Selasa, 7 Jun 2011

Jawapan kepada Pembela Warisan Anbia

Maafkan daku kerana terpaksa berkasar sebelum ini wahai sahabat-sahabat yang budiman. Bukan sengaja memecahkan keheningan suasana di bumi Mu’tah ini, tetapi kerana aku terpaksa mengatakan kebenaran. Inilah bukti cintaku kepada Islam.

Aku tahu kalian tentu terpinga-pinga apabila aku melemparkan kata-kataku kepada Syaikh ‘Alawi al-Maliki tempoh hari. Aku juga tahu kalian tidak mampu menerima bahawa muzik itu haram. Masakan tidak, sedangkan kalian telah terbiasa dengan kehidupan bersama Syaikh ‘Alawi dan muzik. Aku tahu.

Mungkin gayaku tidak kena dengan suasana. Sehinggakan apa yang aku bawakan ini, meskipun merupakan pendapat jumhur ulama pada beberapa zaman dahulu, dilihat sungguh asing. Benarlah apa yang dikatakan oleh sahabat yang mulia, Ibnu Mas’ud radhiyallahu’anhu:

"Bagaimanalah keadan kalian apabila ditimpa fitnah? Yang besar menua dan yang kecil membesar di dalamnya; orang ramai menjadikannya sunnah. Apabila fitnah itu diubah mereka berkata: sunnah telah diubah!"

Murid-muridnya pun bertanya "bilakah peristiwa itu akan terjadi, Abu 'Abd al-Rahman?"

Jawabnya: apabila ramai qari, tetapi sedikit ulama; ramai pemimpin, tetapi sedikit orang yang amanah; serta dunia dicari dengan amal akhirat.

[Diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Darimi, dan Ibnu 'Abd al-Barr melalui dua jalan, masing-masing disahih dan dihasankan oleh al-Albani dalam Tahrim Alat al-Tharab. Mu'assasah al-Rayyan, Beirut, cet. kelapan, 1428 Hijrah, hal. 16. Disahihkan juga oleh Husain Asad dalam semakan ke atas Sunan al-Darimi. Rujuk: Sunan al-Darimi, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, hjil. 1, hal. 75]

Aku bukannya tidak menghormati ulama bahkan aku sangat sayangkan ulama. Mungkin kalian tidak duduk bersama-samaku, sebab itulah kalian bersangka buruk terhadapku. Ulama-ulama adalah pewaris para nabi dan rasul, penyambung warisan mereka untuk disampaikan kepada umat manusia sehingga ke hari ini. Meskipun mereka berlainan pendapat dengan kami, asalkan pendapat tersebut dapat dimaafkan. Aku mengerti semua itu.

Namun begitu, guru kalian yang amat kalian kasihi itu, telah melakukan kesalahan yang tidak dapat aku maafkan. Aku bukanlah orang yang pertama menolak beliau. Di sana, pelbagai ulama dengan berbagai-bagai kitab ditulis untuk menolak pegangan-pegangan gurumu itu. Di sini aku utarakan satu di antara puluhan malah mungkin ratusan kesalahan beliau yang menyebabkan kami tidak dapat menerima beliau; katanya: ... kerana tidak ada perbezaan di antara hidup dan mati baginda dalam penyaksian baginda kepada umat baginda dan pengetahuan baginda terhadap hal-ehwal, niat, azam, dan lintasan hati mereka. [Dinukilkan dalam Mausu’ah al-Radd ‘ala al-Shufiyyah, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, bhg. 147, hal. 34] Kata-kata ini menunjukkan Rasulullah shallahu’alaihiwasallam seolah-olah Tuhan yang maha mengetahui sehinggakan apa yang terlintas dalam hati manusia.

Aku tidak berniat untuk memanjangkan kalam terhadap kesalahan-kesalahan guru kalian di sini. Jika memerlukan, aku bersedia untuk menyenaraikannya untuk ditunjukkan kepada masyarakat umum. Bagiku, tidaklah salah untuk menyebut kesalahan ulama sebagaimana yang telah dilakukan oleh para ulama terdahulu dengan tujuan nasihat kepada umat. Imam Malik sendiri telah mengatakan ‘Dajjal’ kepada Imam Ibnu Ishaq yang diiktiraf oleh sebahagian umat Islam ketika itu sehingga ke hari ini sebagai ulama yang alim dalam masalah sirah. Mungkin sesetengah kalangan menyangka Imam Malik terlalu keras dan keterlaluan tetapi bagi kami, tidak kerana dalam masalah ini kami lebih tahu daripada kalian.

Di sini juga, aku senaraikan kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama untuk membuktikan bahawa apa yang aku sebutkan berkenaan Syaikh ‘Alawi disokong oleh mereka. Antaranya:

- Hadzhihi Mafahimuna oleh Syaikh Shalih Alu Al-Syaikh
- Kalam al-Ummah fi Shalah ‘Aqidatina oleh Syaikh Abu Bakr al-Jaza’iri
- Al-Radd ‘ala Syirkiyyat al-Maliki oleh Syaikh Safar al-Hiwali
- Hiwar ma’a al-Maliki oleh Syaikh Ibnu Mani’
- Al-Radd al-Qawi oleh Syaikh Hamud al-Tuwaijiri
- Al-Qaul al-Fashl oleh Syaikh Isma’il al-Anshari
- Al-Tabarruk oleh Syaikh ‘Ali al-‘Ilyani
- Al-Du’a’ oleh Syaikh Jailan al-‘Arusi
- Al-Mabahits al-‘Ilmiyyah oleh Syaikh ‘Ali Ridha

Insya-Allah aku akan dapatkan kitab-kitab yang diperlukan di Arab Saudi nanti untuk memuaskan hati kalian. Semoga dengan kitab-kitab tersebut, jelaslah apa yang sebenarnya aku maksudkan.

Berkenaan isu muzik pula, masalah ini tidak sama dengan masalah Syaikh ‘Alawi al-Maliki. Masalah Syaikh ‘Alawi berkaitan dengan akidah sementara masalah muzik berkaitan furuk. Walaupun furuk, tidak bererti masalah ini boleh diabaikan begitu sahaja.

Dalam artikel-artikel yang lepas telah dijelaskan secara terperinci berkenaan masalah muzik ini. Kami dalam masalah ini berada bersama-sama Imam Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i, Ahmad, dan jumhur ulama. Malah, telah dinukilkan beberapa ijmak bahawa muzik itu haram. Antaranya kata-kata Imam al-Baghawi: dan mereka (ulama) bersepakat mengharamkan serunai, alat-alat hiburan, dan alat-alat muzik. [Syarh al-Sunnah, al-Makatabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 12, hal. 383]

Aku bukanlah tidak menghomati pandangan yang mengharuskan muzik tetapi aku menolak kaedah sahabat-sahabatku yang bermudah-mudah menerima sesuatu pendapat tanpa menilainya terlebih dahulu. Aku tidak suka melihat kalian terlalu taasub dengan pendapat Syaikh Yusuf al-Qaradhawi yang diajar oleh guru-guru kita di Mu’tah ini. Aku tidak mahu kalian bertaklid buta walaupun kepada ulama-ulama Salafiyyah sendiri seperti Syaikh Shalih al-Fauzan, al-‘Utsaimin, al-Albani, dan sebagainya apatah lagi kepada Maulana Muhammad Asri.

Aku berharap apa yang aku sebut ini tidak cuba dinafikan oleh kalian kerana kalian hanya mendengar pendapat Syaikh al-Qaradhawi dan mendengar dalil-dalil beliau. Kalian juga mendengar dalil-dalil jumhur ulama tetapi bukan dari kitab-kitab mereka tetapi melalui ulama-ulama yang mengharuskannya. Sepatutnya kalian cuba mengkaji masalah ini dengan mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Sahabat-sahabatku, aku berharap diriku tidak menjadi penghalang kalian untuk menerima kebenaran. Janganlah kerana bencikan daku, kalian tolak pendapat yang benar. Masa terluang luas untuk kalian mencari kebenaran. Itulah yang telah aku lakukan, aku telah membaca kitab utama kedua-dua belah pihak dalam masalah ini dan aku telah menemui kesimpulan yang aku tahu tidak dapat diterima oleh kalian.

Pendapat yang mengharamkan muzik adalah pendapat mazhab Syafi’i dan jumhur ulama. Pendapat tersebut juga diterima di Malaysia sebelum ini. Selain itu, pendapat yang mengharamkan muzik memiliki dalil-dalil yang kuat. Walaupun mempunyai hujah yang kuat, pendapat tersebut tidak diterima oleh ulama-ulama tajdid zaman sekarang. Dengan kelebihan-kelebihan tersebut, aku mengambil kesempatan untuk melakukan ilzam kepada orang-orang yang taasub kepada mazhab Syafi’i dan pengikut-pengikut aliran tajdid. Itulah antara rahsia mengapa aku mempertahankan pengharaman muzik selain kerana muzik adalah antara punca-punca kerosakan ummah.

Di sini aku nyatakan dalil-dalil keharaman muzik.

Pertama, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Asy’ari radhiyallahu’anhu:
لَيَكُونَنَّ فِي أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ
Mafhumnya: akan ada dalam umatku golongan-golongan yang menghalalkan sutera, arak, dan alat-alat muzik.

Kedua, hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas radhiyallahu’anhu:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَىَّ أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Mafhum: sesungguhnya Allah mengharamkan kepadaku atau telah diharamkan arak, judi, dan gendang.

Ketiga, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd Allah bin ‘Amr bin al-‘Ash radhiyallahu’anhu:
إِنَّ رَبِّى حَرَّمَ عَلَىَّ الْخَمْرَ وَالْمَيْسِرَ وَالْكُوبَةَ وَالْقِنِّينَ
Mafhum: sesungguhnya Tuhanku telah mengharamkan kepadaku arak, judi, gendang, dan gambus.

Keempat, hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiyallahu’anhu:
صَوْتَانِ مَلْعُونَانِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ: مِزْمَارٌ عِنْدَ نِعْمَةٍ ، وَرَنَّةٌ عِنْدَ مُصِيبَةٍ
Dua suara yang dilaknat di dunia dan akhirat; serunai ketika nikmat dan raungan ketika musibah.

Kelima, hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu’anhu bahawa beliau telah mendengar bunyi serunai lalu beliau pun memasukkan jarinya kepada telinga dan menjauhi tempat yang kedengaran bunyi serunai itu dan berkata kepada muridnya yang bersamanya ketika itu “adakah engkau mendengar sesuatu?” Katanya “tidak”. Kata Ibnu ‘Umar, aku pernah bersama dengan Nabi shallahu’alaihiwasallam dan mendengar bunyi itu lalu baginda pun melakukan seperti yang aku lakukan seperti tadi. [Sunan Abi Dawud, no. 4926 dan lain-lain]

Keenam, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin Sa’d al-Bajali katanya: aku telah menemui Abu Mas’ud, Ubai bin Ka’ab, dan Zaid bin Tsabit radhiyallu’anhum sedangkan beberapa hamba perempuan sedang bermain kompang dan menyanyi. Aku pun berkata kepada mereka: adakah kalian mengiktiraf perkara ini sedangkan kalian adalah sahabat-sahabat Muhammad shallahu’alaihiwasallam? Jawab salah seorang daripada mereka: sesungguhnya baginda telah memberi keringanan kepada kami dalam majlis perkahwinan dan tangisan kepada jenazah tanpa meraung. [Al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Thabarani, no. 14111]

Ketujuh, hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Hathib:
فَصْلُ مَا بَيْنَ الْحَرَامِ وَالْحَلاَلِ الدُّفُّ وَالصَّوْتُ فِي النِكَاحِ
Pemisah di antara halal dan haram adalah kompang dan bunyi-bunyian ketika perkahwinan.

Aku tinggalkan beberapa dalil lagi yang aku senaraikan dalam kitabku Itsbat Tahrim al-Ma’azif. Jika kalian bersedia untuk mengkaji perkara ini, dapatkan daripadaku di Bait Kesik. Hadis-hadis yang kubawakan tadi kebanyakannya adalah sahih dan ada yang hasan. Aku sertakan bersama teks asalnya supaya mudah untuk dirujuk manakala yang tidak kusertakan aku nyatakan nombor hadis tersebut.

Aku tidak berniat untuk meletihkan diri dengan menjawab tulisan Pembela Warisan Anbia tetapi cukuplah kunyatakan beberapa perkara di sini sebagai kesimpulannya:

- Aku tidak menghina ulama tetapi menyindir orang-orang yang bertaklid buta kepada mereka

- Aku tidak menyamakan zina dengan muzik secara mutlak tetapi dengan erti bahawa hukum zina dan muzik tidak berubah sama sekali. Jika hukum zina haram sejak dahulu, hukum zina kini pun tetap haram. Jika hukum muzik harus, maka sehingga kiamat pun harus. Jika haram, maka haramlah selama-lamanya. Kaedah yang telah kusimpulkan bahawa ‘sesuatu hukum yang harus itu boleh menjadi haram disebabkan oleh perkara-perkara tertentu walaupun bukan maslahat dan darurat tetapi sesuatu hukum yang haram itu tidak akan menjadi harus kecuali kerana maslahat dan darurat’. Kaedah lain, ‘keupayaan sesuatu perkara yang haram untuk menjadi harus bergantung kepada sejauh mana kemaslahatan dan kedaruratan itu selain sejauh mana keharaman perkara itu’. Fahami kaedah ini. Selain itu, cuba fahami kata-kata Yahya bin al-Qaththan berbunyi: sekiranya seseorang mengamalkan setiap pendapat yang ringan yang dikatakan oleh ahli Kufah pada nabiz, ahli Madinah pada mendengar nyanyian (dan muzik), ahli Mekah pada mut'ah, pasti akan menjadi fasik. Sekian. Ertinya, beliau seolah-olah menyamakan pendapat yang mengharuskan muzik dengan pendapat yang mengharuskan mut’ah iaitu kahwin kontrak yang tidak sah dan boleh dikatakan zina.

- Aku menyalahkan sahabat yang memerliku dengan bertanya adakah aku hidup pada zaman Imam Abu Hanifah dan sebagainya kerana kata-kata beliau seolah-olah Islam tidak sesuai pada zaman sekarang. Hukum haram muzik telah diamalkan sejak zaman Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dan tetap sesuai sehingga ke hari ini. Kata-katanya seolah-olah mengatakan bahawa hukum muzik kalaupun haram hanya sesuai pada zaman dahulu, tidak pada zaman ini. Bagiku ini tidak betul kerana kalau dulu haram, kini pun haram. Selain itu, kaedah yang digunakannya, ‘addin taghoyyur 'ala mururi zaman’ tidak betul sama sekali kerana agama Islam telah sempurna dan tidak akan berubah. Istilah ‘din’ yang digunakan boleh mendatangkan implikasi yang besar kepada pemahaman masyarakat. Jika kalian mahu, aku boleh panjangkan hal ini.

- Berkenaan kata-katamu bahawa nasyid telah berjaya menjadi sarana dakwah. Aku katakan yang haram adalah muzik bukan nasyid. Tidak ada salahnya berdakwah menerusi nasyid dengan syarat-syarat yang telah digariskan oleh ulama. Adapun jika nasyid yang dimaksudkan oleh kalian nasyid bermuzik, maka sesungguhnya kejayaan sesuatu untuk dakwah tidak boleh menjadi alasan mengharuskan sesuatu. Tidak boleh mengharuskan sesuatu atas alasan dakwah. Halal haram sabit melalui dalil, bukan melalui pengamatan kita terhadap kesan-kesannya.

- Aku berharap kalian tidak menyokong pendapat yang mengharuskan muzik kerana mengikut ulama-ulama sufi. Sesungguhnya mereka adalah manusia seperti juga ulama-ulama Salafiyyah. Kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah tidak kira apa mazhabnya.

Sekian ulasan dan jawapanku terhadap artikel Pembela Warisan Anbia, semoga diberi hidayat oleh Allah taala. Doakan juga untukku.

Demikianlah, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan