Khamis, 31 Mac 2011

Jalan Ulama


Ibrahim bin Muhammad al-Mazuri berkata; aku mendengar 'Ali bin Khasyram berkata; kami berada dalam majlis Sufyan bin 'Uyainah. Kata beliau:
يا أصحاب الحديث تعلموا فقه الحديث لا يقهركم أهل الرأي
Wahai ahli-ahli hadis, pelajarilah fiqh al-hadits (maksud dan kefahaman hadis), pasti ahli ra'y tidak dapat menguasai kalian. [Diriwayatkan oleh Al-Khathib al-Baghdadi, Al-Faqih wa al-Mutafaqqih, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 2, hal. 159]

Rabu, 30 Mac 2011

Melangkah Gagah


Derup-derap bunyi kaki-kaki kami melangkah
Menuju seiringan dengan langkah-langkah gagah

Kami tidak sesekali akan berpaling dari jalan harakah
Kami inginkan kemuliaan dan inilah jalan megah dan gah.

Semarak kami mara dengan kaki-kaki merekah
Tidak ada tempat berteduh untuk kami menyinggah
Sesungguhnya tiada istirehat bagi kami selagi belum memangkah
Memangkah leher musuh lalu menang atau syahid tersanggah.

Catatan: sesungguhnya jalan perjuangan adalah jalan yang mulia di sisi Allah meskipun kami dihina dan dikeji lawan. Meskipun kami dimusuhi setelah mereka datang berkawan. Kami ingin terus mekar dan tegar. Kami ingin terus pakar dan dakar.

Mara dan terus mara
Mara melalui jalan penjara

Terus menerus jangan berhenti
Jangan berhenti sehingga mati.

Pesanan Syaikh Hasan Al-Banna

Kata al-Syaikh Hasan al-Banna, pengasas al-Ikhwan di Mesir dalam himpunan tulisannya:

Antara langkah-langkah islah ilmu; (antara perkara yang disebut beliau ialah)
- Melarang percampuran antara pelajar lelaki dengan perempuan dan menganggap khalwat antara lelaki dengan perempuan ajnabi adalah satu jenayah yang perlu diberi hukuman.
- Menggalakkan perkahwinan dan perkembangan keluarga dengan menggunakan segala medium yang membantu ke arah itu. Menggubal undang-undang yang dapat menjaga keluarga dan memupuknya serta menyelesaikan masalah perkahwinan.
- Menyaring, memilih, dan memantau lagu serta memperketatkannya.

[Majmu'ah Rasa'il al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, Dar al-Da'wah, cet. pertama, 2002 H, 84-85]

Ahad, 27 Mac 2011

Penjara Mu'tah II

Masih di sini
Bersendiri
Seorang diri
Sunyi
Sepi sekali.

Andai ada teman di sisi
Menemani baki-baki hari tersisa
Bersama bermesra berkongsi rasa
Atau berbincang dan mengulas aneka cerita
Melawan musuh dan mengasah senjata
Dengan kertas dan pena serta lidah dan kata
Perangi kekufuran dan kezaliman yang merata
Iraq, Afghan, Palestin, dan Pattani itu bumi saudara kita!

Juga berbicara tentang cinta
Pada ibu bapa yang telah lama manahan derita
Sesekali menyindir manusia yang gilakan harta
Selain syaitan-syaitan betina yang menyakitkan mata
Sama-sama berfikir bagaimana permaisuri yang dicita-cita
Apa nama yang istimewa untuk cahaya-cahaya mata
Seraya berdoa agar zuriat keturunan bebas dari nista
Tertawa apabila tersebut nama si dia
Sejenak tersenyum merasa bahagia.

Kitab-kitab ulama dihayati bersama
Melangkah kaki ke masjid langkahan seirama
Sambil-sambil itu bertazkirah seperti ulama
Kerana akhirat itu tujuan yang utama.

Tapi siapakah yang sanggup berada di sisi ini
Penjara ini bagi mereka umpama syurga
Setiap pelosok dinikmati penuh tenaga
Berjalan menapak dengan rasa bangga
Dunia ini bagi mereka sungguh berharga
Harus dibeli dengan jiwa dan raga.

Sedang aku masih di bilik ini
Menanti saat-saat hari dini
Pagi ketika aku bebas dari sini
Bebas dari penjara ini.

Jumaat, 25 Mac 2011

Hadis-hadis yang Menunjukkan Keharaman Muzik


"Bagaimanalah keadan kalian apabila ditimpa fitnah? Yang besar menua dan yang kecil membesar di dalamnya; orang ramai menjadikannya sunnah. Apabila fitnah itu diubah mereka berkata: sunnah telah diubah!"

Murid-murid lelaki alim itu pun bertanya "bilakah peristiwa itu akan terjadi, Abu 'Abd al-Rahman?"

Oh ya, si alim itu adalah sahabat Rasulullah shallahu'alaihiwasallam. Ibnu Mas'ud namanya. Jawabnya: apabila ramai qari, tetapi sedikit ulama; ramai pemimpin, tetapi sedikit orang yang amanah; serta dunia dicari dengan amal akhirat.

[Diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Darimi, dan Ibnu 'Abd al-Barr melalui dua jalan, masing-masing disahih dan dihasankan oleh al-Albani dalam Tahrim Alat al-Tharab. Mu'assasah al-Rayyan, Beirut, cet. kelapan, 1428 Hijrah, hal. 16. Disahihkan juga oleh Husain Asad dalam semakan ke atas Sunan al-Darimi. Rujuk: Sunan al-Darimi, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, hjil. 1, hal. 75]

Benarlah kiranya kata-kata Saidina Ibnu Mas'ud radhiyallahu'anhu itu. Perkara yang dihindari dan dijauhi oleh para sahabat dijadikan pendamping diri. Apabila dikatakan kepada mereka "perkara tersebut tidak harus" mereka menjawab "engkau mengada-ngada, inilah pendapat yang rajih, difatwakan oleh al-Syaikh Abu Zuhrah, Muhammad al-Ghazali, dan Yusuf al-Qaradhawi."

Anehnya, penganut-penganut mazhab al-Syafi'i yang teguh mempertahankan mazhab mereka mati-matian menolak mentah-mentah mazhab sendiri kerana apa yang difatwakan ulama-ulama kontemporari lebih rajih. Kononnya! Bahkan, yang lebih tepat disebut, lebih menepati hawa nafsu.

Selama ini, segolongan pelajar agama itu mendakwa bahawa mereka ingin mengembalikan roh fiqh Islam. Syiar mereka 'kembali kepada al-Quran dan sunnah'. "Kita iktiraf semua mazhab tetapi kita tidak akan bertaqlid kepada mana-mana mazhab." Ah, mereka sangat pandai berkata-kata. Hakikatnya, mereka pentaqlid buta mazhab Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan sebahagian ulama yang mereka gelarkan sebagai ulama mu'asharah!

Keluar mulut singa, masuk mulut buaya.

Umat Islam tidak akan dapat mencapai semula zaman kegemilangan mereka selagi mereka tidak kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah yang sebenar. Itu adalah realiti. Itulah seruan ulama zaman-berzaman. Usah dicari-cari sebab mengapa Baghdad jatuh ke tangan Monggol dan mengapa Khilafah 'Utsmaniyyah rebah ke tangan Kamal Attartuk kerana jawapannya sudah terbentang di depan mata iaitu kita tinggalkan kitab Allah dan sunnah nabinya.

Benar, ulama masih berkhilaf dalam masalah muzik. Tapi, perkara khilaf masih boleh dibincangkan dan mana-mana pendapat yang salah boleh disanggah. Orang-orang yang aneh selalu mengatakan "ini perkara khilaf, kena hormat pandangan ulama". Kami bertanya dalam hati, bilakah kami tidak menghormati pandangan ulama? Kami hanya menyanggah sebagaimana ulama-ulama menyanggah ulama. Kami jaga adab dan kami jaga akhlak. Jauh sekali daripada berlaku kurang sopan atau ajar.

Sesetengah perkara khilaf boleh ditolak ansur mengikut pandangan ulama. Ssesetengah perkara lagi tidak boleh ditolak ansur sama sekali. Tetapi, ramai yang tidak faham seolah-olah tidak pernah mengenal huruf alif ba ta. Ulama-ulama mempraktikkan perkara ini. Lihatlah dalam khazanah perpustakaan ulama-ulama silam berapa banyak kitab yang ditulis khas untuk menyanggah lawan. Sanggah-menyanggah adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi dengan dada yang lapang.

Dengan wujudnya budaya betul-membetulkan inilah Islam tetap asli sebagaimana asalnya. Bayangkan, jika ulama tidak mengkritik pendapat ulama yang lain, mungkin pendapat yang salah akan terus dibiarkan dengan alasan khilaf. Akhirnya, pendapat-pendapat yang lemah dan syaz akan berdiri sebaris dengan pendapat-pendapat yang kuat dan masyhur tanpa segan mahupun silu.

Cuba perhatikan, bilakah para pendukung tahlil arwah dan majlis maulid Nabi shallahu'alaihiwasallam mencari-cari dalil sunatnya arwah dan maulid? Bilakah juga penunggu kubur memerah otak mencari hujah bahawa perbuatan tersebut tidak bid'ah? Jawapannya, apabila mereka ditegur dan dihujahkan. Jadi, sanggahan mengejutkan mereka yang lalai supaya tahu di manakah mereka berpijak. Kepada al-Quran dan sunnahkah mereka berpegang atau kepada tangan-tangan pendusta dan Dajjal?

Tentang muzik, dahulunya jumhur ulama mengharamkannya termasuk gendang dan kompang kecuali pada waktu-waktu tertentu seperti hari raya dan majlis perkahwinan. Kini, tiba-tiba sahaja selepas munculnya ulama-ulama muda dalam dunia Islam, pelbagai perkara baru mula masuk ke dalam negara-negara kaum Muslimin. Benar, tidak dinafikan umat Islam perlukan tajdid tetapi pastikan tajdid itu berdasarkan al-Quran dan sunnah, bukan berdasarkan akal semata-mata lantas menafikan al-Mahdi dan Dajjal dan melemahkan hadis-hadis yang sahih!

Sesetengah orang berkata bahawa mazhab Hanafi lebih sesuai dengan zaman serba moden ini. Lihatlah kata-kata penulis 'Aun al-Ma'bud Syarh Sunan Abi Dawud, apa kata mazhab tersebut, adakah sanggup mereka amalkan?
وَأَبُو حَنِيفَة أَشَدُّ الْأَئِمَّة قَوْلًا فِيهِ وَمَذْهَبه فِيهِ أَغْلَظ الْمَذَاهِب ، وَقَدْ صَرَّحَ أَصْحَابه بِتَحْرِيمِ سَمَاع الْمَلَاهِي كُلّهَا الْمِزْمَار وَالدُّفّ حَتَّى الضَّرْب بِالْقَضِيبِ وَأَنَّهُ مَعْصِيَة يُوجِب الْفِسْق وَتُرَدّ بِهِ الشَّهَادَة ، بَلْ قَالُوا التَّلَذُّذ بِهِ كُفْر . هَذَا لَفْظهمْ . قَالُوا : وَيَجِب عَلَيْهِ أَنْ يَجْتَهِد فِي أَنْ لَا يَسْمَعهُ إِذَا مَرَّ بِهِ أَوْ كَانَ فِي جِوَاره
Dan Abu Hanifah adalah sesyadid-syadid imam padanya dan mazhabnya adalah sekeras-keras mazhab. Ashhab beliau terus terang mengharamkan alat-alat muzik semuanya, seruling, kompang, hatta sekadar memukul-mukul dengan batang kayu; dan berpendapat bahawa perkara itu adalah maksiat yang mewajibkan dituduh sebagai fasik dan ditolak penyaksiannya. Bahkan, kata mereka, menikmatinya adalah kufur. Inilah lafaz mereka. Kata mereka: wajib berusaha tidak mendengarnya apabila melalui (tempat yang dimainkan muzik itu) atau ada di sekitarnya. ['Abd al-Haqq al-'Adzimabadi, 'Aun al-Ma'bud, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 13, hal. 273]

Berikut disenaraikan hadis-hadis yang sahih tentang keharaman muzik:

Pertama: hadis yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy'ari bahawa Rasulullah shallahu'alaihiwasallam bersabda:
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ
Sesungguhnya akan ada dalam umatku golongan-golongan yang menghalalkan zina, sutera, arak, dan alat-alat muzik. [Al-Bukhari (5590)]

Catatan: sebahagian ulama seperti al-Imam Ibnu Hazm dan al-Syaikh al-Qaradhawi mengatakan hadis ini adalah hadis mu'allaq dalam Shahih al-Bukhari kerana al-Bukhari meriwayatkan dengan berkata: dan Hisyam bin 'Ammar berkata... Menurut beliau, hadis ini mu'allaq dan terputus iaitu al-Bukhari tidak mendengar sendiri riwayat ini daripada Hisyam. Jadi, hadis ini dha'if. Pendapat ini tertolak kerana:
- Hisyam bin 'Ammar adalah guru al-Bukhari. Jadi, kata-kata al-Bukhari "dan Hisyam bin 'Ammar berkata..." sama seperti dengan kata-kata beliau "hdadatsana Hisyam..."
- Hadis ini tidak mungkin menjadi hadis mu'allaq kerana hadis ini satu-satunya hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam bab tersebut.
- Ulama-ulama lain seperti Ibnu Hibban, al-Thabarani, al-Baihaqi, dan al-Isma'ili meriwayatkan riwayat Hisyam menerusi rawi-rawi yang tsiqah yang bersambung kepada Hisyam.
- Hadis ini tetap diriwayatkan oleh ulama-ulama selain al-Bukhari seperti yang dijelaskan dengan sanad yang sahih dan tidak ada keraguan terputus seperti dalam riwayat al-Bukhari.
- Hadis ini juga diriwayatkan dengan dua riwayat lain secara makna dari Abu Malik al-Asy'ari. Sanad pertama dengan jalan yang sama dengan jalan riwayat al-Bukhari tadi iaitu daripada 'Abd al-Rahman bin Ghanm daripada Abu Malik al-Asy'arii yang disahihkan oleh al-Albani dengan syawahid. Sanad kedua terdapat rawi majhul iaitu antara Ibrahim bin 'Abd al-Hamid dengan Abu Malik al-Asy'ari.

Kedua: hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawasanya Rasulullah shallahu'alaihiwasallam bersabda:
صوتان ملعونان في الدنيا والآخرة مزمار عند نعمة ورنة عند مصيبة
Dua bunyi yang dilaknat di dunia dan akhirat iaitu bunyi seruling ketika nikmat dan teriakan ketika musibah. [Al-Bazzar (7513)]

Kata al-Mundziri dan al-Haitsami: rijalnya tsiqah. Disahihkan oleh al-Manawi dan al-Nawawi al-Bintani al-Jawi. Dihasankan al-Albani kerana terdapat seorang rawi dalam sanadnya yang kurang dhabith. Dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan seruling adalah nyanyian mengikut pensyarah-pensyarah hadis.

Ketiga: diriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas bahawa Rasulullah shallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَىَّ أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku atau mengharamkan arak, judi, dan kubah. [Abu Dawud (3698)]

Kubah adalah sejenis alat muzik iaitu gendang seperti kata 'Ali bin Badzimah, salah seorang rawi hadis ini. Kata al-Khaththabi, pensyarah Sunan Abu Dawud: dan kubah ditafsirkan dengan gendang dan dikatakan kubah adalah dadu. Termasuk dalam maknanya semua alat muzik berrtali, seruling, dan seumpamanya berupa perkara-perkara hiburan dan nyanyian.

Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ahmad dan disahihkan oleh Syu'aib al-Arna'uthi. Disahihkan oleh Ibnu Hibban dan sanad Ibnu Hibban dijayyidkan oleh Syu'aib al-Arna'uthi. Diriwayatkan juga oleh Abu Ya'la dan kata Husain Asad: rijalnya tsiqah. Disahihkan juga oleh al-Albani.

Keempat: daripada 'Abd Allah bin 'Amr bin al-'Ash katanya:
أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- نَهَى عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَالْكُوبَةِ وَالْغُبَيْرَاءِ
Bahawasanya Rasulullah shallahu'alaihiwasallam melarang arak, judi, kubah, dan ghubaira' (sejenis minuman). [Abu Dawud (3687)]

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad, al-Baihaqi, dan lain-lain melalui tiga jalan daripada 'Abd Allah bin 'Amr bin al-'Ash ini iaitu dari jalan:
- 'Amr bin al-Walid bin 'Abdah
- 'Abd Allah bin Hubairah
- 'Abd al-Rahman bin Rafi'

Jalan 'Amr bin al-Walid dihasankan oleh al-Albani dan disahihlighairihkan beliau dengan kewujudan dua jalan lain yang kedua-duanya adalah lemah. Wallahua'alam. Hadis ini diriwayatkan juga dalam Musnad Ahmad. Kata Syu'aib al-Arna'uthi: sahih lighairih sedangkan isnad ini lemah.

Kelima: diriwayatkan daripada Qais bin Sa'd seperti hadis keempat. [Al-Baihaqi dalam al-Kubra (21523)]

Diriwayatkan melalui dua jalan. Jalan pertama dihasankan dan jalan kedua dilemahkan oleh al-Albani.

Jika perlu, kami akan menyambung artikel ini dengan membawakan hadis-hadis dan atsar salaf yang lain mengenai perkara ini. Sebelum artikel ini diakhiri, kami bawakan kata-kata Yahya bin al-Qaththan:
لَوْ أَنَّ رَجُلًا عَمِلَ بِكُلِّ رُخْصَة بِقَوْلِ أَهْل الْكُوفَة فِي النَّبِيذ وَأَهْل الْمَدِينَة فِي السَّمَاع وَأَهْل مَكَّة فِي الْمُتْعَة لَكَانَ فَاسِقًا
Sekiranya seseorang mengamalkan setiap pendapat yang ringan yang dikatakan oleh ahli Kufah pada nabiz, ahli Madinah pada mendengar nyanyian (dan muzik), ahli Mekah pada mut'ah, pasti akan menjadi fasik.

Jangan pula saudara menyangka bahawa kata-kata beliau berhujah ke atas kami kerana beliau mengatakan bahawa ahli Madinah mengharusnya muzik (andai itu yang beliau maksudkan dengan sima') kerana ahli Madinah yang dimaksudkan itu bukanlah ulama tapi orang-orang fasik seperti kata Imam Malik, imam ahli Madinah: yang melakukannya dalam kalangan kami hanyalah orang-orang fasik.

Dalam kata-kata beliau, sima' difahami sebagai sesuatu yang hanya masyhur di Madinah. Maksudnya, sima' tidak masyhur sebagai sesuatu yang diamalkan di tempat-tempat lain. Malah, saksikan bagaimana beliau menyamakan antara nabiz, sima', dengan mut'ah!

Satu bonus untuk kita semua, menerusi kata-kata Ibnu al-Qaththan -jika sahih- dapatlah diketahui bahawa ada ulama yang telah mengharuskan nabiz, muzik, dan mut'ah. Cuba perhatikan hadis al-Bukhari tadi, akan ada golongan-golongan dalam umat Rasulullah shallahu'alaihiwasallam yang menghalalkan zina, arak, dan muzik. Tidak syak lagi, pendapat-pendapat inilah yang telah mengharuskan perkara-perkara haram tadi tanpa disengajai.

Jika mereka mujtahid maka mereka tidak berdosa. Yang salahnya adalah kita selaku pentaqlid sedangkan kita mampu menilai sendiri. Kita mahasiswa (ditujukan kepada mahasiswa-mahasiswa pengajian Islam) bukan orang awam. Yang lebih teruk, sengaja membutakan mata apabila diserahkan kepadanya hujah-hujah ini.

Catatan: maaf andai menyinggung. Kami hanya sebagai penasihat. Sama-samalah kita menasihati sesama kita sebelum Allah menimpakan kita dengan bala yang dirasai oleh semua orang; yang baik dan yang jahat.

Catatan kedua: kami tidak bertaqlid kepada al-Albani dalam hal-ehwal hadis bahkan kami menganggapnya sama sahaja seperti ulama-ulama lain. Malah, beberapa hadis yang dikatakan oleh beliau sebagai sahih kami maudhu'kan kerana menurut pandangan ulama yang lebih rajih. Oleh sebab banyak hadis yang tidak dikaji oleh ulama lain dikaji oleh beliau, maka kami menyebut keterangan beliau. Jika ada keterangan ulama-ulama lain, kami cuba memuatkannya bersama.

Catatan ketiga: rujuk juga artikel Hukum Muzik dan Nyanyian oleh Nawawi Subandi kerana beliau memiliki pendapat yang sama dalam masalah ini. Kami tidak semazhab dengan beliau tetapi pandangan beliau dalam masalah ini boleh diterima.

Wassalam.

Jalan Hidup

Jauh sudah aku layari kehidupan. Umurku sudah lanjut. 20 tahun Qamari. Aku tempuhi zaman kanak-kanakku yang penuh riang dalam pelukan ibu abah. Zaman sekolahku yang amat indah tak mampu digambarkan oleh mana-mana sasterawan hatta Habiburrahman el-Shirazy pun bagaikan kudung untuk menulis riwayatku pada zaman itu. Panorama remajaku juga masih indah. Tapi, Leonardo La Vinci pun tidak dapat lukiskan walau seinci.

Indahnya hidup. Tapi, apabila aku mencecah remaja. Pelbagai pengalaman ngeri kurasai. Hidupku terumbang-ambing seperti bahtera dilambung ombak. Ketika itu jugalah aku menerima watikah sebagai pejuang. Hidupku hanyalah untuk Allah. Perjuanganku sehingga mati.

Syiah, Wahhabi, Salafi, Asri, Maulana Asri, Imam Ghazali, Ihya’ ‘Ulumiddin, Harun Yahya, hadis, dan jutaan entri memenuhi halaman kosong pada fikiranku. Aku dilanda semangat perjuangan yang membakar-bakar. Aku ingin menjadi pipit yang bebas dari sangkar. Lalu, terbang tinggi memangsakan kufur bak helang berkuku tajam mencakar. Aku ingin menjadi ulama yang pakar dan pendekar yang dakar.

Aku lalui jalan perjuangan. Aku temui jalannya. Sesekali berhenti rebah. Rebah kerana batu-batu besar yang ditabur oleh syaitan. Aku juga remaja seperti remaja-remaja yang lain. Terkadang aku mengambil masa yang agak lama baru dapat berdiri semula. Itupun dalam keadaan masih bingung kerana kepala juga tersembam mencium tanah.

Kini aku mendewasa. Sisa-sisa remajaku masih melekat pada tubuh badan. Dengan penuh azam, aku berazam untuk tidak sekali-kali berpaling dari jalan ini. Ya, jalan ini.

Isnin, 7 Mac 2011

Hidup Satu Pengabdian

Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu
yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum kamu;
mudah-mudahan kamu bertakwa.
[Surah al-Baqarah; ayat ke-21]

Tidak ada kemudian ada. Begitulah kita, manusia. Daripada tidak ada, kita menjadi ada. Begitulah kita, makhluk. Daripada tidak ada, kita menjadi ada.

Langit dan bumi diciptakan Tuhan. Mantari, rembulan, bintang-bintang, dan semesta alam adalah makhluk ciptaan-Nya. Haiwan dan tumbuhan mendiami dunia; begitu juga jin. Kemudian, Tuhan ciptakan Adam. Dari syurga, ia diturunkan ke dunia. Tinggallah Adam bersama Hawa. Daripada berdua, menjadi berpuluh. Daripada berpuluh, bertambah ratus-ratusan lalu bercambah ribu-ribuan lalu mencecah juta-jutaan. Kelahiran demi kelahiran. Kehidupan demi kehidupan. Pelik sekali, hidup itu untuk apa sebenarnya?

Hidup itu untuk suatu pengabdian. Pengabdian itu kepada Tuhan.

Pengabdian bukanlah peribadatan semata. Pengabdian dengan erti yang sebenar adalah penyerahan diri kepada Tuhan dengan melakukan semua tuntutan dan ketaatan secara patuh dan rela untuk mendapat keredaan-Nya; zahir dan batin. Dengan kata lain, apa sahaja yang dilakukan; tidur dan jaga, gerak dan henti, hidup dan mati adalah untuk Allah semata, Tuhan alam semesta.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ۝
Katakanlah (wahai Muhammad) “sesungguhnya solat, ibadat, hidup, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” [Surah al-An’am; ayat ke-162]

Pengabdian inilah yang menjadi tujuan manusia diciptakan. Pengabdian inilah yang menjadi seruan agama zaman-berzaman. Kerana pengabdian inilah ramai manusia berjaga malam dan sanggup menahan lapar dan dahaga. Kerana pengabdian ini jugalah ramai manusia tidak peduli walau tubuhnya terseksa dan menderita. Bagi mereka, reda Allah yang utama. Bagi mereka, segala-galanya adalah untuk-Nya.

Tidak ada sesuatu pun yang lebih mulia daripada pengabdian
dan tidak ada sesuatu nama yang lebih sempurna
bagi seorang mukmin daripada dinamakan
dengan pengabdian.
[Al-Daqqaq, guru al-Qusyairi]