Rabu, 5 Januari 2011

Anjuran Solat Berjemaah di Masjid


“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat; dan tidak takut melainkan kepada Allah; (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Taubah, ayat ke-18]

Solat berjemaah di masjid selain merupakan sunnah Rasulullah shallahu'alaihiwasallam adalah manhaj hidup Islam. Meninggalkan amalan ini bererti meninggalkan sunnah dan menyimpang dari manhaj sebenar. Hanya kerana hukum solat berjemaah di masjid adalah sunnah mu’akkadah dan fardu kifayah di sisi mazhab, kita mengambil ringan amalan yang diambil berat oleh murid-murid Rasulullah shallahu'alaihiwasallam ini.
a
Ibnu Mas’ud RA pernah berkata: barangsiapa suka untuk menemui Allah pada esok hari sebagai seorang Muslim maka hendaklah ia menjaga solat-solat fardu tersebut (dengan mengerjakannya) di tempat-tempat seruan itu dilaungkan (iaitu masjid); oleh sebab Allah telah mensyariatkan jalan-jalan petunjuk (sunan al-huda) dan solat lima waktu (di masjid) itu termasuk di dalam jalan-jalan petunjuk itu. Sekiranya kalian mengerjakan solat di rumah sebagaimana orang-orang yang meninggalkan solat berjemaah di masjid itu sudah bermakna kalian telah meninggalkan sunnah Nabi kalian (SAW) dan seandainya kalian meninggalkan sunnah Nabi kalian bermakna kalian sudah sesat. [Muslim (1520)]
a
Kesungguhan para sahabat RA menjaga jalan petunjuk ini dapat dilihat bagaimana sebahagian atau kesemua mereka menganggap tidak sah solat bersendirian di rumah tanpa keuzuran. Al-Imam al-Tirmidzi berkata: telah diriwayatkan daripada bukan seorang sahabat Nabi shalahu'alaihiwasallam bahawa mereka berkata “sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak menjawabnya (iaitu dengan mendatangi masjid), tidak ada solat baginya.” [Sunan; kitab 2, bab 50]
a
Hadis Nabi shallahu'alaihiwasallam yang mafhumnya berbunyi: solatnya seorang lelaki secara berjemaah, (fadilat, pahala, dan sebagainya) berlipat kali ganda berbanding solatnya di rumah atau di pasarnya sebanyak 25 kali ganda; [Al-Bukhari (247) dan Muslim (1538)] kerap kita dengari. Namun, malangnya, kita menganggap hadis ini semata-mata sebagai menyatakan kelebihan dan tidak lebih dari itu!
a
Baginda Rasulullah shallahu'alaihiwasallam telah menunjukkan kepada kita manhaj Islam dengan perbuatannya sendiri. Sudah banyak kali kita dengar bahawa baginda shallahu'alaihiwasallam tidak pernah meninggalkan solat berjemaah kecuali ketika baginda teramat-amat sakit sehingga memaksa Saidina Abu Bakr RA menggantikan beliau sebagai imam. Ini adalah jalan hidup seorang Muslim.
a
Pada zaman Rasulullah shallahu'alaihiwasallam, tidak ada sahabat yang tidak berjemaah di masjid. Jika ada, mungkin sahabat itu sakit. Jika tidak sakit, sudah pasti ia bukan sahabat tetapi seorang munafik yang jelas-jelas kemunafikannya. Bahkan, sahabat yang sedang sakit pun sedaya upaya cuba masuk ke dalam saf dengan dipapah oleh sahabat-sahabat yang lain. [Lihat: Muslim (1519)] Nah, di manakah kita dari manhaj mereka?
a
Kata Saidina ‘Ali bin Abu Thalib RA: tiada solat bagi tetangga masjid melainkan di masjid. Beliau ditanya “siapakah tetangga masjid itu?” Jawabnya: orang-orang yang mendengar azan. [Mushannaf Ibnu Abi Syaibah (3488)]
a
Benar kata-kata yang disandarkan kepada Saidina 'Ali ini. Rasulullah shallahu'alaihiwasallam sendiri tidak mengizinkan 'Abd Allah bin Umm Maktum RA yang buta untuk solat di rumah sahaja kerana tidak ada orang yang dapat membawanya ke masjid. Baginda bertanya (mafhumnya) "adakah engkau mendengar azan?" Jawab Ibnu Umm Maktum RA "ya" lalu baginda menjawab (mafhumnya): maka, wajib (ke masjid). [Lihat: Muslim (1518)]
a
Lihatlah, bagaimana sahabat yang tidak mampu melihat ini pun disuruh oleh baginda ke masjid semata-mata kerana jarak rumahnya mampu mendengarkan azan. Bagaimana pula dengan kita? Jauhnya kita daripada petunjuk baginda shallahu'alaihiwasallam. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kita sebenarnya telah sesat sebagaimana kata Ibnu Mas'ud kerana meninggalkan jalan-jalan petunjuk ini.
a
Usahlah bermain dengan hukum dengan berkata "solat berjemaah di masjid hukumnya sunat mu'akkad." Umpama orang yang mendengar lagu dan muzik siang dan malam berkata "dengar lagu hukumnya harus selagi tidak melalaikan solat." Ramai manusia-manusa begini pada hari ini, mereka menduga mereka lebih faqih daripada para sahabat RA. Mereka pun barangkali menyangka bahawa para sahabat RA jahil hukum fiqh sehingga para sahabat sentiasa melazimi masjid dan meninggalkan muzik! Malangnya, 'mereka' bukan sahaja mat-mat rempit dan kawan-kawan, malah ribuan bakal-bakal ustaz di seluruh dunia!
J
Jadi, jom ikut Rasul shallahu'alaihiwasallam dan jom ikut sahabat RA; dan jom kita ke masjid!
a

Tiada ulasan:

Catat Ulasan