-Azhar. yang kemudiannya dikembangkan oleh ramai ustaz-ustazah daripada tempat-tempat lai khususnya Jordan. Manhaj mu’asharah ini diterima baik walaupun bertentangan dengan mazhab asal kerana kemudahan dan keselesaan yang didapati daripadanya. Manhaj Ikhwani pula diamalkan dalam masalah politik melihatkan persamaan antara keadaan politik di Malaysia dan di Mesir dalam usaha menegakkan negara Islam menerusi demokrasi. Manhaj-manhaj lain seperti Ahbasy, Tablighi, ahli hadis, Salafiyyah-Wahhabiyyah, dan Islam Liberal juga diamalkan dan cuba dikembangkan di Malaysia.

Kepelbagaian manhaj ini mencetuskan banyak perbalahan dalam kalangan pendukung-pendukungnya yang akhirnya merebak juga kepada orang awam. Perbahasan-perbahasan khilafiyyah disebut dalam kuliah-kuliah dan ditulis dalam buku, akhbar, dan majalah-majalah. Tidak cukup dengan itu, isu-isu khilafiyyah menjadi topik hangat dalam internet. Majoriti umat Islam Malaysia memihak kepada manhaj tradisi sehingga mencetuskan tentangan yang hebat terhadap manhaj-manhaj lain khususnya Ahli Hadits dan Salafiyyah-Wahhabiyyah. Namun begitu, mereka tidak kalah hujah malah terus-menerus mempertahankan manhaj mereka.

Walau bagaimanapun, fenomena ini hanya berlaku dalam kalangan sebahagian kecil umat Islam. Mereka adalah golongan agamawan berpengetahuan. Golongan agamawan yang kurang pengetahuan agama pula boleh dikatakan tidak bermazhab dan tidak bermanhaj. Mereka menurut sahaja fakta-fakta dan fatwa-fatwa yang disampaikan oleh ustaz-ustazah kepada mereka tidak kira daripada mazhab dan manhaj mana. Golongan bukan agamawan yang lemah pegangan agamanya pula dilihat kurang mempedulikan pengetahuan agama.

Pada akhir-akhir ini, ramai umat Islam Malaysia mula memperlihatkan kecenderungan untuk mempelajari agama. Percambahan tempat-tempat pengajian Islam dirasai di mana-mana. Ratusan atau ribuan buku agama diterbitkan setiap tahun. Banyak soalan diajukan kepada ustaz-ustazah meminta penjelasan tentang masalah-masalah agama yang dihadapi. Bagaimanakah bentuk jawapan yang perlu diberikan oleh mereka? Jawapan mazhab manakah yang perlu diambil? Adakah perlu disertai dalil-dalilnya sekali? Apakah adab-adab dalam perlu dijaga bersama?

Untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut, sebuah metodologi dicadangkan untuk menjadi garis panduan kepada para ustaz dalam berinteraksi dengan soalan-soalan yang diajukan oleh masyarakat. Modul tersebut diharapkan mampu membina kewibawaan pendukung Islam sekali gus memantapkan perkembangan dakwah Islamiyyah di tanah air. Dengan cadangan ini juga diharapkan mampu menjernihkan kekeruhan kefahaman masyarakat tentang Islam yang terhasil akibat perselisihan mazhab dan manhaj.

Secara ringkasnya, bentuk fatwa yang dicadangkan perlu meraikan keadaan dan persekitaran setempat. Fatwa yang dimaksudkan adalah semua jawapan kepada persoalan-persoalan agama yang diajukan oleh masyarakat kepada ahli-ahli agama dan tidak khusus kepada jawapan atau kenyataan daripada mufti-mufti dan organisasi-organisasi fatwa sahaja. Perlu diperhatikan juga perbezaan antara fatwa dengan pendapat peribadi. Pendapat peribadi adalah hasil ijtihad yang dianggap paling rajih pada pandangannya dan bukan untuk disebarkan kepada masyarakat umum atau untuk disampaikan kepada mana-mana pihak. Fatwa pula merupakan hasil ijtihad yang tidak semestinya paling rajih dan dikeluarkan untuk masyarakat umum atau khusus untuk diamalkan oleh pihak-pihak tertentu.

Fatwa yang meraikan keadaan dan persekitaran di sini bermaksud fatwa yang tidak jumud dengan hasil-hasil ijtihad sendiri yang dipengaruhi oleh sentimen taasub mazhab dan manhaj sendiri. Sikap taasub mazhab dalam kalangan majoriti tokoh agama di Malaysia telah menyebabkan mereka memberikan fatwa berdasarkan mazhab yang dianuti sambil menyerang mazhab-mazhab lain sehingga menyebabkan perbalahan antara mereka dan kekeliruan dalam kalangan awam. Oleh sebab itu, mereka perlu membebaskan diri mereka daripada sikap buruk tersebut dan cuba berlaku adil. Mereka juga perlu berhemah dan berlapang dada apabila dikritik oleh pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat mereka.

Secara ringkasnya, fatwa yang cemerlang mengandungi perkara-perkara berikut:
- Gambaran kedudukan masalah dalam perbahasan alim-ulama secara umum
- Penjelasan masalah mengikut amalan tempatan
- Penjelasan masalah mengikut mazhab tempatan
- Penjelasan masalah mengikut pendapat yang rajih
- Dalil-dalil mazhab tempatan dan pendapat yang rajih
- Cadangan tindakan yang perlu dilakukan oleh penanya.

Sebagai contoh, apabila ditanya ‘ada seorang ustaz mengatakan wajib membaca basmalah ketika berwuduk dan mengatakan tidak sah wuduk tanpa basmalah. Mohon penjelasan ustaz mengenai masalah ini’ fatwa yang perlu diberikan sepatutnya berbunyi:

Masalah hukum membaca basmalah ketika wuduk termasuk dalam perkara-perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Pendapat yang mewajibkan basmalah adalah satu pendapat dalam mazhab Hanbali dan pendapat mazhab Dzhahiri. Imam Ishaq bin Rahawaih juga berpendapat demikian. Adapun jumhur ulama berpendapat basmalah hanyalah sunat. Malah, ada ulama yang tidak memandangnya satu perkara sunat malah ada ulama yang diriwayatkan membid’ahkannya. Umat Islam di Malaysia mengamalkan pendapat jumhur yang menyunatkannya. Inilah yang diajarkan oleh guru-guru pondok zaman-berzaman dan bertepatan dengan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Demikian jugalah pendapat yang rajih bagi saya. Pendapat yang mewajibkannya berpegang kepada hadis ‘tidak dikira berwuduk orang yang tidak menyebut nama Allah padanya’. Disebabkan kesahihan hadis ini dipertikaikan oleh ulama, maka tidak sabit hukum wajib tersebut. Tambahan pula, ayat wuduk dalam surah al-Nisa’ dan al-Ma’idah tidak menyebutkan basmalah. Inilah hujah jumhur. Berkenaan jawapan ustaz tersebut, beliau memilih pendapat yang mewajibkannya dan barangkali berpegang kepada hadis tersebut. Mungkin beliau memandang hadis tersebut sahih. Kepada yang bertanya, saya jelaskan bahawa kedua-dua pendapat adalah muktabar di sisi ulama walaupun bagi kita, pendapat yang menyunatkannya lebih tepat. Saya nasihatkan kepada antum supaya cuba sedaya upaya membaca basmalah ketika berwuduk walaupun tidak wajib dan tidak bermudah-mudahan dengannya. Wallahua’lam.

Perkara penting yang perlu dielakkan dalam fatwa ialah merendah-rendahkan pendapat orang lain. Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak melazimi setiap fatwa kerana terdapat pendapat yang tidak muktabar. Pendapat yang tidak muktabar perlu ditangani secara bijaksana. Kadang-kadang pendapat yang tidak muktabar tersebut diterima baik oleh masyarakat dan sebati dalam kehidupan mereka. Sekiranya pendapat tersebut ditolak secara keras dan tidak berhikmah ketika mengeluarkan fatwa dikhuatiri fatwa tersebut tidak diendahkan oleh masyarakat atau mencetuskan kemungkaran yang lebih besar.

Banyak lagi perkara lain yang perlu diambil perhatian oleh tempat-tempat rujuk masyarakat. Masyarakat yang dididik oleh guru-guru yang tidak beradab dalam menyampaikan pandangan akan melahirkan masyarakat yang juga tidak beradab malah lebih teruk daripada itu. Kalau guru kencing berdiri pasti murid akan kencing berlari.

Wallahua’lam.

Selamat Datang ke Penjara Mu'tah

Selamat datang
selamat datang ke Penjara Mu’tah;
ikhlas daripada banduan lama
tulus kepada banduan baru.

Penjara Mu’tah ini
penjara yang teramat kejam
tidak kenal belas ihsan
kepada sesiapa pun;
kepada kami
banduan lama
dan seterusnya
kepada kamu
banduan baru.

Kami rasa
tidak perlu kami ceritakan
suasana sebenar penjara ini;
kerana setiap banduan yang datang
tidak ada seorang pun yang dapat pulang
sebelum merasa azab seksa
sebelum mengalami sakit derita
di penjara tanpa kawat besi ini
di penjara yang kamu gelarkan universiti ini.

Selamat datang
sekali lagi kami ucapkan
selamat datang ke Penjara Mu’tah.

Rabu, 19 Oktober 2011

Lumpur-lumpur Kuala Lumpur


Menara Kuala Lumpur masih berdiri
Menara Berkembar Petronas tetap meninggi
Ketika matahari dinihari mula menampakkan diri
Ketika bulan dan bintang-bintang masuk bersembunyi.

Para penghuni cepat-cepat bangun dan mandi
Kemudian membalut tubuh sebelum minum pagi
Ada yang sempat sujud bersama-sama di rumah suci
Tetapi tidak ramai kerana banyaknya rukuk sendiri-sendiri
Malah ramai yang bingkas keluar tidak ada masa untuk Ilahi.

Berkejar-kejarnya mereka mencari rezeki
Hidup ini perlu mewah hidup ini hanya sekali
Rumah besar kereta mahal mesti dibeli mesti dicari
Dari pagi hingga lewat petang terkadang sampai habis hari
Biasa sahaja maghrib di tengah jalan di dalam komuter dan LRT
Apakan daya hidup di Kuala Lumpur mesti bekerja sampai mati.

Menara Kuala Lumpur masih berdiri
Menara Berkembar Petronas tetap meninggi
Ketika matahari senja mula menghilangkan diri
Ketika bulan dan bintang-bintang penat bersembunyi.

Rabu, 12 Oktober 2011

Di Sebalik Fenomena Dokumentari The Arrival



The Arrival bukan sebuah dokumentari yang baru. Sejak 2008 lagi The Arrival muncul dalam dunia internet yang membincangkan konspirasi dunia yang didalangi oleh penyembah-penyembah syaitan terlaknat untuk mewujudkan sebuah gagasan bernama The New World Order sebagai Dajjal sebagai pemimpinnya.

The Arrival walaupun kurang mantap dari banyak segi kerana dihasilkan oleh dua individu yang sahaja berjaya mencetuskan satu kejutan kepada umat Islam. Mungkin The Arrival sengaja dihasilkan dalam bentuk siri dokumentari yang disiarkan melalui YouTube melihatkan umat Islam kurang suka membaca artikel atau buku yang berbentuk tulisan. Mereka lebih suka disuap terus daripada mesin-mesin canggih seperti TV dan komputer.

Di sebalik konspirasi Freemasonry dan Illuminati yang didedahkan secara serius oleh The Arrival mungkin ramai yang tidak perasan bahawa siri dokumentari itu sendiri telah terpengaruhi konspirasi jahat itu. Dokumentari tersebut memaparkan gambar-gambar seksi wanita yang diharamkan oleh syariat. Tidak ada sebab yang dapat diterima kerana tidak wujud kemaslahatan untuk melakukannya.

Barangkali pembuat The Arrival tidak tahu akan keharamannya dan ini merupakan sangkaan yang lebih kuat. Malahan, mereka hidup dalam kelompok manusia yang terbiasa dengan perkara-perkara itu yang menyebabkan mereka menganggapnya biasa. Dalam video-video klip nasyid yang bertujuan dakwah seperti video-video klip Zain Bhikha dan Native Deen pun ada mempamerkan aurat. Nampaknya orang-orang Islam di Barat menerima kesan kawalan minda oleh musuh sehingga tidak mampu membezakan antara yang halal dan haram meskipun jelas.

Dalam sebuah video klip Native Deen contohnya telah menunjukkan seorang wanita yang baru memeluk Islam sedang menguruskan anaknya di rumah dalam keadaan tidak bertudung. Apabila wanita tersebut ingin keluar rumah barulah wanita tersebut mengenakan tudung. Adakah masih ada kesangsian bahawa rambut perempuan adalah aurat yang wajib ditutup daripada pandangan umum? Lantas, mengapa sengaja mempamerkan aurat tersebut kepada para penonton?

Tidak ada keuzuran untuk mereka melainkan kerana mereka tidak tahu dan kerana pengaruh kehidupan Barat di sekeliling mereka.

Pengaruh Yahudi juga masuk menyelinap ke dalam dokumentari The Arrival apabila pembuatnya melontarkan fikrah Syiah dengan menganggap 12 imam Syiah Rafidhah sebagai imam-imam yang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Nampaknya pembuat The Arrival termakan dakyah Syiah yang masyhurnya diasaskan oleh ‘Abd Allah bin Saba’ seorang Yahudi.

Imam-imam 12 yang dipaparkan oleh The Arrival benar-benar menepati 12 orang imam Syiah Ja’fariyyah atau Itsna ‘Asyara Imamiyyah. Ini sesuatu yang sangat aneh sehinggakan Muhammad al-Mahdi, imam ke-12 Syiah pun dianggap sebagai Imam al-Mahdi yang ditunggu-tunggu selaras dengan agama Syiah yang batil itu. Sebenarnya, Muhammad al-Mahdi itu tidak pernah wujud dan merupakan dogengan Syiah semata-mata mengikut pakar-pakar sejarah Islam.

Pembuat dokumentari tersebut membuat kenyataan apabila dituduh menyebarkan fahaman Syiah berbunyi ‘saya bukan seorang Syiah dan bukan juga Ahli Sunnah’. Jadi, tidak peliklah mereka menjulang empat orang khalifah yang diiktiraf Ahli Sunnah dan mengangkat juga 12 imam yang diiktiraf Syiah seolah-olah ingin menyatukan antara Ahli Sunnah dan Syiah. Cuma yang pastinya idea tersebut salah. Tidak ada plurisme mazhab dalam Islam. Hanya satu mazhab yang benar. Ahli Sunnah atau Syiah.

Kesimpulannya, The Arrival sebuah dokumentari yang sangat baik dan mampu membasuh minda umat Islam. Beberapa perhatian perlu diambil apabila menontonnya kerana pembuatnya bukan pakar akidah dan syariat Islam. Umat Islam digesa untuk bangun semula sebagaimana gesaan The Arrival dan pengkaji-pengkaji konspirasi yang lain. Tinggalkan lagu, filem, dan hiburan-hiburan yang merupakan senjata ampuh Iblis.