Isnin, 4 April 2011

Penjelasan Ringkas tentang Muzik


Pandangan yang kami pilih berkenaan muzik adalah:

Seluruh alat muzik adalah haram dibeli atau digunakan kecuali kompang dan gendang pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha selain pada majlis-majlis perkahwinan.

Catatan: pandangan ini adalah pendapat jumhur ulama termasuk ulama-ulama mazhab Syafi'i, selain merupakan pandangan yang dipertahankan oleh ahli-ahli hadis dan Hanabilah atau Salafiyyah. Pandangan yang dipilih ini bertentangan dengan pendapat al-Syaikh Abu Zahrah, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradhawi, 'Abd Allah al-Jadi', dan beberapa ulama muta'akhkhirin lain. Pendapat yang mengharamkan muzik ini juga berlawanan dengan pendapat yang diterima dan diamalkan oleh majoriti umat Islam sekarang.

Pendapat ini dipilih kerana mengikuti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih lagi sarih berkenaan hukum muzik. Peninggalan para sahabat, tabiin, dan ulama-ulama salaf juga menyaksikan keharaman muzik. Selain itu, pandangan ini turut disokong oleh mazhab-mazhab yang empat. Meninggalkan pendapat ini dengan mengambil pendapat ulama-ulama tanpa alasan yang kukuh bererti menolak al-Quran, hadis, dan ulama-ulama besar dunia Islam.

Dalam dunia Islam, pendapat yang mengharuskan muzik adalah syaz seperti pendapat yang mengharuskan nabiz -sejenis minuman yang memabukkan- dalam mazhab Abu Hanifah. Akan tetapi, pada hari ini, pendapat nabiz telah ditolak oleh ulama dan pendapat yang mengharuskan muzik telah menjadi masyhur. Dalam hadis yang sahih daripada Abu Malik al-Asy'ari, Rasulullah shallahu'alaihiwasallam bersabda yang mafhumnya:

Akan ada dalam kalangan umatku beberapa golongan yang menghalalkan zina sutera, arak, dan alat-alat muzik.

Selain itu, kehadiran pendapat yang ini ke dalam dunia Islam telah menyebabkan pemuda-pemuda Islam mengisi masa-masa mereka dengan mendengar lagu dan muzik. Selain itu, nasyid-nasyid yang bermuzik turut dijadikan halwa telinga sehingga menyebabkan al-Quran, hadis, dan kitab-kitab ulama ditinggalkan.

Jadi, dengan tujuan mengembalikan roh Islam ke dalam umat Islam, kami berusaha untuk mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk meninggalkan muzik walaupun dalam nasyid. Kami tidak sanggup melihat umat Islam terikut-ikut dengan rentak dunia sehingga mengetepikan ajaran Islam yang sebenar.

Sesetengah orang berkata bahawa muzik dalam nasyid berfungi sebagai bahan dakwah kepada anak-anak muda. Jawapan kami, sesungguhnya kemungkaran tidak akan dapat dihapuskan dengan kemungkaran sebagaimana najis tidak akan suci dengan basuhan air kencing. Malah, realitinya, nasyid sendiri telah melalaikan umat Islam dari membaca al-Quran dan berzikir. Lihatlah juga perbezaan dunia penuntut ilmu agama. Dahulu, mereka asyik mempelajari agama, mengkaji makna-makna al-Quran, menghafal hadis, dan menelaah kitab-kitab ulama. Kini, penlajar-pelajar agama telah disibukkan dengan lagu dan muzik yang kadang-kadang didengar atas nama 'hiburan Islam masa kini' selain leka bermain permainan komputer seperti Pro Evolution Soccer (PES) dan filem-filem Barat.

Jadi, pendapat kami ini kami pilih dan kami pertahankan habis-habisan melebihi pendapat-pendapat pilihan kami dalam masalah-masalah lain kerana kami memahami aulawiyyat dan waqi'. Pada hemat kami, masalah umat Islam berpunca daripada kegawatan yang melanda pemuda-pemudanya. Tanpa hiburan yang haram, para pemuda Islam akan mampu melawan musuh-musuh mereka dengan gagahnya. Dengan alasan ini jugalah kami mendesak remaja-remaja untuk berkahwin pada usia yang muda iaitu supaya mereka terhindar dari fitnah cinta sekali gus mampu menumpukan usaha ke arah cita-cita Islam.

Pada masa yang sama, kami tumpukan perhatian kami dalam masalah pengharaman muzik untuk mengingatkan kepada ustaz-ustaz dan para pelajar agama bahawa mereka masih belum benar-benar berpegang dengan prinsip pegangan mereka. Jika benar, mengapa yang mengaku bermazhab Syafi'i menolak mazhab mereka dalam perkara ini? Begitu juga dengan golongan tajdid, mengapa memilih pendapat yang bercanggah dengan hadis dan atsar-atsar salaf dalam hal ini? Jika benar pendapat kalian lebih kuat, mengapa berdiam diri apabila ulama-ulama Hanabilah menghujah kalian?

Pandangan pilihan kami ini sememangnya aneh dan mungkin akan ditertawakan oleh ramai orang. Mereka akan mengatakan kami kolot, tidak mengikut perkembangan zaman, syadid, dan barangkali mereka akan mengatakan kami ghuluww dalam beragama. Ya Allah! Tambahan lagi, pendapat ini ditentang pula oleh ulama ikutan ramai, al-Syaikh Yusuf al-Qaradhawi!!

Siapa pun yang mengatakan bahawa muzik itu halal tidak akan kami endah perkataannya melainkan kata-katanya bertunjangkan al-Quran dan sunnah. Al-Syaikh al-Qaradhawi memang hebat dan kami terhutang budi dengan beliau dalam banyak perkara. Tapi, bukankah sudah menjadi pegangan umat Islam segala kata-kata yang menyalahi al-Quran dan sunnah adalah tertolak.

Kami tahu, kalian pasti akan bertanya kami, siapakah kamu yang hendak mentarjihkan sesuatu pendapat? Jawapan yang kami berikan, siapa pula kamu yang ingin mentarjihkan pendapat al-Qaradhawi? Atau pasti kalian akan menjawab pula, kita sama-sama memilih pendapat yang kita sukai. Kami suka pendapat al-Qaradhawi dan kamu suka pendapat ulama-ulama lain. Sama-sama ulama.

Kami sekali-kali tidak akan membiarkan kalian tersenyum melebar dengan jawapan tersebut. Kami akan menjawab pula, kalau begitu, ulama-ulama melontarkan pendapat, lalu kita bebas memilihnya tanpa sebarang neraca dalam menilai? Nah, tidak sama sekali wahai umat Islam. Kita pilih pendapat yang menepati nas-nas yang sahih lagi sarih. Mana yang lebih kuat, kita pegang, mana-mana yang lemah, kita ketepikan.

Kami hormati pandangan para ulama tetapi menghormati pandangan seseorang tidak boleh menghalang kami daripada menasihati umat Islam. Malah, perlu difahami bahawa tegur-menegur ini adalah satu lumrah dalam dunia ilmiah Islam. Jika ada yang tidak bersetuju dengan kami, sila nyatakan pula hujahnya. Jika kami mampu jawab, kami jawab. Jika tidak, pasti kami akan menurut pula langkah kalian.

Tentang al-Syaikh al-Qaradhawi dan pendapatnya dalam masalah ini, kami tegaskan bahawa kami telah mencuba menyelidiki hujah-hujah beliau dan membandingkan dengan hujah-hujah ulama lain. Antara karya beliau yang telah kami tatapi ialah Fatawa Mu'asharah dan Fiqh al-Ghina' wa al-Musiqi. Akhirnya, kami dapati, hujah-hujah beliau lemah dan terdapat beberapa kesilapan. Perkara ini boleh dirujuk melalui kitab Tahrim Alat al-Tharab oleh al-Syaikh al-Albani dan Al-Radd 'ala al-Qaradhawi wa al-Judai' oleh al-Syaikh 'Abd Allah Ramadhan bin Musa.

Seperkara yang tidak ingin kami lupa menyebutnya ialah tentang fikrah al-Syaikh al-Qaradhawi dalam melarang kami daripada menyebut perkataan 'haram' ke atas perkara-perkara seperti ini. Sebenarnya, kami dan ulama-ulama masa kini yang mengharamkan muzik bukanlah orang yang pertama yang mengatakan demikian. Ulama-ulama terdahulu yang lebih agung dan lebih besar daripada al-Qaradhawi telah menyebutnya secara terang-terangan dalam kitab-kitab mereka. Kami kira, kata-kata pengarang 'Aun al-Ma'bud dalam artikel Hadis-hadis yang Menunjukkan Keharaman Muzik telah cukup menjelaskan perkara ini.

Umat Islam hari ini telah dikelirukan dengan fatwa-fatwa keharusan muzik sehingga menganggap pendapat yang mengharamkan muzik adalah pendapat yang syaz dan lemah. Sayang seribu kali sayang apabila kurang bangkangan terhadap pendapat ini dalam kalangan umat Islam khususnya di Malaysia menyebabkan nasyid-nasyid makin lama makin rancak tidak ubah seperti lagu Barat. Apabila kami timbulkan isu ini, kami sudah tentu dituduh membawa kecelaruan dalam kalangan umat.

Kami tidak kisah apa kata orang. Selagi mereka ada mulut dan nyawa, mereka akan terus berkata-kata. Kami suka menjadi golongan yang teguh dengan al-Quran dan sunnah. Kami suka menjadi golongan ghuraba' yang ganjil lagi pelik. Biarlah semua orang terus berseronok dengan lagu-lagu dan muzik sedangkan kami tidak. Biarlah telinga kami tidak dapat menikmati kenikmatan dunia yang sementara itu, semoga kami dapat menikmatinya di akhirat, amin.

Sebelum kami mengakhiri penjelasan ringkas yang melebar ini, bacalah sebuah dua hadis lagi tentang muzik yang semoga dengannya kalian akan mula insaf;

Daripada Ibnu 'Abbad bahawa Rasulullah shallahu'alahiwasallam bersabda:
بعثت بهدم المزمار والطبل
Aku diutus untuk menghancurkan serunai dan gendang. [Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi dalam Talbis al-Iblis, Tamim al-Razi dalam Fawaidnya, dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang dihasankan oleh al-Syaikh 'Abd Allah Musa]

Daripada Nafi' hamba bebasan Ibnu 'Umar bahawasanya Ibnu 'Umar terdengar bunyi serunai pengembala lalu ia letakkan jarinya ke dalam telinga dan mengalih tunggangannya daripada jalan tersebut sambil bertanya "wahai Nafi', kamu dengar (bunyi itu)? Aku menjawab "ya." Beliau meneruskannya sehingga aku mengatakan "tidak" lalu ia mencabut jarinya dan kembali ke jalan tadi dan berkata "aku melihat Rasulullah shallahu'alaihiwasallam telah terdengar bunyi serunai pengembala lalu baginda melakukan seperti (yang aku lakukan) itu." [Disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Albani, dan al-Jadi'. Dihasankan oleh Syu'aib al-Arna'uth]

Lihatlah bagaimana seorang sahabat telah mengelak sedaya upaya daripada mendengar bunyi muzik dengan menutup telinga dan lari dari kawasan muzik itu dan tengoklah apa yang kita lakukan sehari-hari. Sesungguhnya kami tidak sanggup bersama-sama kalian walaupun muzik itu indah dan lazat. Kami juga tidak mahu menjadi orang-orang yang menghalalkan muzik seperti yang terdapat dalam hadis tadi tanpa kami sedari.

Ingatlah, sesungguhnya, kiamat itu sudah terlalu hampir.

2 ulasan:

  1. Sila rujuk: http://alkutawi.blogspot.com/2012/04/hukum-kompang-mengikut-mazhab-syafii.html; untuk sedikit pembetulan fakta.
    Wallahua'lam.

    BalasPadam
  2. walaupun pada mulanya saya rasa agak kurang bersetuju , tapi selepas saya membaca artikel ini tapi akhirnya saya rasa sememangnya benar dan saya amt berstuju sekali bahawa muzik walaupun didengar walupun sekjap sekali pun tetapi boleh membuatkan kita lupa pada Allah, lebih lebih lagi melewatkan solat

    BalasPadam