Jumaat, 24 Jun 2011

Punca-punca Masalah Zina dalam Kalangan Pelajar-pelajar IPT di Malaysia


Imam al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiyallahu’anhu bahawa Rasulullah shallahu’alaihiwasallam telah bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا
Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat adalah diangkatnya ilmu, berleluasanya kejahilan, diminumnya arak, dan zahirnya perzinaan. [Al-Bukhari (80), Muslim (6956)]

Benarlah sabda Rasulullah shallahu’alaihiwasallam. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan kenyataan bahawa masalah zina telah melanda umat Islam di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuklah negara tercinta Malaysia. Zina bukan sahaja dilakukan oleh golongan-golongan yang tidak berpendidikan tinggi malah turut dilakukan oleh pelajar-pelajar institut-institut pengajian tinggi (IPT). Yang lebih memeranjatkan, juga oleh mahasiswa-mahasiswa IPT agama!

Melihatkan keadaan semakin rumit, umat Islam perlu diajak untuk berfikir seketika. Bagaimanakah semua ini boleh berlaku?

Tidak ada jawapan yang lebih tepat selain bahawa umat Islam telah menyeleweng daripada agama mereka yang sebenarnya. Mereka telah dihasut oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah syariat agama mereka dengan alasan mengikut arus kemodenan. Mereka telah melonggarkan apa yang ditetapkan oleh Allah dan rasul-Nya. Mereka telah mengubah dan memutarbelitkan nas-nas agama hanya kerana tidak sesuai dengan keadaan semasa, kononnya. Orang-orang yang beriltizam dengan al-Quran dan sunnah mengikut ajaran sahabat dan ulama-ulama terdahulu dituduh syadid.

Di sini disenaraikan punca-punca berleluasanya zina dalam kalangan pelajar-pelajar IPT Malaysia:

Pertama: kerajaan tidak melaksanakan undang-undang jenayah Islam bahkan telah menolaknya dengan menggantikannya dengan undang-undang rekaan manusia.

Kedua: umat Islam di Malaysia tidak mempraktikkan pengharaman wanita mendedahkan diri di hadapan lelaki ajnabi dalam media massa dan hiburan malah sesetengah ulama kontemporari mengharuskan wanita berlakon.

Ketiga: wanita Malaysia tidak mengamalkan etika berpakaian yang diwajibkan dan digalakkan oleh Islam. Mereka memakai pakaian yang mendedahkan aurat, ketat, jarang, dan sebagainya. Ramai juga yang secara terang-terangan mendedahkan rambut. Menutup muka dilihat begitu asing walhal telah sedia dimaklumi bahawa ulama-ulama yang berpendapat bahawa muka tidak aurat atau purdah tidak wajib pun menyuruh wanita-wanita menutup muka apabila keadaan memerlukan. Malangnya, ada juga yang berpendapat wanita-wanita Malaysia tidak perlu mengenakan niqab kerana ‘uruf masyarakat Malaysia yang sudah terbiasa mendedahkan muka. Kalau begitu, sampai bila hendak berubah!

Keempat: keluarnya wanita-wanita Islam secara bebas ke pawagam, pasar raya, dan sebagainya tanpa keuzuran yang diizinkan syarak. Keadaan ini berbeza dengan amalan wanita-wanita pada zaman Rasulullah shallahu’alaihiwasallam yang telah diasuh untuk melazimkan diri mereka untuk berada di rumah sehingga para sahabat melarang isteri-isteri mereka keluar walaupun ke masjid. Disebabkan itulah Rasulullah shallahu’alaihiwasallam telah menegur perbuatan tersebut dan memberikan kelonggaran kepada wanita untuk ke masjid dan keluar untuk keperluan. Tetapi, pada zaman sekarang, wanita sudah mula berubah dan menganggap berada di rumah umpama mengongkong kebebasan mereka. Mereka suka menghabiskan masa di luar rumah dengan membeli belah, berhibur, melancong, dan sebagainya. Hakikatnya, perkara ini bukanlah baharu malah telah bermula sedari zaman sahabat. Sejak itu lagi, kaum Muslimat mula berubah sehingga Siti ‘A’isyah binti Abu Bakr radhiyallahu’nha berkata:
لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ
Kalaulah Rasulullah shallahu’alaihiwasallam tahu apa yang dilakukan oleh wanita (pada zaman sekarang, zaman beliau) pasti baginda akan melarang mereka (daripada ke masjid) sebagaimana dilarangnya wanita Bani Isra’i. [Al-Bukhari (869)]

Ini bererti, wanita pada zaman Rasulullah shallahu’alaihiwasallam keluar ke masjid dan menyelesaikan urusan di luar dengan menjaga hukum-hakamnya. Berbeza keadaannya dengan wanita pada zaman ‘Aisyah. Disebabkan keadaan tersebut, bagi Siti ‘A’isyah, kelonggaran tersebut perlu ditarik balik. Soalannya, itu pada zaman beliau, bagaimana pula agaknya dengan sekarang?!

Kelima: umat Islam tidak lagi mempedulikan larangan wanita bermusafir tanpa mahram. Jadi, wanita bukan sahaja keluar ke kawasan-kawasan berhampiran dengan tempat tinggal malah ke bandar dan negeri lain dengan bebas.

Keenam: pengaruh drama, filem, novel, lagu, dan sebagainya yang bersifat kebaratan terhadap pemikiran umat Islam yang mempromosikan cinta dan seks. Begitu juga pengaruh buruk artis ke dalam kehidupan peminat-peminatnya.

Ketujuh: pergaulan dan percampuran antara pelajar lelaki dengan perempuan yang tidak diizinkan syarak seperti pelajar-pelajar perempuan duduk di hadapan pelajar lelaki atau di sebelah. Bahkan sebenarnya, terdapat ulama yang mengharamkan umat Islam daripada belajar di tempat-tempat yang bercampur antara lelaki dan perempuan secara mutlak. Pendapat ini sesuai untuk diamalkan di Malaysia terutamanya pada peringkat sekolah menengah melihatkan gejala sosial yang menjadi-jadi sejak di bangku sekolah lagi.

Kelapan: penggunaan alat-alat komunikasi secara bebas sehingga melanggar batas-batas syarak sehingga pelajar lelaki bebas berhubungan dengan pelajar perempuan dan melakukan khalwat secara maya.

Kesembilan: para pelajar menghadapi kesukaran untuk berkahwin. Inilah punca terbesar berlakunya perzinaan dalam kalangan pelajar IPT.

“Telah nyata kerosakan di darat dan di bumi dengan perbuatan-perbuatan tangan manusia; agar Allah membuat mereka merasa kesan perbuatan mereka; semoga mereka kembali” [Mafhum ayat ke-41, Surah al-Rum]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan