Rabu, 20 Julai 2011

Ratu Maruah


Filem haram, muzik haram, istighatsah haram, itu haram, ini haram. Mungkin itulah sebabnya saya (aku) dianggap keras dalam memilih hukum agama. Demikianlah anggapan sahabat-sahabat saya. Sebenarnya, anggapan tersebut tidaklah benar kecuali jika hukum-hukum pilihan saya dibandingkan dengan hukum-hukum pilihan mereka. Saya hanya meneliti nas-nas agama dan pendapat-pendapat ulama lalu saya kaji sejauh mana ketepatan pendapat-pendapat tersebut dengan nas. Apabila saya sudah menemui jawapan dan yakin, saya bawakan kepada umum.

Kali ini, saya ingin fokuskan pada masalah gambar wanita. Lebih lengkapnya, masalah ini berkaitan dengan hukum pemaparan gambar wanita di khalayak awam sama ada pada papan kenyataan, papan iklan, media massa, atau media cetak. Masalah ini sejak lama dahulu saya bangkitkan melalui lisan dan tulisan saya. Malangnya, hanya beberapa kerat hamba-hamba Allah yang perempuan yang faham dan mengamalkannya. Walhal, mengamalkannya mudah sekali. Diam sahaja.

Saya rasa keterangan-keterangan bagi menyokong pihak saya telah cukup untuk membantu orang awam memahami permasalahan yang ditimbulkan, apatah lagi sahabat-sahabat saya yang menekuni bidang agama. Oleh sebab itu, pada kali ini, tidak perlulah saya mengulanginya. Cukuplah saya menceritakan perihal seorang sahabat perempuan kita. Semoga mendatangkan keinsafan.

Saya rasa hanya sekali saya memberitahunya supaya tidak meletakkan gambarnya dalam Internet atau tidak pernah langsung. Tetapi, dengan sifat seorang Muslimah sejati, saya dapati tidak ada satu pun gambarnya yang ditinggalkannya dalam Internet. Kalau ada pun, hanya dalam kumpulan (group) yang dikhususkan untuk mahram dan sahabat-sahabat perempuan sahaja dalam Facebook sebagaimana yang saya dengar daripada mahram dan sahabat perempuannya. Tidak ada dalam foto-foto Facebooknya juga tidak ada dalam Freindster. Tidak ada juga dalam tempat-tempat lain dalam dunia Internet. Tidak dalam keadaan menutup separuh muka atau mengaburkan gambar. (Huhu!) Padahal kalau ada jejaka yang melihatnya, sudah pasti ia akan menggelarnya ratu cantik (universal)!

Pelik, sahabat itu tidak berpurdah. Mungkin baginya purdah itu sunat. Maklumlah, hidup di tengah-tengah masyarakat Malaysia yang terpengaruh dengan aliran fiqh tersendiri menyebabkan seseorang yang masih belajar akan terikut-ikut dengan suasana tempatan. Berpurdah dalam kalangan pelajar Malaysia di Asia Barat (Timur Tengah) ini perkara yang lazim. Tujuannya, untuk mengelakkan fitnah. Ada juga yang berpurdah dengan tujuan lain. Disebabkan itulah sahabat-sahabat saya, ramai yang tidak suka dengan perempuan yang berpurdah. Saya tidak.

Berbalik semula kepada sahabat tadi, walaupun tidak berpurdah yang dianggap lebih menjaga maruah, ia telah mengalahkan hampir kesemua pelajar-pelajar perempuan jurusan Syariah dan Usuluddin Malaysia yang berpurdah di seluruh dunia. Tambahan pula, ia masih solo. Ya, tidak tipu. Masih solo sesolo-solonya. Kalau perempuan yang sudah bertunang atau tidak lagi solo, biasanya tunang atau temannya itu akan menasihatinya agar lebih menutup diri. Maklumlah, nanti mustakmal. Jadi, tidak peliklah kalau mereka yang keras menjaga maruah itu. Kalau tunang pun suka calon isterinya mendedahkan diri, maksudnya tunang itu ada masalah pada Serebelumnya. (Huhu!).

Biarlah kenyataan yang berbicara. Dalam Facebook, blog, dan tempat-tempat lain, mahasiswi-mahasiswi Islam tidak segan silu memuat naik (up load) gambar-gambar mereka. Tidak dinafikan, mereka bukannya ingin gambar-gambar tersebut dilihat oleh lelaki. Tetapi, hukum tetap hukum. Kalau hendak berkongsi gambar dengan kawan-kawan pun, banyak lagi kaedah lain yang halal seperti mengadakan kumpulan khusus untuk wanita atau menghantarnya melalui e-mel dan Yahoo! Messenger. Ada juga sahabat yang agaknya terkesan dengan pendapat saya. Mereka tetap meletakkan gambar dalam Internet tetapi setelah diedit menjadi kabur atau bergambar dengan menutup muka. Walaupun apa yang mereka lakukan itu lebih baik daripada yang lain, mereka masih belum mencapai standard ISO:1000.

Saya sebenarnya sedih apabila dakwah saya ini tidak diendahkan orang. Tidak cukupkah al-Quran dan hadis sebagai sandaran saya? Saya bertambah-tambah sedih apabila mendengar seorang sahabat membela pegangannya dalam masalah TV, masalah yang hampir sama dengan masalah gambar wanita dengan mengatakan “kalau benda itu haram, tentu sudah lama fatwa keluar tentang itu”. Sedih sekali. Pedih. Ketika mendengar kata-kata itu, saya diam sahaja. Saya simpan dalam hati. Diam-diam. Dalam-dalam. Masalah ini masalah lama. Wujud dalam kitab-kitab turats. Cuma, ulama-ulama sekarang banyak terlepas pandang. Mereka tidak mampu perkaitan di antara TV dan gambar wanita dengan hukum aurat dan pandangan ajnabi. ‘Terlepas pandang’ itu kata-kata yang terlampau-lampau ringan kepada sebahagian ulama kerana saya dapati wujud ulama yang menjadi rujukan dunia membenarkan wanita yang tidak menutup aurat muncul dalam program TV; asalkan bukan sebagai pengacara!

Saya tidak mahu bercakap panjang tentang ‘fatwa’ itu. Sudah cukup bagi orang-orang yang cintakan agama untuk mengeluh menginsafi diri. Dekat benar dengan kiamat. Jikalau begitulah ulama rujukan utama dunia, tidak peliklah kalau mak cik-mak cik di kampung berkemban keluar mengejar penjual sayur. Apa-apa pun, saya ucapkan syabas kepada sahabat tadi. Inilah antara permata-permata yang hilang dari dunia Islam kita. Dialah ratu maruah. (Jangan gosip saya dengan dia sudah. Nanti tak ada orang minat saya lepas ni. Huhu!).

Rabu, 13 Julai 2011

Menjenguk Bersih 2.0

Baru sebentar tadi aku bersama dua sahabat serumah ke Bait Bukhara di pekan Mu’tah sempena menghadiri undangan makan malam. Sesampainya aku di sana, sebelum menjamah makanan berupa nasi yang disediakan, aku masuk ke dalam bilik seorang sahabat. Di sana, beliau menayangkan kepada kami sebuah video tentang perhimpunan Bersih yang diadakan pada hari Sabtu lepas. Melalui video tersebut, aku dapati satu peristiwa yang menyebabkan hati aku tersentuh.

Adegan itu bukan salah satu episod kekejaman polis terhadap peserta perhimpunan tersebut. Polis Malaysia sebagaimana yang aku saksikan dalam video tersebut sangat bengis dan jahat. Sanggup mereka memukul dan menendang rakyat-rakyat yang mahukan kedamaian untuk Malaysia. Pak-pak cik dan wanita-wanita tidak terkecuali. Tetapi, bukan itu yang membuat hatiku sebak.

Hatiku sebak apabila melihat seorang pak cik dalam keadaan nazak di sana. Sebagaimana yang aku lihat, tangannya dijerut dari belakang. Mungkin itu yang menyebabkan beliau lemas. Orang ramai yang mengerumuni beliau cuba membuka ikatan tersebut sedang polis hanya melihat sahaja. Orang ramai mencari-cari gunting atau alat-alat yang tajam tetapi tidak ada. Mereka juga bertanyakan polis kalau-kalau ada dengan mereka. Tidak ada juga. Dalam keadaan yang amat menyayat perasaan sesiapa yang mempunyai perasaan itu, ucapan syahadah ditalkinkan ke telinga beliau.

Hatiku keras. Tetapi, setelah aku mendengar anak perempuan pak cik tersebut memanggil-manggil “ayah, ayah, ayah!” hatiku yang keras itu pun menangis. Perempuan. Berpurdah. Ya Allah, aku tidak mampu melihat perempuan menangis. Lebih-lebih lagi menangis melihat apa yang menimpa ayahnya di hadapan matanya sendiri! Sebak melihatnya. Tangannya masih terjerut kemas dan dirinya masih berbaring di atas jalan raya. Menurut sumber lain, beliau tidak dapat bernafas selain kerana tangan dijerut, tulang rusuknya patah kerana dutendang oleh polis. Pada waktu itu, orang ramai masih berusaha. Tidak ada polis membantu. Hanya memerhatikan. Kemudian, berehat tidak jauh dari sana. Tidak ada bantuan kecemasan. Tidak ada ambulans. Tidak ada kenderaan yang berhenti.

Aku tidak mampu memberikan kata putus terhadap perhimpunan Bersih ini walaupun disertai dan disokong oleh ramai ulama tanah air. Bukan kerana aku tidak melihat kebaikannya, tetapi kerana baik dan buruk bagi manusia adalah berpandukan syariat. Akal boleh menilai tetapi penilaian akal terbatas dalam perkara-perkara tertentu. Seaman mana pun sesuatu perhimpunan itu tetap perlu dinilai berdasarkan nas. Seharus mana pun kedudukan sesuatu tunjuk perasaan itu di sisi perlembagaan Malaysia, sesungguhnya perlembagaan Tuhan itu aula untuk ditaati. Walau bagaimanapun, aku tidak menyatakan demonstrasi jalanan ini haram. Sebab, halal haram itu ketentuan syariat. Aku tidak akan bertaklid kepada mana-mana ulama membabi buta meskipun mereka itu seagung al-Albani, ulama yang aku cintai.

Berkenaan tunjuk perasaan, ulama-ulama Salafiyyah kebanyakannya mengharamkannya berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Sebuah buku nipis berkenaannya telah aku khatamkan. Karya Syaikh Hasan ‘Ali al-Halabi. Tetapi, syukur kepada Allah yang telah melalukan aku di atas banyak jalan termasuk jalan ‘Asya’irah, Ikhwan, dan sebagainya yang telah memberikan banyak kebaikan untuk aku membuat keputusan. Benar, wujud dalil menunjukkan demonstrasi itu haram. Tetapi, dalam sesetengah keadaan sudah tentu berbeza hukumnya. Politik di Mesir tidak sama dengan politik di Arab Saudi. Politik di Jordan tidak sama dengan politik di Malaysia. Mereka ulama-ulama Mesir, Saudi, dan Jordan tidak banyak tahu tentang suasana Malaysia. Barangkali kalau mereka tahu, mereka akan mengubah fatwa-fatwa mereka. Tegasnya, hukum perlu melihatkan kepada banyak segi dan sudut tanpa aku nafikan bahawa al-Quran dan sunnah adalah asas kepada pemilihan hukum.

Aku bercadang untuk mengkaji berkenaan dakwah, pergerakan, dan politik Islam dengan lebih terperinci. Aku tidak mahu mengikut-ngikut sahaja apa yang dilakukan oleh ulama-ulama. Tetapi ini tidaklah bererti aku berasa besar diri sudah mampu berijtihad seperti mereka semua. Tidak! Aku sebagai penuntut ilmu perlu belajar, mengaji, dan mengkaji. Dari mulut Tuan Guru Nik Abdul Hadi Awangkah atau Tuan Guru Nik Abdul Azizkah, selagi tidak berdasarkan dalil, tidak dapat aku terima. Lebih-lebih lagi, setelah aku dapati bahawa demonstrasi dan sebagainya itu berasal daripada ulama-ulama dan ustaz-ustazah yang keluar dari madrasah al-Qaradhawi dan Ikhwan yang aku dapati cacat dan tempang kerana tidak bertongkatkan al-Quran dan sunnah.

Apa-apa pun, selagi aku tidak mampu mengeluarkan kata putus, berkenaan perhimpunan Bersih, aku nasihatkan kepada penganjur supaya meneliti dan berusaha sedaya upaya untuk membersihkan Bersih daripada segala perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Dalam perkara ini aku utarakan satu persoalan, adakah perlu wanita turut serta dalam demonstrasi ini? Sudah kita dengar kata-kata Saiditina ‘A’isyah “kalaulah Nabi shallahu’alaihiwasallam masih hidup sudah tentu beliau akan menghalang wanita daripada keluar ke masjid.” Nah, ‘ke masjid’! Kalau ke pasar? Kalau ke tempat demonstrasi? Kita juga pernah mendengar bahawa Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam pernah ditanya, adakah wanita boleh berjihad dan berperang bersam a-sama lelaki? Kata baginda: sebaik-baik dan seelok-elok jihad untuk perempuan adalah haji, haji yang mabrur [Rujuk: al-Bukhari (1861)]. Jadi, tanpa aku nafikan keterlibatan para wanita bersama-sama Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dalam perang dengan tugas-tugas khusus untuk mereka, aku nasihatkan, khusus kepada wanita ummah, duduklah di rumah dengan mengasuh dan mendidik anak-anak kalian supaya apabila besar nanti mampu berjuang bermati-matian untuk Islam. Janganlah terlalu beremosi. Medan ini medan kami.

Kerana aku tidak mahu menangis sekali lagi.
Kerana aku cintakan para srikandi.
Kerana aku lelaki.

Wassalamu’alaikum.

Catatan: aku tidak dapat menonton kembali video tersebut untuk memastikan kisah ‘pak cik’ tadi sebagaimana yang diceritakan. Maaf sekiranya ada maklumat yang tidak tepat.


Khamis, 7 Julai 2011

Perang Mu'tah Kembali


Perang Mu'tah kembali lagi,
Setelah hampir seabad setengah berlalu pergi,
Dua bala tentera itu kembali bangun bangkit berdiri,
Tentera Islam penyembah Tuhan dan tentera Rom penyembah paderi,
Mereka berkumpul semula di tanah bersejarah ini,
Di menara gading ini, dalam majlis-majlis ilmu jauhari,
Tetapi kali ini tentera Islam agak lemah,
Bahkan ramai yang telah rebah,
Meskipun Rom tidak lagi bertenterakan pahlawan gagah,
Tidak bersejatakan pedang yang tajam dan batang-batang panah,
Mereka menang malah dengan lebih megah,
Hanya dengan menghantar betina-betina bedebah,
Membalut tubuh dengan baju tipis lalu berjalan penuh gah,
Dengan lenggang-lenggok seperti pokok yang hampir patah,
Juga silauan pada mata-mata jantan dari bibir-bibir yang merah,
Itulah tentera-tentera Rom yang membuatkan ribuan pemuda Islam alah,
Tidak, malah jutaan umat Islam mati akalnya sebelum mati tertanam di dalam tanah!
Itulah tentera-tentera Rom yang mengaku menjunjung Islam patuh dan pasrah,
Itulah tentera-tentera syaitan yang menguasai segenap benua dan buana empat punjuru arah,
Tetapi di sana masih ada tentera-tentera Islam yang tetap setia menjunjung al-Quran dan sunnah,
Walaupun dicerca orang, syadid, kolot, bodoh, dan dengan segala sumpah seranah,
Tetap berdiri teguh di atas jalan tunggal walau musuh tidak henti-henti datang menyanggah,
Biarkan manusia dengan wayang, lagu, dan bunyi-bunyian yang ditegah nas-nas syariah,
Mereka tidak akan sekali-kali berganjak dari jalan ini; dengan penuh semangat dan ghairah,
Mereka yakin esok mereka akan mati; amal-amal mereka akan ditimbang; betul ataupun salah,
Tetapi jalan ini tidak sekali-kali mudah,
Kerana syurga itu mahal, terkadang perlu dibayar dengan darah.