Rabu, 7 September 2011

Kalam Ulama; Hadis Maudhu' dalam Ihya' 'Ulum al-Din

Dalam artikel kami bertajuk Kesalahan-kesalahan Besar dalam Makalah 'Jejak Hadis dalam Kitab Ihya' 'Ulum al-Din Imam al-Ghazali' dijelaskan bahawa usaha membela kitab Ihya' sebagai bebas hadis maudhu' adalah usaha yang sia-sia kerana para ulama hadis telah menaskan kewujudan hadis-hadis maudhu' dalam kitab tersebut. Untuk menambahkan senarai bukti menyokong kenyataan kami, kami bawakan kata-kata 'Abd al-Salam Harun dalam mukadimah ringkasan Ihya' 'Ulum al-Din yang diusahakan oleh beliau.

Kata beliau: dan di dalam kitab Ihya' yang asal ada hadis-hadis maudhu' yang telah diperingatkan oleh para ulama yang telah menulis catatan pada hadis-hadis tersebut. Oleh itu, saya berusaha untuk menghindarinya dalam ringkasan ini dan saya hanya akan menyebut hadis-hadis yang sahih dan hasan sahaja. [Tahdzib Ihya' 'Ulum al-Din li al-Imam Abi Hamid al-Ghazali, Dar al-Tauzi', cet. pertama tahun 1418 H, hal. 9]

Dalam nota kaki halaman yang sama beliau menjelaskan antara ulama yang dimaksudkan. Kata beliau: antaranya al-Hafidzh Zain al-Din 'Abd al-Rahim bin al-Husain al-'Iraqi yang meninggal pada tahun 806 Hijrah. Pada tahun 760 Hijrah beliau menulis kitab bertajuk al-Mughni 'an Haml al-Asfar fi Takhrij Ma fi al-Ihya' min al-Akhbar. Kitab tersebut dicetak pada pinggir naskah-naskah Ihya' cetakan-cetakan terbaharu. Murid beliau, al-Hafidzh Ibnu Hajar yang meninggal pada tahun 852 Hijrah telah mengumpul hadis-hadis yang tidak dimuatkan oleh gurunya dalam sejilid kitab sebagaimana al-Hafidzh Qasim bin Qathlubugha al-Mishri yang meninggal pada 879 Hijrah telah menyusun kitab yang dinamakannya Tuhfah al-Ahya' fi Ma Fat min Takhrij Ahadits al-Ihya'.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan