Ahad, 19 Jun 2011

Di Sepanjang Jalan Ini

Di sepanjang jalan ini,
Telah aku lalui liku-liku yang muram,
Telah aku susuri denai-denai yang suram,
Gelap, sepi, dan kelam.

Mereka masih tidak memerhati,
Mereka belum juga mengerti,
Mereka tetap tidak menghayati,
Lantas aku dituduh tiada ajar,
Bahlul yang tidak dapat diajar,
Memilih taasub untuk bersandar,
Kolot tidak pernah jumpa bandar,
Tidak tahu zaman telah beredar.

Jalan ini jalan yang sama,
Jalan yang dilalui alim-ulama,
Ibnu Taimiyah pada zaman lama,
Dipenjarakan hanya kerana agama,
Ibnu al-Qayyim di sisinya bersama,
Tetapi kerana cinta itu lebih utama,
Kerana bisikan syahadah menggema,
Syahid imam pada dua pertiga purnama.

Aku rasa jalan ini lebih payah, terasing,
Kerana aku seorang dikepung keliling,
Ramai teman menjadi saksi lalu berpaling,
Hanya seorang dua sahabat datang berganding,
Bersama melangkah langkahan seiring.

Semoga jalan ini jalan yang singkat,
Semoga kejayaan itu hampir dan dekat,
Semoga kebenaran itu tidak akan tersekat,
Untuk menjelma sebelum kami mangkat.

4 Jun 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan