Jumaat, 24 Jun 2011

Kesunnahan Serban

Tidak dinafikan bahawa serban adalah pakaian Rasulullah shallahua’alaihiwasallam. Tetapi, adakah ini bererti semata-mata memakai serban adalah sesuatu yang disyariatkan dalam agama?

Perbuatan baginda shallahu’alaihiwasallam ada yang dilakukan atas dasar syariat dan ada yang tidak. Oleh itu, sesetengah ulama membahagikan ‘sunnah’ kepada dua, tasyri’iyyah dan ghair tasyri’iyyah. Serban termasuk dalam bahagian ghair tasyri’yyah. Sebabnya, serban adalah pakaian orang-orang Arab yang tidak bercanggah dengan syariat. Baginda shallahu’alaihiwasallam seorang Arab. Jadi, baginda memakainya sebagai seorang Arab.

Mana-mana perbuatan yang dilakukan oleh baginda sebagai manusia biasa yang dipengaruhi oleh sifat tubuh badan, keadaan semasa, budaya dan adat setempat atau yang dilakukan oleh baginda atas sebab-sebab dan kemaslahatan tertentu yang bersifat semasa adalah ghair tasyr’iyyah. Oleh sebab itu, seseorang tidak boleh mengatakan bahawa bercakap Arab, menaiki unta, dan makan roti adalah sunnah yang disyariatkan untuk diamalkan oleh umat Islam kerana semuanya dilakukan oleh baginda sebagai manusia biasa bukan sebagai pembawa syariat. Ketiadaan dalam mana-mana hadis sahih bahawa Rasulullah shallahu’alaihiwasallam menganjurkan memakai serban mengukuhkan pandangan ini.

Perlu diingatkan, walaupun serban bukan ‘sunnah’ yang disyariatkan, serban tetap sesuatu yang baik dan digalakkan tetapi bukan kerana semata-mata memakai serban tetapi kerana serban adalah syiar Islam. Memang, pada zaman dahulu, serban adalah pakaian Arab tidak kira Islam atau musyrik tetapi setelah berlalunya zaman, serban hanya dipakai oleh orang-orang Islam dan menjadi pakaian yang digemari oleh para ulama sehingga menjadi satu syiar. Menghina serban sama dengan menghina syiar Islam.

Selain sebagai syiar Islam, serban adalah pakaian Nabi shallahu’alaihiwasallam yang dipakai oleh sesetengah umat Islam kerana terlampau cinta dan sayang kepada baginda. Sama ada perbuatan itu disuruh atau tidak, jika perbuatan itu dilakukan baginda, pasti akan dilakukannya. Inilah yang dilakukan oleh sesetengah sahabat seperti Ibnu ‘Umar radhiyallau’anh. Dalam masa yang sama, orang yang berserban tidak pula boleh memandang lekeh kepada orang-orang yang tidak berserban kerana mungkin ia tidak berserban kerana mengikut makna dan manhaj perbuatan baginda shallahu’alaihiwasallam sementara yang berserban mengikut zahir amalan baginda sahaja.

Terdapat sesetengah masyarakat Islam tidak memakai topi keledar keselamatan semasa menaiki motosikal kerana ingin memakai serban. Perbuatan tersebut perlu dinilai semula kerana telah sabit dalam hadis bahawa baginda shallahu’alaihiwasallam sendiri memakai topi besi apabila keadaan memerlukan. Wallahua’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan