Khamis, 3 Februari 2011

Pengantar Ilmu Rijal


1. Dari segi bahasa, rijal adalah jamak kepada rajul yang bermaksud lelaki. Dalam istilah ulama hadis, rijal adalah rawi-rawi yang meriwayatkan hadis.
a
2. Ilmu rijal atau nama lengkapnya ilmu rijal al-hadits adalah ilmu tentang hal-ehwal rijal iaitu rawi-rawi yang meriwayatkan hadis.
a
3. Nama lain ilmu rijal adalah ilmu al-jarh wa al-ta’dil dan ma’rifah al-rawi. Jarh adalah menilai seseorang rawi itu sebagai tidak memenuhi syarat tsiqah. Ta’dil adalah sebaliknya.
a
4. Tujuan mempelajari ilmu rijal ialah mengetahui hal-ehwal rawi sama ada tsiqah iaitu boleh dipercayai atau tidak dalam meriwayatkan hadis dan hal-ehwal lain bersangkutan dengan periwayatan hadis. Dengan mengetahui hal-ehwal rawi, 60 hingga 80 peratus darjat hadis dapat dipastikan.
a
5. Ilmu rijal adalah ilmu yang hanya wujud pada agama Islam.
a
Sejarah Ilmu Rijal
a
1. Ilmu rijal telah diasaskan pada zaman tasyri’ lagi. Al-Quran dan hadis Rasulullah shallahu’alaihiwasallam telah memberikan beberapa isyarat tentang keperluan mengkaji keadaan periwayat-periwayat berita untuk mengetahui kesahihan berita tersebut.
a
2. Setelah berlakunya fitnah dalam kalangan umat Islam pada pertengahan zaman sahabat radhiyallahua’nhum, umat Islam semakin mengambil berat tentang sanad dan rawi-rawi hadis.
a
3. Pada zaman pembukuan ilmu hadis, perihal rawi diperhatikan dengan lebih diteliti dan mereka membicarakan hal-ehwal rawi dengan lebih meluas. Pada zaman tersebut jugalah, perihal rawi-rawi dicatat dalam kitab-kitab hadis.
a
4. Antara kitab-kitab ilmu rijal adalah:
a. Al-Thabaqat al-Qubra oleh al-Imam Ibnu Sa’ad al-Zuhri (men. 230 H)
b. Al-Tarikh al-Kabir oleh al-Imam al-Bukhari (men. 256 H)
c. Al-Jarh wa al-Ta’dil oleh al-Imam Ibnu Abi Hatim al-Razi (men. 327 H)
d. Al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal oleh al-Imam Ibnu ‘Adi al-Jurjani (365 H)
a
Kaedah Mengetahui Hal-ehwal Rijal
a
1. Ulama mengkaji hal-ehwal rijal dengan beberapa cara iaitu:
a. Bertanyakan orang yang mengetahui hal-ehwalnya seperti ahli keluarga, sahabat, dan murid.
b. Bertemu dengan rawi itu sendiri sama ada untuk melihat atau menguji sendiri ketsiqahan dirinya.
c. Menyemak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh rawi tersebut.
d. Menyemak penilaian-penilaian ulama terdahulu.
a
2. Kaedah ulama muta’akhkhirin sedikit berbeza dengan kaedah ulama mutaqaddimin disebabkan ketidakmampuan menemui dan menguji rawi selain hanya bergantung kepada maklumat-maklumat yang disampaikan oleh ulama mutaqaddimin dalam kitab-kitab mereka.
a
3. Ulama juga telah meletakkan beberapa kaedah dalam al-jarh wa al-ta’dil. Antaranya; jarh didahulukan daripada ta’dil, jarh tidak diterima kecuali apabila dijelaskan sebab, dan sebagainya.
a
Butiran Penting tentang Rijal yang Dicatat oleh Ulama
a
1. Nama, nasab, gelaran, nama keluarga, nisbah.
2. Negeri tempat tinggal.
3. Guru dan murid; thabaqat.
4. Kedudukan al-jarh wa al-ta’dil.
5. Tahun meninggal dunia.

Perbezaan al-Jarh wa al-Ta’dil Terhadap Rijal di Sisi Ulama
a
1. Ulama berbeza pendapat mengenai ketsiqahan seseorang rawi berdasarkan maklumat yang sampai kepada ulama mengenainya.
a
2. Ulama juga mempunyai lafaz-lafaz jarh dan ta’dil yang berbeza-beza sama ada dari segi lafaz atau maknanya.

a
Martabat Lafaz al-Jarh wa al-Ta’dil Rijal

a
1. Martabat lafaz ta’dil:
a. Mubalaghah; contoh: dia orang yang paling baik.
b. Ta’dil yang dita’kidkan; contoh: dia tsiqah lagi tsabat.
c. Ta’dil tanpa ta’kid; contoh: dia tsiqah.
d. Ta’dil dari segi ke’adilan tanpa kedhabithan; contoh: dia shaduq.
e. Lafaz yang tidak menunjukkan sebarang ta’dil atau jarh; contoh: dia seorang syaikh.
f. Lafaz yang lebih condong kepada jarh; contoh: hadisnya dicatat.

a
2. Martabat lafaz jarh.
a. Jarh secara mubalaghah; contoh: dia orang yang paling kuat berdusta.
b. Jarh yang menunjukkan rawi pendusta; contoh: dia mereka-reka hadis.
c. Jarh yang mengisyaratkan bahawa rawi dituduh pendusta; contoh: dia dituduh mencuri hadis.
d. Jarh yang mengisyaratkan bahawa hadis rawi tidak dipedulikan; contoh: hadisnya tidak diambil.
e. Jarh yang mengisyaratkan bahawa hadis rawi tidak menjadi hujah; contoh: dia tidak boleh dibuat hujah.
f. Jarh yang paling ringan; contoh: ada sesuatu yang tidak kena dengannya.

a
3. Martabat ta’dil dari a hingga d boleh menjadi hujah manakala martabat e dan f hanya boleh dijadikan i’itibar.

a
4. Martabat jarh dari a hingga d tidak boleh menjadi hujah manakala martabat e dan f hanya boleh dijadikan i’tibar.
a
Kaedah Menerima al-Jarh dan al-Ta’dil Rijal

a
1. Menerima ta’dil yang tidak disebut sebab.
2. Menerima jarh yang disebut sebab.

Kaedah Menyelesaikan Perbezaan Pendapat tentang al-Jarh dan al-Ta’dil Rijal oleh Ulama

1. Menerima jarh secara mutlak.
2. Menerima jarh atau ta’dil berdasarkan bilangan yang lebih banyak.
3. Menerima jarh atau ta’dil berdasarkan kedudukan penjarh atau penta’dil.
4. Menerima jarh atau ta’dil berdasarkan pentarjihan dengan sesuatu sebab yang pasti.

Catatan: kertas kerja ini telah dibentangkan pada 2 Februari 2011 di Puskma, Mu'tah dalam Seminar Menyelami Khazanah Ilmu Hadis.