Khamis, 8 September 2011

Meneliti Fatwa Majlis Kebangsaan: Hukum Upacara Akad Nikah di Masjid



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa jumhur ulama telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama mazhab Syafi'i berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah disunatkan untuk mendapat keberkatan. Walau bagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.


Sumber:
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-upacara-akad-nikah-di-masjid.

Alhamdulillah, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwanya. Terima kasih. Cuma, saya ingin gariskan beberapa perkara penting tentang fatwa tersebut.

Pertama, menurutnya, jumhur ulama telah membenarkan upacara akad nikah dilakukan di masjid. Ya, ini bertepatan dengan kenyataan yang telah saya keluarkan dalam makalah yang lalu.

Kedua, tambah fatwa tersebut, ulama mazhab Syafi'i memandang sunat melakukan upacara tersebut di masjid. Saya rasa sebab mereka memandang sunat adalah untuk mendapat keberkatan sebagaimana yang disebut dalam fatwa itu sendiri. Jadi, hukuman sunat diberikan atas alasan untuk mendapat keberkatan bukan kerana bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini.

Ketiga, walaupun wujud ulama yang mensunatkan upacara akad nikah dilangsungkan dalam masjid, orang-orang yang ingin mencari pendapat yang tepat dalam masalah-masalah agama tidak perlu berpada dengan alasan wujud ulama yang berpendapat demikian atau kerana itu pendapat mazhab. Bagi muqallid yang tidak mampu mertarjih mana-mana pendapat, biarkan mereka. Mereka tidak mampu. Allah tidak akan membebankan seseorang melebihi kemampuan mereka. Tetapi bagi golongan yang celik dan mampu menilai mana pendapat yang rajih mana pendapat yang marjuh, mereka perlu mengikut apa yang lebih tepat pada pandangan mereka. Tidak boleh menyia-nyiakan akal yang Allah kurniakan. Tidak juga boleh menutup mata daripada melihat kebenaran hanya untuk mencari sesuap nasi.

Keempat, saya menghormati fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Namun, tidak bermakna saya mengiktiraf kebenaran fatwa tersebut seratus peratus. Fatwa tersebut wajar dilaksanakan di seluruh Malaysia kerana umat Islam di Malaysia kebanyakannya bermazhab Syafi'i.

Sekian. Wassalam.

1 ulasan:

  1. Setuju, tapi bagi saya elakkan masjid kerana zaman kita yang free hair pun masuk masjid masa aqad nikah. Tambahan pula dia cium isteri dalam masjid. amat tidak wajar untuk dibuat dalam masjid. Kalau kata kena menjaga adab pun, masalahnya orang kita kebanyakannya jahil dan hentam sajalah.

    BalasPadam