Sabtu, 2 April 2011

Lima Kaedah Penting dalam Bertutur

Dalam setiap perkara, kita perlu memahami konsep dan kaedah asasnya. Umpama belajar mengira; tambah, tolak, darab, dan bahagi. Bagaimana satu tambah satu menjadi dua? Kenapa kita tidak boleh menolak nombor yang lebih besar? Mengapa dua kali lima menjadi sepuluh dan lima kali dua pun menjadi sepuluh? Mengapa?!

Persoalan ini dapat difahami dengan memahami terlebih dahulu kaedah asasnya. Dengan memahami kaedah asas sesuatu perkara, kita dapat memahami perkara itu dengan baik. Tanpanya, kita akan terus kebingungan; tidak mengerti persoalan yang sedang dihadapi.

Demikian jugalah dengan persoalan tutur kata, juga mempunyai kaedah, konsep, usul, dan manhaj tersendiri. Dengan memahami kaedah ini, kita dapat menggambarkan rupa tutur kata yang diredainya Tuhan; Allah yang maha esa, seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan.

Diriwayatkan Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه

Mafhumnya: aku tinggalkan di sisi kalian dua benda. Kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi kalian berpegang teguh kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya.[1]

Justeru, kita sebagai mereka yang bersaksi bahawa Allah hanyalah satu-satunya Tuhan dan Muhammad itu pesuruh-Nya SAW mesti mengamalkan hadis di atas dalam semua perkara kehidupan iaitu berpegang teguh dengan pimpinan al-Quran dan al-sunnnah; begitu juga dalam menyusun kaedah bertutur kata. Semua perkara yang bertentangan dengan ajaran kedua-dua perkara ini mesti ditentang dan dijauhi; sehingga kita bertemu Rasulullah SAW di telaganya kelak.

Dalam perkara tutur kata, al-Quran dan sunnah memuatkan begitu banyak persoalan berkenaannya. Oleh sebab terlalu banyak, kita memerlukan satu ringkasan yang merangkumi semuanya. Antaranya:

Kaedah Satu

Mafhum firman Allah subhanahuwata’ala:

“Dan sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (perbuatanmu). Yang Mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat (perbuatanmu). Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan”. [Surah al-Infithar: ayat 10-12]

“(Ingatlah) ketika dua malaikat mencatat (perbuatannya); yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkankannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).” [Surah Qaf: ayat 17 dan 18]

Berdasarkan ayat-ayat Allah di atas, kita dapat menyimpulkan satu kaedah penting dalam bertutur kata iaitu memantapkan keimanan kita selain yang sudah maklum sebagaimana yang terdapat dalam hadis “barangsiapa beriman…” tadi dan dalam pelajaran akidah; dengan kewujudan dua orang malaikat pencatat di kedua-dua sisi kita.

Timbul persoalan dalam hati kita, adakah semua perkataan kita dicatat sehingga kalau semua dicatat, akan menambahkan kegerunan kita akan hari perbicaraan kelak?

Al-Imam Ibnu Katsir menjelaskan:

Ulama berselisih pendapat: adakah malaikat itu mencatat perkataan kita semua sekali? Pandangan bahawa malaikat mencatat semua perkataan kita adalah pandangan al-Hasan dan Qatadah; atau bahawa malaikat itu hanya mencatat perkataan yang mengandungi pahala atau dosa sahaja sebagaimana pendapat Ibnu ‘Abbas. Adapun zahir ayat[2] adalah sebagaimana pendapat yang pertama kerana keumuman firman-Nya (mafhumnya): Tidak ada suatu kata yang diucapkankannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat). [Ayat ke-18 Surah Qaf]

Maka, dengan keyakinan bahawa segala perkataan kita dicatati malaikat, kita akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kata-kata.

Kaedah Dua

Baginda SAW bersabda:

من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيرًا أو ليصمت

Mafhumnya: barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bercakap sesuatu yang baik ataupun diam.[3]

Al-Imam al-Nawawi mengulas: hadis yang disepakati kesahihannya ini adalah satu nas yang jelas menunjukkan bahawa seseorang itu tidak boleh bercakap kecuali kalau kata-kata yang ingin disebut itu baik; serta dalamnya timbul maslahat. Apabila ia ragu-ragu sama ada maslahat itu sudah timbul atau tidak, maka janganlah ia bercakap. Jika timbul maslahat, cakap. Jika tidak, jangan bercakap hingga maslahat itu timbul.[4]

Al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali pula berkomentar: sabda Rasulullah SAW “hendaklah ia sebut yang baik ataupun diam”[5] adalah satu suruhan supaya menyebut perkara-perkara yang baik dan supaya diam bagi yang sebaliknya. Ini menunjukkan tidak ada satu perkataan pun yang sama, yang perlu disebut atau didiamkan. Sebaliknya, perkataan itu sama ada elok disebut sehingga disuruh untuk menyebutnya atau tidak elok sehingga disuruh diam tidak menyebutnya.[6]

Daripada hadis dan keterangan ulama ini, kita dapat simpulkan bahawa antara kaedah penting dalam bertutur kata ialah berfikir dahulu sebelum menyebut apa-apa perkataan. Jika ada keperluan, bercakaplah. Jika tidak, lebih elok diam.

Kata al-Imam al-Syafie:

إذا أراد الكلام فعليه أن يفكر قبل كلامه فإن ظهرت المصلحة تكلم وإن شك لم يتكلم حتى يظهر.

Ertinya: apabila seseorang itu hendak bercakap, hendaklah ia berfikir dulu sebelum bercakap. Jika timbul keperluan, bercakaplah; kalau ragu-ragu, jangan bercakap sampai keperluan itu timbul.[7]

Bahkan, jika menurut kata-kata al-Imam al-Syafie tadi, kalau ragu-ragu ada atau tidaknya maslahat itu, kita tidak boleh bercakap. Aduhai, alangkah sukarnya jalan menuju syurga-Nya!

Kaedah Tiga

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من صمت نجا

Mafhumnya: barangsiapa diam, maka dia telah selamat.[8]

Al-Muhaddits Abu al-‘Ala al-Mubarakfuri menjelaskan:

Dan makna hadis itu ialah: seseorang itu hendaklah tidak bercakap perkara-perkara yang tidak ada kena-mengena dengannya serta hanya bercakap pada perkara-perkara yang penting; maka selamat padanya.

Rasulullah SAW juga diriwayatkan bersabda:

إنك لم تزل سالمًا ما سكتّ فإذا تكلمت كتب لك أو عليك.

Mafhumnya: sesungguhnya engkau sentiasa sejahtera selagi mana engkau diam, apabila engkau berkata-kata, pasti akan dicatat kebaikan atau keburukan kepadamu.[9]

Ibnu Mas’ud berkata: demi Allah yang tiada tuhan melainkan Dia, tidak ada sesuatu pun di atas bumi ini yang lebih berhak untuk dipenjarakan daripada lidah.[10] Wahab bin Munabbih berkata: para hukama telah bersepakat bahawa permulaan hikmah itu ialah diam.[11]

Kata al-Imam al-Nawawi: ketahuilah, sesungguhnya wajib bagi setiap mukallaf untuk menjaga lidahnya daripada sebarang perkataan kecuali perkataan yang timbul padanya kemaslahatan. Apabila mengucapkannya atau meninggalkannya adalah sama-sama mempunyai maslahat, maka sunnahnya menahan diri daripada mengucapkannya; kerana perkataan yang harus itu biasanya akan terbawa-bawa menjadi haram atau makruh. Demikianlah kebiasaannya banyak berlaku.[12]

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali pula berkata: ketahuilah bahawa bahaya lidah itu besar dan tidak ada jalan selamat daripadanya kecuali dengan diam. Oleh sebab itulah syarak memuji dan menggalakkan supaya diam.[13]

Demikianlah yang terbaik bagi manusia; iaitu melazimi diri untuk sentiasa membisu melainkan pada hal-hal yang perlu. Inilah kaedah ketiga yang perlu dipegang.

Kaedah Empat

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إن أحدكم ليتكلم بالكلمة من رضوان الله ما يظن أن تبلغ ما بلغت فيكتب الله لها بها رضوانه إلى يوم يلقاه وإن أحدكم ليتكلم بالكلمة من سخط الله ما يظن أن تبلغ ما بلغت فيكتب الله عليه بها سخطه إلى يوم يلقاه

Mafhumnya: sesungguhnya salah seorang daripada kalian berkata dengan kata-kata yang diredai Allah taala yang dia tidak menyangka bahawa kata-katanya itu akan mencapai apa yang dicapainya (iaitu reda Allah), pasti Allah akan mencatat keredaan-Nya sehingga hari ia menemui-Nya; dan sesungguhnya salah seorang daripada kalian berkata-kata dengan kata-kata yang dimurkai Allah yang ia tidak menyangka kata-katanya itu akan mencapai apa yang dicapainya (iaitu murka Allah), Allah akan mencatat baginya kemurkaan-Nya sehingga hari ia menemui-Nya.[14]

إن العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين ما فيها يهوى بها فى النار أبعد ما بين المشرق والمغرب

Mafhumnya: sesungguhnya hamba (Allah) itu berkata dengan kata-kata yang dia sendiri tidak jelas apa yang terkandung dalam kata-katanya itu, pasti akan dihumban dengan kata-kata tersebut ke dalam neraka sejauh timbur dan barat.[15]

Al-Imam al-Nawawi berkata: ‘(kata-kata) yang dia sendiri tidak jelas apa yang terkandung dalam (kata-kata)-nya itu’ iaitu (kata-kata) yang tidak diteliti, yang tidak difikirkan keburukan, dan yang tidak ditakuti kesan buruknya.[16]

Al-Imam Syams al-Din Al-Safiri pula berkata: ‘(kata-kata) yang dia sendiri tidak jelas apa yang terkandung di dalamnya’ iaitu kata-kata yang dia tidak memikirkan sama ada kata-kata itu baik atau buruk.[17]

Daripada hadis pertama tadi, kita diterangkan kebaikan dan keburukan kata-kata. Dengan sesetengah perkataan kita akan mendapat keredaan Allah dan dengan sesetengah perkataan lagi, kita akan mendapat kemurkaan dan azab Allah. Semoga kita dijauhkan-Nya dari azab-Nya! Namun, bagaimanakah caranya untuk mengetahui mana perkataan yang baik; yang diredai Allah dan mana perkataan yang buruk; sehingga mendapat murka Allah?

Jawabnya: dengan ilmu. Sebagaimana yang kita ketahui, mempelajari ilmu-ilmu agama yang berkaitan dengan dosa pahala adalah fardu ain. Bagaimana mungkin seseorang itu menafikan kewajipan mempelajari ilmu tentang hukum-hakam kata-kata sedangkan tanpanya, ia boleh dilempar ke dalam neraka?

Inilah kaedah keempat; mempelajari ilmu yang berkaitan.

Kaedah Lima

كنا عند رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فوعظنا فذكر النار - قال - ثم جئت إلى البيت فضاحكت الصبيان ولاعبت المرأة - قال - فخرجت فلقيت أبا بكر فذكرت ذلك له فقال وأنا قد فعلت مثل ما تذكر. فلقينا رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فقلت يا رسول الله نافق حنظلة فقال مه فحدثته بالحديث فقال أبو بكر وأنا قد فعلت مثل ما فعل فقال يا حنظلة ساعة وساعة ولو كانت تكون قلوبكم كما تكون عند الذكر لصافحتكم الملائكة حتى تسلم عليكم فى الطرق

Diriwayatkan daripada Handhzalah al-Usayyidi, katanya: kami pernah berada di sisi Rasulullah SAW dan baginda memberi peringatan dan menyebut tentang neraka. Kemudian, aku pulang ke rumah dan aku bergurau-gurau dengan anak-anak dan aku juga bermain-main dengan isteri. Aku kemudiannya keluar dan menemui Abu Bakr dan aku menyebutkan tentang apa yang telah kulakukan tadi. Kata Abu Bakr, “dan aku pun melakukan perbuatan yang sama seperti yang engkau sebut.” Kami pun menemui Rasulullah SAW dan aku berkata: wahai Rasulullah, Handhzalah telah menjadi munafik. Baginda bertanya: apa? Aku pun bercerita seperti tadi. Abu Bakr pun berkata: aku pun sama seperti yang Handhzalah buat. Maka, baginda pun bersabda: wahai Handhzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu. Kalaulah hati-hati kalian sentiasa berada dalam keadaan seperti ketika berzikir, pasti para malaikat akan menjabat tangan kalian sehingga mereka memberi salam kepada kalian di tengah jalan. [18]

Betapa indahnya agama, Allah tidak sekali-kali akan membebankan manusia melebihi kemampuan mereka. Manusia diciptakan sebagai makhluk yang suka bergurau; bermain dengan anak, isteri, dan rakan-rakan; dan gemar berhibur, maka Islam sebagai agama fitrah tidak pernah menghalang manusia daripada perkara-perkara fitrah. Asalkan sahaja, manusia tidak melampaui batas yang ditetapkan oleh Islam; kerana manusia tidak tahu apa yang terbaik buat mereka. Tuhan merekalah yang maha mengetahui segala-galanya.

Jadi, kaedah kelima adalah memahami bahawa kaedah-kaedah yang empat sebelumnya dipraktikkan dengan sederhana sesederhana yang dituntut oleh Islam. Bukankah membisu berlebih-lebihan akan membuatkan isteri kita yang merindui belaian kasih sayang kita selain anak-anak yang ingin bermanja akan kesunyian? Sesungguhnya Islam itu cukup-cukup indah.

Wallahua’lam.



[1] Diriwayatkan oleh Malik di dalam al-Muwaththa’ riwayat Yahya bin Yahya al-Laitsi (nombor 2618) secara mursal. Ibn ‘Abd al-Barr berkata di dalam al-Tamhid Li Ma Fi al-Muwaththa’ Min al-Ma’ani wa al-Asanid: hadis ini mahfudz, ma’ruf, dan masyhur di sisi ahli ilmu daripada Nabi SAW sehingga hampir-hampir tidak perlu lagi kepada sanad. Kata al-Syaikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah selepas menyebutkan rawi-rawi yang dha'if dalam riwayat-riwayat hadis tersebut: kewajipan berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah tidak memerlukan kepada riwayat-riwayat seperti ini (iaitu kerana kelemahan sanad-sanadnya) sebagaimana yang tidak tersembunyi (iaitu sedia diketahui). Lihat: Lamhat min Tarikh al-Sunnah wa 'Ulum al-Hadits, Dar al-Basya'ir al-Islamiyyah, cet. ke-15, 2009, hal. 18, nota kaki. Hadis sahih yang masyhur menyebutkan ahli keluarga baginda SAW menggantikan tempat sunnah dalam hadis sebagaimana dalam Shahih Muslim. Apa-apapun, benar kata al-Syaikh Abu Fattah. Hadis ini disahihkan oleh al-Syaikh al-Albani.

[2] Iaitu ayat ke-18 Surah Qaf.

[3] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (6475), Muslim (47), dan lain-lain. Rujuk kitab syarah al-Arba’in al-Nawawiyyah pada hadis ke-15.

[4] Petikan dari bab Hifdhz al-Lisan dalam kitab al-Adzkar oleh al-Nawawi.

[5] Sebagaimana hujung hadis di atas.

[6] Petikan dari bab al-Hadits al-Khamis ‘Asyar dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam.

[7] Dari bab Hifdhz al-Lisan dalam al-Adzkar.

[8] Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi (2501), al-Darimi (2713), Ahmad (6335), al-Baihaqi (Syu’b al-Iman 3629), dan al-Thabarani (Al-Mu’jam al-Kabir 1533, al-Mu’jam al-Ausath 1933). Al-‘Iraqi berkata: dikeluarkan oleh al-Tirmidzi… dan kata al-Tirmidzi: gharib. Hadis ini dengan riwayat al-Thabarani adalah dengan sanad jayyid.

[9] Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Kabir (16521). Kata al-Haitsami dalam al-Majma’ al-Zawaid (18156): diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan dua sanad dan rijal salah satu daripadanya adalah tsiqah.

[10] Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Kabir; Waki’ dan Ahmad dalam al-Zuhd; Ibnu Hibban dalam Raudhah al-‘Uqala’; dan lain-lain.

[11] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya dalam al-Shamt.

[12] Dipetik dari Bab Tahrim al-Ghibah wa al-Amr bi Hifdhz al-Lisan dari kitab Riyadh al-Shalihin.

[13] Dari bab Kitab Aafat al-Lisan dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh al-Ghazali.

[14] Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi (2489), Ibnu Majah (3969), Malik (1781), Ahmad (15890), Ibnu Hibban (281), dan lain-lain dengan lafaz al-Tirmidzi. Kata al-Tirmidzi: ini hadis hasan lagi sahih. Disahihkan juga oleh Ibnu Hibban dan lain-lain.

[15] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (6477), Muslim (7673), dan lain-lain dengan lafaz Muslim.

[16] Dari syarah hadis sebelumnya dalam kitab Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim.

[17] Dari syarah hadis sebelumnya dalam kitab al-Majalis al-Wa’dhziyyah fi Syarh Ahadits Khair al-Bariyyah yang dikenali juga dengan nama Syarh Shahih al-Bukhari li Syams al-Din al-Safiri.

[18] Diriwayatkan oleh Muslim (7142 dan 7143), al-Tirmidzi (2514), Ibnu Majah (4239), dan lain-lain; dengan lafaz Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan