Selasa, 4 Januari 2011

Pendahuluan Syarah Hadis ke-1987 Sunan Al-Tirmidzi

Sebagaimana yang telah disebutkan dalam kajian kami ke atas sanad hadis ke-1987 Sunan al-Tirmidzi yang diterbitkan pada bulan Disember tahun lepas, kami berpendapat bahawa sanad-sanad hadis ini adalah dha’if. Hadis dha’if walaupun tidak boleh digunakan untuk berhujah dalam perkara-perkara akidah dan hukum, boleh digunakan dalam beberapa perkara tertentu seperti dalam menyatakan kelebihan amalan, tempat, dan sebagainya.

Seperkara yang tidak boleh diambil remeh, hadis dha’if yang digunakan tersebut tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam secara jazam atau pasti. Jadi, hadis dha’if hendaklah dikemukakan dengan shighah tamridh untuk menunjukkan kelemahan penyandarannya kepada baginda. Contohnya shighah tamridh ialah, diriwayatkan daripada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam hadis sekian-sekian.

Perkara ini masyhur disebutkan oleh para ulama hadis. Di sini, kami senaraikan tiga syarat untuk beramal atau menggunakan hadis dha’if yang kami simpulkan daripada keterangan para ulama iaitu:
- Kedha’ifan tidak terlalu kuat
- Mafhum atau makna hadis termasuk di bawah perkara yang telah tsabit di sisi agama dan tidak bertentangan dengan perkara-perkara tersebut.
-Tidak dijadikan i’tiqad bahawa hadis tersebut tsabit daripada Rasulullah shallahu’alaihiwasalam.

Berbalik kepada perbincangan tentang hadis ke-1987 tadi, hadis ini tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam secara jazam kerana kelemahan sanad-sanadnya. Kedha’ifan hadis ini tidaklah terlalu kuat dan kandungannya seperti anjuran supaya bertakwa, berbuat baik, dan sebagainya sudah tsabit melalui dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Oleh sebab itu, kami mendapati para ulama termasuk al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali yang telah mendha’ifkan hadis ini telah menghuraikan hadis ini secara panjang lebar dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Haditsa min Jawami’ al-Kalim, kitab syarah hadis 40 dengan tambahan sepuluh hadis lain.

Berikutan itu, kami tidak merasa keberatan untuk mensyarahkan hadis ini berdasarkan huraian-huraian para ulama. Lagipun, hadis ini sangat masyhur di sisi ulama dan penuntut ilmu agama kerana hadis ini termasuk dalam 40 hadis usul agama yang dikumpulkan oleh al-Imam al-Nawawi sehingga memudahkan kami mendapatkan banyak syarah alim-ulama yang bertebaran di sana-sini. Hadis ini adalah hadis ke-18 dalam senarai hadis 40 tersebut. Kami bercita-cita untuk menghadamkan keempat-empat puluh hadis tersebut dengan tambahan 10 hadis lain seperti dalam kitab al-Imam Ibnu Rajab.
a
Sekian mukadimah kami sebelum syarah hadis ini. Tujuan kami menulis mukadimah ini adalah untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan pembaca mengapa kami tetap mensyarahkan hadis ini meskipun kami menganggapnya dha'if.
v
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan